27/04/2008 - Antara merebut nama Allah dan mempertahan akidah

BANYAK pihak mendesak saya memberi pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya Kristian di Malaysia. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberi pandangan ringkas dengan berkata: “Ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan. Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible bahasa Melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak edisi Inggerisnya? Adakah ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu

Didesak

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: “Jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-sunah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut. Kadangkala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu terpenting adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap Muslim atau bukan Muslim di negara ini. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis. Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya : Mengapakah kita sentiasa merasakan akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil Tuhan Allah? Mengapakah tidak dirasakan itu lebih memudahkan bagi menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam atau kebimbangan disebabkan kelemahan umat Islam?”

Jika kita membaca al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah! (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman! (Surah al-Zukhruf ayat 87-88). Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (surah al-Ankabut ayat 63). Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantah golongan bukan Muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. disuruh mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik. Justeru, soal bukan Muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah. Apakah patut kita kata kepadanya: “Awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan Muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan.” Apakah ini tindakan betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah.” Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha Suci Allah dari dakwaan awak.”

Keamanan

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya)... Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40). Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian, Allah menyebut: (maksudnya) Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti).” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. (Surah al-Maidah ayat 73). Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa di kalangan ulama Muslimin sejak dahulu yang membantah. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini. Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia akan begitu defensive, tidak memiliki antibodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan. Sehingga Allah menyebut (maksudnya): Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: Nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata: “Jika sebutan nama Tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka sekian lama memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk nabi, Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraisy dahulu. Quraisy pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: Labbaikallahhumma yang bermaksud: Menyahut seruan-Mu ya Allah! Al- Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraisy Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraisy ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: Barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan nama-Mu Ya Allah!).” Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik. Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi pada masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang- orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu. Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3). Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiah, uluhiah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan Muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zat-Nya, ibadah kepada-Nya dan sifat-sifat-Nya.

Mudah

Persoalan tauhid antisyirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w. telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang Badwi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan. Bukan sahaja Badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi tambah serabut. Bertahun-tahun masih kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta... lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan Tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut? Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid antisyirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah... Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘ iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut Tuhan bapa, Tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang antisyirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama Nabi Ibrahim, Ishak, Ya‘kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar di KAFA, JQAF dan pelbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, ini adalah isu kelemahan umat Islam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan. Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bila kita mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, pelbagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan. Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

20/04/2008 - Kekeliruan identiti menjadikan kita hilang arah

Saya baru sahaja berjumpa dengan Perdana Menteri secara peribadi di pejabatnya pada hari Khamis lepas. Saya memberikan pandangan dalam beberapa perkara. Antaranya mengenai tuntutan memaklumkan keislaman seseorang yang baru menganut Islam kepada keluarga. Saya bertanya maksud beliau, kerana saya amat tidak bersetuju jika itu dijadikan syarat. Beliau memberitahu saya, itu bukan syarat pengesahan pendaftaran. Beliau akan membuat penjelasan nanti. Saya berterima kasih dan lega. Jika tidak, saudara-saudara muslim kita yang baru akan menjadi mangsa, sama ada tekanan keluarga atau tekanan undang-undang. Maka betapa Islam yang menjadi agama rasmi negara ini, penganutnya pula tertindas. Di manakah identiti Islam dalam negara ini?

Melihat fonomena semasa, amat mendukacitakan kita. Orang politik Melayu- Muslim kita, hampir kesemua aliran yang ada sedang kegilaan mendapatkan kuasa. Bagaikan seseorang yang sedang jatuh cinta yang terlampau dan sanggup mengorbankan apa sahaja. Bak kata P.Ramlee dalam lagunya: Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Kepentingan sendiri tidak diingini, bahagia kekasih saja yang diharapi. Saya fikir ramai di kalangan pemimpin politik yang beragama Islam yang mungkin jika menyanyikan lagu ini semula maka begini bunyinya: Berkorban apa sahaja, agama ataupun negara. Itulah bukti kerjasama sehati dan saksama. Kepentingan umat sendiri tidak diingini, bahagia pengundi, itulah yang diharapi. Saya tidak perkauman. Saya bukan pejuang bangsa tetapi saya ingin berjuang untuk kepentingan umat Islam, tanpa mengira bangsa, dalam masa yang sama memberi keadilan untuk semua. Namun dalam acuan dan kerangka yang diajar oleh Islam.

Saya tidak pernah menafikan hak bukan Muslim dalam negara ini. Islam mengiktirafnya. Tetapi saya bimbang dalam keinginan ahli-ahli politik Muslim untuk menjaga hati pasangan mereka, mereka melupai identiti diri dan masa depan umat sendiri. Hinggakan dahulu ada yang mengkafirkan orang lain kerana kerjasama dengan parti bukan Muslim atau memangkah calon yang bukan Muslim, hari ini dunianya pun sudah terbalik. Sepatutnya fatwa itu ditarik dahulu, atau diberikan penjelasan semula agar tiada siapa yang akhirnya mengkafirkan dirinya sendiri. Bukanlah isu itu yang hendak dibangkitkan, sebaliknya nak menjelaskan betapa tsunami politik boleh mengubah banyak perkara. Itu mungkin biasa. Tetapi jangan sampai menggadaikan diri kita semua.

Sekali lagi, saya tidak fanatik melulu. Tulisan dan pendapat saya sentiasa stabil tentang perlunya Islam ini digambarkan secara lunak dan murni kepada non-Muslim. Namun kali ini saya ingin meminta mereka semua berfikir, atau pembaca saya menyampaikan fikiran ini kepada mereka. Kecenderungan sesetengah mereka di akhir-akhir ini untuk menuntut berbagai- bagai perkara, agak merisaukan. Apatah lagi mereka tahu, rakan-rakan politik dari pelbagai aliran akan melayan demi kerusi kesayangan atau idaman. Setiap warganegara dalam naungan politik Islami, boleh menuntut haknya jika benar itu haknya. Namun tuntutan sehingga kepada peringkat menghakis identiti negara ini sebagai negara Muslim amat berbahaya.

Menyangka

Mereka janganlah menyangka bahawa orang Islam di Malaysia begitu tidak adil. Sehingga kononnya ingin menjemput bantuan luar. Kita tidak ingin membabitkan dosa luar dibawa ke mari. Jika kita ingin menilai berdasarkan pendangan luar, kita mungkin boleh bertanya; adakah umat Islam di India mendapat hak seperti kaum Hindu mendapat hak dalam negara ini? Di India, masjid mereka diruntuhkan, mereka ada yang dibunuh, dirogol, diseksa dan berbagai-bagai lagi. Namun pernah itu dijadikan sukatan dalam memberikan hak dalam negara ini? Tentu sama sekali tidak. Islam pun berpegang bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Lihatlah layanan yang diperoleh oleh masyarakat muslim di China. Bandingkanlah apa yang telah diperoleh oleh kaum Cina bukan Muslim di negara ini pula. Lihatlah pula minoriti Muslim di negara-negara majoriti Hindu atau Buddha. Jikalaulah sukatan luar itu diambil sebagai penilaian, tentulah buruk natijahnya. Lihatlah Amerika yang menyeru kepada demokrasi. Pertempuran di Iraq, Afghanistan dan kebangkitan rakyat Palestin yang dizalimi menentang kekasihnya Israel, turut ditanggung oleh rakyat Muslim di Amerika. Mereka dilayan dengan cara yang menakutkan. Adakah hal ini dilakukan dalam negara ini? Kita telah hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini jika dikoyak, sukar untuk dicantumkan kembali.

Apabila Islam diberikan kelebihan dalam negara ini, itu adalah perkara biasa. Ini kerana Islam adalah agama rasmi negara dan majoriti penduduknya menganut Islam. Inilah juga berlaku di India, Thailand dan lain-lain yang mengutamakan agama negara. Bahkan negara-negara yang memakai label sekular di Barat memberikan keutamaan kepada agama Kristian melebihi agama lain. Tiba-tiba ada pihak yang menganggap keistimewaan yang diberikan kepada agama Islam dalam negara ini sebagai tidak adil. Malangnya disokong pula oleh yang mengaku Muslim. Padahal ada agama tertentu yang telah mengkasta-kasta sesama penganutnya pun. Sehingga ke tahap yang - pada penilaian Islam- amat tidak wajar dari segi kemanusiaan. Sehinggakan kasta bawahan tidak boleh makan atau bergaul bersama kasta atasan. Itupun diterima. Tiba-tiba dibantah kelebihan yang diberikan dari segi perlembagaan dan kewangan kepada agama Islam.

Pun begitu, kita juga dalam masa yang sama menyedari bahawa ada perkara yang berhubung dengan hak bukan Muslim yang perlu untuk disemak dan diteliti semula. Jika ada kecacatan tentang hak mereka, bukanlah salah ajaran Islam, jangan mereka mentohmah Islam. Mungkin beberapa kesilapan penganutnya atau pengurusan yang tidak tepat. Percayalah, tidak ada agama dalam dunia yang begitu meraikan kebajikan bukan penganutnya seperti ajaran Islam ini. Lihat al-Quran menyebut: (maksudnya) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al- Mumtahanah ayat 8-9).

Bahkan Allah menjamin bukan Muslim dalam keadaan yang sukar dengan menyebut: (maksudnya): Dan jika seseorang daripada kalangan Musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan Rasul-Nya bagi orang-orang Musyrikin (sedangkan mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (Musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjidilharam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang bertakwa. (Surah al-Taubah: 6-7). Apakah ada jaminan dalam nas- nas agama lain terhadap umat Islam?

Apa yang menjadi masalah pada hari ini bukanlah ajaran Islam yang perlu dbimbangi oleh mereka jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan terhadap asas keadilan yang menjadi teras agama ini. Apa yang menjadi masalah adalah sikap dan kelakuan sesetengah umat Islam itu sendiri yang tidak menunjukkan imej yang baik tentang Islam. Saya pernah membangkitkan berbagai-bagai isu yang salah ditangani oleh orang Islam. Dulu saya pernah bangkit ‘isu bin Abdullah’, isu jawab salam, isu murtad dan berbagai-bagai lagi. Begitu juga saya kurang setuju kita merebut jenazah yang tidak ada bukti yang kukuh tentang keislamannya. Sehingga menimbulkan salah faham, atau mudarat kepada Islam. Rasulullah saw pun tidak menuntut jenazah Raja Habsyah iaitu Najasyi yang menganut Islam secara sembunyi dan mati di sana. Kerajaan Habsyah adalah kerajaan Kristian. Keislaman Raja Najasyi adalah secara sembunyi. Orang Islam mengetahui keislamannya. Dia sering berutusan dengan Nabi SAW. Namun apabila dia meninggal, Nabi SAW hanya bersolat jenazah secara ghaib (tanpa kewujudan jenazah) di Madinah. Dalam hadis al-Bukhari: daripada Jabir r.a: Nabi SAW bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi). Para sarjana fikah mengulas berbagai-bagai alasan tentang solat jenazah ghaib ini. Antara mereka ada yang menyebut disebabkan jenazahnya tidak disolatkan di tempat kematiannya kerana berada bersama dengan orang Kristian. Jika jenazah Najasyi yang disayangi oleh Nabi SAW lagi nyata Muslim di sisi orang Islam Madinah apabila tiada keupayaan untuk menuntutnya dibiarkan tanpa dituntut, demikianlah jenazah Muslim biasa yang tiada bukti yang jelas, maka bagaimanakah kita hendak terus menuntutnya? Allah Maha Mengetahui keadaan setiap hamba-Nya yang mati.

Menghormati

Mereka bukan Islam juga hendaklah menghormati perasaan umat Islam dalam negara ini. Mereka hendaklah mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam. Menghina ajaran Islam; seperti mencerca atau mengutuk Allah, atau para nabi wajib dielakkan dalam apa bentuk sekalipun. Demikian juga seperti meminum arak di khalayak ramai, memakan, menjual atau menternak babi secara terbuka dan seumpamanya. Walaupun hal itu tidak menjadi kesalahan bagi mereka, namun ia sensitif bagi umat Islam. Mereka boleh makan dan minum di kalangan mereka tetapi bukan secara terbuka sehingga menimbulkan keresahan.

Malangnya dalam negara kita, umat Islam sendiri telah double-standard, arak dan babi keduanya diharamkan Allah, tapi cuma babi sahaja yang dijauhi, sementara arak diiklan secara meluas. Sedangkan nas-nas pengharaman arak lebih banyak dan tegas daripada larangan memakan babi. Sepatutnya pemerintah di setiap peringkat - negeri ataupun pusat - dalam negara ini mempertahankan identiti negara ini, jangan sampai kita menjadi pengekspot babi ataupun arak.

Identiti Islam dalam negara kita ini dari beberapa sudut amat samar. Maka tidak hairan jika Muslim dan bukan Muslim semakin keliru. Sesetengah pentas kita berkata ingin menghayati Islam. Tetapi akhirnya yang nampak hanyalah slogan dan kain rentang semata. Saya tidak maksudkan dengan identiti Islam itu pemimpin negara ini kena berserban dan berjubah, atau pakaian rakyat jelata ditukarkan kepada fesyen Arab, atau dendangan nasyid di sepanjang jalan, atau diharamkan hiburan dan filem seperti yang dibayangi oleh sesetengah pendendang negara Islam tanpa kefahaman yang betul. Tetapi saya maksudkan identiti negara Islam itu prinsip-prinsip Islam mesti dipertahankan. Keadilan, ketelusan, keamanan dan kemuliaan negara berdasarkan Islam. Semua perdagangan, pertahanan, pendidikan, alam sekitar, hubungan sosial dan selainnya mestilah dibina atas prinsip-prinsip mulia yang diasaskan oleh Islam. Jika ini berlaku, maka Islam akan difahami dan dipandang tinggi oleh bukan Islam. Jika tidak, mereka keliru dan tiada penghormatan kepada penganutnya. Saya tidak tahu di manakah identiti Islam bagi negara ini jika saya berjalan di Bukit Bintang. Di manakah gambaran keindahan Islam yang menjaga kerosakan akal, jika pusat-pusat hiburan kita penuh dengan manusia mabuk dan hilang akal? Jika sampai sahaja ke gerbang negara ini, kedai-kedai arak dijual terbuka. Apakah negara ini kelihatan amat mundur kerana tidak manusia mabuk? Apakah bukan Muslim akan rasa begitu tertindas jika arak tidak dipamerkan secara terbuka? Saya tidak fikir mereka merasa begitu. Akhirnya kita menghadapi krisis identiti diri. Antara slogan Islam dan penghayatan yang dilaksanakan. Seperti seorang artis yang keliru antara ingin menjadi penyanyi atau menjadi super man. Krisis identiti ini juga kadangkala seperti seorang yang berjantina lain, tetapi berkecenderungan lain. Akhirnya ‘saudara’ pun tidak, saudari pun tidak. Maka akhirnya mungkin dipanggil ‘saudarai’. Negara kita ini perlu menjelaskan apakah identitinya yang sebenar? Setelah dijelaskan maka senanglah untuk kita membuat penilaian atas tindakan. Saya lihat kekeliruan sarat berlaku kepada semua jenama parti politik yang ada. Tsumani politik telah merubah banyak identiti negara dan parti.

13/04/2008 - jika pemerintah bertaubat dengan taubat nasuha

Kita semua wajar bersikap adil. Pilihan raya telah pun berlalu. Kita mengundi untuk kebaikan negara. Kita inginkan perubahan ke arah yang lebih positif, adil dan telus. Mesej rakyat kepada parti-parti politik dalam perkara tersebut sudah pun difahami oleh mereka. Hari ini usaha-usaha ke arah hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilaksanakan. Kerajaan Pusat juga telah merangka berbagai-bagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan. Demikian juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama. Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina. Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Malanglah kita orang Islam apabila berbalah, melampaui batas. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dukacitalah kita ini, jika dalam percaturan politik umat Islam, ‘orang lain’ yang mendapat banyak manfaat dan berjaya memperoleh berbagai-bagai tuntutan, sedangkan kita hanya menang ‘tuduh menuduh, bertengkar, bermasam muka, gelar-menggelar dan segala macam racun yang lain. Ketika orang lain yang semalamnya bagaikan musuh yang sengit, hari ini sedang berpelukan meraikan kejayaan memperoleh segala macam tuntutan, kita masih lagi bagaikan ‘sedang mengasah parang’ untuk meneruskan kematian.

Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil daripada nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang- kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya. Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubat nasuha. Allah menyebut dalam Surah at-Tahrim ayat 8: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.

Terlaksananya taubat yang sebenar itu dengan seseorang insan menyesali kesalahannya, memohon keampunan daripada Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jika kesalahan itu membabitkan insan yang lain, maka dia hendaklah membetulkannya dengan mengembalikan hak yang diambil, atau menafikan tuduhan yang dilemparkan. Jika itu berlaku, maka mereka akan insan tersebut janji Allah dalam firman-Nya: (maksudnya) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan gantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Furqan: 70).

Kesalahan

Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihan raya yang lepas, perkara pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri dari semua krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggungjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah. Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan. Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan. Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya) “Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada- Nya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.” Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya. Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya) “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah- curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai- sungai (yang mengalir di dalamnya).” Ayat- ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.

Pascapolitik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya. Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat. Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bala atau ujian ditimpakan kepada sesuatu kaum dalam firman-Nya: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya Kami telah utuskan rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kesusahan dan penyakit, supaya mereka merendah diri (insaf dan bertaubat). Maka Alangkah eloknya kalau mereka merendah diri (insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala perkara (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)”. Ya Allah! Peliharalah kami dari balaMu! Lihatlah keamanan kita juga dirasakan makin terhakis saban hari. Kejadian-kejadian yang meragut ketenteraman mula bertali arus. Setiap kita mula bimbang dan risau atas keselamatan diri dan keluarga sekalipun berada dalam rumah sendiri. Polis pun tidak dapat menyelesaikan ketakutan seperti itu. Wahai pemerintah! Hanya Allah yang dapat mengeluarkan kita dari semua itu. Kembalilah kepada-Nya!

Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa. Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat mana pun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri air mata. Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya. Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.

Contoh

Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka – jika tidak betul cara – menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga make-up datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi. Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama Muslim. Manusia ini bagaimanapun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam erti kata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.

Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadangkala melihat seakan generasi muda Melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk dengan dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai-bagai. Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa generasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.

Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan daripada menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya-Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat! Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.

Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun).” (Surah al-Anfal: 33).

Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat daripada segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat. Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekalian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki daripada kemelut yang ada. Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘A’raf: 96).

06/04/2008 - Jika kita tidak dihina orang, jangan menghina diri sendiri

FILEM Fitna, sebuah filem ringkas ahli Parlimen Belanda Geert Wilders itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Ternyata benar pembikin filem berkenaan menyimpan kebencian yang amat tinggi terhadap Islam dan umatnya. Di Malaysia agak menarik, mereka yang sebelum ini tidak pernah sensitif dalam isu-isu yang seperti itu, tiba-tiba muncul mengangkat sepanduk bantahan. Mungkin semangat baru muncul untuk membela Islam. Atau, sebagai salah satu ubat yang cuba ditelan bagi memulihkan diri akibat hentakan demam pilihan raya yang ramai belum dapat ‘kebah’. Apa pun sebabnya, saya amat bersetuju dengan bantahan tersebut dan juga kempen memboikot barangan Belanda.

Namun, seperti biasa saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari sudut-sudut yang lain. Kita perlu jelas, bahawa apa yang kita bantah bukanlah hak untuk individu atau syarikat menerbitkan sesebuah filem. Kita percaya kepada hak dan kebebasan individu, atau syarikat atau negara dalam batasan yang wajar. Sebenarnya, yang kita marah adalah pembohongan, pengkhianatan dan penyelewengan fakta. Itu yang dibantah. Sama seperti seseorang yang menggunakan haknya untuk mendengar radio, namun dia menguatkan suara sehingga mengganggu jiran tetangga. Maka anak kecil yang sedang tidur menangis, ibunya terjaga, yang sedang membaca terganggu dan sedang berehat sesak pendengaran. Lalu mereka membantahnya. Dengan gaya selamba lagi ‘bodoh’ dia menyebut; “ini hak saya untuk mendengar, lagipun ini radio saya sendiri.” Lalu mereka menyatakan kepadanya: “kami tidak membantah hak awak untuk mendengar radio awak, tetapi kami membantah kerana awak mengganggu kehidupan kami.” Ya! Kita tidak membantah mereka ingin berkarya dalam pembikinan filem atau seni, tetapi kita membantah fitnah dan pembohongan yang mampu mengganggu ketenteraman hidup dan keamanan kita. Itu namanya penyalahgunaan hak yang disebut oleh para sarjana fikah sebagai al-Ta‘assuf fi Isti‘mal al-Haq. Adalah bodoh jika media Barat ingin mempertahankan hak Geert Wilders untuk berkarya kerana kita tidak mempertikaikan haknya untuk berkarya, tetapi kita mempertikaikan penyalahgunaan hak.

Sebenarnya juga, kempen memburukkan wajah Islam dengan melabelkannya sebagai pengganas dan kejam bukan bermula dari filem Fitna. Media-media Barat seperti CNN telah lama melancarkan serangan pemikiran ke atas masyarakat dunia amnya dan masyarakat Barat khususnya demi merosakkan gambaran Islam. Filem ini hanyalah kesinambungan dari usaha-usaha tersebut dengan cara menyunting kejadian-kejadian ganas yang dikaitkan dengan orang Islam serta memetik ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan jihad. Petikan ayat-ayat tersebut tanpa memahami latar teks dan isu sebenar yang dijelaskan oleh al-Quran membuatkan mereka yang jahil hakikat Islam berasa adanya hubungkait antara keganasan dan al-Quran. Saya telah menjawab isu jihad ini dalam salah satu rencana saya yang lepas “Wahai Dunia! Islam Bukan Agama Pengganas”.

Namun apa yang menjadi masalah yang terbesar adalah tindakan sesetengah umat Islam yang tidak mengikut disiplin Islam seakan membuka ruang untuk tohmahan-tohmahan seperti ini menjadi subur dalam pemikiran masyarakat dunia yang tidak faham. Pada hari ini, media-media utama dunia tidak kita kuasai. Media adalah senjata peperangan yang paling ampuh di kurun ini. Ia mampu membentuk pemikiran dan tindakan manusia. Sesiapa yang senjata ini tidak dimiliki olehnya maka dia bila-bila masa boleh menjadi mangsa. Apabila Yahudi antarabangsa membuat keputusan mencomotkan wajah Islam menerusi media, sementara di kalangan umat Islam pula melakukan tindakan-tindakan yang membuka ruang untuk rancangan jahat itu berjalan, maka wajah Islam benar-benar dipalit dengan keburukan. Ramai umat Islam yang bertindak seakan sedang hidup pada zaman kekhalifahan Islam yang cemerlang yang dapat membela dan melindungi umat. Mereka lupa kita kini seakan sedang hidup di zaman awal Islam di Mekah yang amat ditindas dan segala tindakan kita perlu diambil secara berhati-hati dan mengira untung rugi dengan teliti.

Kehairanan

Saya kadangkala kehairanan melihat sesetengah ahli politik tertentu di Malaysia yang selalu dimangsakan oleh media. Setiap kali membuat kenyataan, dia terkena. Pun begitu dia masih mengulangi kesalahan yang serupa. Sama ada dia ahli politik yang bodoh, atau media lebih cerdik. Jika awak tahu awak selalu dimangsakan, janganlah bergaya di depan media macam ‘bapa awak’ yang punya. Pilihlah perkataan yang tepat, atau diam. Demikianlah juga, kita faham perasaan mereka yang dibom kampung halaman dan negara, dirogol dan dibunuh anak isteri, ibu dan bapa seperti yang dilakukan oleh Amerika, Israel dan kuncu-kuncu mereka terhadap umat Islam di negara-negara yang dicerobohi. Kebencian dan dendam yang meluap-luap. Kemarahan yang tidak bertebing lagi. Namun menyembelih musuh untuk disiarkan kepada dunia tidak memberi manfaat kepada umat Islam. Di samping tidak bertepatan dengan arahan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya): Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Media antarabangsa akan menyelewengkan isu tersebut. Masyarakat Barat yang barangkali tidak dapat memahami latar keadaan atau suasana yang mengheret kepada tindakan sedemikian ganas akan mengaitkan kejadian-kejadian seperti itu dengan Islam. Mereka akan terlupa apa yang dilakukan oleh tentera yang menceroboh, merogol, mencedera dan membunuh kaum keluarga pihak yang bertindak ganas dan itulah yang mengheret tindak balas yang sama. Akhirnya, mereka mentohmah Islam.

Kita semua kena sedar, zaman ini bukan zaman kegemilangan Islam. Jenama Islam dianggap rendah. Barat dengan segala kemajuan kebendaan lebih berjaya mengangkat jenamanya di persada dunia. Saya selalu buat contoh dari perkara yang kecil seperti syampu pencuci rambut. Jika kita membawa dua jenama, satunya dihasilkan oleh sekumpulan pakar dari Asia dengan segala kelebihannya, sementara yang satu lagi hanya disebut “formula dari sebuah negara Barat tententu” tanpa diterangkan kelebihannya, ramai dalam dunia ini akan menganggap yang dari Barat itu lebih baik. Hanya yang teliti akan cuba menyemak dan menilai kedua bahan tersebut.

Apabila Islam dituduh sebagai pengganas, mundur, tidak berdisiplin, jumud, tidak toleran dan seumpamanya oleh Barat, ramai yang percaya. Sebab, bukan ramai manusia dalam dunia ini yang ingin menyelidik sendiri hakikat sesuatu perkara. Kebanyakannya bergantung kepada cakap orang. Dalam zaman ini, kepada media. Ditambah pula contoh teladan yang buruk yang ditunjukkan oleh umat Islam. Membaca laporan media tentang pergolakan di negara-negara umat Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Somalia dan beberapa negara yang lain mematah semangat sesiapa yang ingin mendampingi agama ini. Melihat kemiskinan di dunia Islam menjauhkan manusia daripada Islam. Di manakah hendak diceritakan keindahan Islam dan kerahmatannya, jika dibanding kemiskinan, kekotoran, sampah sarap, kelam-kabut pengurusan dan segala unsur negatif yang terserlah di bandar-bandar Kaherah, Karachi, Islamabad, Jakarta dan selainnya dibandingkan bandar-bandar utama di Barat? Di manakah hendak diceritakan kemurnian akhlak Islam dibandingkan rasuah yang bermaharajalela, penyalahgunaan kuasa, kuku besi, tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang berlaku dalam politik dunia Islam, dibandingkan dengan ahli-ahli politik Barat yang lebih mampu mempamerkan identiti yang lebih baik untuk rakyat mereka? Di mana hendak diceritakan kehebatan sistem ekonomi Islam jika dunia Islam seperti Mesir yang mempunyai al-Azhar pun meminta belas ihsan bantuan kewangan dari Barat dan rakyatnya ramai merempat dan melarat? Sementara kebanyakan negara umat Islam kelam-kabut pengurusan ekonomi mereka. Bahkan menagih nasihat Barat dalam memulihkan kekuatan ekonomi sendiri. Di manakah hendak diceritakan persaudaraan Islam, jika setiap kali bencana seperti tsunami yang menimpa dunia Islam, bantuan Barat terlebih dahulu sampai sebelum bantuan negara-negara umat Islam? Banyak dan banyak jika hendak diungkit. Maka jangan hairan, jika manusia keliru dan mentohmah Islam. Islam yang indah dicemarkan oleh penganutnya sendiri. Seperti seorang ayah yang teramat mulia dan baik, tetapi mempunyai anak-anak yang buruk kelakuannya, lalu ayahnya ditohmah. Di manakah kita dari firman Allah yang menyebut: (maksudnya): Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat wasata (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu. (Surah al-Baqarah: 143).

Cahaya Islam

Dalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain. Politik Melayu Muslim lebih banyak memikirkan kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya. Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibu bapa dibandingkan anak ‘orang kita’. Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’ dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita benar-benar menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.

Saya teringat tulisan Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Mesir yang menyebut: “Aku seakan terbayang bagaimana orang Australia dan Amerika apabila berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, lalu Allah bertanya mereka: “Mengapakah kamu tidak mengenali-Ku dengan cara yang betul dan beramal dengan amalan yang soleh dan bersiap menghadapi hari pertemuan ini?" Mereka akan menjawab: “Sesungguhnya Arab yang mewarisi agama-Mu telah menghalang cahaya agamanya, atau memadamkan lampu-lampunya, mereka biarkan kami dan diri mereka dalam kegelapan.” ( Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri, m.s 32, Amerika: Al-Ma‘had al-‘Alami li al-Fikri al-Islami).

Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada kita, tetapi juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat terlebih dahulu, selagi itulah penghinaan seperti ini berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya, “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab, bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha‘ (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn. Seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah, cinta dunia dan takut mati (riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

Saya menyokong usaha memboikot barangan Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia bahawa umat ini membantah untuk dikaitkan al-Quran dengan keganasan. Namun kita semua mempunyai tugas yang jauh lebih berat iaitu memulihkan semula maruah dan harga diri umat ini. Seperti kata-kata al-Nadwi yang pernah saya petik: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah Islamiah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, Lacknow: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi).

Kembalilah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam al-Quran dan al-Sunah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di dunia, bukan ditindas dan dipandang rendah. Justeru, jika tidak mahu dihina orang lain, kita jangan menghina diri sendiri.