27/07/2008 - Nostalgia dikenang, masa depan dipandang

Jam sudah pukul 3 petang. Biasanya saya menulis ruangan ini pada pagi Sabtu sehari sebelum rencana ini disiarkan. Hari ini (semalam) agak lewat. Hanya beberapa jam untuk diserahkan. Saya masih berfikir tentang perundingan UMNO-Pas yang agak panas diperkatakan di media.

Saya tidak kisah sama ada hendak dipilih perkataan muzakarah, atau muqabalah atau hiwar, atau munaqasah, atau musyawarah atau apa sahaja. Selagi tidak menunjuk petanda yang negatif, pilihlah. Walaupun jika saya diberikan peluang memilih, mungkin saya memilih perkataan musyawarah yang berasal daripada syura. Ini kerana ia disebut dalam al-Quran. Namun itu tidak penting. Kata para sarjana: “tiada perbalahan dalam istilah selagi maksudnya betul”. Apa yang penting ia membuahkan kesan yang positif untuk masa depan umat Islam khususnya dan negara umumnya. Jika kuasa-kuasa dunia yang berbagai-bagai; Amerika, Eropah, Rusia dan selain mereka boleh duduk semeja -sekalipun berbeza aliran – untuk menentukan masa depan umat Islam dan negara-negara Arab, mengapa pula kita tidak mampu? Jika mereka yang mempunyai hasrat buruk untuk melanyak umat Islam sanggup melupai perbezaan antara mereka, apakah kita umat Islam tidak dapat melupai perbezaan antara kita buat seketika demi memastikan masa depan umat Islam dalam negara ini selamat dan terjamin? Saya yakin pemimpin-pemimpin kedua parti lebih tangkas dan tulus dalam memikirkan hal ini.

Kita tahu ada pihak yang mula gusar dan mencemburui pertemuan antara dua parti tersebut. Justeru, saya kembali membelek-

belek catatan sejarah yang mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri dalam Peperangan Jamal. Peperangan yang disebabkan oleh peristiwa pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Peperangan yang setiap kali kita mengenangnya, kita akan mengalirkan airmata kekesalan. Cuma kisah bukan Syiah yang hidup dalam nostalgia lama dan enggan keluar daripadanya. Kita bersedih atas Peperangan Jamal kerana menyebabkan dua pasukan tokoh agung umat iaitu Saidina ‘Ali r.a. dan Ummul Mukminin Saidatina ‘Aishah r.a. bertempur antara satu sama lain. Ia telah menyebabkan wajah sejarah kegemilangan sahabah terguris disebabkan peristiwa yang tidak pernah mereka ingini itu. Dalam peperangan tersebut juga, dua tokoh besar sahabah yang dijamin syurga oleh Nabi saw iaitu Talhah bin ‘Ubaidillah r.a. dan al-Zubair ibn al-Awwam r.a. berada di pihak ‘Aishah r.ha. Sebelum tragedi yang mengheret peperangan itu berlaku, Saidina ‘Ali telah menghantar wakilnya al-Qa‘qa’ bin ‘Amr bertemu dengan ‘Aishah dan bertanya tujuan kedatangannya. Kata al-Qa‘qa’: “Wahai ibu! Apakah yang menyebabkan engkau hadir ke sini?”. Jawab ‘Aisyah: “Wahai anakku! Kerana inginkan perdamaian di kalangan manusia”. Lalu al-Qa‘qa’ meminta Talhah dan Zubair hadir, lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah bertanya Ummul Mukminin tentang tujuan kedatangannya, beliau menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk perdamaian antara manusia”. Jawab Talhah dan Zubair: “Kami juga demikian”. Kata al-Qa‘qa’: “Beritahulah aku apakah cara perdamaian itu dan bagaimana ia boleh dilaksanakan. Demi Allah! Sekiranya kami dapat menerimanya, kita akan melaksanakannya. Jika kami tidak dapat menerima, kami tidak akan mengadakannya?”. Jawab Talhah dan Zubair: “Membunuh balas pembunuh ‘Uthman, jika ini tidak dilaksanakan bererti kamu telah mengabaikan al-Quran”. Jawab al-Qa‘qa’: “Sesungguhnya hasrat kamu semua ingin membunuh pembunuh ‘Uthman memanglah baik, tetapi kesan kerosakannya lebih besar daripada itu. Seperti mana kamu tidak mampu menangkap salah seorang yang memberontak kepada ‘Uthman di Basrah iaitu Harqud bin Zuhair disebabkan enam ribu orang yang menjaganya, demikian jugalah ‘Ali tidak dapat melaksanakannya sekarang tetapi menunggu masa yang sesuai”.


Janji setia

Hasil perbincangan ini, akhirnya ‘Aishah, Zubair, Talhah dan semua para pengikut mereka setuju untuk memberikan janji setia kepada ‘Ali dan bersetuju menyerahkan tugas mengambil tindakan terhadap pembunuh ‘Uthman kepadanya apabila keadaan mengizinkan. ‘Aisyah r.a pun menghantar wakilnya menemui ‘Ali r.a. dan memberitahu tujuan mereka ialah untuk berdamai. Kedua-dua golongan begitu gembira dengan keputusan ini. ‘Ali bangun berkhutbah di hadapan tenteranya, mengingatkan mereka bagaimana Islam menyatupadukan penganutnya dan bagaimana Allah telah menghimpunkan mereka selapas kewafatan Nabi saw di bawah pemerintahan Abu Bakar kemudian ‘Umar dan kemudiannya ‘Uthman. Selepas itu berlakulah apa yang berlaku disebabkan golongan yang mencari kepentingan dunia dan dengkikan nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Seterusnya ‘Ali menegaskan: “Besok aku akan pergi berjumpa ‘Aishah dan mereka yang bersamanya untuk berdamai, kamu semua akan mengikutiku. Namun jangan ada seorang pun yang terlibat membantu pembunuhan ‘Uthman turut bersamaku”. Apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai di atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka. Lalu ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar diambil tindakan terhadap ‘Ali seperti yang mereka telah lakukan terhadap ‘Uthman iaitu membunuhnya.

Cadangan ini dibantah oleh kepala penghasut mereka iaitu ‘Abdullah bin Saba’ sambil berkata: “Buruk sungguh pandangan tersebut, kalau kita membunuhnya kita juga akan dibunuh. Wahai para pembunuh ‘Uthman! Jumlah kita hanyalah dua ribu lima ratus orang, sedangkan para pengikut Talhah dan Zubair berjumlah lima ribu orang, kita tidak ada kemampuan menghadapinya dan mereka itu mahukan kita”. Mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abdullah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan terlebih dahulu supaya peperangan tetap tercetus.

Maka pada malamnya, tentera di kedua-

dua belah pihak tidur dengan hati yang senang dan puas di atas keputusan yang mereka peroleh. Sebaliknya para pengkhianat yang bimbangkan kesatuan umat Islam pula tidur dengan dengan penuh kerisauan dan keresahan. Seperti yang dirancang, sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangan di pihak ‘Ali. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/248-249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya bimbang pada zaman ini masih ada kelompok Abdullah bin Saba yang bimbangkan perdamaian antara sesama umat Islam. Bahkan beberapa tokoh politik bukan musuh dengan jelas mempertikaikan hasrat murni tersebut. Malang lagi, terdapat juga di kalangan umat Islam mempertikaikannya sekalipun pemimpin kedua- dua pihak secara jelas telah bersetuju. Mereka ini akan berusaha sedaya mungkin agar tidak akan lahirnya perdamaian antara umat ini. Walaupun parti-parti politik yang ada itu tidaklah boleh untuk disamakan dengan keimanan, kejujuran dan kesolehan ‘Ali, ‘Aishah, al-Zubair dan Talhah, tetapi pengajaran peristiwa boleh diambil. Jika mereka yang begitu hebat, dapat dikeliru oleh Abdullah bin Saba dan pengikutnya sehingga tergamam yang membawa kepada peperangan, siapalah kita di zaman ini? Lebihnya, kita ada bekalan sejarah mereka yang membantu kita agar lebih berhati-hati. Moga kita tidak ulangi kesilapan mereka.

Setakat ini para pemimpin utama kedua parti politik tersebut telah menzahirkan nilai-nilai tanggungjawab yang patut dipuji. Cuma kita bimbang mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, atau yang setia di belakang musuh merancang agar digagalkan hasrat untuk kedua parti ini duduk berbincang dan merancang tentang masa depan umat. Mereka ini nanti akan menimbulkan berbagai-bagai kerenah supaya hasil yang positif itu tidak direalisasikan. Jika boleh mungkin mereka akan mencetuskan sesuatu kejadian akan pertempuran sengit isu akan tercetus dan hasrat murni akan terbatal. Inilah strategi yang pernah dipraktikkan oleh Abdullah bin Saba dan pengikut. Terbukti berjaya menghancurkan cita-cita perdamaian antara ‘Ali dengan ‘Aishah. Harapan kita, agar genetik ‘Abdullah bin Saba pada zaman ini, tidak akan memporak-perandakan kita sekali lagi.

Pertarungan

Ya memang benar, rekod pertarungan politik antara UMNO dan Pas ini bukan sedikit. Entah berapa banyak keperitan yang dirasai oleh Pas dek tindakan UMNO, begitu juga sebaliknya. Serang menyerang peribadi, tuduh-menuduh dan pulau-memulau telah mencemar hubungan yang sepatutnya antara kedua parti ini. Inilah hasil daripada demokrasi ala Barat yang dalam banyak keadaan meminggirkan prinsip-

prinsip syura dalam Islam. Bagi saya, ketegangan yang menghalang untuk mereka duduk semeja selama ini, bukanlah sangat soal dasar. Tetapi ia lebih menyentuh soal perasaan, persepsi dan soal hati yang terluka. Juga mungkin kerana telah terlepas cakap, atau jaga hati pengikut atau kepentingan tertentu. Buktinya UMNO boleh duduk dengan MCA, MIC dan lain-lain parti yang amat berbeza antara mereka. Pas boleh duduk dengan Semangat 46, DAP, PKR yang ternyata amat berbeza antara mereka dari segi dasarnya. Namun, apabila adanya kepentingan yang sama, semua mereka dapat duduk semeja.

Hari ini kepentingan umat Islam lebih besar dan utama untuk dihayati sebagai kepentingan bersama Pas dan UMNO. Memang banyak sejarah pahit antara kedua parti itu. Sejarah buruk semalam diambil pengajaran, bukan lagi untuk kita ulangi. Tidak juga untuk kita terus mengingatinya sehingga terpaksa hidup dalam kesedihan lalu kita tidak berupaya lagi memandang masa depan yang gemilang. Kita bawa sejarah pahit sebagai bekalan pengajaran, untuk kita menghadapi cabaran. Melainkan jika ada penipuan secara jelas, atau mesyuarat yang ternyata tidak tunduk kepada kaedah dan peraturan, atau jelas dari awal kesannya hanya keburukan untuk umat, maka tentu tidak wajar diteruskan. Namun, telah ternyata umat di kala ini amat memerlukan kesefahaman antara mereka dalam saat yang sebegini untuk kepentingan semua, yang termasuk dalamnya kedua parti itu sendiri. Maka mereka mesti menelan jika ada kepahitan pun demi masa depan yang lebih baik.

Parti-parti ini mesti jadi seperti seorang ibu yang sanggup menanggung keperitan perasaan dan kesedihan silam demi masa depan anak-anaknya yang terus membesar. Kadang-kala seorang ibu terpaksa bersabar dengan kehidupan yang tidak selesa untuknya, tetapi demi hari esok yang bahagia untuk anaknya, dia telan jua. Para pejuang juga begitu. Betapa banyak mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup, tohmahan, ejekan, makian, penghinaan, sangkaan buruk dan berbagai-bagai lagi hanya semata-mata untuk membawa obor cahaya agar menerangi perjalanan orang lain. Hanya yang diharapkan atas pengorbanan itu syurga Allah di Hari Akhirat kelak. Para pemimpin yang ikhlas juga terpaksa menanggung perkara yang tidak disukai, demi kebaikan pengikut mereka. Allah berfirman kepada Nabi saw: (maksudnya): “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari mendampingimu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Surah Ali ‘Imran: ayat 69). Dalam ayat ini jelas Allah mengingatkan Rasulullah SAW agar janganlah kesalahan dan kesilapan pengikut baginda itu menghalang baginda untuk terus bermesyuarat dengan mereka dalam perkara-perkara yang wajar untuk diperbincangkan bersama. Begitulah sepatutnya kita semua.

Jika para pemimpin kedua-dua itu nanti berunding dan berbincang agar mereka dapat memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah, tentulah perundingan itu mendapat berkat dan rahmat. Jika ada yang berunding untuk menjaga kerusi dan pengaruh dalam politik, maka itulah nanti akan menjadi punca kegagalan. Walaupun mereka ada perbezaan dan perasaan yang tersimpan, namun memang nostalgia itu dikenang, tapi masa depan hendaklah dipandang

20/07/2008 - Pasrah di zaman badai fitnah

NABI Muhammad SAW banyak mengajar doa-doa yang indah. Namun, keindahan doa-doa itu kadangkala tidak dapat seseorang hayati sehinggalah muncul suasana kehidupannya yang benar-benar disentuh oleh doa-doa tersebut. Apabila suasana itu hadir, barulah dapat dinikmati kesyahduan doa-doa tersebut.

Ketika itu, doa yang dahulunya kita baca berulang kali terasa biasa bertukar menjadi begitu menusuk kalbu dan jiwa. Terasa betapa keperluan menghayati apa yang diajar oleh Nabi SAW Malangnya dalam masyarakat kita, doa-doa Nabi SAW yang asli ditinggalkan, sementara doa-doa rekaan yang dipetua oleh buku atau orang tanpa bersumber daripada Nabi SAW pula menjadi pilihan. Tokoh ulama umat yang besar al-Qadi ‘Iyadh berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengizinkan untuk berdoa kepada-Nya. Dia mengajar doa dalam kitab-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Nabi SAW pula mengajar doa kepada umat baginda. Dalam doa-doa tersebut mengandungi tiga unsur, iaitu; ilmu mengenai tauhid, ilmu mengenai bahasa dan nasihat kepada umat. Maka tidak wajar bagi seseorang berpaling daripada doa-doa baginda SAW. Syaitan telah menipu manusia dalam hal ini, lalu dia telah mewujudkan untuk mereka satu puak yang jahat (kaum yang mencipta doa-doa palsu ini). Lantas mereka mencipta secara palsu untuk diri mereka doa-doa yang memalingkan mereka daripada mencohtohi Nabi SAW. Lebih buruk lagi, mereka menyandarkan doa-doa tersebut kepada para nabi dan orang-orang soleh, lalu mereka kata: doa Adam, doa Nuh, doa Yunus dan doa Abi Bakr al-Siddiq r.a.”(Ibn al-Imam, Silah al-Mu‘min fi al-

Du‘a wa al-Zikr, m.s. 22-23, Damsyik: Dar al-Kalim al-Tayyib)

Zaman ini adalah zaman fitnah. Fitnah dalam al-Quran dan al-Sunnah bukan seperti yang difahami oleh orang Melayu dengan maksud menuduh dusta ke atas orang lain. Tetapi fitnah itu apabila disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah ia bermaksud ujian atau kejadian yang mengancam agama dan ketenteraman hidup sehingga mampu mengheret seseorang ke kancah yang tidak diredai Allah. Demikian syirik, kufur, bidaah, maksiat, pembunuhan, ketidak tenteraman, kekacauan dan seumpamanya diistilahkan juga sebagai fitnah. Hidup di zaman fitnah adalah sesuatu yang memeritkan. Sehingga kadangkala insan akan terpinga-pinga dalam menentu pendirian dan keputusan yang betul.

Nabi SAW dalam banyak hadis baginda mengajar kita supaya sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada fitnah iaitu ancaman yang menggugat agama dan ketenteraman hidup. Sebab itu, antara yang diajar oleh baginda kepada setiap yang bersolat agar sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara. Iaitu “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah semasa hidup, fitnah semasa mati dan fitnah al-Masih Dajal” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Doa ini dibaca semasa tasyahud (tahiyyat) sebelum memberi salam. Banyak lagi doa yang cantik banyak diajar oleh baginda dalam solat. Namun ramai yang tidak tahu kerana solatnya ikut-ikutan. Mereka tidak mempelajari solat menerusi hadis-hadis Nabi SAW, sebaliknya hanya mewarisi solat apa yang dilihat semata. Tanpa tahu bagaimanakah solat itu diajar oleh Rasulullah SAW. Lalu hilanglah peluang kemanisan doa-doa tersebut. Sebab itu, antara buku yang baik untuk dibaca oleh setiap lapisan tentang solat ialah buku tulisan ulama hadis yang terkenal Nasiruddin al-Albani yang bertajuk “Sifat Solat Nabi SAW”. Banyak bacaan yang amat indah yang diajar oleh Rasulullah SAW dapat dipelajari. Antara yang indah itu bahawa Nabi SAW apabila bangun bersolat pada malam hari, baginda membuka solatnya (membaca doa iftitah) seperti berikut: (maksudnya) “Wahai Tuhan Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Mengetahui yang ghaib dan yang nyata! Engkau yang menghukum apa yang hamba-hambaMu berselisihan antara mereka. Tunjukkan daku kebenaran mengenai apa yang dipertikaikan dengan izinMu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan sesiapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus”. (Riwayat Muslim).

Keindahan

Demikian doa yang seperti ini – dengan keindahan bahasa Arabnya – menusuk jiwa di kesunyian malam, di kala manusia lain masih nyenyak tidur dan tenggelam dalam mimpi, sedangkan hamba Allah yang ikhlas merintih merayu agar ditunjuk jalan yang lurus atas segala perselisihan yang berlaku di kalangan masyarakatnya. Doa ini lebih menyentuh jiwa dan kehalusan nurani tatkala kita hidup di zaman kegawatan tingkah manusia dan perselisihan yang tidak sudah-sudah. Setiap pihak mendakwa dia yang benar. Sehingga kita tidak tahu siapa syaitan yang bertopengkan malaikat, atau malaikat yang dituduh syaitan.

Telah berulang kita membaca doa Nabi SAW. “Ya Allah, jika Engkau kehendaki berlaku dalam sesuatu kaum itu fitnah, maka matikanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Namun membaca hadis ini dalam zaman atau keadaan yang penuh fitnah benar-benar memilukan jiwa. Terasa keperluan kepadanya. Terasa kerinduan kepada kedamaian hidup yang hakiki. Lalu air mata tanpa sedar membasah pipi dalam kelesuan gelora hidup dan syahduan perasaan yang rindukan bimbingan Tuhan. Dalam doa ini Baginda Nabi SAW mengajar agar kita memohon supaya jangan ditimpakan fitnah iaitu kerosakan yang menggugat pegangan atau pendirian yang benar dalam beragama. Fitnah jika turun sehingga menggugat apa yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya, maka kehidupan itu adalah racun sekalipun disangkakan madu. Jika benar fitnah akan berlaku maka kita disuruh memohon kepada Allah agar mati dalam keadaan tidak terlibat dengan fitnah atau kerosakan tersebut. Walaupun asalnya seseorang tidak disuruh bercita-cita untuk mati, namun Baginda dalam hadis lain menyebut: “Jangan seseorang kamu berharap agar mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Namun jika tidak boleh, katakanlah: Ya Allah! Hidupkanlah daku sekiranya kehidupan itu baik untukku. Matikanlah daku jika kematian itu baik untukku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kadangkala kematian lebih baik daripada hidup menyusahkan orang lain sehingga menjadi fitnah atau gangguan kepada umat. Demikian mati lebih baik daripada cuba menghadapi ujian yang akhirnya membawa kita tewas lagi rugi pada kehidupan akhirat. Maka tidak pelik jika Saidina Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: “Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Sayidina Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad). Ini adalah cebisan kisah daripada sirah insan-insan soleh yang lebih rela mati daripada hidup menjadi beban dan fitnah kepada orang lain. Bandingkanlah mereka ini dengan orang-orang politik yang rela sesiapa pun mati, asalkan mereka dapat hidup. Segala macam ‘kelentong’ dikeluarkan. Biar manusia pecah kepala, asal mereka mendapat kuasa.

Saya bukan menimbulkan kisah ini untuk kita berputus asa dengan kehidupan. Tetapi supaya orang yang daif seperti saya sentiasa beringat walaupun kaki berpijak di bumi, namun jiwa hendaklah sentiasa tenggelam dalam kehidupan hakiki selepas berakhir episod di bumi ini. Jika itulah jiwa dan perasaan kita, tentulah politik kita tidak sekelam kabut begitu. Walaupun kadangkala politik berbunyi agama, namun bukan sedikit juga agama hanya jambatan untuk dipijak agar sampai ke kerusi politik. Maka, berapa ramai yang hanya membaca nas-nas yang mengharamkan itu dan ini untuk menyalahkan orang lain. Tidak pula membacanya untuk dirinya dan puaknya. Umpamanya, ketika menuduh orang lain dengan berbagai-bagai tuduhan, tidaklah pula kedengaran nas dan dalil pengharaman menuduh orang tanpa bukti dan saksi. Tetapi segala dalil dan nas akan keluar dengan lancarnya ketika orang lain menuduh kita. Sehingga ramai yang keliru. Siapakah yang jujur, siapa pula hanya bermadah pujangga? Atau kesemuanya jembalang yang menjelma dalam berbagai-bagai wajah demi menggoda kita semua? Siapakah yang selamat dalam suasana yang sebegini?


Selamat

Berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW, golongan yang paling selamat adalah sesiapa yang tidak melibatkan diri dari menyertai mana-mana pihak yang bertempur sesama Muslim. Itulah fitnah yang merosakkan agama kerana bertempur atas isu yang tidak pasti. Firman Allah dalam Surah al-Isra, ayat 36: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Pada zaman Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. telah berlaku fitnah yang telah memecah belahkan kaum Muslimin, termasuk para sahabah Nabi SAW. Kesemuanya berpunca daripada isu pembunuhan Saidina Uthman bin Affan r.a. Isu dan peribadi mereka jauh lebih mulia. Bukan seperti peribadi-peribadi samar dan kabur yang diselubungi oleh berbagai-bagai tanda tanya seperti sesetengah orang pada hari ini. Para pengkaji sejarah cuba mengkaji pendirian siapakah yang paling tepat dalam suasana fitnah ketika itu. Pelbagai kesimpulan telah dikeluarkan, namun saya bersetuju bahawa pendirian yang paling tepat adalah pendirian para sahabah yang tidak mahu terlibat dengan perbalahan tersebut. Ini pendirian majoriti sahabah. Kata Muhammad bin Sirin (meninggal 110H): “Ombak fitnah melanda, sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264, Lebanon: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Sebelum pertempuran antara dua sahabah; Ali dengan Muawiyah tercetus, banyak pihak berusaha agar peperangan Siffin itu tidak terjadi. Antara yang berusaha mendamaikan kedua belah pihak ialah dua orang tokoh sahabah yang masyhur Abu Umamah al-Bahili dan Abu Darda’ yang datang menemui Muawiyah dan berkata: “Wahai Muawiyah! Apakah alasanmu memerangi Ali? Demi Allah! Sesungguhnya dia lebih dahulu menganut Islam daripadamu dan ayahmu. Dia lebih dekat hubungannya dengan Rasulullah dan lebih berhak daripadamu dalam urusan pemerintahan”. Jawab Muawiyah: “Aku memeranginya kerana darah Uthman dan sesungguhnya Ali telah melindungi pembunuhnya. Kamu berdua pergi kepadanya dan beritahu dia, laksanakan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh Uthman nescaya akulah orang Syam yang pertama berbai‘ah (janji taat) dengannya”. Maka Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pergi menemui Ali, dan menyatakan kepadanya seperti yang diminta oleh Muawiyah. Sayidina Ali pun menunjukkan kepada mereka sejumlah tentera yang ramai yang menyebut: “Kami adalah pembunuh Uthman, sesiapa yang mahu, sila serang kami”. Akhirnya Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pulang dan mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri di dalam peperangan.(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/270). Begitu juga Abu Muslim al-Khaulani dan mereka yang bersama dengannya, pernah datang menemui Mu‘awiyah dan bertanya: “Engkau memerangi Ali, apakah engkau ini setaraf dengannya?”. Jawab Muawiyah: “Demi Allah, aku benar-benar tahu bahawa dia lebih baik dan afdal serta lebih berhak di dalam pemerintahan daripadaku. Namun kamu semua tahu bahawa Uthman dibunuh secara zalim dan aku adalah sepupunya. Aku menuntut darah Uthman. Beritahu ‘Ali, serahkan pembunuh Uthman kepadaku nescaya aku menyerahkan urusan ini kepadanya.” (Ibid 8/132). Maka atas kekaburan itu, kebanyakan sahabah dan tabi‘in mengambil pendirian tidak mahu menyertai peperangan tersebut.

Jikalau peperangan yang dikepalai oleh tokoh-tokoh sahabah seperti Ali bin Abi Talib sepupu Nabi SAW juga khalifah yang sah, ‘Aisyah isteri Nabi SAW sendiri, Muawiyah sahabah Nabi SAW, majoriti para sahabah enggan menyertainya disebabkan kekeliruan yang berlaku. Padahal tokoh-tokoh itu adalah insan-insan soleh yang dijamin syurga oleh baginda Nabi SAW. Apakah kita di zaman ini ingin menyertai pertembungan sesama Muslim dalam isu-

isu yang kabur dan dikepalai pula oleh peribadi-peribadi yang tidak pasti? Fitnah oh fitnah. Ya Allah, kami pasrah kepadaMu dalam fitnah yang mengelirukan ini.

13/07/2008 - Hilang halatuju, tenggelam dalam isu

Dalam seminggu, negara kita yang tidak sebesar mana ini timbul berbagai-bagai isu seakan dunia hampir runtuh. Rakyat makin pening dan mual. Paling mendukacitakan, isu-isu yang tertonjol kebelakangan ini adalah isu-isu peribadi tokoh-tokoh politik. Seakan masalah mereka dipaksa untuk rakyat menanggungnya sehingga melupai kenaikan harga barang, tarif elektrik dan tekanan kehidupan seharian rakyat bawahan. Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik.

Ada yang tidak setuju dengan mubahalah, katanya itu bukan cara penyelesaian Islam dalam kes-kes berkenaan. Sehingga ada tokoh agama yang kata dia tidak pernah dengar perkataan mubahalah. Itu lagi satu masalah kekontangan pengetahuan. Mubahalah telah saya jelaskan minggu lepas dalam ruangan ini. Ia ada dalam al-Quran dan diamalkan oleh Nabi SAW dan para ulama bagi menghadapi sikap keras kepala pihak-pihak yang enggan menerima hujah secara baik. Ia bukan proses mahkamah. Tidak perlu hakim, tidak perlu wang dan tidak perlu junjung al-Quran. Saya cadangkan ketika keadaan begitu kelam kabut, ada yang kata mahkamah tidak boleh dipercayai, ada kata konspirasi, ada kata benar, ada kata rancangan jahat dan berbagai-bagai. Rakyat bertelingkah, keadaan seakan gawat, masa depan dipertaruhkan dalam isu yang sedemikian rupa. Sama saja, samaada kes liwat atau Altantuya. Umat Islam yang nampaknya akan bertelingkah dan berpecah belah sesama sendiri. Tuduh-menuduh berlaku, tohmah mentohmah terjadi dan serang menyerang peribadi kedengaran di sana sini. Bagi meredakah keadaan tersebut, saya mencadangkan mubahalah. Tujuannya, agar maruah tokoh-tokoh itu dapat dipertahankan. Tiba-tiba ada pula yang marah. Hairan saya. Tidakkah itu dapat mengembalikan keyakinan awam dan menghapuskan fitnah yang merebak? Modalnya hanya dengan ungkapan: “Ya Allah jika saya lakukan hal tersebut (sebut kes) maka laknatilah saya”. Kemudian, kita yakin Allah tidak akan memungkiri balasan bagi kaedah yang telah dinyatakan oleh-Nya dalam al-

Quran. Jika ada yang tidak mahu, tidak mengapalah. Itu hanya cadangan. Tiada paksaan dalam cadangan tersebut. Nabi SAW pun tidak memaksa Kristian Najran apabila mereka enggan bermubahalah dengan baginda. Hanya Allah yang mengetahui hakikat sesuatu perkara. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan. Jika sudah ingin akur kepada mahkamah, maka marilah bertenang sehingga keputusan mahkamah keluar. Rakyat tidak perlulah diajak berbalah dalam hal ini. Ada yang tuduh saya UMNO kerana mencadangkan hal ini. Demi Allah, saya tidak pernah isi borang parti berkenaan. Namun, saya tidak mampu saman penuduh berkenaan di mahkamah. Mereka yang mengenali saya tahu, saya seorang yang tidak banyak wang. Tetapi jika penuduh itu hendak bermubahalah, saya berani, kerana saya tidak pernah mengisi borang parti tersebut.

Bersumpah

Ada pula yang meminta supaya bersumpah dengan nama Allah. Ada pula kata tidak perlu bersumpah. Perbahasan tentang menafikan keperluan bersumpah atau kewajaran bersumpah itu telah menelan masa rakyat yang berjam-jam. Padahal bersumpah itu tidak sampai pun setengah minit. Saya kata adanya perbezaan antara bersumpah untuk meyakinkan orang yang dilakukan di luar mahkamah dengan sumpah dalam mahkamah. Jika sumpah itu merujuk kepada dalam mahkamah, orang yang dituduh tidak perlu bersumpah sehingga didatangkan bukti. Sebaliknya, orang yang menuduhlah yang perlu mendatangkan saksi atau bukti. Namun, sumpah di luar mahkamah berbeza. Ia soal meyakinkan pihak lain, bahawa cerita atau dakwaan tertentu itu tidak benar, atau kenyataan seseorang itu benar. Ini seperti apabila isteri menuduh suami ada pasangan luar. Suami pula menafikan. Isteri pula berkata: “abang bersumpahlah dengan nama Allah”. Jika suami tidak lakukan perbuatan itu, maka tidak salah untuk dia bersumpah. Tiada nas yang kata suami salah kerana bersumpah sekalipun dia di pihak yang benar. Justeru itu, Sayidina ‘Uthman bin ‘Affan bersumpah dengan nama Allah ketika dia dikepung oleh pemberontak yang ingin membunuhnya. Kata Sayidina ‘Uthman: “Demi Allah, aku tidak pernah berzina sama sekali semasa jahiliah, ataupun Islam. Tidak pernah aku ingin menukar agamaku sejak Allah memberi petunjuk kepadaku. Tidak pernah aku membunuh satu nyawa pun tanpa sebab yang benar. Mengapa mereka ingin membunuhku?" (Riwayat Abu Daud, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ahmad). Adakah ‘Uthman berdosa kerana bersumpah tidak pernah berzina sedangkan pihak yang ingin membunuhnya belum mendatangkan empat saksi? Tidak! Sumpah ‘Uthman bukan di mahkamah, tetapi sumpah mempertahankan diri. Namun, tiada paksaan dalam hal ini. Sesiapa yang ingin bersumpah, boleh bersumpah. Sesiapa yang tidak ingin, tidak dipaksa. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui sebab seseorang ingin bersumpah atau sebaliknya. Kepada-Nya kita kembalikan segala urusan. Dia Maha Adil, Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

Ada yang menyebut tidak boleh kita menuduh orang lain meliwat atau berzina melainkan adanya empat saksi. Saya kata, semua orang wajib setuju dalam perkara tersebut. Haram menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa empat orang saksi. Malangnya, politik kita dalam negara ini, sekali pun sebahagian besarnya Muslim, tuduh-menuduh dalam perkara zina sudah menjadi biasa. Pentas-pentas politik tidak pernah cermat menuduh orang itu dan ini dengan skandal seks yang pelbagai. Laman-laman Internet seakan mempunyai logo halal yang cukup besar untuk menuduh sesiapa sahaja. Apakah hari ini baru kita sedar perkara ini haram? Atau ia haram untuk orang lain, tidak haram untuk kita? Allah menyebut: (maksudnya): “Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah al-Nur ayat 15).

Kita semua patut bersihkan iklim politik kita sebagai masyarakat Muslim daripada keceluparan yang seperti ini. Jika kita masih ingat, sehingga dalam negara kita seseorang boleh menuduh orang lain murtad atau ratusan ribu murtad sekalipun atas khabar angin dan tanpa bukti yang kukuh.

Cuma saya ingin membuat sedikit pembetulan, ada pula tokoh agama yang kata seseorang yang mendakwa dia menjadi mangsa rogol atau liwat wajib mendatangkan empat orang saksi, jika tidak dia disebat 80 rotan. Saya tidak ingin merujuk kepada kes yang sedang berlaku. Tetapi saya ingin mengkritik kefahaman terhadap masalah qazaf. Ada perbezaan antara menuduh orang lain dan seseorang yang mendakwa menjadi mangsa rogol. Apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: Awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka? Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Bagaimana seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan? Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf: “Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyeksanya”. Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata: “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28). Lihat, al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.

Apapun, saya bersetuju dengan perjuangan membela rakyat bawahan yang terpinggir. Saya menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, pembaziran harta rakyat dan yang sewaktu dengannya. Lebih yang patut ditentang sebagai seorang Muslim, jika negara diuruskan tanpa panduan wahyu Ilahi. Islam bukan retorik atau slogan, tetapi isi dan pelaksanaan. Kita tidak patut berjuang untuk individu, tetapi untuk prinsip. Individu boleh datang dan pergi, tetapi prinsip tidak boleh ditukar ganti. Perjuangan kita bukan menukar nama pemerintah, tetapi prinsip dan akhlak pemerintah.

Memprotes

Matlamat tidak menghalalkan cara. Anda boleh memprotes harga minyak yang naik, tetapi tidak perlu melondeh seluar depan khalayak untuk menunjukkan protes. Matlamat yang baik, mesti melalui cara yang diredai Allah. Kuasa untuk menegak prinsip. Bukan korban prinsip kerana kuasa. Nabi SAW menolak tawaran kuasa oleh pembesar Mekah, apabila terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan. Biarlah perjuangan panjang dan lewat, asal ia bermatlamat. Sebab itu saya selalu mengulangi kata-kata tokoh umat yang besar, al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada al-Ikhwan al-Muslimin.: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal...istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredaan Allah. Melaksanakan perintah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperoleh pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan… Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa dan keinginan terhadap keselamatan manusia. Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa – setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. (al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya rasa, prinsip-prinsip perjuangan Islam ini perlu kembali diingati oleh sahabat-sabahat yang pernah bertekad untuk mendaulatkan syiar Allah dan Rasul-Nya. Janganlah kerana terlalu banyak isu, lalu kita hilang halu tuju, sehingga lupa menyebut nama kita, matlamat perjuangan kita dan lebih utama keredaan siapa yang kita cari?

06/07/2008 - Mubahalah agar umat tidak berbalah

Sepatutnya kerja-kerja politik itu adalah urusan menguruskan negara dan rakyat agar hidup dalam keadaan mendapat hidayat dan sejahtera. Inilah juga tanggungjawab kekhalifahan manusia di atas muka bumi ini. Firman Allah: (maksudnya) “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: ayat 30).
“Khalifah itu bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumi-Nya. Demikian sekalian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka” (lihat: Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64.)

Maka urusan kekhalifahan itu memegang amanah Allah dalam perancangan dan pembangunan bagi memakmurkan bumi ini berdasarkan syariat-Nya. Itu bukan hanya tugas Adam a.s seorang, sebaliknya anak cucunya wajib melaksanakan tanggungjawab yang sama. Firman Allah SWT menceritakan tentang nasihat Nabi Solih kepada kaumnya: (maksudnya): “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Solih. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Tiada bagi kamu tuhan daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu daripada (bahan-bahan) bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”. (Surah Hud: ayat 61)

Maka inilah sepatutnya kerja orang politik. Memakmurkan bumi dengan menghidupkan ketenteraman dan keamanan dalam kehidupan manusia. Maka, amatlah malang melihat gelagat sesetengah ahli politik dalam negara kita yang kebanyakan mereka mengaku muslim tetapi seakan tidak memahami kerja kekhalifahan itu menghidupkan keamanan, bukan kekalutan. Kerja politik yang sepatutnya menampilkan kepada rakyat idea-idea pengurusan negara demi keadilan dan kedamaian dalam kehidupan rakyat bertukar menjadi kerja selak-menyelak kain masing-masing di khalayak ramai atas nama politik. Cerita-cerita dalam kain mereka yang memalukan kita untuk menjelaskan kepada anak kecil jika hadir di samping kita mendengar berita-berita daripada media menjadi bahan politik mereka. Mereka memakmurkan urusan ‘kekhalifahan’ mereka dengan menjadikan cerita-cerita seperti itu sebagai modal menunjukkan ‘ketajaman’ idea politik ‘menghidupkan kekalutan dan kegusaran’ dalam kehidupan rakyat. Benarlah dakwaan sesetengah pihak ‘politik itu saudara pembohongan’. Ramai yang menghantar SMS dan e-mel kepada saya menyatakan dukacita mereka yang amat sangat dengan cara politik pemimpin-pemimpin Melayu ini. Sehingga mereka yang dulunya saya kenali mempunyai minat yang tinggi terhadap politik, sama ada pembangkang atau kerajaan, telah bertukar menjadi muak dan bosan dengan ‘politik selak kain’ yang giat ditampilkan sekarang.

Keaiban
Dalam Islam, sepatutnya keaiban peribadi tidak dijadikan mainan atau berita utama yang ditebarkan secara luas dalam masyarakat yang sehingga nanti masyarakat terbiasa dengan akhlak-akhlak buruk lantas maruah orang menjadi taruhan atas kepentingan peribadi. Hanya apabila terpaksa sahaja, seperti kes di mahkamah baru keburukan itu didedahkan. Bukan memperjudikan maruah satu sama lain dalam perlumbaan kuasa. Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Soal maruah adalah besar dalam Islam. Bukan seperti Barat yang menjadikan maruah taruhan berita sensasi. Justeru, sekalipun Islam menjatuhkan hukuman sebat 100 rotan kepada penzina, Islam juga menetapkan syarat ketat terhadap yang menuduh orang lain berzina. Maka Islam menghukum penuduh tanpa cukup saksi dalam kes zina dengan 80 rotan. Ini kerana dia telah mempermainkan maruah orang lain. Juga Islam cuba menghalang sikap suka mendedahkan aib orang lain dalam perkara yang tidak cukup keterangan dan bukti. Firman Allah: (maksudnya) “Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4)

Namun, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya. Justeru Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri. Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.

Jelas, isu-isu aib peribadi tidak patut dijadikan gelanggang permainan dalam masyarakat muslim sehingga setiap individu merasakan dirinya memiliki lesen besar untuk menuduh sesiapa sahaja yang dia mahu atau sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya. Namun dalam masyarakat kita sehari dua ini nampaknya keadaan berlaku sebaliknya. Isu dalam kain individu-individu politik telah mencetuskan kegelisahan awam. Sehingga mewujudkan ketegangan, tuduh-menuduh dan maki-memaki yang seakan tiada kesudahannya. Jika dibiarkan, ketenteraman boleh tergadai disebabkan kerenah mereka.

Dalam al-Quran Allah mengajar mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Ini kerana ada pihak yang menunjukkan sikap keras kepala sehingga menimbulkan kekusutan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.(lihat: Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, 11/71). Disebut juga mulaa‘nah iaitu meminta agar Allah melaknati sesiapa yang berdusta atau bersalah di kalangan yang berselisihan dakwaan tersebut. Ini seperti firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW: (maksudnya) “Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).

Mencabar
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w pernah mencabar puak Kristian daripada Najran agar melakukan mubahalah ini dengan baginda tentang Nabi Isa dan kebenaran ajaran Islam, namun mereka takut dan enggan melakukannya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Mubahalah itu adalah sunnah bagi sesiapa yang keras kepala di kalangan puak kebatilan. Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563).

Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Ini seperti dalam kes tuduh menuduh dalam negara kita sekarang, maka satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”. Selepas itu, kita semua tunggu hukuman dalam hal ini. Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari.

Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini. Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya. Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian. Di zaman Harun al-Rasyid juga ada yang menerima hukuman Allah setelah bermubahalah. Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab (tokoh yang dituduh membawa ajaran Wahhabi) pernah mencabar mereka yang menyanggahinya bermubahalah, namun penentangnya enggan.

Saya bukan inginkan agar Allah menurunkan bala kepada mereka yang tuduh- menuduh. Tetapi pertelingkahan mereka telah mengkucar-kacirkan umat dan negara, maka eloklah mereka bermubahalah agar orang ramai tidak lagi berbalah. Selepas bermubahalah, kita serahkan urusan ini kepada Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui mengenai hal hamba-hambanya itu. Jika mereka tidak bersalah, apa yang hendak ditakuti? Orang politik rela belanja berjuta-juta untuk menceriakan imejnya. Mubahalah tidak perlu wang atau modal, namun dapat mengembalikan keyakinan dan menghapuskan prasangka yang telah ditaburkan dalam masyarakat.