29/11/09 - Pengorbanan Bukan Sekadar Cerita…

Ketika saya menulis artikel ini, saya berada di Bandung, Indonesia. Datang bersama teman-teman berhariraya Adha ke sini serta berpeluang untuk berceramah dan berkhutbah. Nasib baik tiada pihak yang datang menuntut tauliah ketika saya berceramah dan berkhutbah di sini. Nampaknya ruang dakwah itu tetap ada di mana-mana.

Bumi Tuhan ini luas dan insyaAllah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah. Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya. Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian.

Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman. Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepadaNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk)” (Surah al-Ahzab, ayat 39).

Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan. Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?!


- Gambar Hiasan

Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.

Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya. Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya.

Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:

“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”. (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).

Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.

Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.

Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).

Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.

Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu”. (Surah al-An’am, ayat 33-34).

Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.

Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.


- Gambar Hiasan

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.

Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.

Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.

Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.

Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.

22/11/09 - Bahaya Hujah Dibayar Darah

Tajuk di Mingguan Malaysia : Bahaya Pemikiran Kelompok Ahbash


Suka mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu muslim yang lain melainkan terdapat bukti yang yakin tanpa syak dan tidak keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca dari keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama.

Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini. Kebelakangan ini kita dapati ada pihak yang tidak menerima beberapa pandangan pembaharuan atau tajdid dalam masyarakat kita.

Tidak dapat menerima itu tidak menjadi masalah, kerana memang adat kehidupan untuk manusia berbeza pendapat. Tetapi apabila mereka yang enggan menerima pandangan yang dianggap berbeza dengan tradisi yang mereka pertahankan itu mula menggunakan pendekatan kafir mengkafir dan sesat menyesat, ini amatlah merbahaya.


- Abdullah al-Harari

Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran ‘Ahbash’. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki habsyi atau negro yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa merekalah Ahlus Sunnah wal Jama’ah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir.

Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya:

“Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pandapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fekah dan akhlak…dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-’Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya… Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-’Asy’ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafi’i segi Fekah, dan mengikut Tarikat al-Rifa’iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu samada dalam pemikiran, adab dan akhlak.. Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah (Ethopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam).

Al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut:

“Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.

Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Syeikh Faisal Maulawi menyebut:

“al-Ahbash atau (Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fekah yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pendangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah”.

Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut: “Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan method yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.”

Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak.

Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulamak sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulamak-ulamak Al-Azhar al-Syarif” Banyak lagi fatwa para ulama mengenai kemelampauan puak Ahbash ini.

Antara perkara yang menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi.

Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharaja lela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila ‘Ulil Amri’ yang dirasakan sudah tidak dapat berkerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: “Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir”.

Menjadi tabiat Puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. Di Malaysia, kelompok Ahbash ini ada mempunyai blog-blog mereka yang tersendiri. Pembaca boleh layari untuk melihat gelagat mereka. Mereka memenuhinya dengan maki hamun, menokok tambah gambar-gambar orang yang mereka tidak suka dan membuat berbagai pembohongan fakta yang lain.

Juga antara pendekatan yang digunakan Ahbash ialah mendampingi pihak yang berkuasa untuk menentang dan memfitnah tokoh-tokoh yang mereka tidak suka. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habshah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz al-Quran di sana di penjarakan selama 23 tahun. (http://www.amjaonline.com/ar) Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.

Ahbash masuk ke negara kita melalui mereka yang belajar di Lebanon dan terpengaruh dengan aliran ini. Ahbash juga telah membelanjakan wang dengan menjemput tokoh-tokoh agama Malaysia ke tempat mereka serta dibekalkan buku-buku mereka. Maka sindrom ahbash ini mula merebak dengan aktif dalam masyarakat ini apabila kelompok ‘ahbash’ mendapat tempat dalam sesetengah pihak berkuasa agama dan ruang kuliah dan ceramah di masjid dan surau.

Apabila melihat kegusaran sesetengah pihak dengan gerakan pembaharuan minda agama di negara kita, kelompok ini cuba mendapatkan tempat dengan cara menjadi ‘wira’ untuk membantu sesetengah pihak yang merasa terancam.

Mereka menyalurkan bahan dan pemikiran mereka yang dikenali sebagai pemikiran mengkafirkan tokoh-tokoh ulama dan mana-mana pihak yang dianggap berbeza dengan mereka. Maka kebelakangan ini dalam media massa, seminar, masjid, surau dan selainnya kedengaran isu mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, isu wahhabi, isu Ahlus Sunnah, isu tidak terikat mazhab al-Syafi’i dan berbagai lagi.

Bukan isu-isu ini tidak wujud sebelum ini, tetapi Ahbash berjaya menyemarakkan api permusuhan dan kebencian dengan lebih dahsyat. Isu-isu ini diulas bagaikan perang jihad mesti dilakukan untuk menghapuskan sesiapa yang berbeza. Racun awal Ahbash mula menyerap. Maki hamun kedengaran di masjid dan surau.

Malangnya mereka ini mendapat ‘lesen’ bercakap. Menfitnah, menyesat dan mengkafirkan mula dijadikan senjata. Ia amat menakutkan. Ini akan menghalang kemajuan pemikiran, lebih buruk lagi ia boleh mengundang perbalahan sengit sesama muslim.


- Watan

Sebab itu Akhbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut:

“Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun…Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910M, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950M, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.” (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadhan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan).

Cuma yang agak menarik, dalam laman web YADIM pada hari kematian al-Harari menamakannya “Pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah yang sejati”. Ini amat membimbangkan saya. Saya rasa pembaca juga demikian. Saya takut racun itu benar-benar telah memasuki masyarakat kita.

15/11/09 - Takut Hantu Wahabi!

Ada beberapa orang mencadangkan agar saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang akvitis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya dalam kolum di bawah saya ini.

Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ‘syeikh’ mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.


Namun persoalan yang besar yang sering ditimbulkan ‘siapakah Ahlus Sunnah wal Jama’ah?”. Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengistiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: “I am France and France is me”.

Maka ramailah orang mendakwa Ahlus Sunnah wal Jama’ah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu Ahlus Sunnah wal Jama’ah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya. Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri.


gambar hiasan

Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep ‘wahdatul ujud’ (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn ‘Arabi juga mendakwa mereka Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa “Ahlus Sunnah hanya yang ikut mazhab Syafi’e”. Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah!.

Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Padahal istilah Sunnah di sini merujuk Sunnah Nabi s.a.w yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunnah, maka ahli sunnah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jama’ah merujuk kepada para sahabat Nabi s.a.w dalam ertikata lain menghayati al-Quran dan Sunnah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat. Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabah adalah panduan mereka, maka mereka adalah Ahlus sunnah wal Jama’ah (lihat: al-Mausu’at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, 40-54, WAMY).

Maka dengan itu berbagai mazhab fekah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ini seperti kata ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H): “Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida’ah ahli hawa nafsu dan sesat” (al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Jika kita lihat di sini, Mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai Ahlus Sunnah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar dari Ahlus Sunnah?!

Lihatlah, wakil JAIS dalam temubual Utusan menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan UIA, sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid Ahlus Sunnah yang diajar.

Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden PAS, dalam buku sekolah Kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di UK, US dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah Ahlus Sunnah yang diajar.

Hari ini wakil JAIS dalam temubualnya dengan Utusan menyatakan itu bukan akidah akidah Ahlus Sunnah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.

Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof Hamka: “Kadang-kala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).

Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilebelkan wahabi.


gambar hiasan

Minggu lepas Pengarah Jais menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan.

Padahal pada zaman Nabi s.a.w para perwakilan muslim dan bukan muslim samada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi s.a.w dalam masjid. Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis.

Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat? Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampok kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat?! Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!

Saya bukan peminat karangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini. Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan.

Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatahlagi, kesannya besar. Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Negara Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lubnan dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.

Baru-baru ini UIA meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki , Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.

Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I’tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut: “Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat” (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).


Dr Yusuf al-Qaradawi

Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: « Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).


Dr Wahbah al-Zuhaili

Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung

(maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85)

, bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditanggap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi ?!

Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.

Maka, tidak pentinglah samada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting samada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.

8/11/2009 - Habis Hujah, Guna Fitnah

Saya malu apabila ‘orang agama’ bertindak secara terbuka ‘seakan’ menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk ‘memerangi’ golongan agama.

Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi s.a.w:

“Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” (Riwayat al-Bukhari).

Nampaknya hadis ini tidaklah dapat ditunaikan oleh kebanyakan orang jika seseorang tidak boleh memberikan nasihat agama melainkan selepas mendapat tauliah. Saya sedang berfikir apa akan jadi jika perkara ini dikuatkuasakan kepada guru-guru yang mengajar dalam kelas di sekolah-sekolah, pensyarah-pensyarah universiti, penceramah-penceramah motivasi yang ingin memasukkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran mereka.

Bahkan sukarelawan-sukarelawan yang ingin menyampaikan nasihat agama seperti jamaah tabligh juga akan terkena tempiasnya. Di kala yang sama, kita bising jika ada gerakan missionary agama lain, tetapi sesama muslimlah jua yang membelenggu tangan pendakwah mereka dengan berbagai peraturan yang memberikan mudarat lebih banyak daripada maslahat.

Saya tidak menafikan kemungkinan perkara tauliah ini boleh dikuatkuasakan di bawah siyasah syar’iyyah (politik islami) yang bertujuan untuk kemaslahatan umat. Namun apabila ia dikuatkuasakan untuk kepentingan kelompok tertentu, maka tujuannya menjadi rosak.


- Gambar Hiasan

Sepatutnya mereka yang sudah mempunyai sijil pengajian Islam yang sah dari institusi-institusi pengajian Islam yang diiktiraf dianggap sebagai berkelayakan. Apatahlagi jika mereka pensyarah pengajian Islam di universiti-universiti.

Seorang muslim juga boleh menyampaikan ucapan kepada masyarakat melalui unsur-unsur agama dengan kadar yang difahaminya. Tidak perlulah setiap orang yang hendak memperkatakan tentang Islam dikehendaki mendapatkan tauliah.

Berapa kerat manusia yang ada tauliah kalau begitu. Maka hanya berapa kerat manusia sahajalah yang boleh menyampaikan nasihat agama dalam ucapan-ucapan mereka dalam negara ini.

Jika pun tauliah hendak diwajibkan, wajibkan kepada mereka yang langsung tiada sijil pengajian Islam rasmi tetapi ingin mengajar bab-bab khusus dalam disiplin ilmu seperti mengajar khusus akidah, hadis, tafsir, fekah dan seumpamanya.

Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran, seseorang yang ingin mengajarnya padahal dia tidak pernah menjalani pengajian formal mengenainya, perlulah diuji. Di sini mungkin sistem tauliah boleh berfungsi.

Amatlah dukacita, di kala umat kehausan ilmu, golongan muda tercari-cari, isu-isu agama makin banyak yang belum terjawab, penularan pemikiran yang salah merebak dengan pantas dalam era globalisasi, unsur-unsur pengajaran yang bercanggah dengan ajaran tersebar di sana-sini, tiba-tiba di kala itu dihalang golongan pendakwah dan mereka yang mempunyai pengajian Islam untuk menyampai ilmu atau memberi nasihat agama di ‘mana saja’ melainkan dengan tauliah.


- Gambar Hiasan

Sudahlah ramai ilmuwan dihalang dari bercakap dalam masjid dan surau hanya kerana isu tauliah yang sebahagian mereka berulang kali memohonnya tetapi tidak dapat, di tempat lain pun di haling. Tidakkah pernah pihak-pihak berkenaan terkenangkan ayat Allah: (maksudnya):

“Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”. (Surah al-Baqarah ayat 114).

Kata al-Imam as-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir:

“Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya. Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya…juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” (1/144, Beirut: Dar al-Khair).

Senjata Fitnah

Minggu lepas saya telah sebut tentang senjata fitnah ini. Memang sejak dahulu, ada kelompok yang apabila sahaja melihat atau mendengar tentang idea-dea pembaharuan terus sahaja dilebelkan wahabi. Senjata ini telah dihalakan kepada Prof Hamka, Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi dan ramai lagi.

Senjata fitnah jugalah dikenakan oleh sesetengah kelompok agama kepada tokoh-tokoh reformis sepanjang sejarah. Bak kata orang ‘apabila habis perkakas hujah, lalu dipakai perkakas fitnah’.

Apakah itu wahabi? Ia masih lagi misteri. Orang seperti saya bukan susah hendak cari kesesatan pemikiran jika ada. Saya bukan insan yang ghaib bersembunyi, saya ada tulisan, ada buku, ada siaran media elektronik dan berbagai lagi yang pemikiran saya boleh disiasat menerusi ucapan dan tulisan.

Mengapa membuat tuduhan tanpa mendatangkan bukti?!! Saya teringat kata-kata Prof Hamka menjawab sikap suka memfitnah ini, katanya:

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Prof Hamka, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76).

Saya amat terkejut apabila semalam Utusan menyiarkan temubual dengan dengan seorang wakil JAIS yang menyatakan antara kesalahan akidah kelompok wahabi ialah pembahagian perbincangan tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Inilah yang dianggap kesalahan akidah puak ini.

Wakil JAIS itu barangkali lupa; perbahasan tauhid seperti ini dipakai dalam pendidikan sekolah dan universiti tempatan. Bahkan inilah yang dipakai dalam ratusan universiti di dunia Islam, di Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir dan berbagai negara lagi. Separuh umat Islam Indonesia dan separuh umat Islam di selatan Thai. Apakah mereka ini semuanya wahabi dan sesat?!


- Gambar Hiasan

Dengan itu, inilah kes sesat-menyesat yang terbesar dalam sejarah umat Islam. Amat malanglah, jika umat Islam berbalah disebabkan kedengkian dan hasad lalu pergi ke daerah sesat-menyesat seperti ini.

Namun, apa boleh buat, nasib yang sama menimba insan yang jauh lebih mulia, Nabi Muhammad s.a.w, daripada seorang yang digelar al-Amin, lalu dipanggil tukang sihir dan gila. Ini semua akibat dari tidak mampu bersaing di pasaran pemikiran.

Padahal, dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan rasulNya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah.

Namun, bak kita kata tadi, apabila habis perkakas hujah, ada yang guna perkakas fitnah.

1/11/2009 - Sejarah Akan Terus Berulang

Terlanjur saya memperkatakan tentang perjuangan Prof Hamka rahimahulLah pada minggu lepas, saya ingin menyentuh sedikit tentang sepucuk surat beliau yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.

Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam. Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini dan akan datang. Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibran bak kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras.

Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap menentang Firaun Mesir. Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman berzaman.

Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.

Berbalik kepada surat Prof Hamka, dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958.

Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:

“Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan car. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).

Ya! Orang yang kelihatan beragama pun apabila berbeza pendapat akan hilang pertimbangan. Apatah lagi apabila merasakan kepentingan mereka terjejas. Namun perubahan zaman akan tetap menuntut perubahan pemikiran umat. Prof Hamka ketika menyentuh perkembangan ini di Indonesia ketika itu menyebut:

“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (m.s. 48).

Katanya juga:

“Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na’am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).

Tidak Hormat Ulama

Seperti biasa, antara perkara yang selalu dibangkit oleh kelompok yang menjaga tradisi lama ialah kelompok pembaharuan tidak menghormati ulama. Mereka memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh. Mereka menganggap mengkritik dalil itu sebagai menghina tokoh. Ini kerana sikap kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan pandangan tokoh agama kesemuanya mesti ditelan.


- Gambar Hiasan

Hal ini kita dapat lihat kelangsungannya sehingga hari ini. Di mana akan ada kelompok yang menghalang umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-benar dari imam berkenaan atau andaian semata. Juga untuk sendiri membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan yang terbaik.

Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap. Prof Hamka menjawab hal ini dengan katanya:

“Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau!…keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (m.s. 63).

Berikut Prof Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada. Kata Hamka:

“Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (m.s. 65).

Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada DYMM Yang DiPertua Agong membantah saya. Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut: “Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari”.

Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut: ”Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya. Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini.

Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu. Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.

Kita boleh berbeza pendapat. Sama saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai maklumat. Namun, memfitnah orang, apatahlagi atas nama NGO Islam adalah tidak wajar. Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki.

Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6)