30/09/2007 - Puasa tidak boleh berpisah dari dalil sunah

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.

Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-

kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

23/09/2007 - Jalan pulang ke pangkuan Tuhan terlalu luas

ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.

Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali 'Imran 135-136: (maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain. Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

16/09/2007 - Jiwa yang luhur mencari kebenaran

Kembara insan mencari kebenaran adalah tuntutan fitrah yang murni. Insan yang luhur jiwanya tidak akan menemui kepuasan sanubari sehinggalah dia menemui jalan kebenaran yang diyakini oleh akal yang matang dan fitrah yang tulus.

Kekayaan sekalipun jika dimiliki oleh seorang insan, tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar. Demikian itu, disebabkan Allah telah memfitrahkan dalam jiwa insan kehendak kepada kebenaran dan keinginan menyelusuri hidup dengan cara yang diredai-Nya.

Jika ada insan yang menyeleweng dari fitrah ini, jiwanya akan menderita sekalipun dia mewah dan berkuasa. Sekalipun kelihatan gembira dan bersuka, namun di sudut sanubarinya kekosongan yang memeritkan. Insan yang tidak menyelusuri hidup atas landasan Tuhan akan sentiasa merasai kekosongan dalam jiwa atau pencariannya yang belum selesai. Jika dibiarkan, ia akan menjadi barah amat perit.

Kita selalu membaca berita artis-artis terkenal mengambil dadah atau orang ternama membunuh diri. Mereka bukan kekurangan harta, pengaruh atau kehilangan ruang untuk berpesta. Mereka kehilangan fitrah yang luhur. Maka akidah yang benar, pegangan agama yang jujur dan kehidupan berpandukan peraturan Allah adalah keperluan jiwa insan dan ubat bagi kesakitan perasaan. Jika insan tidak mengambil ubat ini, sekalipun kita melihat senyuman manisnya, namun di sudut perasaannya, ada seakan pemberontakan jiwa dan gangguan ketenangan yang tidak berkesudahan. Jika dia sedar, dia akan mencari kebenaran.

Sebab itu kita membaca ramai tokoh terbilang di Barat dan Timur mencuba berbagai-bagai agama. Sehingga akhirnya – alhamdulillah – ada yang menganut Islam. Jika dia tidak sedar, dia akan mengubatinya dengan mendapatkan kegilaan hidup menerusi aktiviti-aktiviti yang bermacam sebagai cubaan mencari ketenangan jiwa.

Itulah sebabnya, sesetengah manusia membuat berbagai-bagai aktiviti yang pelik seperti merempit motosikal dengan cara yang memusnahkan diri, terjun dari tempat tinggi dengan cara yang berbahaya dan seumpamanya. Atau mungkin aktiviti yang baik seperti perjuangan membela kehidupan haiwan atau tumbuhan tertentu.

Walaupun amat baik dan bersesuaian dengan Islam, namun sebahagian aktiviti yang terlibat itu sebenarnya sedang mencari ruang mengisi satu kekosongan yang tidak dapat difahami dalam jiwa mereka. Firman Allah (maksudnya): Dan sesiapa yang berpaling (tidak mengikut) dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha: 124).

Kesempitan itu bukan kesempitan harta atau kuasa, tapi jiwa yang gagal menemui hakikat sebenar kebahagiaan. Ia seakan sesak dan penuh resah meraba-raba sesuatu yang dirasakan bagai kehilangan. Sesuatu itu sebenar adalah cahaya hidayah Allah.

Saya membaca sebuah majalah ‘mat saleh’ yang mendedahkan penderitaan ‘Mother Terasa’; agamawan dalam Kristian dan menumpukan kehidupan kepada usaha-usaha kebajikan membantu golongan miskin semasa hidupnya. Namun, surat- menyurat beliau yang dihantar kepada pihak tertinggi agama tersebut menggambarkan penderitaan jiwanya yang gagal merasai kehadiran Tuhan yang sebenar dalam jiwanya. Beliau seakan ragu dengan kewujudan tuhannya. (lihat: Letters Reveal Mother Terasa‘s Secret, cbsnews.com.)

Sebenarnya, bagi saya bukan kewujudan Tuhan yang diragui. Beliau keliru antara kegagalan menemui jalan Tuhan yang sebenar dan kewujudan Tuhan. Jiwanya menderita bukan kerana Tuhan tidak wujud, sebaliknya kerana alamat yang dituju kurang tepat. Jiwa luhur adalah jiwa yang mencari petunjuk Tuhan yang sebenar.

Demikianlah al-Quran menceritakan tentang nabi Allah yang mulia, Nabi Ibrahim, firman Allah (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) di langit dan di bumi, agar dia termasuk dari kalangan mereka yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang, lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam. Kemudian apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku?” maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika Tuhanku tidak diberikan petunjuk kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian apabila dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”, setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan dari orangorang yang menyekutukan Tuhan. (Surah al-An‘am 74-79).

Demikian jiwa yang luhur itu akhirnya Allah tabalkan Ibrahim sebagai salah seorang rasul-Nya.

Mungkin tajuk ini agak berbeza dengan perbincangan sebelum ini. Namun ini penting apabila saya menyedari ramai bukan Muslim membaca tulisan saya. Pengalaman kerohanian mereka sudah pasti akan akur terhadap keperluan insan bersungguhsungguh mendapatkan agama yang benar.

Demikian juga, kepada sebahagian yang Muslim, yang mengikuti ruangan ini, cuma kehidupan berteraskan agama belum menjadi tema hidup mereka. Walaupun saya berterima kasih atas sokongan mereka, namun kita mesti sedar, Islam ini tidak berpada hanya sekadar perbahasan minda.

Perasaan kegembiraan mereka dengan cetusan-cetusan saya sebelum ini diharapkan dapat membawa semua pihak mendampingi Islam yang hakiki. Bukan sekadar falsafah dan teori, sebaliknya Islam yang benar itu hendaklah mengalir dalam urat nadi kehidupan kita.

Di samping itu, satu perkara perlu diketahui bahawa seseorang yang mengetahui kebenaran itu bukan semesti akan mengikut kebenaran. Saya menemui berbagai-bagai manusia yang akur apa yang saya tulis dan sebutkan, namun mereka beritahu “jika kami terima apa yang saudara sebutkan bererti kami merendahkan kedudukan kami”. Saya masih berterima kasih, sekurang-kurang dia akur. Namun demikian tabiat sebahagian manusia. Bukan semua orang akan patuhi perkara baik yang mereka faham dan tahu.

Justeru, Allah mendedahkan sikap buruk para ulama Yahudi dengan firman-Nya: (maksudnya): Orang-orang yang Kami berikan Kitab itu (ulama ahli Kitab) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui. (al-Baqarah: 146). Maksudnya, menerusi ilmu yang mereka peroleh melalui Taurat dan Injil, mereka kenal Muhammad bin Abdillah ialah seorang rasul yang diutuskan. Namun sikap bongkak atau menjaga kepentingan telah menewaskan hakikat kebenaran yang mereka ketahui.

Demikian sesetengah golongan agama di kalangan kita, pengetahuan mereka tentang kebenaran kadangkala tidak lebih kuat dari hasrat mereka untuk mempertahankan kepentingan diri, atau kebiasaan yang ada. Umpamanya, saya melihat seorang yang berlabel agama mengharamkan orang lain bersolat tarawih kurang dari 20 rakaat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang bersolat 11 rakaat (lapan tarawih dan tiga witir) itu tidak sah. Lebih keras, beliau menyatakan sesiapa yang tidak solat 20 adalah pengikut ajaran kaum muda dan sesat. Saya katakan, betapa ramai mereka yang bersolat lapan rakaat di masjid-masjid kemudian keluar, mereka tidak tahu-menahu pun apa itu kaum muda atau apa itu kaum tua. Barangkali mereka ada urusan, atau sekadar itu kemampuan mereka. Malangnya manusia suka berprasangka. Lagipun solat tarawih adalah solat sunat, tidak perlu arahan untuk menetap secara keras seperti itu. Apatah lagi menghukum tidak sah. Kemudian ada pihak menunjukkan kepada orang berkenaan hadis al-Bukhari, Muslim dan lain-lain yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. bersolat tarawih hanya 11 rakaat dan dalam riwayat lain 13 rakaat. Mana mungkin untuk dihukum tidak sah. Apakah solat Nabi s.a.w. tidak sah? Dia menjawab; saya tidak kiranya, hadis ke, apa ke, sahih al-Bukhari ke, sahih Muslim ke, yang penting ini keputusan di negeri kami. Saya mengeluh panjang. Atas fanatik dia menolak hadis dan memaksa orang ramai tanpa alasan yang kukuh. Jika sekadar dia menyebut, kami menggalakkan 20 rakaat, ringanlah sedikit bunyinya. Sepatutnya, hadis sudah jelas pilihan patut diberikan. Tidak perlu berbalah. Lebih menarik, dia menuding jari ke pihak lain dengan menyatakan: Puak-puak muda ini keras dengan pandangan mereka. Aduhai bak kata pepatah; dia yang memukul orang, dia pula yang menangis. Dia yang memaki orang, dia pula pergi mengadu. Demikianlah, mengetahui yang benar, belum tentu ingin mengikutnya. Hadis pun ditolaknya mentah-mentah. Sehingga ada orang apabila mendengar ustaz menyatakan kurang dari 20 tidak sah, terus sahaja tidak solat tarawih, kerana mereka hanya mampu sekadar lapan.

Ini bererti insan memerlukan kekuatan tambahan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap kebenaran. Justeru itu, hidayah atau petunjuk itu berbagai-bagai jenis. Salah satunya dinamakan dengan Hidayah al-Taufiq. Bermaksud seseorang setelah mengetahui kebenaran diberikan pula hidayat kekuatan untuk mengikut yang benar tersebut. Sebab itulah setiap kali bersolat, kita menyebut Ihdina al-Sirat al-Mustaqim (tunjukkan kami jalan yang lurus). Mengapakah kita meminta petunjuk sedangkan kita sudah Muslim dan bersolat. Maksudnya kita meminta petunjuk yang memberikan kita kekuatan untuk mengikut jalan yang benar. Allah menyebut dalam surah al-Ahqaf (maksudnya) ...setelah insan sampai ke peringkat dewasa dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoalah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan baikilah untukku anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu). Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami (Allah) ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka. (ayat 15-16).

Demikian Allah gambarkan insan yang soleh ialah insan yang merintih kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk bersyukur dan beramal soleh. Maksudnya, tanpa bantuan Allah, insan tidak mampu menyempurnakan tanggungjawab terhadap kebenaran. Justeru, di dataran Ramadan ini, untuk sekalian pejuang dan penyokong suara perubahan kepada agama yang lebih luhur, setelah kita cuba memahami kebenaran, kita hendaklah merintih sebanyakbanyak kepada Allah agar Dia memberi kekuatan kepada kita bukan sekadar mengenali yang benar tetapi juga berpegang dengannya. Sehingga terpancar di wajah kita hasrat memilih jalan yang benar dan ciri-ciri pemegang kebenaran.

Jika tidak, Islam hanya menjadi tulisan falsafah, tanpa jelmaan dan kesan dalam kehidupan insan. Maka jiwa yang murni dan perasaan yang hening disebabkan keindahan Islam itu tidak dapat dikecapi. Akhirnya agama ini sekadar perbahasan ilmiah dan ketajaman minda. Islam hendaklah muncul dan memberikan kesan mendalam terhadap kehidupan kita. Akidah kita hendaklah mengikut Islam, bebas dari sebarang kesyirikan, khurafat dan karut-marut. Demikian ibadah yang ditetap seperti solat, puasa, haji mesti tulen sama seperti diajar Rasulullah tanpa edisi tambahan. Sebarang inovasi dalam ibadah adalah sendaan terhadap peranan Rasulullah yang diutuskan untuk diteladani. Demikian urusan kehidupan; percakapan, pergerakan seboleh mungkin kita cuba memastikan tidak melanggar peraturan Islam. Demikian kerohanian kita; hendaklah bebas dari hasad dengki, tamak yang dibenci, bersangka buruk pada orang lain tanpa alasan yang benar dan seumpamanya. Jiwa kita juga hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah dan mengharapkan rahmat-Nya semata. Akal yang mantap, renungan minda yang tajam jika digabungkan dengan kesemua ini menjadikan kita insan Muslim yang amat harmoni jiwa dan berwibawa hidupnya.

09/09/2007 - Menentukan pendirian umat Islam terhadap Barat

DALAM suasana merdeka ini, kita patut kembali melihat pendirian yang betul terhadap dunia yang pernah menjajah kita. Sikap yang adil amat sukar dibuat oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan beberapa faktor. Kekuatan dan kemegahan Barat yang berjaya mempengaruhi minda manusia. Juga kemunduran atau kelemahan dunia Islam yang menjadikan seakan segala falsafah Islam yang hebat bagaikan dongengan yang tidak berpijak di alam nyata.

Saya selalu membuat perumpamaan, jikalau ada barangan tertentu yang satu dikeluarkan di Barat tanpa disenaraikan keistimewaannya, dan satu lagi dikeluarkan di dunia Islam dengan disenaraikan keistimewaannya, perasaan masyarakat umumnya merasai, barangan Barat tentu lebih hebat.

Ini kerana Barat secara umumnya telah berjaya membina jenama yang baik untuk blok mereka. Sementara dunia Islam sentiasa dipandang sinis dalam berbagai-bagai perkara.

Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya identiti diri iaitu akidah yang murni yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun kita yang pernah dibina. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat sahaja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Morocco dan seumpama mereka. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen. Kepercayaan kepada tangkal-mangkal, bomoh, tahyul, khurafat wali-wali dan seumpamanya menguasai sebahagian masyarakat umat ini.

Walaupun mereka mendakwa diri mereka Muslim, namun benteng akidah telah pun mereka hancurkan.

Bahkan ada istiadat dan pegangan bangsa yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di sesetengah masyarakat umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan dari empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang seakan diberi kuasa oleh budaya setempat untuk benar-benar diperhambakan.

Wajah-wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini telah benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, 'Ali Tantawi berkata: “Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan- kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam.” Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad Abduh menyebut perkataan yang hebat: “Islam itu terlindung oleh penganutnya.” (Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah).

Maka perkembangan kemajuan dan perubahan norma-norma tertentu yang berlaku di dunia Barat telah mempengaruhi dunia Islam. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh dibandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam. Barat telah berjaya menguasai tamadun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden.

Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Golongan agama yang tidak faham telah menjadikan agama begitu jumud menolak kemodenan dan hanya tertumpu kepada persoalan fardu ain. Sementara banyak pemerintah di dunia Islam hanya mementing diri dan meninggalkan tanggungjawab membangunkan umat.

Justeru itu semua pandangan kebanyakan bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbol kepada gaya hidup zaman moden, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia dalam era ini.

Dalam menghadapi cabaran ini, maka empat sikap utama telah muncul di tengah umat Islam yang telah ketinggalan ke belakang:

Pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal al- Thaqafat fi Misr (Masa Depan Ilmu Dan Kebudayaaan Di Mesir): “Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai.”

Bahkan lebih dari itu beliau menyebut: “Ini semua menunjukkan kita pada zaman moden ini ingin berhubung dengan Barat dengan satu perhubungan yang bertambah kuat dari hari ke hari. Sehingga kita menjadi sebahagian daripada mereka secara lafaz dan makna, hakikat dan rupa.”

Katanya juga: “Hendaklah kita menjadikan Barat merasai bahawa kita melihat setiap perkara sama seperti yang Barat mahu, kita menilai setiap perkara sama seperti yang Barat nilai dan kita menghukum setiap perkara sama seperti Barat menghukumnya.” (Dinukil dari Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Al-Sira’ Bain al-Fikrah al-Islamiyyah wa al-Fikrah al-Gharbiyyah fi al-Aqtar al-Islamiyyah, m.s. 111, India: al-Majma’ al-Islami al-‘Alami)

Golongan yang kedua: Mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan adalah cuba mentafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau al-sunah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat.

Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam prinsip Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi: “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan.” (Al-Qaradawi, al-Marji’iyyat al-‘Ulya fi al-Islam: li Al-Quran wa al-Sunnah, Beirut: Muassasat al-Risalah).

Umpamanya mereka menyerang kesopanan pakaian wanita Islam. Ini kerana ia bercanggah gaya hidup wanita Barat. Namun percayalah sekiranya wanita Barat memakai purdah, pasti mereka sungguh- sungguh mencari dalil menyokong amalan itu. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala.

Oleh kerana mereka melihat wanita dunia Barat mendedahkan diri tidak seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Ini seperti kelompok liberalis yang subur di sesetengah negara Arab dan Indonesia. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka ingin tinggalkan agama, tetapi mereka tafsirkan agama agar seiras dengan pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas (teks) hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.

Kata Dr. Salah al-Khalidi: “Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, kebudayaan, akhlak, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al- Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latar belakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehnya maka dia menyelewengkan jalannya, memutarbelitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya.” (Salah Abd. al- Fattah al- Khalidi, Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Mereka bukan ingin mengikut al-Quran, sebaliknya mereka mengambil tindakan terlebih dahulu dan kemudian mencari dalil dari al-Quran dan al-sunah lalu ditafsir agar selaras dengan tindakan yang telah mereka ambil.

Maka, al-Quran dan al-sunah tidak lagi mempunyai fungsi membimbing, sebaliknya hanya sebagai ‘cop’ untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Sementara kayu pengukur sebenar tindakan mereka, adalah pegangan umum di Barat yang mereka lihat diterima di Barat.

Golongan ketiga: Adalah golongan yang menolak apa sahaja daripada Barat. Bagi mereka semua yang berasal dari Barat adalah kufur atau sesat, atau sekurang-kurangnya bercanggah dengan Islam. Mereka tidak membezakan antara sikap, kebudayaan, nilai-nilai yang tidak menyanggahi Islam, dengan perkara-perkara yang menyanggahinya. Sehingga pernah golongan yang seperti ini menentang pakaian ‘neck- tie’, makan bersudu-garpu, bercakap ‘orang putih’ dan seumpamanya.

Alasannya semua itu berasal dari Barat. Bahkan di sesetengah pusat pengajian agama sehingga ke hari ini ada yang menganggap mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi, dan seumpamanya sebagai pelajaran sekular dan keduniaan. Lalu mereka tidak mementingkannya, bahkan ada yang memandang jelik terhadapnya.

Sikap terlalu memusuhi Barat telah menyebabkan mereka lupa bahawa mata pelajaran tersebut berkhidmat untuk umat Islam, bahkan kebanyakan asasnya diletakkan oleh umat Islam pada zaman kegemilangan tamadun mereka. Islam adalah agama dunia dan akhirat. Bahkan sikap mereka mengasingkan perkara-perkara tersebut dari agama itulah yang berbau sekular. Mereka juga lupa bahawa dada Islam itu luas untuk mengambil manfaat dari mana-mana sudut yang membawa kebaikan kepada manusia. Dengan syarat ia tidak boleh bertentangan dengan al-Quran dan al-sunah.

Golongan keempat: Menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui. Bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedokan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Islam tidak pernah menyatakan ia memusuhi Barat atau Timur, Utara atau Selatan. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Seperti bukan semua yang ada di Timur diterima. Entah berapa banyak sikap atau budaya Barat itu mendekati kehendak Islam seperti tekun, menepati waktu, kebersihan dan seumpamanya.

Demikian entah berapa banyak budaya setempat; seperti suka mengumpat, dengki-mendengki, malas berusaha dan sebagainya amat menyanggahi Islam. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas al-Quran dan al-sunah.

Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untuk segala masa dan zaman. Kemajuan yang dicapai oleh Barat patut diberi penghormatan juga penapisan secara adil. Hendaklah dibezakan bahawa dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Di samping ada juga perkara-perkara tertentu yang terdedah kepada perubahan tempat dan zaman. Hal ini telah saya sentuh dalam tulisan-tulisan yang lepas.

Kefahaman yang seperti inilah pendirian golongan umat Islam yang lurus dengan agamanya. Pandangan dan pegangan di Barat tidak boleh ditolak mentah-mentah, seperti ia juga tidak boleh ditelan bulat-bulat.

Dengan penuh kesedaran kita selalu menyebut masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan yang membabitkan kefahaman dan amalan umat Islam. Pintu ijtihad itu terus terbuka sehingga hari kiamat. Tiada siapa pun berhak menutupnya.

Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji agama ini perasaan takutkan Allah dalam menghuraikan hukum syarak. Ijtihad itu berteraskan ilmu, bukan kejahilan dan nafsu. Banyak juga perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Bahkan banyak nilai di Barat yang lebih mendekati Islam dibandingkan apa yang berlaku atau diamalkan di dunia Islam.

Prasangka dan kejumudan terhadap semua unsur Barat hanya memundurkan umat ini dan menjadikan kita beku dari mengambil manfaat daripada orang lain. Namun, sikap terlalu liberal tanpa prinsip hanya akan memusnah ajaran Islam yang hakiki.

02/09/2007 - Merdeka: Antara penghayatan dan acara tahunan

KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk.

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar. Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh. Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?

Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!