26/10/08 - Jangan bohong guna nama Rasulullah!

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar. Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir: Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-akan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton. Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan. Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan: Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210). Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah: Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”. Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang). Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari: Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”. Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul. Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia. Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan. Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah. Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Menghina

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih. Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu. Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga. Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud: Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.

Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar. Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan. Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Kebatilan

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h: Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan). Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak! Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya: Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka. Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab: “Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: “Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57). Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.) Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata. Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini. Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda: Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

19/10/2008 - Membela kebenaran adalah tanggungjawab perjuangan

APABILA seseorang berbicara tentang kebenaran atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasul-Nya. Tidak kerana mengharapkan habuan daripada manusia atau kemasyhuran atau kemenangan. Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata-kata Rasulullah SAW: “Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk diri atau puaknya, maka dengan lantang dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada diri dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk, ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya. Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran dilacurkan untuk mendapatkan keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan meminta saya menggunakan nama dan pengaruh dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mendapat faedah kewangan. Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi belum bersedia melelong agama. Nas-nas Allah dan rasul-Nya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia. Keadaan seperti ini juga menjadikan ramai yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan sangat berbeza. Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka bertukar-tukar cakap dan prinsip. Kesemuanya akan dijawab: “Ini keputusan parti”. Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasul-Nya bukanlah kerja mudah. Allah menguji insan membuktikan keikhlasan dirinya dalam membela ajaran Tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya. Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran. Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semestinya setiap pejuang itu berpeluang menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga juga demikian. Betapa ramai pembela dan pejuang kebenaran diseksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab. Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi namun masanya tidak diketahui. Para sahabah yang syahid di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak. Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi SAW dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Rasulullah pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ikhlas

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum sempat melihat pejuang kebenaran menjatuhkan pejuang kebatilan. Namun pejuang yang ikhlas itu reda kerana itulah harga kebenaran. Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi menegakkan kebenaran. Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi perjuangan yang tulus itu adalah keredaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111). Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebanan dengan penuh jujur. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak. Namun ramai yang tersasar kerana merasakan tujuanmenyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil kemenangan atau habuan yang bakal diperoleh. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang atau organisasi Islam mengubah hala tuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak. Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi cabaran yang pelbagai daripada para pembesar Quraish dengan firman-Nya: (maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan berganda semasa hidup dan kesengsaraan berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat dijulang atau dibuang, sama ada dikeji atau dipuji, dipuja atau dihina, ketika di atas atau ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan namun kebenaran adalah kebenaran. Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya) “Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Maka Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama. Seseorang muslim itu kelihatan hilang atau tiada langsung sifat kecemburuan atau semangat dalam mempertahan dan membela kebenaran. Sesetengah pihak itu seakan-akan menjadikan Islam sekadar untuk dikatakan dia mempunyai agama atau membolehkan dia berinteraksi dengan masyarakat. Tidak pernah diambil pusing tentang apakah dasar dan prinsip Islam. Apatah lagi untuk membela dan mempertahankannya. Ada pula kelompok yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘kesufian’ yang melepasi batasan sehingga Islam mereka dimandulkan. Apa tidaknya, mereka menganggap cukuplah Islam itu hanya berzikir atau beribadat sendirian. Mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada umat Islam dan nasib kepada kebenaran yang ditindas. Bahkan banyak ajaran kerohanian kesufian itu sendiri menyeleweng dari hakikat kebenaran. Mereka ini hidup dalam kelompok zikir dan ‘cerita-cerita sakti’ mereka mengenai wali itu dan ini. Dihiasi agama mereka dengan hadis-hadis palsu yang memperuntukkan syurga dengan begitu murah. Amalan yang kecil diberikan pahala terlalu besar sehingga menafikan sifat Islam. Ini seperti hadis palsu yang menyamakan amalan kecil dengan pahala para nabi atau para syuhada. Inilah yang termuat dalam banyak buku fadilat yang tidak berpegang kepada disiplin ilmu hadis. Malangnya, buku-buku fadilat seperti ini menjadi kegemaran orang awam. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut: “Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh- tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah”.( Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut : Dar al-Fikr al-Mu‘asir) Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah pula ketika memperkatakan mengenai sebab-sebab kemunculan hadis palsu: “ (sebab yang ke enam) bertujuan menggalak orang ramai membuat kebaikan. Antara yang melakukan perbuatan ini ialah golongan jahil ahli zuhud dan tasawwuf. Mereka membenarkan untuk diri mereka pendustaan ke atas Nabi di dalam tarhib (ancaman dosa) dan targhib (galakan ibadah). Mereka menyangka kesesatan itu suatu kebaikan, mereka adalah manusia yang paling bahaya” ( Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum Mustalah al-Hadith, m.s.332, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi)

Sehingga tenggelam mereka yang terpengaruh dengan unsur kerohanian seperti ini membelakang nas-nas Islam yang meletakkan tanggungjawab besar ke atas setiap muslim membela agama Allah. Firman Allah: (maksudnya) “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (dalam perjuangan)? (surah Ali ‘Imran ayat 142). Firman-Nya juga: Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang- orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kesusahan dan kemudaratan, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir. (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Amalan

Ramai umat Islam yang dimabukkan dengan anggapan beragama itu memadailah dengan mengamalkan beberapa amalan dan kemudian biarlah dunia ini. Tiada pembelaan untuk Islam dan kebenaran. Lebih buruk lagi, sesetengah aliran kerohanian menjelma bagaikan ajaran kerahiban. Agamawan itu bagai pendeta yang bertapa tanpa mengambil berat tentang masyarakatnya. Inilah yang menyebabkan Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik ajaran tasawwuf yang menyimpang dari sifat asal Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kata al-Qaradawi: “ Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu - unsur-unsur asing, sama ada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan juga unsur Islam. Dalam tempoh sekian lama masuk ke dalam tasawwuf pemikiran pelik daripada sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul atau al-ittihad atau wahdah al-wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid , zauq dan berhukum dengan perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”. ( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘iyah, m.s. 94-95, Beirut : Muassasah al-Risalah).

Pemikiran seperti ini menghalang sifat perjuangan dan membela kebenaran hakiki.

12/10/2009 - Apabila ketamakan menguasai jiwa

JIKA anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mesti berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman.

Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran. Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat asal. Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah Islam bertujuan memperoleh habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi.

Pagi semalam saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang dahulunya pensyarah UIAM dalam bidang ekonomi Islam. Beliau meninggalkan jawatannya kerena masuk bertanding dalam pilihan raya yang lepas dan tewas. Saya kenal kesungguhan cita-cita Islam dan kebaikan dirinya. Dia bukan sahaja memiliki Ph.D dalam bidang ekonomi Islam, bahkan mempunyai pengetahuan dan disiplin Islam yang baik dalam perkara-perkara yang lain. Namun mungkin masa tidak menyebelahinya, walaupun hasratnya baik untuk membaiki kepincangan politik. Sehari dua ini, parti yang dimasukinya sibuk mencalonkan jawatan itu dan ini, dan dia juga mencuba nasib untuk jawatan ketua pemuda di suatu bahagian. Dalam mesejnya itu, setelah menyatakan parti yang dimasukinya tidak sesuai lagi untuk orang sepertinya, dia menyebut, beliau kalah kepada lawan yang tidak berpelajaran dan kerjanya diragui. ``Dia diongkosi oleh Ketua Bahagian yang melihat saya sebagai ancaman. Jawatan parti hari ini adalah jawatan yang disandang berasaskan siapa yang dapat membida harga tertinggi bukan siapa yang berkualiti dan mahu berbakti”. Mesejnya jelas menunjukkan dia amat kecewa dengan partinya. Itulah natijahnya apabila politik yang bertujuan membaiki dan mengendalikan urusan umat agar selaras dengan kehendak wahyu dijadikan medan pertaruhan demi membolot harga dan kuasa, maka manusia atau organisasi itu akan menjadi binasa.

Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’. Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi SAW terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim: “Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.

Kefakiran

Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, mencari rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran. Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan. Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.

Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat, Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid panjang-panjang. Sebaliknya disuruh bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)" (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10). Dalam ayat ini juga menunjukkan hari Jumaat tidak disuruh kita menutup kedai sepanjang hari, sebaliknya hanya disuruh meninggal perniagaan apabila azan dilaungkan. Jika kedai ditutup pada hari Jumaat, tentu tiada faedah Allah mengarahkan agar meninggalkan jual beli apabila mendengar azan. Selepas solat Jumaat disuruh sambung bekerja. Demi sesungguhnya Islam tidak anti-harta. Bahkan Nabi SAW menyebut: “Sebaik-baik harta yang baik adalah untuk seseorang yang baik” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apa yang Islam musuhi adalah ketamakan. Apabila kegilaan kepada harta memalingkan tujuan atau matlamat kehidupan, maka harta adalah perosak. Apabila kehendak kepada harta memusnahkan agama, politik, keadilan maka harta itu menjadi fitnah. Ia akan memusnahkan rangkaian masyarakat muslim dan dunia keseluruhannya. Hari ini dunia menderita disebabkan dasar kapitalisme yang diamalkan oleh para penindas yang menghisap darah rakyat di negara yang lemah. Kegilaan dalam mengaut keuntungan tanpa sempadan kemanusiaan telah memporak perandakan imbangan kehidupan manusia di dunia ini. Sehingga ada negara yang miskin dan melarat, sedangkan di negara lain manusia begitu mewah melepasi sempadan igauan. Ketamakan harta jugalah sebenarnya yang menimbulkan kefakiran.

Maka pelaksanaan sistem Islam dalam ekonomi mestilah dapat menangkis kerakusan manusia dalam membolot harta sehingga menindas orang lain. Maka Islam mengharamkan riba kerana itulah pintu kepada kerakusan. Sistem riba itulah sekarang ini yang memiskinkan sejumlah besar manusia dalam dunia ini. Jika ada pengurusan kewangan atau perniagaan yang cuba menggunakan nama Islam tetapi tidak melepaskan diri dari unsur penindasan, maka Islam itu hanya sekadar kosmetik tanpa makna. Barangkali orang ramai akan menyangka pengurusan itu sangat Islamik sebab ada ‘panel syariah’ yang dibayar elaun oleh pihak yang meminta difatwakan untuk bisnes mereka. Namun jika fatwa itu gagal membebas pihak yang berurusan dari penindasan ekonomi, maka itu bukan syariah namanya. Jika fatwa yang diberikan itu membebaskan pengurusan ekonomi dari unsur kezaliman dan penindasan, maka panel tersebut benar-benar menunaikan amanah ilmu. Jangan sampai jadi cerita kononnya satu syarikat telekomunikasi yang berhempas pulas menghalal pertaruhan yang bersifat judinya dengan menjanjikan jawatan kepada seorang panel syariah yang akan dilantiknya.

Sebab itu Allah menyebut harta sebagai musuh dan fitnah iaitu ujian. Firman Allah: (maksudnya): “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah al-Anfal, ayat 28).

Maka, kerana harta, manusia sanggup jual agama atau menyalahgunakannya. Agama Allah yang diturunkan untuk memberi hidayah kepada manusia dijadikan saluran untuk memakan harta orang lain dengan cara yang tidak benar. Allah menyebut tentang perangai ahli-ahli dahulu yang mengetahui Taurat dan Injil tetapi menyalahgunakannya. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam)..” (Surah al-Taubah ayat 34). Perangai Ahlul Kitab berterusan sehingga ke zaman ini.

Kesedihan

Kematian merupakan kesedihan dan kita disuruh membantu keluarga si mati. Namun berapa ramai manusia menggunakan nama agama mengambil bayaran itu dan ini daripada keluarga si mati. Direka bacaan dan solat itu dan ini yang tidak di- buat oleh Rasulullah SAW dan para sahabah, lalu bayarannya dikenakan kepada keluarga si mati. Seakan di tangan golongan yang mengambil kesempatan inilah kunci pahala.

Inilah masalahnya, jika kita berfikir bagaimana ingin menjadikan Islam sebagai punca mengaut keuntungan, maka agama ini akan menjadi mangsa. Saya masih teringat cerita bagaimana ada pihak tertentu yang menubuhkan persatuan ‘solat jenazah’ dengan tujuan menghasilkan pendapatan sampingan. Apabila ada saja kematian maka mereka pun akan dijemput dengan bayaran tertentu. Tanpa bayaran mereka tidak akan hadir. Upacara-upacara ‘tambahan’ yang dikaitkan dengan agama juga akan diwujudkan yang mana bilnya terpaksa dibayar oleh keluarga si mati. Apabila mereka hadir ke tempat kematian wajah mereka kelihatan sedih dan sayu. Namun, apabila banyak hari tiada kematian atau pihak yang menjemput bagi upacara kematian, mereka sesama sendiri bersungut ‘tiada siapa-siapa yang nak mati ke? Sekurang-kurangnya lepas juga duit kopi..” Maka, tidaklah dapat diketahui, apakah mereka suka dengan kematian atau dukacita mengenangkan keluarganya? Adakah di sana akan terdapat keikhlasan doa daripada mereka yang bersolat jenazah untuk mendapatkan upah? Namun masyarakat yang jahil termakan juga..

Bukan sedikit manusia yang berfikir bagaimana untuk menggunakan kehendak orang ramai kepada agama sebagai sumber pendapatan. Umpamanya, saya amat terkejut apabila dimaklumkan ada syarikat yang mengambil upah ‘menyamak’ rumah atau bangunan yang hendak didiami oleh orang Islam. Barangkali rumah tersebut akan dibasuh dengan selut kerana bimbangkan penghuni bukan muslim yang tinggal sebelumnya membawa masuk anjing atau babi. Sedangkan Allah memaafkan apa yang tidak diketahui dan zahir. Namun mereka berlebih-lebihan. Maka habislah rumah dan bangunan itu berlumuran selut. Kosnya pun boleh tahan. Namun, seperti mana sebahagian mereka yang terpengaruh dengan kempen ‘jualan langsung’ maka ada orang Islam yang menempah ‘kontrak selut’ itu kerana kononnya nanti solat tidak diterima Allah sebab ada kesan najis yang kita tidak nampak. Untunglah syarikat berkenaan apabila ada yang tidak faham hakikat Islam atau berjaya dikaburkan atas nama Islam. Padahal, pada zaman Rasulullah SAW anjing berkeliaran dan ramai orang Arab membela anjing. Apabila Islam datang, Islam mengizinkan anjing digunakan untuk buruan dan menjaga keselamatan, tetapi tidak untuk belaan biasa di rumah. Pada masa dahulu, para sarjana Islam mengulas larangan tersebut menyatakan antara hikmah daripada larangan tersebut kerana anjing yang dipelihara di rumah boleh menimbulkan ketakutan kepada tetamu yang datang, menyalak tidak menentu dan sebagainya yang mempunyai kemungkinan yang besar mengganggu orang lain. Sains moden juga membuktikan adanya ancaman penyakit dari haiwan berkenaan. Namun baginda tidak pernah pun mengarahkan supaya mana-mana sahabah baginda menyamak satu rumah. Paling tinggi baginda menyebut tentang jilatan anjing: “Apabila anjing menjilat bekas kamu, maka basuh sebanyak tujuh kali” (Riwayat Muslim). Dalam riwayat lain ditambah lafaz “ke tujuhnya dengan tanah” ada pula yang menyebut kali ke lapan (Riwayat Muslim). Ulama berbeza pendapat tentang anjing. Ada yang menyatakan, berdasarkan hadis hanya jilatan anjing yang wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan bersama tanah pada kali ke tujuh, atau ke lapan. Ada yang meluaskan sehingga sentuhan basah anjing pun wajib dilakukan demikian, walaupun hadis tidak menyebutnya. Ada yang berpendapat, basuhan dengan air tanah hanya pilihan. Apa pun, Nabi SAW tidak menyebut mesti menggunakan selut dan menyuruh menyamak bangunan atau rumah. Apatah lagi jika tidak nampak kesan najisnya. Namun, akal bisnes kadang-kala lebih lajak dari lajunya.

5/10/2008 - Tanggungjawab mencari pengganti yang berwibawa

MEMBACA surat Abu Bakr al-Siddiq tentang siapakah pengganti selepas kewafatannya sepatutnya membawa seseorang pemerintah insaf bahawa soal mencari pengganti ini adalah perkara besar yang akan mengundang sama ada reda atau murka Allah di akhirat nanti. Ia bukan soal melepaskan bebanan semata.

Jawatan pemerintahan pula, bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan begitu sahaja. Abu Bakr al-Siddiq pada penghujung hayatnya, menulis surat mencadangkan penggantinya. Dalam surat tersebut beliau menyatakan seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayat di dunia ini, sedang keluar darinya, dan permulaan tempoh di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku -dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun buat Allah, rasul-Nya, agama-Nya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr). Surat ini menggambarkan betapa Abu Bakr al-Siddiq membuat cadangan penggantinya atas asas tanggungjawab di hadapan Allah tanpa sebarang kepentingan diri. Beliau juga memikirkan masa depan umat di bawah penggantinya, juga perasaan gerunnya kepada Allah tentang apa yang akan dilakukan oleh penggantinya. Padahal pengganti yang dicadangkan itu ialah insan yang terbaik bagi umat ini selepas dirinya. Pun begitu, ayat amarannya jelas agar keadilan mestilah ditegakkan dan dia memilih pengganti atas keyakinan bahawa penggantinya dapat menjamin pelaksanaan keadilan yang dikehendaki Allah, bukan menjamin kepentingan dirinya atau kelompoknya.

Politik pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah agak mencabar. Khalifah terpaksa mencadangkan penggantinya yang dapat memastikan perjalanan kerajaan terus stabil. Walaupun kelihatannya ada unsur meminggirkan suara syura rakyat dalam pemilihan khalifah sehingga menyebabkan jawatan itu diwarisi secara dinasti bagi keturunan Bani Umayyah dan dinasti-dinasti selepas itu juga melakukan hal yang sama. Namun risiko membuka jawatan khalifah untuk dibuat pemilihan terbuka juga adalah besar. Pertarungan merebut jawatan numbor satu dalam sesebuah kerajaan jika tidak dikawal dengan penuh sistematik dan kemas akan menatijahkan ketidakstabilan negara yang tiada kesudahannya. Di samping, kelemahan sistem pewarisan takhta juga jelas. Apatah lagi ia bercanggah dengan ruh Islam. Sementara, membuka peluang syura kepada semua rakyat atau Ahl al-Hal wa al-‘Aqd memerlukan negara yang stabil sistemnya untuk mengawal perjalanan pemilihan agar tidak menimbulkan huru hara. Syura itu untuk kemaslahatan rakyat dan negara. Apabila ia dilaksanakan, hendaklah dipastikan natijahnya membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan. Jika hanya membawa kepada kerosakan, seperti jika suara ramai dijadikan ukuran dalam menentukan kepimpinan dalam sesuatu komuniti yang rosak agama dan akhlaknya, kemungkinan besar kesan pemberian hak memilih itu tidak membawa kemaslahatan. Mungkin akan dipilih pemimpin yang buruk nilai agama dan akhlaknya. Suara ramai dihormati, namun jika suara ramai itu mengundang keburukan, maka ia tidak patut diterima pakai.

Keistimewaan

Antara keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Kerajaan Bani Umayyah adalah wujud penasihat-penasihat yang terdiri daripada kalangan para ulama yang luas keilmuannya dan tajam serta tangkas pemikirannya. Tokoh yang paling menonjol ialah Rajak bin Haywah. Beliaulah tokoh yang sering mendampingi ‘Umar bin Abd al-‘Aziz dan memberikan pandangan-pandangan yang tangkas, bijak dan diredai Allah dalam bidang politik dan kehidupan. Sulaiman bin ‘Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Sebelum Sulaiman meninggal, dia telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah tentang siapakah yang wajar menjadi penggantinya. Rajak bin Haywah menjawab: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang soleh memerintah kaum Muslimin”. Sulaiman sendiri akhirnya mencadangkan seorang yang bukan saudara kandung, juga bukan anaknya tapi sepupunya ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Apabila Sulaiman bertanya pendapat Rajak bin Haywah, jawabnya: “Saya berpendapat dia seorang yang baik, Muslim yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang- orang yang baik. Cuma aku bimbang saudara-saudaramu tidak bersetuju dengannya”. Kata Sulaiman: “Nampaknya begitulah”. Lalu Sulaiman bin ‘Abd al-Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum keluarganya yang mencengkam pemerintah Bani Umayyah ketika itu dengan mencadangkan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman iaitu Yazid bin ‘Abd Malik sebagai timbalan (Waliy al-‘Ahd). Dia menulis surat rasminya seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin ‘Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku, dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Walaupun apa yang dipertikaikan, Sulaiman bin ‘Abd al-Malik tetap berjasa dalam sejarah kerena tindakan berani yang mengenepikan kebiasaan dan melantik calon yang agak jauh menjadi khalifah telah membawa rahmat kepada dunia Islam. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menjadi khlaifah yang sangat adil dan soleh. Dalam tempoh dua tahun memerintah, dia telah mencatatkan sejarah pemerintahnya dengan tinta emas bertatah berlian. Sulaiman bin ‘Abd Malik walaupun tidak setanding ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, namun sejarah akan mengenangnya kerana dia yang memberi laluan tersebut kepada khalifah yang adil itu. Ini semua kerana dia menerima nasihat Rajak bin Haywah bahawa melantik pengganti yang soleh merupakan amalan yang dapat memelihara seorang khalifah apabila dia menemui Allah nanti.

Seseorang bapa yang ingin meninggalkan rumahnya akan memastikan isteri atau anaknya boleh diharapkan agar harta benda dan keselamatan rumah terjamin. Rakyat dan negara tentu lebih berharga dari rumah individu dan kemusnahan sebuah negara tentu lebih besar kesannya daripada kemusnahan sebuah rumah. Memastikan agar negara yang diwarisi dalam keadaan sejahtera dan selamat adalah tanggungjawab yang penting. Kemusnahan sesuatu kaum atau masyarakat yang dirahmati Allah adalah disebabkan generasi yang mewarisi bangsa berkenaan menyeleweng dari landasan yang diredai Allah. Allah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya: (maksudnya) “Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) dalam al-Kitab (Al-Quran) ini tentang (Nabi) Idris; sesungguhnya dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.Mereka itulah sebahagian daripada Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat kepada mereka daripada keturunan (Nabi) Adam, dan dari keturunan mereka yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama (Nabi) Nuh, dan daripada keturunan (Nabi) Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil (Nabi Ya‘kub)- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”. (Surah Maryam, ayat 56-60).

Dua asas

Seperti yang sering saya sebutkan, dalam Siyasah Syar‘iyyah (Politik Islami) dua asas penting diambil kira dalam memberikan amanah atau tugasan khususnya politik kepada seseorang individu. Asas itu adalah al-Quwwah dan al-Amanah atau Kemampuan dan Amanah. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya0: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26) Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s :(maksudnya:“Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai (Surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) “Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘arsy, yang ditaati lagi dipercayai (Surah al-Takwir ayat 19-21). Katanya Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai-bagai jenis peperangan...al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri amanah yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): “Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir (Surah al-Maidah: ayat 44)".

Krisis kepimpinan dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berpunca kerana ada pihak-pihak yang hanya menumpukan di sudut al-Quwwah iaitu kemampuan atau kewibawaan atau karismatik seseorang tokoh dalam politik, tetapi melupakan sudut amanah yang membabit mengenai pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin. Sehingga akhirnya, ada yang memiliki kemampuan kepimpinan politik, tetapi kontang dari nilai-nilai takwa sehingga mudah terjerumus ke dalam kancah penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sementara, ada pihak yang lain begitu memberikan perhatian kepada soal kekuatan pegangan agama sehingga mengabaikan soal kemampuan dalam kepimpinan politik. Ini juga menyebabkan ramai orang yang atas kepercayaan orang ramai tentang pegangan agama mereka lalu diberikan jawatan politik, akhirnya mereka gagal menguruskannya. Bukan kerana tidak amanah, atau tidak takutkan Allah, tetapi kerana tidak mempunyai ciri al-Quwwah atau kemampuan dalam menguruskan kepimpinan yang diamanahkan kepadanya. Sebab itu Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabaT-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun dia seorang yang soleh. Seperti sabda baginda kepada Abu Zar r.a.: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. Walaupun Abu Zar terkenal baik dan soleh, namun itu belum cukup untuk melayakkannya memimpin.

Tanggungjawab rakyat dan kepimpinan yang memiliki kuasa untuk memastikan bahawa jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat itu tidak akan jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak. Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas.