31/08/2008 - Merdeka: Mengubat cinta yang terluka

Beberapa pihak bersungut tentang semangat patriotik generasi muda yang makin terhakis. Hal ini cuba dikaitkan dengan kemurungan mempamerkan semangat kemerdekaan. Juga pelbagai sikap yang lain generasi muda kita yang kelihatan seakan tidak lagi kisah dengan kedaulatan dan harga kemerdekaan negara. Saya tidak pasti sejauh manakah mendalamnya dakwaan ini. Jika benar itu berlaku, tentu ada sebab- sebabnya yang mengheret ke arah tersebut.

Cinta adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa atau dibuat-buat. Cinta itu lahir daripada lubuk jantung insani disebabkan faktor-faktor tertentu. Cinta lebih mendalam daripada sekadar perasaan suka atau gembira. Cintalah yang telah membina seluruh rangkaian hidup di maya pada ini. Tidakkah kita lihat, tanpa cinta tiada agama, tiada keluarga, tiada negara, tiada kehidupan dalam erti kata yang sebenar.

Agama itu sendiri dibina atas kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang mendakwa beriman, tetapi kontang jiwa dari kesyahduan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, dia sebenarnya pendusta. Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" (Surah al-Taubah, ayat 24).

Justeru Nabi SAW menyebut dalam hadisnya: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cinta mutlak hanya boleh diperuntukkan untuk Allah dan Rasul-Nya. Dalam jiwa insani tidak mungkin untuk berhimpun antara cinta mutlak dan cinta lain yang saling bertentangan. Tidak mungkin untuk sebuah keimanan yang luhur mengizinkan ruang jiwa diisi cintakan seorang kekasih secara mutlak, dalam masa yang sama mencintai musuh kekasih tersebut. Jika itu berlaku, itu adalah cinta yang tidak mutlak sama sekali. Insan mungkin ada kelemahan dan kesilapan dalam kehidupan. Mungkin ada dosa dan kesalahan, tetapi tiada perkongsian dalam jiwa berhubung cinta mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta mutlak ini akan dapat dinilai apabila berlaku pertembungan. Firman Allah: (maksudnya) “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun kaum keluarga mereka. Mereka (yang setia) itulah, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada-Nya. Merekalah penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong (agama) Allah itu ialah orang- orang yang berjaya”. (Surah al-Mujadilah, ayat 22).

Mendakwa

Maka tidak mungkin mereka yang mendakwa berjuang untuk Islam, dalam masa yang sama berkasih-sayang kepada penentang ajaran Islam secara terbukti. Bagaimana mungkin mereka yang ingin menegakkan Islam sebagai prinsip dan asas sesebuah negara akan berkasih sayang dengan sesiapa yang menentang Islam sebagai teras sesebuah negara? Jika itu berlaku, cinta perjuangan itu tidak mutlak dan ada pembohongan di sebalik dakwaan.

Cinta penting dalam kehidupan. Lahirnya kehidupan insan segalanya atas cinta. Suami isteri hidup atas dasar cinta. Tanpa cinta, porak peranda segalanya. Cinta jugalah yang membesarkan seseorang insan. Cinta ibu, cinta bapa, cinta anak, cinta saudara, cinta sahabat dan seterusnya, itulah yang membuat alam ini berjalan dengan harmoni dan tenteram. Tanpa cinta, akan nampak kecacatan emosi dan ketidakseimbangan perasaan dalam kehidupan insan. Firman Allah: (maksudnya) “Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bermesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah al-Rum, ayat 21).

Sesuatu yang bergerak tanpa sayang dan cinta akan lahirlah kepincangan. Jika seseorang mengakui beriman tetapi jiwanya kosong dari mencintai Allah dan Rasul- Nya, maka rosak pegangan dan amalannya. Suami isteri yang hidup tanpa cinta, bagaikan neraka dunia. Hubungan ibu bapa dan anak tanpa cinta akan berlakulah penderhakaan. Demikian rakyat, apabila sudah tidak cintakan negara atau kepimpinannya maka rosaklah ketenteraman dan keharmonian.

Ya! hadis yang menyebut “Cintakan negara itu daripada iman” merupakan hadis palsu, seperti yang diputuskan oleh para ulama hadis (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Da‘ifah, 1/113). Maka tidak wajar untuk sesiapa pun cuba menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW. Sekalipun mungkin dari segi maksud, ada kebenarannya. Cuma, bukan semua cinta negara itu termasuk dalam iman. Rakyat negara komunis juga mungkin mencintai negara mereka, tetapi mereka tidak beriman sama sekali. Kecintaan kepada negara boleh jadi disebabkan faktor iman, jika sesebuah negara itu tertegak dalamnya keadilan, kebenaran dan keharmonian bersesuaian dengan titah perintah Allah dan Rasul-Nya. Bahkan mempertahankan tanah air Islam itu merupakan kewajipan yang difardukan kepada setiap individu muslim.

Secara fitrahnya, insan cintakan ibunya, ibu cintakan anaknya, suami cintakan isterinya, isteri cintakan suaminya, demikian rakyat cintakan negaranya. Jika terhakis perasaan cinta antara semua itu, sudah pasti ada faktor-faktor yang mempengaruhi. Boleh jadi ia disebabkan ada faktor luaran seperti hasutan atau racun perasaan yang ditaburkan. Atau, boleh jadi tindakan yang dilakukan oleh salah satu pihak telah melukai perasaan pihak yang lain.

Jika kita berbalik kepada semangat kemerdekaan, dahulu kita lihat rakyat kita setiap kali menjelang kemerdekaan begitu bersemangat mempamerkan kebanggaan mereka kepada negara ini. Namun kebelakangan ini kelihatan jelas semangat itu terhakis dan begitu malap. Ke mana pergi semangat itu semua? Mungkin pelbagai faktor boleh disebutkan. Namun saya berpendapat bahawa antara faktor utama adalah, banyaknya tindakan mereka yang diberikan amanah dalam negara ini telah benar-benar mengguris hati dan perasaan rakyat. Walaupun kebelakangan ini semacam ada usaha untuk membaiki keadaan, tetapi hati yang luka itu nampaknya amat sukar untuk dipujuk kembali. Tidak semestinya kerana mereka telah jatuh hati kepada kekasih baru, tetapi kebencian dan kemarahan boleh menjadikan manusia benar-benar berubah.

Dalam setiap negara, dua perkara amat penting bagi sesebuah pemerintahan. Pertama; keadilan hukum antara rakyat. Sehingga tiada seorang pun yang diberikan keistimewaan mengatasi perundangan dan hukum. Jangan ada yang lemah sentiasa kalah, yang kuat sentiasa megah. Jika itu berlaku, kebencian akan merebak dan cinta akan terpadam. Apabila orang-orang besar cuba menunjukkan kuasa mereka kepada orang bawahan, sehingga ada yang rasa mereka dizalimi, maka pemerintah akan dibenci. Pemerintah itu hendaklah bak kata Saidina Abu Bakr al-Siddiq: “Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah disisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah”. (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Menguruskan

Kedua; sikap amanah dalam menguruskan harta rakyat. Dalam zaman serba canggih dan serba nampak ini, seorang pemerintah bukan sahaja bersih, hendaklah juga kelihatan bersih. Bagaimana hendak ditafsirkan oleh rakyat bawahan jika seorang yang baru menjadi wakil rakyat atau menteri, dalam masa yang singkat kekayaannya berlipat-lipat. Sehingga tidak masuk akal untuk dia memiliki harta sebanyak itu melainkan diragui ada penyalahgunaan kedudukan dan kuasa. Apatah lagi jika dia mempamerkan kekayaan itu dengan penuh kesombongan. Bertambah pelik lagi jika dia dapat memiliki geran-geran tanah dan projek yang tidak dapat dicapai oleh orang lain secara usaha yang jujur. Rakyat tidak buta. Lebih-lebih lagi jika penyelewengan itu dibuktikan kepada mereka. Mereka tahu menilai bagaimana sesuatu projek berlipat harganya. Siapakah hantu yang menelan wang itu di tengah jalan seperti hantu kisah dongeng Badang yang memakan ikan dari lukahnya sehingga tiba-tiba yang tinggal hanyalah tulang belulang. Masalahnya, wang projek-projek itu, bukan ikan Badang, tetapi wang rakyat yang masih ramai hidup dalam kesusahan atas kerakusan orang lain. Perasaan rakyat jadi membengkak saban waktu. Lalu ia menjadi busung yang busuk mengandungi nanah dan darah. Dendam dan kebencian merebak. Segala penjelasan akan ditolak. Yang betul pun akan dikatakan salah, apatah lagi jika benar-benar salah. Rakyat membenci sehingga dalam perkara yang tiada sebab yang jelas. Apa sahaja hasutan apabila sampai ke peringkat seperti ini akan ditelan. Ketika itu negara akan parah. Tidak lagi mahu mendengar perintah. Lalu fitnah akan bertebaran tanpa mampu disekat lagi.

Justeru, Islam mengharamkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pembahagian harta orang ramai. Walaupun rasuah itu dalam banyak keadaan diberikan secara senyap, tetapi kesannya kepada hati dan perasaan mereka yang teraniaya begitu berbekas dan jelas. Daripada kesimpulan para sarjana fekah dapatlah kita rumuskan rasuah sebagai “pemberian yang menyebabkan ada pihak yang dizalimi atau menghalang keadilan ditegakkan”. Allah berfirman (maksudnya): “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang- orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).(Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi SAW: “Allah melaknat pemberi dan pengambil rasuah” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika ramai manusia yang dilaknat menguasai urusan rakyat, maka negara akan terus sakit, kecintaan akan terus kabur.

Semangat kecintaan kepada negara tidak mungkin dapat disuburkan kembali, melainkan dua perkara yang disebutkan itu mesti diperbetulkan secara agresif, bukan kosmetik. Bukan sekadar membarukan slogan, tetapi mesti dikikis insan-insan yang pernah menimbulkan masalah kepada rakyat dan dikembalikan negara kepada Islam tulen berasaskan Siasah Nabi SAW dan para khalifah al-Rasyidin.

Saya mengambil kesempatan ini memuji bajet yang dibentang kelmarin, kerana cuba membaiki keadaan rakyat. Ramai yang memujinya. Cuma, apa yang menjadi perkara penting adalah sikap amanah semua pihak dalam melaksanakan Bajet 2009 tersebut. Mesti ada kesungguhan yang jelas dalam membebaskan negara dari penyalahgunaan kuasa dan harta. Banyak cita-cita yang baik akan terbengkalai apabila mereka yang diamanahkan menunaikan tugas itu mencemarinya. Maka pastikan tiada lagi sesiapa pun yang menganggap kuasa pemerintahan seakan kunci mendapatkan harta karun, atau menguasai tampuk kuasa itu bagaikan menguasai harta rampasan perang. Marilah semua rakyat dan mereka yang mempunyai kuasa menghayati apa yang diperintahkan oleh Allah SWT ini dalam firman-Nya: “Wahai sekalian manusia! makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 168).

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

24/08/2008 - Permatang Pauh, Islam makin jauh

SEORANG wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: "Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?" Saya tidak pasti apa tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik. Saya kira, tujuannya mungkin untuk tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: "undi anda adalah rahsia". Jika beliau tidak lupa, sebelum pilihan raya umum lalu, saya memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan parti. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian. Saya memberitahu wartawan berkenaan, dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan sebegitu rupa, sehingga masyarakat sukar menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain. Lebih malang, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antara mereka.

Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Katanya, kebebasan bersuara dan berbicara. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama. Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberi pendapat berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian. Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di Internet dan SMS seakan-akan tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang memfitnah orang lain di sebalik maya Internet dan SMS. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Akhirat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan memfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka. Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberi pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita. Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai-bagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik, dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya. Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).

Ganjaran pahala

Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: "jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak". Katanya: "ada ustaz bersama saya". Kata saya: "Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak. Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah".

Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa jujur, siapa yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi SAW: "Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa. Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan "oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah". Lalu orang menyatakan kepadanya: "alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia" padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah pelbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai-bagai negara di planet bumi ini, pada hal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.

Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan, sebelum ini pernah ada orang politik secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Dulu ada orang yang membeli undi dalam parti dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara korup di akhirat, di mana hanya orang bawah disoal dan yang atas dilepaskan. Barangkali dia fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai. Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsir dengan pelbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat baik disangka buruk, apatah lagi jika memang niat buruk. Banyak pihak mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan dapat diubah. Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan berburuk sangka tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah.

Masa depan umat Islam bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga 'kerusi' di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi reda Allah, tetapi kehendak politik kepartian. Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa membantah walaupun sekian lama dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen tetapi haram riba, tidak jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.

Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: "Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan". (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam). Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara? Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik bagi umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah SWT. Undi ada nilai dosa dan pahala.

Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihan raya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah SAW buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah.

17/08/2008 - Islam membentuk minda kritis dalam menilai

JIKA seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau peralatan, dia terlebih dahulu hendaklah ada pengetahuan atau ilmu mengenainya. Jika tidak nanti, niatnya yang baik untuk membaiki itu akan menatijah kerosakan semata, bukan memulihkan. Ini yang disebut sebagai tikus membaiki labu, atau tukang besi membaiki komputer. Tanpa ilmu, bukan bertambah baik tetapi bertambah rosak.

Islam juga demikian. Niat yang baik semata untuk mempertahan atau menyampaikan ajaran yang agung ini tidak memadai jika yang melaksanakan tugasan itu tidak cukup pengetahuan dalam perkara yang disampaikan tersebut. Saya tidak menyatakan seseorang yang hendak berdakwah menyampai mesej Islam mesti menjadi sarjana besar terlebih dahulu. Tidak! Sama sekali tidak. Tetapi, dia hendaklah faham dengan baik bab atau perkara yang disampaikan itu. Umpamanya, jika dia bercakap mengenai cara sujud dalam solat, maka dia jelas tentang hadis-hadis mengenai perkara tersebut. Jika dia bercakap pendirian Islam terhadap penganut agama lain, dia juga hendaklah jelas dan faham dalam perkara tersebut. Tidak boleh hanya berpijak kepada maklumat yang dikutip tanpa kepastian, atau tidak boleh pula bercakap hanya atas sesuatu sentimen semata-mata. Firman Allah: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: ayat 108).

Saya amat dukacita apabila ter‘tonton’ satu siaran televisyen di bawah nama Sirah’ di mana seorang ‘ustazah’ telah menceritakan perihal kelahiran wanita terkenal Rabi‘ah al-‘Adawiyah. Kononnya, semasa kelahirannya, keluarga begitu miskin dan bapa malu hendak meminta bantuan jiran tertangga. Pada malamnya, bapanya bermimpi berjumpa Rasulullah SAW yang menyuruh beliau meminta wang 400 dirham dari Gabenor Basrah. Kononnya, Rasulullah SAW suruh beliau menyatakan kepada gabenor berkenaan: “Wahai Gabenor! Engkau biasanya berselawat pada malam Jumaat sebanyak 400 kali, namun pada hari Jumaat yang lepas engkau telah menguranginya, maka engkau pun didenda dengan membayar 400 dirham kepada bapa Rabi‘ah”. Cerita yang seperti ini, mungkin dikutip oleh ‘ustazah’ berkenaan daripada mana-mana sumber yang tidak boleh dipegang. Ia mencemarkan Islam dengan menggambarkan seakan-akan Nabi SAW itu ‘kaki pau’ yang akan memeras atau mengambil kesempatan atas kelemahan seseorang yang bukan kesalahan pun. Kemudian, kisah ini cuba menetapkan khasiat berselawat 400 kali pada malam Jumaat, pada hal tiada satu hadis pun yang menetapkan bilangan tersebut. Lebih daripada itu semua, mimpi bukanlah hujah dalam Islam sehingga boleh diperas harta orang lain beralasankan mimpi. Apa kata nanti, jika ada orang yang mengugut kita menyuruh kita memberikan wang kepadanya atas alasan dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda memerintahkan kita memberikan wang kepadanya. Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (puak bid‘ah) adalah puak yang mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan”.(Al-Syatibi, Al-‘Itisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi). Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”.( Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu‘asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Demikian juga cerita-cerita yang bersifat ke‘kartun‘an seperti kononnya ada seorang wali Allah yang memakan epal yang hanyut dalam sungai. Kemudian dia mencari tuan punya epal tersebut untuk meminta halal daripadanya, tetapi tuan kebun tersebut mensyaratkan hendaklah berkahwin dengan anak perempuannya. Dia memberitahu anaknya itu bisu, pekak, buta dan berbagai-bagai kecacatan yang lain. Demi mendapat ‘sijil halal’ epal yang dimakannya itu terpaksalah si wali tersebut berkahwin dengan anak empunya kebun epal tersebut. Konon akhirnya didapati anaknya itu sempurna dan cantik. Cerita yang seperti ini mencemarkan dataran Islam yang bersih. Perkahwinan dalam Islam boleh dipaksa atas nama menghalalkan sebiji epal. Epal yang hanyut dan terdedah kepada rosak boleh dimakan dari dibazirkan. Jika pun ada tuntutan, boleh dibayar dengan harga sebiji epal, bukan dipaksa kahwin. Bayangkan jika seserang memandu kereta lalu terlanggar kereta orang lain dan tuannya tidak mahu memaafkan melainkan dia mesti berkahwin dengan anak tuan kereta tersebut yang betul-betul ‘tidak menawan’. Apakah itu jalan mendapatkan ‘kehalalan’ atas sesuatu kesilapan yang tidak berkaitan?. Menghidangkan cerita-cerita yang seperti ini untuk orang ramai - walaupun dengan niat yang baik - hanya membuatkan Islam disalahtafsirkan.

Pandangan

Begitulah juga dahulu apabila ada pandangan seketika dulu supaya khatib yang berkhutbah memegang pedang sebagai lambang kekuatan. Tindakan yang seperti itu boleh menyebabkan Islam disalahtafsirkan terutama di zaman kita ini yang mana Islam dilabelkan oleh media khurafat Barat sebagai agama keganasan. Saya tertarik dengan kata-kata al-Hafiz al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): Nabi SAW tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad, 1/439, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Atas dasar sebagai agama hujah dan fakta yang tegak membela kebaikan manusia sejagat, kita mengizin semua pihak termasuk agama lain berhujah secara harmoni dan baik. Islam bukan macam sesetengah pejabat agama yang jika ada orang berbeza pendapat dengan ustaz-ustaznya terus sahaja dilAbelkan sebagai ‘wahhabi’. Islam agama yang sudi mendengar hujah dan alasan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah, kami berserah diri.” (al-Ankabut: ayat 46). Firman Allah juga: (maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Saya seperti orang lain juga membantah tindakan Majlis Peguam membuat forum terbuka mengenai Memeluk Islam baru-baru ini kerana seakan wujudnya usaha menghapus identiti negara ini iaitu Islam. Walaupun sebenarnya identiti Islam negara ini sudah banyak yang tercalar, namun tindakan mereka benar-benar mencabar. Saya tidak menafikan hak mereka untuk membincangkan kebajikan penganut agama lain yang mereka dakwa diabaikan. Mengapa hal itu tidak dibahas secara tertutup dan melalui saluran yang tidak memperlihatkan seakan mereka mencabar identiti negara? Mereka akhirnya kelihatan seakan macam membantah bukan muslim masuk Islam kerana boleh menyebabkan implikasi-implikasi yang mereka bangkitkan. Jika itu maksud mereka, sudah pasti umat Islam akan sanggup berbenteng darah mempertahankan Islam.

Namun dalam masa yang sama, saya tidak menafikan bahawa setiap pihak boleh mengemukakan aduan atau bantahan jika terbukti secara fakta ada yang dizalimi. Walaupun Islam agama yang adil, namun kemungkinan berlaku ketidakadilan oleh para penganut atau pelaksananya itu ada. Jika itu berlaku, janganlah pula mereka cuba mempertikaikan Islam dan kewibawaannya. Mereka hendaklah dapat membezakan antara kesalahan undang-undang dengan kesilapan peguam atau hakim. Demikian juga orang Islam, hendaklah dapat membezakan antara peraturan manusia yang beragama Islam dengan hukuman atau peraturan Islam yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Bukan semestinya tindakan pejabat agama Islam itu menurut kaedah Islam yang betul. Seperti bukan semua tindakan ustaz itu berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Al-Quran dan al-Sunnah teguh dan kukuh. Sementara manusia terdedah kepada salah dan silap. Seorang muslim perlu kritis dalam menilai sesuatu perkara.

Apabila menjelang pilihan raya kecil di kawasan saya Permatang Pauh, saya mula gusar dengan kempen-kempen yang bakal dilancar. Saya bimbang, seperti wang disalahgunakan untuk meraih undi, demikian agama juga nanti disalahgunakan. Bimbang nanti ada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang dibaca bukan pada tempatnya. Rakyat yang tidak kritis yang matang akan menelan segala yang didengar. Diputarbelitkan maksud Allah dan Rasul sehingga menjelma maksud tukang kempen. Dahulu - semasa saya masih bersekolah rendah - masyarakat Islam Pulau Pinang, apabila menjelang pilihan raya akan terdengar nas-nas yang melarang memilih orang kafir sebagai calon. Hari ini mungkin nas-nas tersebut telah pun dimuziumkan. Sebab itu dalam laman web saya, saya mengambil kesempatan ingat-mengingati calon-calon yang bertanding. Saya sebut: “Calon-calon yang dikasihi, proses demokrasi jika tidak dipandu dengan kesedaran Islam akan menjerumuskan kita ke kancah yang serba jijik dan kotor. Lihatlah apa yang terjadi dalam masyarakat kita apabila berpegang dengan demokrasi yang tidak ditapis dengan tapisan wahyu Ilahi; lahirnya politik wang, permusuhan sesama muslim tanpa alasan yang benar, fitnah menfitnah, caci-mencaci dan segala macam racun permusuhan dan kebencian yang hidup atas nama baja demokrasi. Dalam mencapai hasrat kuasa dan memenangi persaingan untuk mendapatkan kuasa ramai pemain di gelanggang demokrasi itu melupai prinsip-prinsip Islam yang harmoni dan lurus. Keperluan politik umat bukan itu semua. Sebaliknya kita ingin mendengar siapakah yang memiliki peribadi yang luhur dan pemikiran serta yang mampu membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih harmoni, terurus dan sopan berdasarkan teras-teras yang diredai Allah.

Didiklah masyarakat kita untuk hidup dalam iklim politik yang harmoni dan penuh kesantunan. Janganlah nanti generasi baru yang sedang membesar akhirnya tidak mengenali politik melainkan dengan wajah serba kehodohan dan kebiadapan cara dan bahasa. Hak-hak setiap muslim lebih mulia di sisi Allah daripada kerusi politik yang menjadi kegilaan sebahagian manusia. Kita sudah penat mendengar maki hamun, ketidakjujuran, pembohongan dan penipuan atas nama politik. Berilah ruang untuk rakyat hidup dalam udara politik yang bersih dan segar. Jangan jadikan mereka terbiasa dengan pencemaran sehingga akhirnya mereka sebati dengan kejijikan siasah yang tiada penghujungnya.

Akhirnya kita tidak akan dapat menghayati Islam yang tulen selagi minda kita tidak kritis menapis antara yang baik dengan yang buruk. Antara yang salah dengan yang betul. Islam membentuk minda kritis dan penuh analisis.

10/08/2008 - Tuhan! Kami rindukan naungan wahyu-Mu

MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta. Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan. Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar. Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan. Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.

Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah. Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia). Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).

Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong. Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul. Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.

Pengganas

Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas. Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika. Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika. Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika. Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika. Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata. Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak. Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika. Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.

Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri. Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya. Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta. Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.

Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.


Kegilaan kuasa

Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”. Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain. Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.

Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT. Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi. Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. Tanggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat. Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan. Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’. Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.

Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa. Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya. Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!

03/08/2008 - Niat dan cara hendaklah betul

Soal kejelasan niat dalam sesuatu tindakan adalah rukun utama bagi segala gerakkerja. Setelah akidah seseorang itu selamat dan sejahtera, Islam meletakkan syarat utama bagi setiap amalannya pula adalah niat yang betul. Nabi SAW bersabda: "Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, amalan yang sama dihukum berbeza berdasarkan niat seseorang. Seseorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana tergelincir tidak sama kedudukannya di sisi Allah dengan seorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana ingin membunuh diri. Walaupun barangkali pada zahir mereka yang melihat mayat itu menyangka sama, di sisi Allah berbeza. Adapun yang tergelincir dimaafkan Allah dan mungkin mendapat pahala jika dia berada di atas bangunan itu dengan tujuan yang baik, sementara yang membunuh diri telah melakukan dosa yang maha besar di sisi Allah. Namun niat yang jujur itu tidak berpada, jika cara yang dibuat itu tidak betul. Jika insan yang tergelincir tadi sengaja menempah cara yang membawa maut sedangkan ia boleh dielakkan, mati dia dianggap mencampakkan diri ke dalam kebinasaan yang diharamkan oleh Allah. Islam tidak mengiktiraf cara Robin Hood yang merompak dengan tujuan untuk bersedekah. Dalam soal politik, ekonomi, ibadah khusus dan selainnya, prinsip Islam adalah sama iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka dalam Islam, setelah disyaratkan niat yang betul, amalan yang dianggap soleh atau yang dikira pahala dalam Islam ini mestilah caranya juga betul iaitu bertepatan dengan tunjuk ajar Allah dan al-Sunnah. Jika dalam persoalan ibadah khusus seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya syarat yang kedua setelah niat seseorang itu baik adalah amalan yang diiktiraf betul itu berdasarkan ia pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Seseorang yang ikhlas niatnya, tetapi melakukan solat yang tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, maka itu dinilai salah dan menyanggahi sunnah. Umpamanya jika seorang mencipta solat baru atas apa-apa sempena atau nama seperti 'solat turun harga minyak' maka itu dianggap salah di sisi syarak, walaupun niatnya betul. Justeru itu, tidak hairan jika para ulama membantah dengan begitu keras amalan-amalan ibadah yang baru direka yang tidak ada dalam hadis-hadis yang sahih. Tokoh dalam Mazhab al-Syaifi'i, Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya ketika mengulas tentang Solat Raghaib, iaitu solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, beliau begitu tajam membantah. Ini dapat dilihat beliau ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Daripada Abi Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda: "Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam- malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).

Kata al-Imam al-Nawawi: "Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya". (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair). Demikian tokoh lain Mazhab al-Syafi'i al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: "Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib". Katanya juga: "Ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk…"( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba' wa al-Nahy 'an al-Ibtida' m.s 52. Beirut: Dar al-Fikr ).

Kita lihat mereka ini begitu tegas bahkan ayat mereka begitu perit dan keras dalam membantah amalan ibadah khusus yang tidak berasal daripada Nabi SAW. Tujuan mereka semua demi mengekalkan ketulenan agama wahyu, agar tidak berlaku campur tangan manusia. Firman Allah: (maksudnya): "Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat - mana-mana bahagian dari agama mereka - apa yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah al-Syura: ayat 21). Sabda Nabi SAW.: "Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Saya begitu tertarik dengan dialog antara al-Imam Malik dengan seorang yang ingin membuat amalan yang lebih baik daripada Nabi SAW. Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: "Wahai Abu 'Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut berihram?. Jawabnya: "Daripada Zu Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram". Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: "Jangan buat". Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi SAW. Jawab al-Imam Malik: "Jangan buat, aku bimbang fitnah (kerosakan agama) menimpa kamu". Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya? Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik: "Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang Rasulullah SAW yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) "Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (Rasulullah SAW), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)" (Al-Syatibi, Al-I'tisam, m.s. 102 Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi)

Berihram

Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi SAW atau kubur baginda SAW, namun al-Imam Malik bin Anas membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap diri seakan dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi SAW.

Jelas, niat yang baik tidak memadai jika tidak berdasarkan petunjuk yang betul. Dalam soal muamalat atau kehidupan biasa agama begitu luas. Tidak begitu sempit seperti dalam soal ibadah khusus yang membabitkan solat, puasa, doa khusus dan seumpamanya. Namun begitu, janganlah dalam kealpaan kita menguruskan urusan dunia, maka pelaksanaan perkara-perkara yang baik dibuat dalam bentuk yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam. Mengutip derma untuk anak yatim umpamanya memanglah baik tujuannya. Namun, jika caranya itu dengan membuat konsert yang menggalakkan anak muda ke arah unsur-unsur yang negatif maka itu tidak lagi dianggap baik. Ini kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebab itu saya membantah upacara tafakur dan menghormati Tugu Negara. Walaupun mungkin niatnya baik untuk mengenang para pahlawan kita, namun itu bukan caranya. Upacara itu mempunyai unsur keberhalaan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang bersih dari unsur kesyirikan. Jika pelaku upacara ini menyatakan dia tidak mempunyai sebarang iktikad atau niat bahawa tugu itu dapat memberikan manfaat atau mudarat melainkan sekadar upacara kosong semata, bererti pelakunya itu telah melakukan kerja yang sia-sia. Juga ia tetap haram di sisi syarak kerana menyamai aktiviti agama penganut kesyirikan. Jika pelaku upacara tersebut beranggapan perbuatan tersebut boleh mendatangkan keamanan dan ketenteraman kepada negara, atau kebahagiaan kepada ruh para pahlawan, maka keyakinan dan pelakuan itu membawa kesyirikan yang jelas. Lupakah kita apa yang Nabi Ibrahim a.s tegur kaumnya? Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya.Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah ini patung-patung ini yang kamu berdiri mengadapnya (memujanya)?.Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk nenek kamu dalam kesesatan yang nyata". (Surah al-Anbiya: ayat 51-54). Fatwa-fatwa di peringkat beberapa negeri dan kebangsaan telah pun mengharamkan perbuatan ini. Malangnya ia dihidupkan kembali secara rasmi dan umat Islam mendiamkan diri. Saya mengambil risiko mengingatkan hal ini untuk seluruh umat Islam, terutama kepada generasi baru yang mula longgar pegangan akidah mereka. Janganlah kerana mereka melihat hal ini dilakukan di peringkat atasan, lalu mereka menganggap ia tidak menjadi kesalahan dalam pegangan agama. Besok mungkin mereka juga akan pergi memberikan hormat atau sembahan kalungan bunga atau buah kepada mana-mana patung atau tugu atau pongsu yang dianggap mulia. Janganlah pula sesiapa yang memakai gelaran agama cuba untuk menjustifikasikan pula perbuatan tersebut. Jangan sampai pengampu atau penasihat ber'persen' itu membawa rebah.

Lupakah kita kepada nama-nama berhala Kaum Nabi Nuh a.s. Firman Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran: (maksudnya) "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr. Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua" (Surah Nuh: ayat 23-24).

Dalam hadis al-Bukhari, Ibn 'Abbas menyebut bahawa: Wadd, Suwaa, Yaghuth, Ya'uuq dan Nasr tersebut asalnya nama orang-orang soleh di kalangan kaum Nuh. Apabila mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada kaum Nuh agar membuat patung-patung ditempatkan dalam majlis-majlis mereka. Patung-patung tersebut dinamakan dengan nama orang-orang soleh berkenaan. Lalu kaum Nuh pun membuatnya tanpa disembah. Sehinggalah apabila matinya generasi tersebut dan pengetahuan pun sudah tiada, maka patung-patung itu pun disembah. (Riwayat al-Bukhari)

Natijah

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka pada masa hadapan. Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun". (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai-bagai pada hari ini. Keghairahan mengubah landskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya. Tindakan itu biasanya dapat mentafsirkan niat yang terpendam. Sama seperti pertunjukan konsert londeh seluar yang kononnya dikatakan bertujuan baik. Namun yang kita tahu caranya buruk, maka ia dinilai dengan nilaian yang buruk. Sekali lagi, kita bukan pengikut Robin Hood yang menghalalkan sebarang tindakan yang nyata bertentangan dengan etika yang betul hanya semata atas slogan atau kononnya niat yang betul.