29/07/2007 - Keluasan menerima pendapat, keperluan Muslim moden

DAHULU atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen.

Sikap seperti itu dinamakan fanatik atau taksub.

Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak lain memberi hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta.

Fanatik berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu sehingga membawa permusuhan sesama Islam. Dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidilharam, umat Islam bersolat dengan empat imam yang mewakili mazhab masing-masing. Makmum memilih imam yang sesuai. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Bayangkan jika hal tersebut berterusan sehingga hari ini.

Selepas Rasulullah s.a.w. wafat, baginda meninggalkan ramai sahabat yang merupakan ilmuwan besar. Namun, tiada di kalangan sahabat menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain.

Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh Khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka lebih memahami syariat Rasulullah.

Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain- lain tokoh, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain.

Ini seperti pengikut fanatik mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat selain dari mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik mazhab Malik membantah Morocco mengambil pendapat selain dari mazhab Malik. Atau pengikut fanatik mazhab al-Syafii membantah orang Malaysia mengambil selain dari mazhab al- Syafii.

Kontradiknya, kita mengakui mereka adalah tokoh-tokoh sarjana Ahli Sunah, tetapi kita menolak keilmuan mereka hanya kerana daerah yang kita duduki. Padahal, para imam itu tidak pernah mengajar demikian dan negara-negara yang wujud ini belum terbentuk pada zaman mereka.

Tokoh terkenal, Dr. Abd al-Karim Zaidan berkata: “Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab Islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab. Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya. Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini?” (Dr. Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah, m.s. 147, Beirut: Muassasah al-Risalah 2002).

Perbuatan

Dalam dunia akademik tulen, perbuatan seperti itu dianggap menyanggahi norma-norma keilmuan yang menuntut keluasan minda dan penelitian fakta. Alangkah ruginya sikap sedemikian, yang bererti kita menghalang perkembangan pengetahuan dan kesarjanaan hanya kerana perbezaan nama tokoh dan daerah kita tinggal. Padahal kita berkempen agar mengambil manfaat dari dunia lain.

Kita pernah berkempen “Dasar Pandang ke Timur”, sekalipun mereka bukan Muslim. Kita mengambil ilmu dan menggerakkan negara dari ilmu Barat atau Timur yang membolehkan kita maju ke hadapan, tanpa mengira latar agama. Tiba-tiba ada pula yang menyatakan; anda tidak boleh mengambil pendapat al-Imam Ahmad, atau al-Imam Malik, al-Imam Al-Auza’i, al-Imam Ibn Hazim al-Andalusi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah, atau tokoh moden seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mustafa al- Zarqa, al-Albani, al-Uthaimin atau selain mereka kerana bukan mazhab al-Syafii.

Padahal dunia ilmuwan akur kesarjanaan mereka. Jika kita menolak pendapat mereka hanya kerana nama, maka itu sentimen puak atau kejumudan minda bahkan itu adalah pengkhianatan ilmiah juga penghapusan khazanah ilmu.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dengan jelas dalam masalah ini menyebut: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah s.w.t. Seakan-akan menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka.

“Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabat dan mereka yang selepas sahabat sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bin al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah)

Pandangan mazhab sebahagian besarnya adalah ijtihad yang terdedah untuk dinilai pihak lain. Maka kita berhak mengambil pandangan lain yang pada nilaian kita lebih dekat kepada fakta dan mampu menterjemahkan wajah Islam. Umpamanya, pendapat mazhab al-Syafii, yang membolehkan bapa berkahwin dengan anak zinanya, barangkali tidak wajar dipertahankan terutama ketika menerangkan Islam kepada dunia. Apakah Islam yang mengharamkan mengahwini seseorang wanita hanya kerana susuan akan menghalalkan anak zina? (lihat: Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1987).

Demikian juga jika pendapat awal ulama al-Syafii dikekalkan yang mensyaratkan urusan jual beli mempunyai lafaz, tentu sukar untuk kita membeli minuman atau makanan dari mesin-mesin canggih yang ada. Bahkan di sana banyak perkara yang menuntut seorang Muslim melihat luar dari kerangka mazhabnya terutama tentang hubungan dengan bukan Muslim, zakat, wakaf, perkahwinan dan sebagainya.

Bahkan pandangan-pandangan agama yang menyusahkan tanpa dalil dari al-Quran dan al-Sunah patut dielakkan terutama untuk generasi moden yang mula fobia dengan agama. Apatah lagi yang baru menganut Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: “Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al- Sunah. Kedua-duanya tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang Muslim bebas dari terikat dengan mana- mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuwan sahaja.

“Inilah jalan para sahabat dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fikah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah 2001).

Ulama

Tokoh fikah, Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebut: “Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafii atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan Rasul-Nya.

“Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan tokoh tertentu, dan bukan yang lain. Firman Allah: (maksudnya): Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui. Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabat dan tabien tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam atau mazhab tertentu dalam semua masalah. Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat.

“Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh… Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan rajih di sisi ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan – seperti yang dijelaskan. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum yang telah ditetapkan oleh mazhab- mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetilannya.” (Al-Zuhaili, Dr. Wahbah, al-Rukhas al- Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair 1993).

Sebelum ini tulisan-tulisan saya telah menjelaskan, betapa keterikatan atau sempit dengan satu-satu pendapat tanpa melihat kepada dalil dan logik akan menjadikan kita tidak ilmiah bahkan boleh menyanggahi sifat Islam yang suka kemudahan untuk umatnya. Umpamanya, ada yang bimbang makan dari bekas hidangan bukan Muslim, kalau-kalau pernah terkena khinzir dan belum dibasuh tujuh kali serta air tanah.

Saya katakan, pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang tidak nampak. Kedua; pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Tidak ada dalil yang menyatakan khinzir wajib dibasuh tujuh kali termasuk air tanah. Pendapat ini disokong tokoh besar mazhab al-Syafii sendiri – walaupun berbeza dengan mazhabnya - iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut dan diterima pakai banyak karyanya di Nusantara ini.

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafii (meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam mazhab al-Syafii. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak.” (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafii, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al- Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 2003).

Bagi saya pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapal terbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan Muslim. Namun yang menfatwakan supaya diminum air tanah bagi sesiapa yang telah termakan sosej khinzir beberapa tahun lepas, tidak ada akal yang sejahtera yang dapat menyokong hal itu. Apatah lagi dalil syarak. Sepatutnya, kenyataan seperti itu jangan disiarkan dalam media. Hanya memalukan umat Islam.

Tiada seorang sahabat pun yang masuk Islam, baginda Nabi memerintah dia meminum air tanah. Bersikap terbukalah kita dengan mendengar dalil orang lain. Islam dengan tafsiran yang sempit sukar untuk dipasarkan kepada umat moden.

22/07/2007 - Keperluan fikah interaksi dengan bukan Muslim

SAYA rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak penganjur mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat tentang orang ramai menganut Islam.

Dalam politik pilihan raya, pelbagai akhbar parti akan menyiarkan cerita ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.

Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini.

Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang adapun ingin meninggalkannya. Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu – secara langsung atau tidak langsung – memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan menghalang orang lain daripada menghampiri agama yang suci ini.

Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Saad bin Abi Waqqas sebelum peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara, antaranya: “...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketakwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita” (Dr. ‘Ali al-Salabi, Umar bin al-Khattab, m.s. 420, Kaherah: Dar al-Tauzi’ Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).

Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk umat yang tewas hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. Jika Umar menyatakan: “..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka,” realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya.

Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak, bahkan zakat berlebihan saban tahun – walaupun yang miskin terus menderita. Pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak.

Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, Perlembagaan dan berbagai-bagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagai kita umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak?

Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul.

Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?

Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan muslim hidup di kalangan masyarakat muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realitinya, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita.

Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Namun barangkali kita gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka.

Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk perilaku mulia umatnya.

Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.

Malangnya, fikah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan; pegawai agama itu memberitahunya “jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.”

Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya ‘waktu masuk Islam 8 pagi sehingga 5 petang’. Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini.

Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Padahal Allah menyebut dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan daripada mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang-alik ke tempat ibadat mereka untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula kurang memberi kepada mereka.

Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal.

Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian. Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: “Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya” (11/424).

Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit.

Kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik, namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.

Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitulmal, zakat yang ‘berlebihan’ dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini.

Ironinya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Hal ini tidak benar. Pada zaman Nabi s.a.w. kaum Muslimin juga pada awalnya berat untuk memberikan bantuan kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperoleh jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah.

Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya): “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim, orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala selagi tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberi kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). Malah zakat boleh diberi kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam.

Dalam tulisan sebelum ini saya telah huraikan hal ini. Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Tidak hairan jika zakat ‘berlebih-lebihan’ saban tahun, sedangkan masalah umat bertambah.

Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Padahal dalam hadis disebut: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w. satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi.” Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.

Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi s.a.w. Diizinkan bukan Muslim masuk mendengar kuliah atau ceramah agama atau mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman nabi.

Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi s.a.w. dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.

Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fikah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.

15/07/2007 - Hak wanita: antara hukum Tuhan dan pelaksanaan insan

Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita yang tiada tolok bandingnya. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jikapun ada pembelaan hak mereka adalah atas ihsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “Dari segi sejarahnya, Islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita. Suatu hakikat yang pasti bahawa tiada hak pemilikan harta yang diberikan kepada wanita Hindu sehinggalah tahun 1956. Ini apabila Hindu Code Bill dihapuskan. Sedangkan Islam telah pun memberikan hak-hak ini kepada wanita Muslim sejak seribu empat ratus tahun yang lampau. (Wahidudin Khan, Women Between Islam and Western Society, hlm. 46.)

Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka. Hadis-hadis Nabi yang membela dan mempertahankan wanita begitu banyak dan jelas, antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).

Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

Namun masyarakat Melayu dahulu, apabila begitu terikat dengan mazhab al-Imam al-Syafii maka mereka membiarkan bapa memaksa anak-anak perempuan berkahwin dengan pilihan bapa sekalipun dibantah oleh anaknya atas alasan bapa wali mujbir. Mereka tidak bersikap terbuka menyemak dalil dan mengambil manfaat daripada para sarjana Islam yang lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha). Namun paksaan seperti itu sudah jarang kedengaran lagi. Masyarakat berubah, pandangan mazhab sudah tidak relevan lagi dalam bab tersebut. Mengambil manfaat dari pendapat lain adalah satu keperluan.

Hak wanita

Di sana begitu banyak nas-nas sama ada dari al-Quran atau al-Sunah yang membela hak wanita. Namun adalah mengejutkan, setelah keadilan gender ini ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tiba-tiba kita sering mendengar aduan atau rasa tidak puas hati wanita Islam yang berleluasa terhadap Mahkamah Syariah atau pejabat agama. Sehingga ada wanita yang memberitahu bahawa antara sebab beliau ingin keluar agama adalah layanan agama yang diberikan kepadanya. Setiap kali beliau mengangkat kes tentang kezaliman suami kepadanya, beliau diberi nasihat agar bersabar, Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Sedangkan dirinya semakin hari semakin menjadi mangsa. Bahkan ada yang lebam-lebam matanya, masih disuruh bersabar. Tidak pula ‘pasukan gerak khas’ antimaksiat bertindak pantas mencegah kemungkaran suami yang menyeksa isteri, sepantas pencegahan khalwat yang terpaksa mengintip dengan penuh kesabaran. Sedangkan perbuatan memukul isteri secara zalim ini adalah mungkar yang nyata.

Ada wanita yang memaklumkan kepada saya bahawa mereka takut hendak ke pejabat-pejabat agama, nanti akan berhadapan dengan pengurusan yang ‘tidak mesra’. Sama ada dakwaan itu palsu atau benar, saya tidak pasti. Namun dakwaan seperti itu sering sahaja kedengaran. Apa pun halnya, yang penting penghormatan kepada kaum wanita dan memberikan layanan yang baik kepada mereka adalah ajaran Islam yang agung ini. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri: Wanita-wanita berkata kepada Nabi: “Kaum lelaki telah mendapat engkau melebihi kami. Jadikanlah satu hari engkau untuk kami. (Baginda pun lakukan) maka baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka (memberitahu suruhan agama). Antara yang baginda sebut kepada mereka, Tidak ada di kalangan kamu yang mendahulu tiga orang anaknya (meninggal semasa hayatnya) melainkan ia menjadi dinding dari api neraka. Tanya seorang wanita: “Dua orang anak?” Jawab baginda: (Ya) dua orang anak juga.

Baginda dalam hadis ini memberikan kesempatan untuk golongan wanita belajar dan membuat peruntukan khas dari baginda apabila didapati kaum lelaki telah mendominasi mereka sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan yang cukup.

Kes-kes isu talak yang tertangguh perbicaraannya sampai bertahun-tahun masih berterusan kita dengar sehingga hari ini. Walau apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Mahkamah Syariah, ia pada hakikatnya tidak lebih dari kezaliman terhadap wanita. Sama ada disebabkan kongkongan kesempitan pemikiran hukum atau pengurusan yang kurang kualiti atau tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Sehingga kadangkala susah benar nampaknya untuk dipisahkan isteri daripada suaminya sekalipun ternyata kemudaratan telah berlaku. Padahal pada zaman Nabi isteri Thabit bin Qais datang menemui Nabi lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang mentafsir bermaksud terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H): “Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: 229. Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

Allah dan Rasul-Nya mengharamkan talak bid‘i iaitu mentalak isteri ketika haid atau ketika suci tapi telah disetubuhi. Tujuannya untuk meringankan bebanan tempoh edah ke atas isteri. Hikmahnya mungkin agar tidak lama isteri menunggu edah iaitu tidak lebih dari tiga kali suci juga tidak terdedah kepada risiko hamil. Tujuan dan maksud hukum-hakam Allah dan Rasul- Nya amat kudus dan mulia. Mana mungkin pengurusan syariah seperti Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang ditubuhkan untuk mencapai kemurnian hasrat syarak tiba-tiba menjadi faktor yang membantutkannya. Ini seperti penangguhan kes-kes talak yang begitu lama. Tidak syak ia adalah satu kezaliman terhadap wanita.

Lebih malang lagi, wajah Islam yang mulia ini terguris apabila ada ‘ustazah tv’ yang sanggup membawa cerita palsu bahawa wanita yang terbaik pada zaman Nabi ialah seorang wanita yang setiap hari menunggu suaminya pulang kerja dengan menyediakan makanan dan rotan. Jika suaminya mahu, suami dipersilakan merotankan dirinya walaupun tanpa sebab. Kisah yang seperti ini di samping tidak berasas, ia hanya memalukan agama yang agung ini. Ini masalah stesen televisyen jika hanya mementing orang yang ‘pandai cakap’ bukan ketepatan fakta. Akhirnya kesucian Islam menjadi mangsa.

Di samping itu saya juga suka mengingatkan kepada para pejuang hak wanita atau hak-hak yang lain tentang keseimbangan Islam ini. Al-Tawazun atau al-Wasatiyyah merupakan salah satu ciri-ciri perundangan Islam yang istimewa. Ia bermaksud pertengahan di antara dua keadaan atau pihak. Di mana ketika Islam membela kepentingan satu pihak tidak menyebabkan dicuaikan kepentingan pihak yang lain. Dalam konteks ini, kita maksudkan bahawa pembelaan Islam terhadap hak kaum wanita tidak menyebabkan dipinggirkan atau diabaikan kepentingan dan hak kaum lelaki. Pembelaan Islam terhadap hak isteri umpamanya, tidak menyebabkan diabaikan hak suami. Pembelaan hak ibu, tidak menyebabkan dialpakan hak seorang bapa. Pembelaan hak anak perempuan tidak menyebabkan disia-siakan hak seorang ayah dan ibu. Begitulah seterusnya. Malangnya, kadang-kadang pembelaan hak-hak kaum wanita yang dilakukan oleh sesetengah pihak tanpa merujuk dan mengikuti nas- nas Islam secara menyeluruh sehingga boleh menyebabkan ketidak seimbangan. Mereka ini kerana terlalu ingin membela kaum wanita sehingga melupai hak kaum lelaki. Hal ini berbeza dengan Nabi ketika membela hak kaum wanita, juga mengimbanginya dengan hak kaum lelaki.

Hak Muslim

Demikian juga apabila kita membela hak Muslim, kita jangan terlalu emosi sehingga menzalimi bukan Muslim. Islam itu adil untuk semua. Begitu juga yang begitu ingin membela hak rakyat sehingga melupai hak pemerintah untuk dihormati dan tidak dimaki. Atau jangan sibuk membela hak pemerintah lalu diketepikan hak rakyat sehingga mereka tertindas. Renungilah kata-kata tokoh sarjana agung umat ini Syeikh al- Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, jld 2/hlm. 236).

Dalam kisah Abu Darda yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: “Sesunguhnya untuk Tuhanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu, untuk badanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu dan untuk isterimu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu. Berikan kepada setiap yang berhak haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, baginda berkata: Benarlah Salman (Riwayat al-Bukhari).

Pembelaan hak yang tidak seimbang, menghilang kecantikan susunan masyarakat dan keindahan ajaran yang suci ini.

01/07/2007 - Ikut dalil dan fakta, buang taklid buta

ISLAM adalah agama yang bina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran yang agung bagi Islam adalah al-Quran dan al-sunah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini.

Islam adalah agama Allah yang Maha Mencipta Lagi Maha Mengetahui. Justeru, mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta yang benar dan hakikat ilmiah. Apa sahaja pendapat yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil dari al-Quran atau al-sunah, maka ia bukan ajaran Islam. Sekalipun yang memberikan pendapat itu menyangkutkan pada dirinya berbagai-bagai gelaran agama atau memakai bermacam pakaian yang dikaitkan dengan agama.

Demikian juga, apa sahaja pandangan yang dikaitkan dengan Islam jika terbukti secara realitinya bercanggah dengan hakikat alam atau fakta sains yang pasti atau kemaslahatan hakiki insan secara nyata maka ia juga bukan daripada ajaran Islam sama sekali.

Kata sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Apa sahaja pandangan mengenai Islam yang menyanggahi al-Quran atau al-sunah atau asas-asas kemaslahatan yang digariskan oleh syariah adalah tertolak tanpa mengira siapa pun tokohnya.

Maka pendapat setiap orang sekalipun dia seorang mufti, tok guru atau ustaz boleh diterima atau ditolak, kecuali al-Quran dan al-sunah. Pendapat sesiapa pun – sekalipun ulama besar – berhak dipertikaikan selagi tidak menepati nas-nas al-Quran dan al-sunah.

Tiada siapa pun yang maksum dalam Islam melainkan rasul yang diutuskan. Setiap pandangan agama oleh seorang tokoh atau ustaz bukan semestinya ditelan bulat-bulat. Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya): Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H): “Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya Rasulullah s.a.w) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-sunah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-sunah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.” (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi).

Sekalipun menghormati dan beradab dengan ulama diperintahkan oleh nas-nas Islam, namun ini tidak pernah menghalang seseorang memberikan kritikan ilmiah atau mempersoalkan pandangan diberikan mereka dengan tetap menjaga disiplin-disiplin agama.

Inilah pegangan sebenar para sarjana Islam yang muktabar sejak sekian lama. Lihat sahaja sarjana besar al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) yang mengkaji tokoh-tokoh umat Islam. Al-Imam al-Zahabi ini ketika memperkatakan sirah tokoh ilmuan besar iaitu Waki’ Ibn al-Jarrah, beliau memuji kehebatan Waki’.

Antaranya al-Zahabi menyebut “beliau antara lautan ilmu dan para imam huffaz (hadis).” Kemudian beliau menyebut perkataan Yahya bin Aktham: “Aku bersahabat dengan Waki’ ketika di tempatnya dan musafir. Dia berpuasa al-dahr (setiap hari) dan mengkhatam al-Quran dalam satu malam.” Al-Zahabi mengulas perbuatan Waki’ ini dengan katanya: “Aku katakan: Ini adalah ibadah yang dikagumi. Namun untuk dilakukan oleh seorang imam daripada kalangan para imam hadis adalah tidak wajar. Sesungguhnya telah sahih larangan Nabi a.s berpuasa setiap hari dan membaca (mengkhatam) al-Quran kurang daripada tiga hari. Agama itu mudah. Mengikut sunah lebih utama. Semoga Allah meredhai Waki’. Mana hendak dicari orang (yang hebat) kufah, yang memabukkan jika diminum banyak.

Haram

“Dia membuat takwilan dalam meminumnya (beliau tidak menganggap haram selagi tidak memabukkan). Jika dia tinggalkannya (tidak meminumnya) atas sikap warak adalah lebih baik untuknya. Ini kerana sesiapa yang menghindari subhat maka selamatlah agama dan maruahnya. Sesungguhnya telah sahih larangan dan pengharaman nabiz berkenaan. Namun bukan di sini perbincangannya. Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan pendapatnya (kecuali Rasulullah s.a.w). Tidak dijadikan contoh teladan kesalahan seseorang alim.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 9/142-144 Beirut: Muassasah al-Risalah).

Sekalipun Waki’ ulama besar, kesilapan ilmiah mesti dinilai sebagai kesilapan ilmiah. Jelas, kita disuruh menghormati orang lain terutama guru agama. Namun ini tidak menghalang untuk kita bercakap benar beralaskan disiplin dan akhlak yang diajar oleh Islam.

Saya bincangkan tajuk ini kerana sesetengah masyarakat tidak berani mempersoalkan seseorang yang dianggap ustaz sekalipun apa yang dinyatakan itu tidak berasas sama sekali. Mereka seakan diberikan lisan yang begitu besar untuk bercakap apa sahaja atas nama agama sekalipun tanpa hujah atau alasan yang kukuh.

Bahkan sesetengah pengajar agama dahulu memberi amaran kepada murid-muridnya bahawa “barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya.”

Tidak hairanlah jika ada negeri yang antara himpunan fatwanya mengharamkan jualan lembu kepada orang Cina, budu sebagai najis jika terkena pakaian tetapi tidak najis dimakan dan berbagai-bagai fatwa yang pelik-pelik! Namun tidak ada yang berani bertanya atas apa alasan hukum agama seperti itu dibuat, kerana bimbang dituduh lemah iman.

Ada seorang penceramah agama berceramah ke sana sini di negara kita mengatakan menurut Islam ubat untuk pesakit AIDS adalah disebat 100 rotan di belakangnya. Kesan sebatan itu akan menyembuhkan penyakit. Inilah ajaran Islam. Beliau mendakwa kononnya ini adalah kajian berdasarkan al-Quran dan sains. Entah saintis mana yang memberi maklumat kepadanya. Maka meriahlah beliau dijemput oleh sesetengah pihak untuk memberi penerangan-penerangan agama ala beliau itu. Ada yang memberi sambutan.

Saya ingin bertanya, para pesakit AIDS bukan semuanya terlibat dengan zina. Adakah mereka semua hendak disebat juga? Adakah dengan jangkitan AIDS sudah cukup pada penilaian syariah untuk seseorang disebat 100 rotan? Ini adalah kekeliruan nyata.

Malangnya, ada masjid sehingga di Kuala Lumpur pun yang memanggil penceramah yang seperti ini. Saya juga hairan ada sesetengah orang yang sangat terpelajar dan mampu menggunakan kewarasannya dengan maksimum, namun apabila sampai dalam soal pandangan agama, dia mencampakkan segala kebijaksanaannya dan membisukan diri seakan Islam ini memusuhi logik dan akal lalu bertaklid buta.

Dahulu kita mendengar ada penceramah yang mendakwa beliau menanam mayat seorang kaya yang bertukar menjadi makhluk lain tanpa diketahui oleh sesiapa. Apa yang menariknya dalam negara yang mempunyai undang-undang seperti kita tidak ada siapa pula yang mencari kehilangan orang kaya berkenaan, sehingga penanamnya mendedahkannya.

Pada hal cerita itu melibatkan peribadi yang sudah mati dan fahaman agama orang ramai. Ia tidak patut dibuat dakwaan sebarangan. Malangnya, ada yang mempercayainya. Kemudian kita dengar pula ada orang yang menghukum orang lain murtad, bahkan pelajar-pelajar sebuah kolej murtad hanya atas berita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Pada hal – jika benar sekalipun – tuduhan murtad amat berat yang memerlukan penelitian, iqamah al-hujjah (penegakan hujah), tidak boleh dijatuhkan secara semberono. Namun ramai yang menelan bulat-bulat atas nama agama dan perkara itu datang daripada orang agama. Di sesetengah negeri, ada golongan agama mengenakan berbagai-bagai cukai kepada keluarga si mati sehingga ribuan ringgit. Berbagai-bagai upacara tanpa kos dikaitkan dengan agama dikeluarkan bilnya untuk dicaj kepada keluarga si mati. Sehingga ada yang tersenyum lebar apabila mendengar berita kematian.

Bacaan dan solat yang tidak diajar Rasulullah s.a.w pun dimasukkan dalam senarai kos yang perlu ditanggung harganya. Masyarakat tidak berani bertanya adakah agama begitu kejam sehingga keluarga yang kesusahan yang sepatut ditolong sebaliknya dikenakan caj tambahan? Atau adakah Islam begitu kebendaan sehingga sesiapa yang mempunyai ongkos yang banyak maka dia dapat menyelesaikan soal dosa dan pahala?

Maka, masuk syurgalah segala yang berduit dan mampu mengupah pahala menerusi ‘wakil-wakil tuhan’ yang mengenakan caj di muka bumi. Adakah ini menggambarkan keindahan Islam yang menyuruh manusia beramal dan tidak mengharapkan orang lain?

Apa yang ingin saya simpulkan, adalah menjadi hak masyarakat untuk bertanyakan dalil dan alasan kepada setiap yang membicarakan agama ini. Seseorang ustaz atau tok guru bukan wakil tuhan yang ditabalkan seperti rasul sehingga apa yang diucapnya sekalipun tidak berdalil mesti kita mengiakannya.

Islam bukan kuasa mutlak makhluk untuk memutuskan apa yang dia suka, sebaliknya agama ini dibina di atas hujah dan dalil. Jika setiap kita ini bertanyakan para ustaz alasan dan hujah bagi setiap pandangan agama yang diberikan, maka kita secara tidak langsung menunaikan prinsip Islam dan meningkat tahap ilmiah golongan itu sendiri.

Jangan kita hanya menghafal pandangan-pandangan agama tanpa memikirkannya semula secara hujah dan rasional. Tokoh pemikir, Prof. Muhammad Qutb menyebut: “Dari sudut yang lain, dijumudkan ilmu-ilmu syarak dalam bentuk yang dipelajari sebelum lima kurun lalu – sekurang-kurangnya. Ditambah dengan masuk ke dalamnya serangan pemikiran Greek daripada ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih dari itu ilmu kalam telah menukarkan pengajian akidah kepada perkara-perkara yang menyusahkan minda lagi tidak berguna dan memayahkan.

Kandungan

“Mengubah akidah dari inti kandungan yang hidup kepada isu-isu falsafah yang membawa kepada pertengkaran tanpa sebarangan natijah dan tujuan. Lebih daripada itu pelajar-pelajar agama telah bertukar menjadi para penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarah dan nota kaki. Namun dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Maka para ulama kehilangan keaslian ilmu, jadilah mereka itu golongan taklid yang hanya memetik daripada orang lain.

“Bahkan ditambah lagi keburukan ketiga, iaitu taksub mazhab yang mengenai keseluruhan para pelajar. Setiap orang taksub dengan mazhab yang dia membesar di dalamnya. Dia menjadikan kemuncak jihadnya untuk agamanya, semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain...” (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir, m.s. 176).

Sesungguhnya bertaklid buta tidak pernah diajar oleh para imam Ahli Sunah waljamaah. Bahkan mereka menyuruh setiap insan berusaha membina kemampuan intelektualnya sendiri. Kita dengar apa yang disebut oleh murid agung al-Imam al-Syafie, iaitu al-Imam al-

Muzani (meninggal 264H): “Aku ringkas ini dari ilmu al-Syafie dan apa yang semaksud dengan perkataannya. Untuk memudahkan sesiapa yang inginkannya. Dengan aku memaklumkan bahawa al-Syafie melarang bertaklid kepadanya atau selainnya. Tujuan ringkasanku supaya seseorang dapat melihat dan mengetahui ilmu al-Syafie, dengan aku memaklumkan kepada sesiapa yang inginkan ilmu al-Syafie bahawa al-Syafie melarang taklid kepadanya atau selainnya.” (Petikan Waliyy Allah al-Dahlawi, Al-Insaf fi Bayan Asbab al-Ikhtilaf, m.s. 100).

Jika keadaan ini dapat dibentuk, maka Islam tidak lagi dianggap eksklusif yang hanya diizinkan sesetengah orang memikirkan mengenainya dan yang lain mengikut secara taklid buta. Memang kita disuruh menghormati bidang tetapi tidak disuruh bertaklid buta. Pembangunan umat tidak akan berjalan selagi tahap para penyampai agama ini tidak ditingkatkan agar menepati keperluan dunia ilmiah yang pesat bersaing pada hari ini. Umat Islam mesti bergerak menyokong arus tajdid (pembaharuan) yang sedang dilakukan sejak dahulu sehingga hari ini.