22/2/2009 - Poligami: pro Barat atau Islam?

Saya mengambil masa yang panjang berfikir tentang tajuk poligami untuk ditulis di ruangan ini. Pasti lepas ini, mungkin ada wanita pembaca tulisan saya sejak sekian lama akan merajuk atau kurang senang.

Pohon saya ingin menyentuh juga tajuk ini bagi berbicara dengan lojik feminis sekularis yang cuba menilai isu ini dengan mentaliti Barat.

Secara umumnya, masyarakat ‘Barat’ ini menganggap seseorang lelaki memiliki perempuan simpanan atau mistress adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend di Barat ini untuk pasangan hidup bagaikan suami isteri tanpa perkahwinan yang diiktiraf. Bertukar-tukar atau menambah bilangan mistress bukanlah satu keganjilan. Namun pemikiran dan undang-undang mereka tidak menerima seseorang lelaki memiliki lebih dari satu isteri atau berpoligami. Poligami bagi mereka mempunyai unsur penghinaan terhadap wanita, atau unsur kerakusan nafsu lelaki. Sementara perempuan simpanan atau seks dengan wanita tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu. Eksploitasi setiap inci alur tubuh wanita dalam media mereka juga adalah bagi mereka lambang kebebasan dan kemerdekaan wanita. Adapun wanita muslimah yang menutup auratnya dengan rela adalah lambang kezaliman atau penghalangan hak wanita. Malang sekali, aliran ‘liberal melulu’ yang menghantui sesetengah pihak, termasuk di negara kita yang menonjolkan diri sebagai pejuang hak wanita, menelan cara fikir Barat ini lalu menjadikan isu poligami dan menutup aurat sebagai sasaran.

Berbalik kepada isu poligami, perkara yang selalu dibangkitkan adalah bahawa ia menafikan hak wanita atau merendahkan wanita. Padahal beza antara seorang isteri kedua, atau ketiga, atau keempat dengan seorang wanita simpanan begitu besar. Selain dari soal haram dan halal yang dilihat pada neraca agama, seorang yang berstatus isteri mempunyai hak ke atas suaminya; hak nafkah, hak keturunan anak, hak keadilan pembahagian hari dan harta, hak dihormati dan disayangi, hak untuk tidak dipersiakan apabila jemu dan berbagai lagi. Sementara seorang mistress yang ‘dijamah’ dalam senyap atau terang, boleh ditinggalkan tanpa pesan apabila jemu dan diratah apabila bernafsu, tiada apa hak yang boleh dituntut atas kekudusan perkahwinan. Mereka memandang sinis kepada poligami tapi menganggap fonomena biasa bagi perempuan simpanan. Poligami bagi mereka membawa ketidakadilan antara wanita. Mereka patut ditanya; apakah memiliki perempuan simpanan itu adil bagi wanita? Begitu juga, apakah hidup ‘berumahtangga’ tanpa kahwin itu penghormatan bagi wanita?

Ramai masyarakat Barat ini menyangka bahawa hanya Islam sahaja yang mengizinkan poligami. Padahal asalnya, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri kepada satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud, di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950. Namun di Barat, trend hidup pragmatik yang mereka cipta menggantikan agama.

Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya. Soal berlaku baik dan adil kepada isteri, bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya. Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah. Betapa banyak mereka yang monogami yang menzalimi isteri, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan berbagai lagi. Apakah kerena tindakan salah mereka itu, maka monogami juga patut dilarang? Inilah mentaliti kelompok liberal yang tidak terurus pemikiran mereka.

Ramai isteri yang menghantar e-mail kepada saya bahawa mereka tidak dapat terima suami mereka berpoligami. Ya, itu adalah perasaan yang dikongsi oleh kebanyakan wanita. Apatahlagi jika suami mereka itu tidak menunaikan tanggungjawab yang baik selama belum berpoligami pun. Apabila Allah dan rasul-Nya mengizinkan poligami, pasti ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Poligami adalah ubat yang dimakan di waktu perlu dan jangan memakannya jika anda tidak memerlukan. Poligami dalam sejarahnya, menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami seperti isteri tentera yang terkorban kerana umat. Mungkin mereka masih muda dan perlukan perlindungan. Jika diharapkan orang bujang, biasanya mereka mencari pasangan dara. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab ini? Biasanya lelaki yang stabil dan matang mampu mengendalikan mereka. Mereka ini kebanyakan sudah berkahwin. Saya lihat dalam negara kita, poligami dapat membantu wanita yang baru menganut Islam yang kadang-kala tiada orang bujang yang dapat menjaga mereka dengan baik.

Wanita sama seperti lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan seks. Jika suami tidak mampu dari segi seks, isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan. Jika isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan disakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami boleh menyelesaikannya. Begitu juga jika isteri tidak mampu melahirkan zuriat, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Maka apabila Islam membenarkan poligami, ia adalah ubat. Barangkali juga ada isteri yang tidak terdaya melayan kehendak suami yang ‘tinggi’ dalam seks. Poligami juga jalan keluar dari beban ini. Kadang-kala ada lelaki yang berwibawa yang memampukan dia memiliki lebih dari seorang isteri yang diberi keadilan yang rata. Maka dalam sejarah Islam, poligami tokoh-tokoh telah membuahkan kebaikan ilmu, keluasan keluarga dan keturunan. Berbagai lagi hikmah poligami yang boleh disenarai panjang. Malang sekali, apabila golongan Pro-Barat atau ‘Islam-Liberal’ ini menyatakan tujuan mereka menentang pologami itu kerana hendak membela wanita, apakah pada mereka selain isteri pertama itu bukan wanita? Wanita itu, bukan isteri pertama sahaja, tetapi setiap yang berjantina wanita termasuk yang akan menjadi isteri kedua dan seterusnya. Perasaan dan kehendak mereka juga adalah tuntutan dan hak wanita yang perlu dihormati.

Pernah saya sebutkan bahawa kadang-kala hukum-hakam Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Poligami juga adalah jalan keluar kepada kehendak cinta di luar kawalan. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki mendapatkan wanita secara haram, amatlah mudah. Namun jika ada lelaki yang ingin berkahwin sekalipun atas poligami yang membawanya menanggung berbagai risiko, saya rasa dia patut dihormati dan ada nilai tanggungjawab terhadap wanita. Cuma malangnya, poligami ini jika digunakan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Apatahlagi golongan anti poligami ini hanya menonjolkan contoh-contoh buruk poligami dan melupai contoh-contoh baik yang banyak. Lelaki-lelaki yang baik dan berkemampuan patut tampil membawa contoh yang baik dalam perlaksanaan poligami. Sementara yang tidak berkemampuan dan ‘lemah kewibawaannya untuk adil, maka janganlah memakan ubat yang tidak diperuntukkan untuk anda.

15/02/2009 - Apakah penyembuh kekalutan kita?

BANYAK email yang dihantar kepada saya mengadu betapa tenatnya perasaan melihat apa yang sedang bergolak dalam negara kita. Ada yang kata dia sesak nafas memikirkan hal umat Islam di negara kita. Ada yang menyatakan dia sudah malas nak fikir lagi. Ada yang kata dia rasa tertipu dengan sikap para pemimpin politik yang dia sokong. Ada yang bertanya penyelesaian dan berbagai lagi.

Jika kita ada penyakit, kita tidak patut mengubati apa yang kita nampak sahaja. Kita perlu ubati akar atau punca penyakit tersebut. Jika tidak, ia akan menyerang semula. Mengetahui punca asal penyakitnya, jika pun kita tidak dapat menyelesaikannya akan menjadikan kita sentiasa beringat di masa hadapan. Kekusutan yang berlaku pada hari ini, apakah ia baru bermula semalam, atau sudah bertahun lamanya? Barah yang kelihatan boleh membunuh pada hari ini, apakah baru muncul ketika doktor berjaya mengesannya, atau sudah bertahun lamanya? Banyak penyakit itu gagal diubati disebabkan hanya pada sangat akhir ketika sudah benar-benar nazak, baru datang berjumpa perawat. Bukan tidak boleh, tetapi penyelesaian yang lengkap akan sukar diperolehi. Ya, banyak perkara dalam hidup kita, Islam hanyalah dirujuk ketika saat gawat. Ini seperti mereka yang berumahtangga, Islam mencadangkan pakej yang lengkap bermula dari ciri-ciri dalam memilih pasangan, mudahnya urusan perkahwinan, kehidupan dengan disiplin agama, tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak, hukum-hakam nusyuz sehinggalah kepada bab talak apabila ternyata rumahtangga tidak lagi membawa kebaikan. Malang sekali bagi pasangan muslim jika hanya merujuk kepada hukum Islam ketika hendak bernikah dan talak sahaja. Sepanjang perjalanan rumahtangga; bermula dari masa memilih pasangan, hukum-hakam syarak dalam rumah tangga, tanggungjawab mendidik anak isteri dengan ajaran Islam dan berbagai lagi tidak pernah dipedulikan.

Masalah politik dalam negara kita juga sama. Ia tidak bermula pada krisis semalam, atau kelmarin. Namun ia bermula dari prinsip, tingkah laku dan perjalanan yang sudah berusia tua. Apakah sistem politik yang kita anut selama ini benar-benar diletakkan atas prinsip Islam? Kita juga patut bertanya; bilakah politik permusuhan dan kebencian secara meruncing itu disemai? Apakah puncanya, sehingga ‘ukhuwah’ parti, melebihi ukhuwah Islamiah yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Permusuhan politik di peringkat kampung sehingga ke bandar sering memperlihatkan kerakusan kuasa dan ketaksuban parti yang kedua-duanya adalah menyanggahi prinsip Islam yang kudus.

Seterusnya, hilangnya kepercayaan kepada orang-orang politik, bermula bila? Saya secara peribadi melihat ramai pemimpin politik berjawatan dalam negara kita ini sombong. Lebih buruk lagi, apabila ‘kerja-kerja salah’ mereka menjadi bahan perbualan umum. Sehingga hilangnya kepercayaan rakyat itu, bukan kepada mereka, ter‘mangsa’ sistem-sistem lain termasuk mahkamah dan polis. Parti pemerintah bukan tidak boleh diubati, tetapi perlu ada kesungguhan dalam membuang segala unsur barah yang bersarang di tubuhnya sekalipun barah itu berupa orang besar. Jika tidak, generasi baru akan terus prejudis.

Dalam banyak keadaan, manusia hilang prinsip dalam politik. Perkara yang diharamkan semalam, mungkin dihalalkan hari ini. Lompat parti umpamanya, haram dan halalnya pada orang politik parti berdasarkan untung rugi politik kepartian. Sistem Beraja juga demikian, apabila ia menguntungkan, ia disanjung, apabila sebaliknya ia dikeji. Begitu juga politik wang, halal dan haramnya diukur berdasarkan siapa yang beri? Berkawan dengan ‘parti kafir’ juga serupa, kufur dan Islamnya bukan diukur dengan dasar yang dipegang, tetapi siapa yang mereka berkawan? Jika kita berdasarkan prinsip dari awal, kita sentiasa akan istiqamah dalam memutus semua perkara berdasarkan prinsip. Kita akan bertanya; dari segi prinsip ‘apakah melompat parti itu memenuhi akhlak mulia yang diajar oleh Islam? Apakah wang yang mengikis ketelusan itu diizinkan oleh syarak? Apakah Sistem Beraja atau segala adat-istiadat Beraja itu diajar oleh Islam? Jika benar hendak menilai, kita mesti menilainya dengan bebas dan hanya bergantung kepada Allah.

Saya dukacita melihat kadang-kala pertelingkahan politik mengikis akhlak dan nilai Islam dalam jiwa kita. Dalam dunia internet, maki-hamun, carut-marut dan sumpah-seranah menjadi mainan dan hiasan para penyokong aliran-aliran politik. Lebih mendukacitakan, apabila perbuatan keji seperti itu menggunakan nama Islam. Saya membaca komen-komen penyokong parti tertentu mengenai kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang melarang rakyat menentang keputusan Sultan Perak. Komen-komen itu penuh dengan carutan dan makian yang tidak tergamak untuk kita baca. Ya, bagi saya sendiri banyak pandangan dan pendapat Mufti Perak berkenaan yang saya kurang setuju. Namun, memaki hamun dan mencarut kepada seseorang yang ada sumbangannya yang tersendiri bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.

Melihat kepada masalah-masalah yang seperti ini, membawa kita insaf bahawa ada dua perkara yang memerlukan perubahan dalam negara kita. Pertama; melihat semula segala dasar dan sistem yang dipakai dalam negara ini; sejauh manakah itu semua memenuhi prinsip-prinsip yang ditegaskan oleh Allah dan rasul-Nya. Kedua; kembali mentarbiah kaum muslimin; pemimpin dan rakyat agar berdisiplin dalam prinsip, amalan dan akhlak selaras dengan ajaran Allah dan rasulNya. Maksudnya hendaklah dilakukan penegakan Islam di peringkat dasar dan penghayatan. Dengan syarat, tafsiran Islam itu mestilah atas keikhlasan dan ilmu yang bebas dari kepentingan parti dan politik tertentu.

Saya menyeru kepada para pejuang perubahan, semoga apa yang berlaku menginsafkan kita, betapa kita perlukan Islam yang tulen yang merdeka dari kepentingan puak, adat, bangsa, parti dan seumpamanya. Hanya kembali kepada Allah dan rasulNya. maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan Rasululah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadis. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” (Al-Albani, Sahih al-Adab al-Mufrad m.s. 8-9 Saudi: Dar al-Sadiq).

8/2/2009 - Jika kita hayati perjalanan ini...

RAMAI yang meminta saya mengulas tentang perkembangan politik tanah air yang gawat, khususnya di Perak. Saya fikir sudah cukup saya bercakap tentang soal prinsip politik dalam agama, memadailah.

Bagi sesiapa yang berminat, sedikit persoalan tentang isu tersebut telah saya coretkan dalam laman web saya, bolehlah merujuk ke sana. Politik tanpa prinsip dan politik taksub adalah dua bala besar dalam negara kita kini. Biarlah saya tinggalkan politik gawat itu, sambil tersenyum sinis melihat mereka bersandiwara di atas pentas dengan masing-masing mendabik dada berbangga dengan politik mereka.

Bak kata al-Quran: (maksudnya) Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).

Kadang-kala dalam kejenuhan hidup di dunia ini kita perlu sering diingatkan agar balik semula semula kepada asas insani. Semoga dengannya, jiwa kotor kita dapat diredakan dari taufan kehidupan. Gagal mengingati asas menyebabkan kita hilang kompas dalam kembara hidup. Justeru, mari kita keluar seketika dari kegawatan isu, ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup. Walaupun bagi sesetengah orang, perbincangan tentang Hari Akhirat bagaikan kurang standard, namun mereka tetap tidak boleh menafikan bahawa hidup ini hanya sementara. Mereka tetap akan mati dan kehidupan dunia mereka akan berakhir tanpa tarikh yang dapat diberitahu oleh sesiapa pun. Sementara, di sana ada kehidupan yang lebih abadi yang sering kita lupai. Justeru, Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang kehidupan ini, sabda baginda: Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikian kita semua dan dunia ini. Malangnya, hakikat ini sering kita lupa. Kita lupa kita dalam dalam pemusafiran yang sedang menuju ke suatu destinasi. Hari dan waktu yang berlalu saban detik adalah perjalanan yang mengheret kita ke sana, sama ada kita mahu ataupun tidak. Tiada siapa yang menongkat langit di dunia ini. Tiada makhluk yang kekal. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a: Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir. (Riwayat al-Bukhari).

Hidup ini menjadi gawat apabila kita terlupa, atau tidak tahu ke mana destinasi akhir yang hendak dituju? Sehingga ke manakah kita mahu perjalanan hidup ini sampai? Di mana kompas perjalanan hidup? Ramai yang tahu apabila ditanya, tetapi sering terlupa apabila diburu urusan dunia. Lebih malang lagi, di Barat ini ramai yang memang tidak tahu atau tidak beriman dengan destinasi akhir kehidupan. Ramai yang menjadi atheis, dan ramai pula yang masih tertanya-tanya tentang agama. Lalu mereka bertindak dalam hidup ini, seakan dunia tiada Tuhan dan akhirat itu tiada wujud dalam kamus kehidupan.

Kita yang mengaku beriman pun sering terlupa tentang perjalanan ini. Allah mengingatkan kita dalam Surah al-Takathur yang sering kita baca: (maksudnya) Telah melalaikan kamu perbuatan berlumba-lumba untuk membanyak-banyakkan (harta benda, kuasa dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya! kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! – kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (ayat 1-8). Ya, kita sering dilalaikan oleh politik, kuasa, harta, anak-pinak, persatuan, masyarakat, teman rakan, kerja dan berbagai lagi sehingga kita lupa untuk apa kita lakukan itu semua? Sebagai bekalan perjalanan? Atau sekadar berlumba membanyak atau menguatkan kedudukan dan harta tanpa mempedulikan halal dan haram sehingga menjadi beban perjalanan?. Maka persaingan hidup membawa kita terlupa pada destinasi akhir yang disediakan untuk kita hanyalah dua; syurga ataupun neraka. Tiada yang ketiga buatnya. Firman Allah: (maksudnya) Adapun sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya, orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya adalah “Haawiyah”. Dan tahukah kamu apa itu “Haawiyah” itu?. (Ia adalah) api yang panas membakar. (Surah al-Qari‘ah, ayat 6-11)

Kita lupa bapa kita Adam asalnya daripada syurga dan kita sepatutnya pulang ke sana. Kita bukan berasal daripada neraka. Al-Quran sering mengulangi kisah Adam, antara hikmahnya, agar kita sering mengingati hakikat ini. Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi dengan segala kenikmatan. Sehingga Nabi s.a.w jelaskan tentang keindahan syurga itu, sabda baginda: Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, kita patut pulang ke sana. Bukan tersalah jalan akhirnya kita ke neraka. Pohon perlindungan Allah dari itu semua! Membaca kisah syurga dalam al-Quran dan as-Sunnah menjadikan jiwa kita rindu dan syahdu. Mendidik jiwa agar beriman dengan syurga dan neraka adalah ubat kepada kegawatan dan kerakusan hidup. Mengingati syurga menjadikan luka dan parah yang terkena dalam perjalanan ini amat kecil dan sedikit. Mengingati neraka menjadikan penderitaan atau susah payah hidup dalam mematuhi prinsip yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan itu, amat ringan. Nabi saw menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya: Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku! Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan. (Riwayat Muslim). Ya, syurga melupakan kita kepada segala derita dunia, sementara neraka melupakan kita kepada segala kenikmatan dunia.

Jika kita ada kompas ini dalam kehidupan, tentu kita tidak akan terlajak terlalu jauh dalam kesalahan atau penyelewengan. Jiwa dan perasaan kita sentiasa rasa dikawal sehingga kita melihat dunia dengan segala kekerdilannya dan akhirat itu adalah kehidupan sebenar. Maka reda ombak duka, atau kerakusan jiwa. Saya cuba bertanya diri dan rakan-rakan apabila membahaskan sesuatu perkara ilmu; apakah perbahasan ini membawa ke syurga atau ke neraka? Jika saya boleh bertanya kepada orang politik; pergelutan kalian, cara kalian, bahasa kalian, gelagat kalian, loyar buruk kalian itu semua membawa ke syurga atau neraka? Ya, mungkin soalan itu dianggap tidak standard lagi oleh kelompok politik era moden ini, termasuk yang dahulunya bercakap Islam, tetapi itulah hakikat perjalanan kehidupan.

01/02/2009 - Antara tudung dan cawat besi

Minggu lepas ketika di Prague, Republik Czech saya mengambil peluang berjalan-jalan di kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas. Walaupun usia bandar ini sudah 10 abad, namun bangunan bersejarahnya masih dipelihara.

Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini. Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga. Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini. Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang. Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.

Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekular, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah. Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.

Dalam Islam, agama mengatasi mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”. Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.

Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk menggergaji dari celah kelengkang orang yang dihukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi saw pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu. Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi saw: “Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”.

Antara yang yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas. Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut. Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang Eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus. Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah. Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan ‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat. Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka. Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga. Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain? Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala. Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaan. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung. Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.

Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini. Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.