27/12/09 - Berbeza Bukan Bererti Menghina

Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.

Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.

Di Malaysia umpamanya, apabila ada pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin’, maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’.

Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedangkan itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.

Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.

Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: :

“Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa” (Riwayat Muslim).

Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah. Ada orang yang marah apabila saya memberitahu pandangan ulamak dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih daripada itu tiada asas yang kukuh.

Katanya, ‘dia siapa hendak berbeza dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim daripada merekakah?!”. Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita.

Wanita–wanita itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka mengandung itu tidak benar. Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test) seperti sekarang belum wujud. Ahli perubatan moden menyatakan tempoh mengandung secara puratanya 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan saintifik.


Alat ‘Pregnancy Test’

Justeru itu, seorang tokoh saintis muslim Dr Muhammad ‘Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat yang khurafat (tiada asas) (lihat: ‘Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).

Apatahlagi dakwaan itu boleh mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya.

Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut didahulukan. Menolak pendapat ulama yang lepas bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini keluar mazhab dan tidak beradab.

Dalam sejarah perkembangan ilmu umat Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”.

Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya:

“Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan. Sabda Nabi s.a.w: sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 19/339).

Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.

Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) ketika mengulas pendapat tabi’i terkenal Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah, beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan anak murid sahabah ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn ‘Abbas.

Kata Ibn ‘Abd al-Barr :

“Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w, perkataan-perkataan sahabah dan mijoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah pendapat yang ditinggalkan. Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah ialah yang sabit daripada Nabi mereka mengenai perkara tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali RasululLah s.a.w” (Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah ‘Umum al-Auqaf).

Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn ‘Abbas.

Bahkan kita dapati dalam sejarah ilmuwan, pandangan sahabat Nabi s.a.w ada yang dikritik. Bukan tanda benci atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwan. Umpamanya al-Hafizd Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal 507H) ketika menceritakan ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, ‘Abd Allah bin Mas‘ud, beliau mengulas :

Sesungguhnya beliau (‘Abd Allah bin Mas‘ud) adalah antara tokoh sahabah, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah. Namun begitu beliau memiliki qiraat dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap imam itu boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya, kecuali imam golongan ahli taqwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah lagi maksum (RasululLah) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya.Tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH jua”.(Muhammad bin Tahir al-Qaisarani, Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai’i).

Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.

Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga:

“Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali RasululLah s.a.w. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 18/157).

20/12/09 - Al-Qaradawi: Tokoh Tajdid

Kedatangan Dr Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia amat dialu-alukan. Walaupun saya tidak sempat mengikuti ucapan beliau pagi semalam yang khabarnya berkaitan buku terbarunya Fiqh al-Jihad, tetapi saya telah pun membeli buku tersebut sejak dua bulan lepas. Buku tersebut merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah.

Saya antara pengkagum Dr Yusuf al-Qaradawi. Bukan kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya. Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab. Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fekah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.

Dalam buku terbarunya itu beliau menyebut tentang kaedah dalam penulisannya:

“Mengambil manfaat dari khazanah fekah islami dan mengiktiraf lautannya yang luas dengan tidak cenderung kepada hanya satu mazhab tanpa melihat mazhab yang lain, atau terikat dengan satu imam tanpa melihat imam yang lain.

Bahkan kita menganggap peninggalan besar ini (khazanah fekah) milik setiap pengkaji untuk dia menyelami dasarnya, membongkar simpanannya, menggali setiap penjurunya, membandingkan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, satu dalil dengan dalil yang lain tanpa taksub kepada satu pandangan atau taklid berterusan kepada satu mazhab.

Bahkan kadang-kala kita mengambil pendapat Abu Hanifah, kemudian pendapat Malik, kemudian pendapat Syafii, kemudian pendapat Ahmad, kemudian pendapat Daud (maksudnya Daud al-Zahiri-pen). Bahkan mungkin dalam beberapa perkara kecil kita keluar dari mazhab sunni kepada mazhab Zaidiyyah, ataupun Ja’fariyyah ataupun Ibadiyyah jika kita dapati penyelesaian masalah dalamnya.

Mungkin juga kita akan mengambil sebahagian pendapat mazhab yang hilang seperti Mazhab al-Auza’i, Mazhab al-Thauri dan Mazhab al-Tabari. Bahkan kita kadang kala akan keluar dari kesemua mazhab itu pergi ke dataran luas fekah para sahabat Nabi s.a.w, tabi’iin, dan atba’ al-tabi’in yang mana mereka ini tiada mempunyai sebarang mazhab yang diikuti. Mereka seperti al-Khulafa al-Rasyidin, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aishah, Mu’adz, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan para sahabat r.ahum yang lain.

Demikian juga murid-murid mereka seperti mereka yang dikenali sebagai fuqaha (ahli fekah) yang tujuh di Madinah, juga selain mereka di Mekah, Kufah, Basrah, Mesir, Syam dan wilayah-wilayah yang lain yang para sahabah dan murid-murid mereka bertebaran. Antaranya; Sa’id bin al-Musayyib, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Ata`, Tawus, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, al-Nakha’i, al-Laith bin Sa’d dan selain mereka…” (Fiqh al-Jihad, 1/24, Kaherah: Maktab Wahbah).

Saya fikir jika ada orang yang ingin berpegang dengan keluasan mazhab atau intelektualisma yang seperti itu di Malaysia tentu akan ada yang menuduh ini puak ‘derhaka mazhab’, tidak beradab dengan jasa orang-orang lama kita, keluar mazhab Syafi’i, rasa terlalu pandai dan berbagai lagi. Bahkan lebih trajik; wahabi dan sesat.

Sebab itulah barangkali pandangan-pandangan agama kita membeku dan generasi baru tidak dapat melihat keluasan Islam akibat kesempitan jendela fikir kita. Kita kononnya ini menghormati khazanah agama di Tanah Melayu sehingga kita melarang orang lain meneliti pandangan luar mazhab, padahal kita lupa tindakan seperti itu menyebabkan kita menyisihkan sekian banyak khazanah kesarjanaan dari berbagai-bagai aliran pemikiran dalam umat ini. Bukan salah bermazhab, tetapi salahnya itu fanatik mazhab sehingga menganggap setiap yang luar itu salah dan enggan menilai lagi pendapat yang dipakai hanya kerana ‘ini mazhab kita!!’.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi ketika memperkatakan tentang Manhaj Mu’asir li al-Fatwa (Kaedah Semasa Dalam Fatwa) menyebut perkara pertama adalah “Membebaskan diri dari fanatik dan taklid”. Beliau menyebut:

Pertama, membebaskan diri dari fanatik mazhab dan mengikut secara buta tuli kepada si fulan dan si fulan, samada dia dalam kalangan ulama terdahulu atau kemudian“. Dikatakan “tidak bertaklid itu melainkan seorang fanatik atau dungu”.

Aku tidak rela untuk diriku salah satu dari sifat tersebut. Membebaskan diri dari fanatik mazhab itulah sebenarnya merupakan penghormatan yang sepenuhnya kepada para imam dan fakih (ahli fekah). Tidak bertaklid kepada mereka bukanlah merendahkan kedudukan mereka, sebaliknya itulah yang menepati jalan mereka, juga melaksanakan wasiat mereka agar tidak bertaklid kepada mereka.

Kita mengambil agama dari sumber yang mereka ambil (al-Quran dan al-Sunnah). Juga tidak bertalkid kepada mereka bukanlah bererti mengabaikan fekah dan warisan mereka. Sebaliknya, sewajarnya merujuk dan mengambil faedah daripadanya, dari pelbagai aliran tanpa berat sebelah ataupun fanatik. Pendirian seperti ini tidak mensyaratkan seorang sarjana muslim yang berdikari kefahamannya itu mesti sampai ke peringkat ijtihad mutlak seperti para imam yang terdahulu.” ( al-Qaradawi, al-Fatwa bain al-Indibad wa al-Tasaiyub, m.s 101, Beirut: al-Maktab al-Islami).

Ungkapan kemerdekaan ilmu dan kebebasan diri dari kongkongan taksub amat dimusuhi oleh sesetengah pihak. Oleh kerana sejak sekian lama mereka dipayung oleh rasa fanatik lalu mereka tidak akan bertanya atau mempersoalkan lagi apa yang dilontarkan oleh guru mereka sehingga pemikiran agama menjadi longlai dan dihakiskan oleh cabaran zaman.

Namun kelompok agama ini tetap ingin mewarisi takhta ‘empayar agama’ yang tokoh-tokohnya tidak boleh dipersoal, atau pandangan mereka dibincang semula, maka mereka pun mengeluarkan fatwa ‘siapa keluar mazhab dia sesat’, atau ‘siapa banyak tanya atau mengkritik pandangan kita atau kebiasaan kita dia biadap’, bahkan siapa yang cuba memahami Islam di luar dari yang kita terangkan maka ‘dia sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah’.

Seakan bagi mereka ini para sarjana Islam dari mazhab-mazhab yang lain kesemuanya sesat dan bukan Ahlus Sunnah sehingga kita dilarang memahami dan berpegang dengan kajian mereka! Hal ini bertambah buruk apabila aliran tarekat turut berkembang dalam negara kita kebelakangan ini. Ramai dalam kalangan tarekat yang memegang tradisi ‘jangan tanya, ikut saja’ amat marah melihat gerakan pembaharuan yang meminta agar fungsi akal dihidupkan dalam mengikuti agama ini. Islam adalah agama fitrah dan waras. Akal mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam sehingga orang gila atau belum sempurna akalnya tidak diletakkan atas neraca dosa dan pahala.

Ibn Taimiyyah

Walaupun al-Qaradawi tidak fanatik kepada mana-mana tokoh, namun ini bukan bererti tiada tokoh kesayangan atau tokoh yang beliau kagumi. Dr al-Qaradawi pernah menyebut

Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).

Hampir kesemua buku-buku Dr al-Qaradawi dipenuhi nukilan dari Syeikhul Islam Taimiyyah (meninggal 728H) dan muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana dua tokoh agung ini terkenal dengan usaha tajdid membangunkan semula umat dan membebaskan mereka dari daerah fanatik, jumud dan ‘malas berfikir’.

Kata al-Qaradawi dalam al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah:

“Ibn Taimiyyah dan institusinya adalah salafis. Mereka itu benar-benar tokoh tajdid (revival). Tiada seorang pun yang cuba menafikan pemikiran tajdid mereka, melainkan dia seorang yang keras kepala.” (m.s 59, Kaherah: Maktab Wahbah).

Golongan fanatik mazhab seperti Ahbash membantah beliau kerana suka merujuk kepada Ibn Taimiyyah. Kata al-Qaradawi: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, kerana seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.

Di Malaysia, kelompok anti-Ibn Taimiyyah bersarang di sesetengah pondok, jabatan agama dan beberapa institusi yang lain. Ada yang keluar dalam TV dan akhbar menyesatkan Ibn Taimiyyah, bahkan mengkafirkannya. Jika mereka baca karya al-Qaradawi tentu tuduhan yang sama akan dikenakan kepada beliau.

Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan. Beliau pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi. Tuduhan itu datang dari berbagai, samada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud. Bahkan ada buku yang melebelnya sebagai ‘anjing yang menyalak’.

Dalam masa yang sama Barat juga melancarkan permusuhan dengan beliau. Ini kerana beliau bekerja untuk Islam, menulis, berceramah dan merancang. Sebelum al-Qaradawi menjadi ‘gergasi’ dengan nama yang besar seperti sekarang, beliau juga pernah memasuki penjara. Bahkan ketika ini pun ada negeri yang tidak membenarkan beliau masuk. Demikian hari-hari yang mesti dilalui dalam melakukan agenda dakwah dan pembaharuan. Seorang tokoh itu tetap tokoh dan akan ada yang membelanya.

13/12/09 - Salahguna Nama Ijmak

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservetif agama itu sendiri.

Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas.


-Sumber Rujukan

Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan.

Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.

Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama.

Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya “Pendapat ulama-ulama kita la..”. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.

Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah

“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).

Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.

Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.

Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.


- Gambar Hiasan

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.

Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.

Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:

“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.

Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.

Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.

Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:

“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.

Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

6/12/09 - Antara Doa dan Politik

Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan.

Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak. Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.

Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka. Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku.

Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.

Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara.

Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan muslim. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu).(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka ertinya menjawab salam bukan muslim dengan ucapan ‘wa ‘alaika’ itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.

Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.

Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama muslim, boleh atau tidak?. Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia ‘bagaimanakah mengklasifikasi perkataan ‘musuh’ menurut Islam?!

Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaingan politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya;“jika seseorang muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?”.

Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!

Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku muslim tetapi sangat jahat, menginayai dan menzalimi kita. Menipu, menfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?

Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzaimi mereka?!

Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini.

Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada muslim atau bukan muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku kemelampauan dalam berdoa. Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan bahawa berdoa agar Allah kenakan tindakan kepada yang patut menerima doa sedemikian rupa adalah diizinkan.

Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim menyebut:

Umm Sulaim iaitu Umm Anas memiliki seorang anak yatim perempuan. Suatu hati Nabi s.a.w melihat kepada anak yatim tersebut. Baginda bersabda: “Oh awak, dah besar pun awak. Umur awak takkan membesar lagi”. Anak yatim tersebut kembali kepada Umm Sulaim dan menangis. Umm Sulaim bertanya: “Kenapa wahai anakku?”. Kata gadis itu: “Nabi Allah s.a.w telah mendoakan keburukan ke atasku agar umurku tidak membesar. Maka mulai sekarang umurku tidak akan membesar lagi selama-lamanya. Maka Umm Sulaim pun keluar, tergesa-gesa mengenakan tudungnya sehingga berjumpa Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Kenapa wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Wahai Nabi Allah, adakah engkau telah mendoakan keburukan ke atas anak yatimku?”. Baginda bertanya: “Apadia wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Anak yatimku mendakwa engkau mendoakan agar umurnya tidak membesar”. Rasulullah s.a.w pun ketawa kemudian bersabda: “Wahai Umm Sulaim! Tidakkah engkau tahu syaratku untuk tuhanku? Aku telah memberikan syarat untuk tuhanku, aku berkata: “Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti”.

Dalam hadis ini, ungkapan Nabi s.a.w yang seakan doa itu telah membimbangkan anak yatim tersebut. Namun, Nabi s.a.w. akur sebagai insan yang bukan malaikat, hal-hal keinsanan itu mungkin berlaku kepada baginda.

Maka baginda meminta agar doa keburukan baginda kepada mereka yang tidak layak bertukar menjadi kebaikan. Dalam ertikata lain, jika layak dengan mereka maka ia akan mengenai orang tersebut. Sikap mulia Nabi s.a.w juga menunjukkan baginda mengakui kesilapan insani itu dan memohon agar ditukar doa baginda kepada kebaikan.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya dan mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam. Sa’id bin Zaid berdoa dengan menyebut: “Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya”. Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.

Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa’d bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah ‘Umar mengambil tindakan menggantikan Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Ammar bin Yasir. Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa’d, kecuali di Masjid Bani ‘Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut: “Sesungguhnya Sa’d tidak menyertai peperangan, tidak membahagi secara saksama dan tidak adil dalam hukuman”. Sa’d menjawab: “Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah”. Maka lelaki tersebut hidup sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.

Doa-doa di atas jika kita lihat tidaklah terus meminta bala kepada muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan “Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…” atau mungkin kita sebut “jika dia telah menzalimiku maka..”. Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran maka wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui. Penilaian zalim itu sendiri kadang kala dipengaruhi emosi, atau kita juga lupa ada kesalahan kita juga dalam kes yang kita rasa kita dizalimi.

Maka dengan cara menyebutnya berlapik kata, ia lebih santun dan Allah Maha Mengetahui. Manusia boleh membuat berbagai andaian terhadap doa, tetapi Allah Maha Mengetahui doa siapakah yang layak diterima dan siapakah pula yang mencapai ‘darjat zalim’ yang melayakkan doa orang dizalimi itu mustajab lantas menimpanya.

Berhati-hatilah yang berdoa. Juga lebih berhati-hatilah mereka yang ‘kena doa’ yang telah menzalimi orang lain. Di samping kita berdoa, kita pasrah kepada Allah, kita juga memuhasabah diri sendiri.