25/05/2008 - Islam itu matlamat, bukan alat

Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya menerusi kepatuhan kepada titah perintah-Nya dalam al-Quran dan sunah.

Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau “apa orang kata” atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan. Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau “menghalalkan” kesalahan kita. Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengaut atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka. Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah.. Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am‘am: 161-164). Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelemahan dan kesilapan dalam hidup ini. Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan. Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya. Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.

Keajaiban

Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana pelbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperoleh pelbagai keajaiban yang jika para sahabat Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu. Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah mempedulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu? Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan “melelong pahala”, maka al- Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al- Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar. Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat. Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka. Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan tidak bertukar pakaian? Patutkah ada mualaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta. Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.

Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Pelbagai nas dibaca menjelang pilihan raya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna. Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44) dan firman Allah: (maksudnya) “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun” (Surah Ali ‘Imran ayat 28). Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Saya pernah meminta agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat- ayat tersebut supaya dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya. Tujuannya agar tidak mengkafirkan orang lain dengan begitu mudah. Dia bantah saya, hampir saya pun dikafirkannya. Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan Islam, nadanya sudah berbeza. Saya berkata kepadanya: “Apa jadi dengan nas- nas yang dulu?” Katanya: “Syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok pelbagai perkara, bukan semua kita boleh buat”. Saya dengan sinis bertanya: “Tak jadi kafir ke kalau macam tu?” Jawab dia: “Kena tengok keadaan la”. Saya diam. Ya, mungkin kafir dulu itu, kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia dibaca untuk sesuatu kepentingan.

Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis, bukan prinsip yang dipegang. Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama. Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan “doa rasmi”, tetapi menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya. Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau penonjolan kempen agama. Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama ini.


Pendirian

Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang bagaikan “sumpah-sumpah” yang boleh merubah warna kulit berdasarkan keperluan majlis. Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara, tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan projek-projek kepada “anak-pinak” dan “rakan-taulan” dengan cara yang dipertikaikan. Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain. Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat berbeza antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan pelbagai lagi. Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung dan pelbagai lagi.

Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz di televisyen berceramah; “jangan membazir”, jimat cermat, belanja berhemat dan pelbagai lagi. Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk makcik-makcik di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena. Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu, semua rakyat akan menikmati kekayaannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah hanya 30 bulan, tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah pemerintahannya. Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di televisyen dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat. Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.

Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firman-Nya: (maksudnya) Dialah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat 22-23)

Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan keperwiraan. Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak bersetuju, maka dia memohon ampun dan maaf hanya kerana keris yang dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut. Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar menjadi Hang Takut. Namun, saya rasa kesalahan panglima Negara Entah Berentah memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan nas-nas agama.

18/05/2008 - Sempitnya perkauman, luasnya prinsip Islam

Sejak kebelakangan ini tempikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolong bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada menzalimi pihak yang lain. Nabi saw sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda saw pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa Melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi Arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa Cina tidak mungkin dapat menjadi Melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa India tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi Cina. Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang pelbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh menjadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya. Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukang azan) Nabi saw Sehingga orang Melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan. Sabda Nabi s.a.w.: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas A’jam (yang bukan Arab), atau A’jam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai oleh al-Albani).

perjuangan

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama. Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan pelbagai pihak atas sentimen kepuakan. Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperoleh sedekah Islam – termasuk dari zakat wajib dan wang baitulmal walau siapa pun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin. Di sudut ikatan nasab pula, seorang Cina, Melayu atau India tidak boleh menjadi Arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang Melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau makyung dan joget, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen. Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam. Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-

ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih 1,300 tahun yang lalu kepada orang Arab: “Dahulunya bangsa Arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rom. Demi Allah! Tiada di tanah air Arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan. Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang Arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia. Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmat-Nya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari -tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-

Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma‘rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa Melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik Melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri. Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’. Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’. Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memiliki ‘penagih dadah yang teramai’, pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

kepentingan

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhan raya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda Melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka. Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, “siapa yang menjual Tanah Melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama Melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara Melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-

prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrem sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang Melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat Arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat Melayu! Bukan Islam ala Melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya Cina dan Ah Seng bukan nama Arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa Melayu sekalipun Awang bukan nama Arab. Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah pada hal Allah mengizinkan, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah. Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik. Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat. Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak. Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah Islamiah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-

Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang Arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

11/05/2008 - Berhentilah memusuhi tanpa bukti

Apabila kita membaca al-Quran dan al-Sunnah, kita dapati Maha Adil adilnya Allah s.w.t. yang tiada suatu pun untuk dibandingkan. Adapun, dunia ini kelihatan tidak adil adalah hasil kerja buat manusia yang memusnah sistem yang indah dan cantik yang telah diletakkan oleh Allah untuk kehidupan. Sama seperti mana manusia memusnah ekosistem alam ini, manusia juga dalam banyak hal memusnahkan sistem keadilan dalam kehidupan sesama manusia. Seperti rosaknya alam; sungai, ozon, laut, bukit-bukau dan pelbagai lagi sehingga dunia ini rosak lalu memberi mudarat kepada kehidupan manusia, demikian juga manusia memusnah keadilan, kedamaian hidup, simpati dan rahmat yang akhirnya memusnah ketenteraman hidup sesama manusia. Lalu manusia bertanya: “Di manakah keadilan Tuhan?” Mereka lupa berkata: “Inilah hasil kezaliman kita”.

Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Sekalipun Dia Maha Tahu tentang dosa-dosa manusia, tetapi di akhirat kelak manusia tetap akan dibicarakan di mahkamah agung Allah yang bertempat di Padang Mahsyar. Setiap manusia akan ditimbang dosa dan pahalanya sebelum dihukum. Seperti firman Allah: (maksudnya) Maka Sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan Sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu. Kemudian Sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (para rasul dan umat mereka), dengan ilmu (berdasarkan pengetahuan yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami (Allah) tidak sekali-kali ghaib (maksudnya sentiasa mengetahui akan hal ehwal mereka).

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Surah al-‘Araf ayat 6-9). Jelas, Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia, pun begitu diwujudkan sistem yang menunjukkan keadilan-Nya dengan ditimbang amalan manusia; baik dan buruk barulah dijatuhkan hukuman syurga atau neraka. Padahal jika Allah tidak membuat timbangan sekalipun, keputusan Allah tidak mungkin akan silap, kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui. Ilmu Allah meliputi segalanya, namun demi menunjukkan keadilan, agar hamba-hamba-Nya tidak mempunyai sebarang alasan atau tidak puas hati apabila dihukum, diwujud sistem keadilan perbicaraan dan timbangan dosa. Firman Allah: (maksudnya) “Pada hari lidah, tangan serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Benar (Maha adil), lagi Nyata (keadilanNya)”. (Surah al-Nur: ayat 24-25).

Jika Allah tidak mewujudkan mahkamah perbicaraan di Hari Kiamat, adakah sesiapa yang boleh membantah Allah? Adakah sesiapa yang boleh menyatakan Allah tersilap dalam hukuman-Nya? Adakah sesiapa boleh menggugat kuasa Allah, seperti manusia menggugat kuasa pemerintah di dunia menerusi pemberontakan atau pilihan raya? Sama sekali tidak! Maha Suci Allah, tiada siapa yang dapat mencabar kebesaran kerajaan-Nya. Pun begitu diwujudkan sistem perbicaraan yang maha adil di mahkamah-Nya. Jika demikianlah Allah, apakah boleh di dunia ini manusia dihukum tanpa dibicara secara adil dan saksama?

Apakah wajar mana-mana peruntukan akta yang membenarkan seseorang dihukum dengan suatu hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Mungkin seseorang boleh dikurung untuk sementara waktu siasatan, tetapi keadilan menyatakan dia wajib dibicarakan sebelum dihukum agar dia memahami apakah dosanya.

Jika manusia dihukum tanpa diberi peluang membela diri, maka jadilah macam peristiwa pembunuhan di Kuala Perlis baru-baru ini. Apabila mangsa dituduh mengintip seorang gadis, lalu diheret keluar dari rumahnya, dipukul beramai-ramai sehingga mati. Isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul. Khabarnya, kemudian mereka sedar bahawa mereka tersilap orang. Mangsa telah mati, dihukum tanpa dia mengetahui apakah dosanya. Jika pun itu dosanya, apakah berhak dia dibunuh? Justeru, agama memusuhi perbuatan menghukum manusia tanpa bukti yang sah dan perbicaraan yang benar. Maka perbuatan seperti ini adalah amat terkutuk.

Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Justeru, jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya; secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Itulah peranan fatwa yang berkongsi dengan keperluan rakyat. Jika tidak, kita akan terpinggir dari arus masyarakat yang mahu kejujuran dan ketulusan dalam pandangan agama.

Dalam dunia terbuka pula, manusia akan dihukum disebabkan tuduhan yang tidak berasaskan bukti. Seseorang akan ditohmah, atau ditempelkan label yang buruk hanya kerana tuduhan tanpa perbicaraan atau alasan. Mungkin tidak dipenjara atau dibunuh, tetapi akan dihukum dalam masyarakat terbuka atas tuduhan yang dibuat oleh orang lain kepadanya. Mungkin ada yang akan pandang sinis, atau menolaknya, atau mempertikaikannya. Kadang-kala kesan hukuman masyarakat itu lebih perit dari sebatan atau penjara. Dalam dunia Internet, ramai yang menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti atau ruang membela diri. Dalam politik juga demikian. Pelbagai label akan dilekatkan. Dalam dunia agama pun lebih kurang sama, bahkan kadang kala ‘lebih kuat syaitan berperanan menghasut’.


Pembaharuan

Sejak dahulu, jika ada pihak yang cuba membuat pembaharuan dalam memajukan pemikiran golongan agama dan umat Islam, pelbagai tohmahan dilontarkan. Mereka dituduh ‘kaum muda’. Maka menjadi mangsa ketika itu Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Burhanudin al-Helmi, Za‘ba, Mustafa ‘Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Sehingga tokoh besar seperti Buya Hamka dari Indonesia dilarang masuk ke Johor atas tuduhan yang sama. Hanya kerana ada kelompok yang hasad dan ingin menjaga kepentingan diri. Hari ini jika anda berbicara tentang keterbukaan pemikiran, keluasan menerima pendapat, kembali kepada nas-nas Islam yang asal maka anda sekali lagi akan dituduh kaum muda, atau Wahabi atau liberal. Walaupun anda tidak tahu apa itu Wahabi atau liberal dan apa itu kaum muda. Tuduhan itu tidak memerlukan bukti atau alasan, cukuplah untuk dijadikan tuduhan kerana hanya pendapat anda berbeza. Tuduhan tanpa bukti atau peluang pembelaan diri adalah kezaliman. Ia selalu dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.

Maka agama ini memusuhi tuduhan kosong tanpa alasan yang berteraskan dalil dan bukti yang ilmiah. Firman Allah: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah al-Hujurat ayat 11).

Perangai suka menuduh secara rambang adalah lambang manusia kehabisan alasan. Saya dukacita apabila ada pihak menuduh keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan peguambela Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani adalah menggalakkan orang murtad. Bahkan ada yang melempar tuduhan lebih berat kepada beliau kononnya membela untuk orang menjadi murtad. Jika pembaca masih ingat, tahun lepas semasa awal-awal saya menulis di ruangan ini, saya menulis “Murtad: Antara Emosi dan Realiti”. Antaranya saya menyebut: “Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada perlanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. Apabila perlanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-

Nya, atau mengisytiharkan diri keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad. Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak oleh mana-mana pihak. Penyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar hakikat akidah. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar? Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat merbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka kepangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini”.

Maka, keputusan mahkamah tersebut dan tindakan peguam bela berkenaan sebenarnya berusaha membuang barah dari umat Islam. Tanyalah akal yang matang; adakah seseorang murtad kerana ada ruang murtad di mahkamah? Atau seseorang menjadi murtad kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti? Sudah pastilah jawapannya kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti. Jika demikian jawapannya, ubat kepada penyakit ini apakah dengan cara menghalang penukaran kad pengenalannya sedangkan dia hilang keyakinan terhadap Islam, atau meningkatkan dakwah dan kesedaran penerangan yang matang kepadanya? Tentulah dengan dakwah dan penerangan yang matang. Maka orang murtad bukan kerana keputusan mahkamah, tetapi kerana dakwah yang lebih, sedangkan peruntukan melimpah.

Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas. Mualaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat menjinakkan hati mereka kepada Islam. Janganlah ketika mualaf hidup susah bersama keluarganya kita tinggalkan, apabila meninggal kita merebut pula mayatnya. Masa hidup kita biar, masa mati kita tuntut, apakah itu keindahan Islam?

Tuduhan

Dahulu saya mencadangkan masjid Cina. Ada yang buat tuduhan rambang kononnya nanti habis al-Quran dalam masjid tersebut akan dibaca dalam bahasa Cina. Solat pun dalam bahasa Cina. Inilah orang kita, kuat menuduh bukan kuat berfikir. Sehingga ada yang mengaku penasihat agama pun lebih kurang sama. Apakah di masjid Melayu dan India al-Quran dibaca dalam bahasa Melayu dan India? Tujuan masjid yang saya cadangkan adalah agar masyarakat Muslim Cina dapat berinteraksi sesama mereka. Mereka lebih memahami antara satu sama lain. Dengan itu banyak masalah dapat di- selesaikan sesama mereka, kerana mereka mempunyai latar masalah yang berbeza dengan masyarakat Melayu yang kesemuanya dikatakan Islam. Maka di masjid Cina, orang Cina lebih faham pengajiannya, lebih mudah berbicara dengan imam dan jawatan kuasanya dan seumpamanya. Maka kalau ada yang ingin keluar Islam atau nak masuk Islam, mereka boleh cari pendekatan terbaik sesama mereka. Mereka lebih faham. Tapi, ada yang membantah dan menuduh. Hari ini lihatlah betapa kita memerlukannya, tetapi kewujudan dihalang.

Eloklah kita berhenti memusuhi tanpa bukti dan faham, tetapi cuba gunakan neraca keadilan dan akal yang matang.

04/05/2008 - Mengapakah dunia dipenuhi yang haram?

Saya tidak pasti apa akan terjadi kepada generasi kita beberapa puluh tahun lagi. Dunia semakin tercemar. Mungkin banyak jenis haiwan dan tumbuhan yang indah-indah tidak lagi dapat mereka saksikan. Awan yang membawa asid, sungai dan laut yang bercampur toksid, hutan musnah dan udara yang tercemar, itulah kehidupan yang melingkungi mereka.
Mereka mungkin tidak akan kenal lagi apa itu keindahan alam; kejernihan air sungai yang sejuk, pohon-pohon yang menghijau indah, laut yang bersih dan udara yang segar lagi nyaman. Bagi mereka dunia ini semuanya pencemaran. Mereka mungkin tidak dapat faham apabila membaca ungkapan puisi-puisi indah tentang keindahan alam yang diwarisi dari generasi lepas. Bahkan mereka mungkin menganggap itu semua hanyalah khayalan penulis, atau sejarah yang tidak dapat berulang.

Apatah lagi untuk mereka sendiri berkarya tentang keindahan alam semulajadi. Itu hanya mungkin dilakukan jika mereka berkhayal seperti mana pelukis-pelukis hari ini berkhayal tentang alam yang penuh warna-warni seperti di negeri Fairy Topia. Itulah natijahnya apabila pencemaran telah menguasai dunia ini. Mereka kata dunia kotor. Mereka tidak tahu bukan dunia asalnya kotor, tapi manusia yang mencemarinya.

Begitulah dalam soal halal dan haram. Dunia ini asalnya dipenuhi dengan yang halal, bukan yang haram. Segala yang ada di dunia ini diciptakan untuk manusia, kecuali beberapa perkara sahaja yang dilarang sebagai ujian ketaatan kepada Allah dan untuk kebaikan manusia. Sebab itu, umpamanya jika kita mengambil sekeping kertas dan menyenaraikan makanan dan minuman yang diharamkan Allah, maka ia terlalu sedikit. Barangkali tidak sampai satu muka kertas. Namun jika kita disuruh untuk menyenaraikan perkara-perkara yang dihalalkan, tentu tidak memadai, sekalipun beberapa puluh lembaran kertas. Maka sebab itu menjadi prinsip dalam Islam bahawa “Hukum asal bagi setiap perkara atau benda adalah harus (boleh)". Bukan hukum asalnya haram. Maka berdasarkan prinsip ini, setiap makanan, minuman dan perbuatan boleh dilakukan selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Bukan prinsip Islam, semuanya haram sehingga ada bukti halal. Cuma hanya dalam perkara ibadah, Islam melarang dilakukan apa-apa ucapacara ibadah sehingga adanya dalil bahawa itu diizinkan oleh nas-nas al-Quran dan al- Sunnah. Ini untuk menghalang agama rekaan dan penyalahgunaan nama Allah untuk rekaan sendiri.

Adapun dalam urusan harian, seseorang boleh makan dan minum atau lakukan apa sahaja selagi tiada bukti itu dilarang dalam Islam. Saya selalu umpamakan jika kita berjumpa dengan seekor binatang yang tidak diketahui jenisnya, tidak pula membahayakan diri jika dimakan, maka – sekalipun namanya tidak diketahui – hukumnya halal dimakan. Inilah agama yang rahmat dan mudah. Firman Allah: (maksudnya) Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? (Surah Luqman: ayat 20). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. (Surah al-Baqarah: ayat 29). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dan Dia memudahkan untuk (kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Jathiah: ayat 13).

Maka daerah halal dalam Islam teramat-

amat luas, sementara daerah haram pula terlalu sempit dan sedikit. Jika ada pun yang diharamkan Allah seperti judi, babi dan arak adalah atas hikmah demi kebaikan manusia itu sendiri. Selain ia adalah ujian untuk melambangkan kepatuhan kepada-Nya. Setiap perkara dan perbuatan adalah dibolehkan, kecuali jika ada nas yang mengharamkannya. Sabda Nabi s.a.w.: “Apa yang Allah halalkan dalam kitab-Nya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafan-Nya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).


Meneliti

Sesiapa yang meneliti nas-nas al-Quran dan al-Sunnah akan mendapati alangkah sedikitnya perkara yang diharamkan Allah dan alangkah banyaknya perkara-perkara yang Allah diamkan tanpa diberikan hukum. Itu semua termasuk dalam perkara yang dihalalkan sebagai satu kemaafan Allah untuk umat ini. Justeru, saya begitu pelik apabila ada yang menyatakan dalam Islam ini kebanyakan perkara tidak boleh dimakan, diminum dan dibuat. Saya katakan itu dakwaan yang salah. Dalam Islam ini, kebanyakan perkara boleh dibuat, dimakan dan diminum. Yang halal itu banyak, sementara yang haram pula sedikit. Adapun perkara-perkara yang diharamkan itu pula, ada gantinya yang halal yang begitu banyak. Diharamkan arak, dihalalkan begitu banyak minuman lain yang tidak memabukkan. Diharamkan judi, dibenarkan hadiah, upah dan berbagai-bagai lagi. Diharamkan zina, disyariatkan perkahwinan. Diharamkan menilik nasib, diajar kepada umat ini solat istikharah. Haramkan babi dan anjing, dihalalkan berbagai-bagai binatang yang lain yang begitu banyak. Begitulah seterusnya. Mengapakah manusia menganggap Islam ini sempit? Padahal hanya sedikit diharamkan untuk kemaslahatan manusia. Dan itupun bersama gantian. Firman Allah: (maksudnya): “Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi (tidak menulis dan membaca), yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157).

Jika manusia merasakan Islam terlalu banyak mengharamkan, maka itu mungkin berlaku atas dua sebab. Pertama: manusia sendiri yang mencemari yang halal sehingga ia bertukar haram. Umpamanya, bersuka ria adalah dihalalkan dengan syarat tidak dicampuri perkara-perkara yang dilarang. Namun apabila unsur judi dijadikan saluran bersuka ria umpamanya, maka ia menjadi haram. Pengurusan kewangan kesemuanya halal. Namun hari ini unsur riba dan penindasan telah dimasukkan dalam banyak urusan kewangan, maka bank-bank banyak yang beroperasi secara haram di segi syarak. Nyanyian dan lagu diizinkan oleh baginda Nabi s.a.w., namun apabila diselangi dengan unsur-unsur yang buruk maka ia dilarang. Bukan Islam jumud atau sempit. Apabila kita ingin mendengar nyanyian kita sebenarnya hendak mendengar kata-kata yang indah dan bermakna. Bukan melihat pendedahan badan, atau gelagat liar, atau aksi yang pelik-pelik. Di Barat ada artis seperti Paris Hilton yang tiada apa-apa bakat yang menonjol dalam seni nyanyian atau lakonannya, tetapi menjadi masyhur kerana berjaya mendedahkan tubuhnya atau membuat aksi-aksi liar. Apakah industri hiburan kita ingin jadi seperti Barat?

Apabila saya tidak dapat menerima kehadiran artis tertentu ke Perlis bukan bererti saya menyatakan Islam mengharamkan hiburan untuk manusia. Tidak! Sama sekali tidak! Cumanya saya larang watak yang cuba dibawa mengiringi hiburan itu. Seseorang yang apabila berada di atas pentas, atau di depan lensa kamera akan terjerit, atau melompat, atau menunjuk aksi-aksi pelik, adalah lambang mempromosi ketidak matangan hidup. Sedangkan Islam menyeru kepada kematangan watak dan kewibawaan dalam hidup. Apakah ibu bapa dapat terima jika anak-anak mereka berpewatakan begitu? Ada wartawan bertanya saya: mengapakah saya yang terkenal dengan pendekatan yang terbuka mengambil tindakan memusuhi artis? Saya kata kepada mereka; saya tidak bercakap soal artis atau selain artis. Saya bercakap soal rakyat perlu dididik dengan unsur-unsur yang mampu menjadikan mereka maju ke hadapan, berwibawa dan mempunyai identiti hidup yang jelas. Bukan juga dengan lawak bodoh – walaupun dinamakan ‘raja lawak’ – yang pada saya sebenarnya melekehkan akal rakyat dan mempersendakan kematangan orang ramai. Menonton watak-watak yang seperti itu tidak membangunkan minda mahupun kehalusan seni. Biarlah lagu kita ada ‘class’, lawak kita ada ‘class’. Di samping mendengar dan berhibur, manusia mempelajari falsafah hidup, kehalusan makna dan keindahan kata-kata. Nabi mendengar nyanyian, dan baginda membuat penapisan. Dalam Sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu‘awwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu”. Baginda melarang lirik tersebut kerana itu tidak benar dan menyeleweng. Sebab, yang mengetahui apa yang bakal berlaku esok, hanyalah Allah s.w.t.


Berkesedaran

Maka yang menyebabkan banyak perkara dilarang bukan kerana Islam itu jumud, tetapi manusia yang menggiatkan aktiviti itulah yang mencemarinya. Seperti alam sekitar yang saya sebutkan pada awal tadi. Akhirnya, umat Islam hanya mengetahui itu dan ini haram, bukan kerana kesempitan Islam, tapi dek tangan-tangan manusia sendiri. Ditambah pula dengan mereka yang berkesedaran tidak berusaha mewujudkan alternatif untuk semua yang terlarang itu, sedangkan Islam sentiasa mengadakan gantian bagi setiap yang diharamkannya.

Kedua: Islam kelihatan sempit dan jumud apabila wujudnya di kalangan umat Islam kelompok yang asyik mengharamkan segala perkara. Seakan prinsipnya segala perkara itu haram, sehingga terbukti halal. Ini menyanggahi nas-nas Islam yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya. Maka apa sahaja yang dia syak terus haram, bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk orang lain juga. Lalu diharamkan nyanyian secara umum, diharamkan memegang anjing, diharamkan bersiar-siar, diharamkan ketawa, diharamkan barangan jenis itu dan ini atas prasangka sempit dan berbagai-bagai lagi. Lalu Islam dituduh oleh orang lain sempit, sedangkan Allah menyebut: (maksudnya) Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda- benda yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang- orang yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya (Surah al-A’raf: ayat 31- 33).

Sebab itu saya pernah mencadangkan dalam negara Islam seperti Malaysia, kita perlukan logo makanan haram, bukan logo halal. Kita hanya ambil tindakan kepada yang menjual makanan haram tanpa meletakkan logo haram. Sebabnya, sepatutnya dalam negara kita yang halal itulah yang banyak, sementara yang haram itu sedikit. Itu selaras dengan prinsip Islam. Maka, secara praktikalnya yang patut dilogokan adalah yang sedikit, bukan yang banyak. Jika tidak, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengeluar. Maka tidak timbul isu makanan haram, atau cop haram palsu. Mana mungkin ada orang suka diletakkan cop haram secara tipu-tipu. Maka semua pengusaha akan berusaha agar mereka tidak mendapat atau diwajibkan cop haram. Lalu semua perkara akan beransur menjadi halal. Maka tidaklah terasa sempit Islam kerana setiap kali hendak makan dalam negara Islam pun asyik cari cop halal ada atau tidak. Padahal banyak yang halal, cuma belum mendapat cop. Patutnya, makanlah apapun produk selagi tidak diletakkan logo haram, maka silalah. Itulah baru namanya negara umat Islam. Jika kita hendak buat duit dengan logo halal pun, itu untuk luar negara yang bukan Islam.

Di samping kita perlu tahu, baginda Nabi s.a.w begitu luas dalam soal makanan halal ini. Sebab itu apabila kaum yang baru menganut Islam berkata kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya satu kaum membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak? Adakah kami boleh memakannya atau tidak? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari). Maksudnya, jika kamu tidak pasti tentang hal itu, kamu boleh menyebut nama Allah semasa hendak makan dan makanlah.

Maka, ruang halal begitu luas. Jika ada yang merungut kerana Islam asyik mengharamkan itu dan ini, maka sama ada dunia telah dicemari, atau kita sengaja menyempitkan diri.