25/11/2007 - Apabila berpolitik tanpa prinsip

KEJAYAAN dakwah para anbia ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah kemestian dalam dakwah. Ramai anbia yang tidak menang. Bahkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai-bagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada 10 orang). Ada pula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tidak ada nabi yang mengubah prinsip kerana inginkan pengikut sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s.

Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak kekal dalam seruan. Perjuangan para anbia adalah menegak akidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada Allah. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid. Para pengikut manhaj anbia dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan pegangan prinsipnya sama.

Adalah malang jika jamaah, kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras perjuangannya. Maka berpecah-pecah pendirian antara mereka dan hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Ada yang sokong akidah Syiah, ada muktazilah, ada penyeru para wali, bomoh, ada yang suka mengkafirkan orang seperti ajaran khawarij dan yang berakidah Ahli Sunah Waljamaah. Soal prinsip berbeza. Namun soal isu perundangan, pilihan raya dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbia dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun tegas dan tegap dalam prinsip.

Dalam Islam ada politik seperti adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun terasnya adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.

Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan. Pendakwah Muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunah sebagai prinsip diikuti pelaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah Muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam sekalipun orang itu rakan organisasi atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah Muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.

Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka bersatu atas prinsip, lalu maaf dan memaafi perbezaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.

Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Politik boleh bagi mereka jika mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada Allah untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini mesti difahami. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik seperti itu dan menyebut seperti firman Allah, (al-A’raf ayat 43): “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami.”

Allah s.w.t menyebut dalam surah al-‘Asr: Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula pesan-memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Pesan-memesan kepada kebenaran diiringi dengan pesan-memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai? Namun orang politik - sekalipun atas nama Islam - biasanya sering rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Sedangkan penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan pendakwah yang ikhlas selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan seruan kepada keluasan Islam itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun namanya tidak disebut dan habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. Allah berikan kamu dua pahala.” Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunah. Peperangan hanya tercetus apabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrontasi terhadap individu pemerintah. Konfrontasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian sikap baginda dengan pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah Muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat ingin kita porak-peranda.

Semasa dakwah ditindas di peringkat awal, baginda mengarahkan sebahagian para sahabah berhijrah ke Habsyah. Pemerintahnya ketika itu ialah Najasyi yang Kristian namun adil dan dapat melindungi kaum Muslimin. Setelah Najasyi menganut Islam, baginda tidak pula menyuruh Najasyi meletakkan jawatan sekalipun kerajaannya Kristian. Kedudukan Najasyi memberikan manfaat kepada kaum Muslimin di negaranya dan keadilan untuk rakyat. Dalam hadis al-Bukhari daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda ketika kematian Najasyi: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi).”Ini adalah tanda redanya baginda dengan pendekatan oleh Najasyi.

Namun dalam Islam mengampu pemerintah adalah dilarang. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Lagipun sikap melampau dalam membenci atau suka amat dilarang agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya dek masa depan kuasanya. Tidak begitu Rasulullah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman Allah (Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Hinanya umat ini apabila kita tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.

Daripada Thauban, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Akan tiba masanya umatumat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya:“Ya Rasulullah apakah al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya (Al-Albani, Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 2/647 Riyadh : Maktabah al-Ma‘arif).

Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat. Seperti disebutkan, saya bukan pandai politik kepartian namun ingin berkongsi perasaan kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah hairan jika suatu hari kumpulan berlabelkan Islam dipinggirkan kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan Allah dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”

Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran insan yang tidak pandai sepak terajang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan. Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan? Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktiviti, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang? Untuk siapa perjuangan ini? Dan atas jalan (manhaj) teladan siapa kita lusuri perjuangan ini?

18/11/2007 - Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah, dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ. Para hadirin ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia? Dia bertanya saya tentang kekeliruan itu. Saya berkata, syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong? Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras.

Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’. Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas, tentu dia tidak membuat huraian seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani). Nabi s.a.w. dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana mengutip batu yang kecil kerana itu memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para Rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama.

Jika batu-batu yang dilontar itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jemaah dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh. Akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jemaah lain yang cedera. Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama, hendaklah merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan sunah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempu- nyai latar sejarahnya, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakan dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah.

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai pelbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumah lagi. Kepercayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah! Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jemaah haji sesete- ngah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga zamzam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada yang mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya di Mekah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat? Perkara seperti ini jika tidak dikawal dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan Syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Sayidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Kaabah, sebaliknya hanya menghadapkan wajah ke arah Kaabah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w. memohon agar dipilih Masjidilharam sebagai arah kiblat. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek, insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan menghadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjidilharam dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempat yang diperintahkan Allah. Firman Allah: (maksudnya) Kerapkali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehingga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji ketika itu, pergi ke negara Qaramitah. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata: “Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Oleh kerana Rasulullah menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sai, wukuf dalan kesemua dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan dengan akidah yang diajar baginda. Jika ini tidak difahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (surah al-Nisa 115).

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini melebihi tempat lain seperti Mekah dan Madinah, zamzam dan Kaabah, Mina dan Arafah. Seperti Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmat-Nya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan Muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehnya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripada- Nya. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-

tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancong dan berseronok suka. Firman Allah: (maksudnya) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37).

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang Muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (surah al-Baqarah 127-129).

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi pelbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai-bagai penderitaan. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jemaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim mulakan perjuangannya.

11/11/2007 - Islam: Antara ibadah ritual dan pembangunan umat

DALAM dunia Islam kita sering menghadapi dua kefahaman yang melemahkan agama ini. Pertama; kefahaman yang hanya menumpukan penghayatan Islam kepada persoalan ibadah ritual semata-mata, tanpa atau kurang mempedulikan persoalan pembangunan tamadun dan survival umat. Bagi kefahaman ini, seakan di akhirat, Allah hanya mempersoalkan urusan peribadi. Adapun persoalan dunia persekitaran atau hubungan seseorang dengan saudara Muslim atau manusia lain seakan tidak termasuk dalam perkara yang akan disoal dan timbang balasannya oleh Allah di akhirat kelak. Kefahaman ini sebenarnya menjadi racun yang telah memandulkan sesetengah golongan proagama sepanjang zaman. Kefahaman kedua yang mengancam agama ini adalah mereka yang menganggap remeh atau lekeh untuk diberikan penekanan atau perbincangan tentang persoalan ibadah ritual dalam agama. Bagi mereka ini pula, tumpuan penuh hendaklah diberi kepada persoalan pembangunan fizikal, ekonomi dan imej luar umat Islam. Persoalan ibadah ritual ini terlalu sampingan dan kita tidak perlu bersoal banyak mengenainya. Seakan bagi mereka ini, di akhirati Allah hanya akan mempersoalkan tentang soal hubungan sesama insan semata tanpa mempersoal hubungan antara insan dengan Tuhannya.

Kedua-dua kefahaman ini sebenarnya telah meminggirkan hakikat Islam yang sebenar. Islam mementingkan soal hubungan insan dengan Allah dalam ibadah ritualnya. Demikian juga Islam mementingkan hubungan insan sesama insan dalam ertikata memakmurkan alam ini dengan pembinaan peradaban dan tamadun yang berteraskan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah menceritakan tentang kehinaan yang menimpa umat terdahulu: (maksudnya) Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya perhubungan dengan Allah dan adanya perhubungan dengan manusia.

Abdullah bin al-Mubarak, seorang tokoh ilmuwan besar yang menjadi rujukan umat dalam memahami al-Kitab dan al-Sunah. Kefahaman dan penghayatannya tiada tolok bandingnya. Pada 177H beliau menulis surat kepada sahabatnya yang juga tokoh ulama iaitu al-Fudail bin ‘Iyad yang kuat beribadah di Mekah dan Madinah sehingga seakan melupai perjuangan jihad membela kerajaan Islam ketika itu. Dalam surat tersebut beliau menulis syair yang mendalam ertinya. Antara yang beliau sebut:

Wahai ahli ibadah di Dua Tanah Haram, jika engkau melihat kami, nescaya engkau mengetahui sesungguhnya engkau hanyalah bermain-main dalam ibadah, sesiapa yang mencelup lehernya dengan air mata (kerana khusyuk beribadah) sesungguhnya tengkok kami bercelupan dengan darah, sesiapa yang memenatkan kudanya di jalan kebatilan (sia-sia), sesungguhnya kuda-kuda kami kepenatan di medan peperangan. (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 8/412, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Dalam syair itu, beliau ingin menggambarkan bahawa ibadah individu tanpa mengambil peduli survival dan nasib umat seakan bukan ibadah sebenar. Kekhusyukan dan air mata dalam ibadah tiada ertinya jika seseorang meninggalkan perjuangan umat. Sedangkan orang lain berkorban dan terkorban di jalan Allah.

Muslim yang sebenar menjadikan perjalanan hidupnya seimbang antara tumpuan kepada persoalan ibadah yang ritual dan tumpuan kepada pembangunan umat sebagai tanggungjawab kekhalifan atas muka bumi. Tumpuan kepada ibadah yang ritual itu merangkumi pembaikan jiwa dari sudut keikhlasan dan kesungguhan, demikian sentiasa memastikan bertepatan dengan contoh asal yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. tanpa melakukan tokok tambah yang tidak diajar oleh sunah. Sementara tumpuan pembangunan umat membabit soal halatuju yang menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya dan juga keberkesanan tindakan serta strategi yang memastikan umat gemilang. Kelalaian terhadap salah satu sudut ini, adalah kecuaian terhadap agama. Tidak boleh sesiapa pun menganggap bahawa salah satu dari dua bahagian ini tidak mustahak atau remeh.

Hubungan insan dengan Allah adalah teras tamadun umat. Hubungan itu berlaku dengan perasaan dan jiwa yang selalu mengingati Allah dan dilaksanakan ibadah ritual dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah menerusi Rasul-Nya. Sebenarnya, kehendak insan untuk berhubungan dengan Tuhan menerusi ibadah ritual adalah dikongsi oleh semua manusia yang bercirikan manusia. Hanya manusia yang bertukar tabiat yang enggan kembali kepada Tuhan. Sebab manusia itu diciptakan dengan fitrah yang ingin tunduk dan berhubungan dengan Tuhan. Inilah jawapan kenapa hampir keseluruhan manusia di atas dunia ini beragama. Apa pun agamanya, ia adalah tafsiran kehendak manusia ingin berdampingan dengan Tuhan atau memohon pertolongan daripada-Nya. Namun – selain asas akidah – yang membezakan Islam dari yang lain adalah cara berhubungan dalam Islam adalah cara yang ditunjukkan oleh Tuhan sendiri melalui pengutusan wakil yang rasmi iaitu Rasulullah. Dalam ertikata lain, inilah cara yang diiktiraf dalam soal hubungan dengan Tuhan. Jika tidak, ia adalah ajaran palsu yang tidak mendapat pengesahan Tuhan. Maka tidak ada jalan dalam ibadah ritual, melainkan mesti diberikan penekanan tentang keikhlasan niat dan keaslian cara yang tunjukkan oleh wakil Tuhan yang diiktiraf, iaitu Muhammad Rasulullah. Jika seorang Muslim mengambil enteng soal ibadah ritual ini sehingga menyatakan; “buatlah ibadah macam mana cara pun, asalkan engkau buat” atau “solatlah macam mana pun asalkan engkau solat”, maka dia sebenarnya gagal membezakan antara agama Tuhan yang datang melalui utusan rasmi dan agama rekaan yang dicetuskan oleh idea atau kehendak manusia semata. Firman Allah (maksudnya) Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat – mana-mana bahagian dari agama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah? (surah al-Syura:21). Dalam hadis daripada ‘Aisyah katanya: Sabda Nabi s.a.w.: Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Hendaklah seorang Muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar untuk keredaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (cara) yang diredai-Nya. Janganlah ibadah se- orang Muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan… tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum Muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum Muslimin sama ada kecil atau besar untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah. Ini kerana hanya Allah pembuat syariat dan al-Rasul pula adalah penyampai, sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya).” Al-Qaradawi, Al-‘Ibadah fi Al-Islam, m.s 165-167, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Justeru itu, walaupun Aminah Wadud, wanita yang mengepalai solat Jumaat beberapa tahun lepas barangkali niatnya baik bagi pembangunan wanita iaitu untuk menunjukkan – pada tanggapannya – kesamaan hak antara jantina, namun bukan itu caranya. Ibadah ritual tidak boleh diubah dan tiada kaitan tentang keadilan atau kezaliman antara jantina. Itu bukan perlambangan penindasan sama sekali. Ibadah ritual dalam Islam tidak boleh dilakukan tanpa contoh daripada Rasulullah. Sekalipun tiada larangan, ibadah ritual tidak boleh dibuat tanpa ada contoh. Jika kita ingin mencari dalil yang melarang wanita menjadi imam solat Jumaat, kita pasti tidak akan berjumpa. Adapun hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, “Jangan sama sekali wanita mengimami lelaki, badawi mengimami ahli hijrah dan orang jahat mengimami mukmin,” sanadnya lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Sebaliknya dalam hadis Umm Waraqah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya yang hasan Nabi menyuruh Umm Waraqah menjadi imam untuk ahli rumahnya, yang termasuk seorang lelaki. Hadis itu menjadi bukti wanita boleh menjadi imam untuk lelaki dalam rumahnya. Seperti ibu menjadi imam di rumahnya dan diikuti oleh anak lelakinya. Inilah pegangan yang disokong oleh ramai ulama, antaranya Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah. Namun Aminah Wadud mahu lebih dari itu, dia mengkiaskan hadis ini, lalu dia ingin menjadi imam solat Jumaat. Pada zaman Nabi solat Jumaat ditunaikan saban minggu. Tiada seorang wanita pun yang baginda lantik menjadi imam. Padahal wanita-wanita zaman itu lebih kuat beragama daripada Aminah Wadud. Apabila Rasulullah wafat, ada isteri-isteri baginda yang masih hidup, termasuk ‘Aisyah, Hafsah dan Umm Salamah. Ilmu mereka sangat banyak, diambil langsung daripada Nabi dari segi kefahaman dan penghayatan. Pun tidak terlintas mereka untuk menjadi imam solat Jumaat, bahkan tidak ada sesiapa pun menawarkan perkara itu kepada mereka. Ini kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan di zaman Nabi. Maka ibadah ritual tidak boleh dilakukan tanpa dalil yang membuktikannya, walaupun tiada dalil yang melarangnya. Kita tidak boleh kata dalam ibadah ritual: “Mana ada Nabi s.a.w. larang,” maka kita pun boleh buat apa sahaja. Sebaliknya hendaklah kita bertanya: Adakah Nabi s.a.w. menyuruh atau melakukannya? Inilah soalan yang betul, jika tidak segala ‘mak nenek’ manusia akan buat tambahan dalam ibadah. Jika dia solat subuh lapan rakaat pun dia akan kata: Aku ikhlas, bukan ada Nabi s.a.w. larang lapan rakaat, yang penting ikhlas.” Maka rosaklah ketulenan agama.

Manusia boleh berinovasi dan berkreativiti dalam soal lain namun tidak dalam ibadah ritual. Allah menyelaraskan kita semua sebagai lambang kesatuan umat atas satu agama. Namun apabila kita melanggar pantang larang ini, masyarakat Islam mempunyai berbagai-bagai ibadah yang berlainan. Perbezaan ibadah antara tarekat dengan tarekat, bangsa dengan bangsa, negara dengan negara dan seterusnya. Lalu timbul perasaan berpuak dengan menyebut: “Inilah cara kita” atau “ini cara negara atau daerah kami.” Sepatutnya mereka berfikir untuk menyebut: Inilah cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hadis- hadis baginda dan kita semua pengikut baginda. Bahkan kebanyakan kita dalam ibadah ritual tidak pernah bertanya dalil dari guru agama tentang pengamalan ibadah-ibadah tersebut. Lebih dari itu, sebahagian guru agama hanya mengikut kebiasaan tanpa mengetahui dalil.

Maka tidak hairanlah jika jiwa umat ini gagal bersatu apabila ditindas musuh, kerana dalam ibadah ritual pun ada yang bersifat kepuakan. Malangnya, dalam kehidupan yang disuruh kita berinovasi dan berkreativiti agar dapat mengeluarkan produk-produk bermutu untuk manusia dan mengangkat martabat umat, tidak pula kita maju ke hadapan. Bahkan dunia Islam yang mempunyai berbagai-bagai edisi baru ibadah ritual itu, gagal mengeluar atau mencetuskan bahan, produk baru untuk dunia.

Maka penekanan soal ibadah ritual, tidak boleh dianggap remeh. Sekali lagi saya memetik kata-kata al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara roh dan kebendaaan. Menyeimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun kerohanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Sunah masdaran li al-Ma‘rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir).

Malangnya, kita sering bertemu mereka yang kuat menekan soal ibadah ritual, namun mengabaikan soal pembangunan tamadun umat. Dalam masa yang sama, kita bertemu pula ramai yang bercakap soal tamadun, namun lalai dan alpa tentang soal ibadah ritual. Maka lahirlah golongan agama tanpa kekuatan, profesional tanpa panduan. Ibadah gagal menjadikan kita khalifah, tamadun kebendaan pula menjadikan kita hamba Allah. Kembalilah kepada penekanan yang seimbang.

04/11/2007 - Manfaatkan kepakaran bukan memandulkannya

ISLAM adalah agama yang mengiktiraf dan menghormati kepakaran atau kebolehan seseorang insan selagi kepakaran dan kebolehan itu tidak bercanggahan dengan prinsip-prinsipnya. Sudah pasti pula prinsip- prinsip Islam itu ditetapkan oleh Allah demi kemaslahatan manusia.

Justeru baginda Nabi s.a.w. menyebut: Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya, bahan galian bernilai yang terpilih ketika berada dalam tanah dan lumpur, juga terpilih apabila berada di tempat yang elok.

Demikianlah insan yang menganut Islam, sekiranya dia seorang yang terpilih dengan ciri-cirinya ketika belum berpegang dengan Islam, maka dia juga akan terpilih selepas menganut Islam disebabkan ciri-ciri istimewanya itu. Namun baginda s.a.w. meletakkan syarat, hendaklah dia terlebih dahulu memahami Islam. Bahkan perkataan faquhu atau faqihu yang digunakan dalam hadis tersebut menunjukkan benar- benar memahami hakikat Islam, bukan sekadar cebisannya.

Maka dalam sejarah dakwah Rasulullah baginda memanfaatkan kebolehan yang pelbagai untuk kepentingan Islam dan umatnya. Insan seperti Umar bin al-Khattab dengan keberanian dan keperwiraannya yang begitu memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak dimandulkan sifat itu apabila menganut Islam. Sebaliknya, keberanian dan keperwiraannya itu disusun dan diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat Islam.

Demikian juga kehebatan dan ketangkasan Khalid bin al- Walid dalam ketenteraan sehingga menumpaskan tentera Islam dalam peperangan Uhud, tidak disia-siakan. Walaupun beliau lewat menganut Islam dibandingkan para sahabat yang lebih awal, namun baginda terus sahaja melantik Khalid memegang pelbagai jawatan dalam peperangan.

Tidak merujuk kepada soal ‘senioriti’ tetapi kepada kepakaran yang dimilikinya. Begitulah juga Hassan bin Thabit, Ka‘ab bin Malik yang mampu bersyair semasa jahiliah dimanfaatkan oleh Nabi kebolehan mereka apabila menganut Islam.

Mereka menyusun syair-syair yang membela Nabi dan perjuangan baginda, serta menjawab tohmahan para penyair musuh. Kata Nabi kepada Hassan bin Thabit: Jawablah untukku, Allah menguatkanmu dengan roh al-qudus (Jibrail). (Riwayat al-Bukhari). Maka semua kebolehan, sama ada; keberanian, ketangkasan, kesenian dan berbagai-bagai lagi yang sebelum ini digunakan untuk menentang Islam bertukar menjadi keistimewaan yang membela Islam.

Demikianlah sepatutnya masyarakat Islam, mestilah pandai memanfaatkan kemahiran anggotanya, sekalipun kemahiran dan kepakaran itu pernah digunakan dengan cara yang bercanggahan dengan Islam. Namun apabila seseorang masuk Islam atau kembali mempunyai kesedaran Islam, hendaklah disusun atur agar segala kebolehan itu benar- benar boleh dimanfaatkan.

Maka amat mendukacitakan, jika seorang Cina yang semasa belum Muslim, mahir dalam perniagaan dan mencari rezeki, tiba-tiba apabila menganut Islam segala kebolehan itu hilang dan terikut-ikut dengan sesetengah golongan yang hanya tidur di masjid. Atau keluar berhari- hari berdakwah – kononnya – tanpa sempat memahami hakikat Islam yang sebenarnya. Atau terus melupai pembangunan diri dan keluarganya, semata-mata hanya inginkan akhirat. Kemudian meminta-minta untuk suapan hariannya. Ini memberi imej yang buruk terhadap agama yang agung ini terutama apabila dilihat oleh saudara-saudara mereka yang belum menganut Islam.

Syarat

Sebab itu syarat untuk kepakaran dan ciri istimewa yang dikuasai semasa jahiliah itu diguna pakai, empunya kepakaran atau sifat istimewa itu mestilah terlebih mendalami Islam yang sebenar. Memahami tuntutan al-Quran dan Sunah. Jika tidak, hakikat sebenar Islam tidak akan menjelma menerusi kebolehan atau kelebihan yang dimiliki. Ini seperti pihak yang menyangka proses Islamisasi nyanyian itu dengan memakaikan kopiah atau songkok kepada penyanyinya, lalu dinamakan nasyid. Padahal, sesetengah lirik yang mereka alunkan, tidak menggambarkan hakikat Islam yang sebenar, bahkan ada yang bercampur dengan khurafat atau cara fikir yang mundur. Mungkin sesetengah lagu P.Ramlee lebih Islamik liriknya dibandingkan sesetengah alunan nasyid. Saya bukan memperkecilkan mereka, sama sekali tidak. Saya hargai usaha mereka.

Namun, jika mereka menyatakan perjuangan nasyid mereka adalah misi dakwah, maka mereka mesti mengutamakan isi kandungannya dan kejelasan mesejnya. Jika tidak ia hanya untuk mempelbagaikan penampilan gaya artis sahaja. Sama juga dengan sesetengah majlis yang diislamisasikan dengan bacaan doa sebelum majlis. Selepas itu, isi kandungan majlis tidak diselaraskan dengan kehendak Islam. Seperti penceramah yang membuka ceramahnya dengan bacaan ayat itu dan ini kemudian mengisinya dengan memaki hamun secara yang diharamkan oleh syarak. Pada zaman Nabi dan para sahabah memang dalam ucapan mereka sering berdoa semasa majlis namun tidak diupacarakan khas doa-doa itu. Apa yang lebih penting, isi kandungan majlis seiras dengan ajaran Islam. Sebab itu memahami Islam itulah syarat utama menjadikan kebolehan seseorang berfungsi untuk agama berteraskan ilmu ini.

Saya jumpa ramai profesional bukan dalam bidang pengajian Islam, apabila timbul kesedaran Islam dalam diri, mereka seolah-olah mempersalahkan latar pendidikan mereka yang bagi mereka bukan aliran Islam. Padahal mereka mampu memanfaatkan kebolehan mereka untuk umat Islam. Ini kadangkala terhasil dari sesetengah penceramah masjid dan surau yang menyempitkan makna Islam dan keperluan ilmu Islam. Padahal kecuaian mereka terhadap agama bukan kerana bidang pengajian, sebaliknya ketidak prihatinan diri terhadap Islam yang tulen.

Ketidak prihatinan ini boleh berlaku di semua peringkat; bidang agama atau sebaliknya. Jika kita jujur dan bersungguh ingin memahami Islam yang tulen, dunia kini amat terbuka untuk itu. Saya lihat bukan sedikit para pelajar kita yang belajar di Barat atau dalam bidang bukan pengajian Islam formal tetapi berminat mendalami Islam dan lebih memahami hakikat Islam itu dari ribuan pelajar di Mesir atau beberapa negara Asia Barat yang lain. Mereka lebih sensitif terhadap khurafat, karut-marut, israiliyyat, hadis palsu dan pemikiran songsang dibandingkan sesetengah ustaz keluaran Asia Barat. Bahkan ada ustaz lulusan Asia Barat yang menjual kayu kokka atau penyebar hadis palsu, israiliyyat dan berfalsafah dengan pemikiran yang tidak serasi dengan Islam tulen.

Namun sesetengah yang kurang faham, oleh kerana dahulu tidak sempat belajar Islam secara formal sepenuhnya, mereka seakan ingin menebus semua kesalahan itu dengan menghantar anak-anak ke sekolah- sekolah agama tanpa berhati-hati. Niatnya baik, malangnya sesetengah sekolah agama tidak memberikan penekanan kepada keperluan akademik yang lain. Menghantar ke sekolah agama memang baik, apatah lagi jika sekolah itu mampu mewujudkan iklim yang harmoni lagi Islamik lalu membentuk keperibadian Islam. Namun, bukan sedikit sekolah agama yang belum diuruskan dengan cemerlang. Maka berlaku keciciran dalam akademik dan ketinggalan dari persekitaran yang baik. Bahkan guru-guru agama yang mengajar pun, ada tidak menentu kelulusannya. Akhirnya, tidak juga anaknya menjadi pakar Islam yang cemerlang, sudah pasti ketinggalan dalam bidang-bidang akademik lain. Saya bimbang suatu hari nanti mereka akan menyalahkan kesedaran Islam bapa mereka. Ini bukan rekaan, saya bertemu bukan sedikit yang seumpama itu. Padahal, sekolah-sekolah swasta ‘orang lain’ begitu ke hadapan dalam pelbagai sudut.

Padahal yang sepatutnya dilakukan, apabila kita ada kesedaran Islam, kita memastikan kefahaman Islam itu diamalkan dalam kehidupan secara yang meluas. Beri kesedaran kepada anak-anak tentang perjuangan memartabatkan agama ini dalam semua bidang. Jika hendak memilih sekolah agama, hendaklah sekolah yang melambangkan kesyumulan Islam itu. Agar pendidikan Islam mampu bersaing dan tenaga Muslim soleh boleh dimanfaatkan di semua bidang.

Janganlah semua anak kita nak kita jadikan ‘ustaz’. Perbagaikanlah kemahiran umat ini. Dunia Islam tidak mampu diangkat maruahnya dengan semua orang menjadi ‘ustaz’. Tetapi maruah itu diangkat dengan umat menguasai segala bidang serta membawa mesej Islam yang sebenar. Susunlah perjuangan umat ini dengan menyusun kepakaran anak-anak kita dalam pelbagai kebolehan. Jika kita lahirkan guru agama yang terbatas pengetahuannya, maka agama akan dipandang sinis. Perkataan ustaz sendiri begitu umum.

Bahkan kadangkala kerana boleh membaca beberapa ayat dan berpakaian Arab dia dipanggil ustaz. Perkataan ustaz dalam masyarakat kita bukan semestinya melambangkan kesarjanaan. Sebenarnya, yang kita perlukan adalah pakar; pakar tafsir, pakar hadis, pakar akidah, pakar fikah dalam pelbagai bidang dan seterusnya. Inilah keperluan kita. Mereka mesti mampu membawa kefahaman Islam yang tulen. Bukan sekadar untuk berceloteh atau membuat jenaka atau menyampai cerita-cerita tidak munasabah dalam ceramah yang tidak menggambarkan kematangan dan kemantapan agama yang agung ini. Barangkali itulah sebabnya P.Ramlee dalam filemnya ‘Musang Berjanggut’ menamakan Menteri Agama Pura Cendana dengan gelaran ‘Datuk Nikah Kahwin’ tidak dinamakan dengan ‘Datuk Syariah’ atau seumpamanya. Dek sempitkan bidang yang dikuasainya atau pemikiran yang hanya terbatas dalam soal nikah kahwin sahaja. Mungkin jika Raja Alam Shah Bana melihat di Pura Cendana seseorang yang tidak mempunyai idea yang bernas dan produktif untuk kemajuan agama, sebaliknya hanya mampu mengiklan kenaikan tambang haji, maka dia akan namakannya ‘Datuk Tambang Haji’.

Peranan

Saya tersenyum sinis apabila ada yang mempertikaikan mufti menulis di akhbar dan berbicara di luar bidang agama. Barangkali pada pandangannya peranan mufti itu membaca doa dan berbicara hanya yang ditentukan dan simpan akalnya dalam saku. Jika minda kita sempit, kita jangan jumudkan dunia orang lain. Jika tidak agama akan sentiasa kelihatan sempit. Semua manusia yang berjuang untuk memartabatkan agama, dia ialah pejuang agama.

Dalam apa bidang sekalipun selagi mematuhi lunas-lunas syarak. Nabi apabila ditanya: “Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, saya begitu tertarik dengan slogan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang cuba menjadikan perjuangannya dalam ekonomi sebagai jihad. Ya, jika cita-citanya untuk mengangkat maruah agama dan menepati prinsip Islam maka ia adalah pengorbanan dan jihad. Kadangkala ibu bapa yang menghantar anak belajar dalam bidang-bidang selain agama tidak merasai mereka juga sedang menghantar dan membiayai pejuang agama.

Apatah lagi jika anak yang dihantar langsung tidak ada kesedaran agama dan mencerminkan identiti agama ini. Bertambah jauhlah ilmu tersebut dari daerah perjuangan agama. Demikian juga sesetengah pengurusan zakat hanya mengehadkan atau menumpukan peruntukan zakat untuk yang belajar agama secara formal sahaja. Sekali lagi saya petik Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu: “Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata.

Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum Muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti yang diputus oleh para penganalisis hukum.

Maka tidak hairan kita dapati para ahli fikah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa seperti ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seorang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fikah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya.” (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570 Beirut: Muassasah al-Risalah).

Saya katakan, sesungguhnya tumpuan melahirkan saintis Muslim yang beriman lebih diperlukan buat masa kini dari melahirkan seorang ‘ustaz’ dalam ertikata biasa. Ini kerana jumlah ustaz agak ramai, tetapi saintis Muslim soleh yang mampu mengangkat wajah umat di hadapan dunia masih tidak mencukupi.

Maka wajib bagi dunia Islam menggemblengkan segala kepakaran. Bukan ustaz tidak perlu, tetapi proses mengeluarkannya telah berjalan lancar dan untuk mendapat darjah kebesaran ‘ustaz’ yang tidak pakar tidaklah begitu sukar. Namun untuk mencapai gelaran ‘saintis’ sebenar, kita memerlukan penggemblengan yang lebih. Keluasan fikiran secara berprinsip itu membawa kita ke hadapan, dan kejumudan hanya membunuh kewarasan akal dan kematangan ilmu.