22/3/2009 - Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua

Artikel ini tidak dapat dilayari melalui Utusan Online, tetapi Dr MAZA menulisnya di Minda Tajdid :
Atas sebab yang tidak dapat dipastikan, pihak Mingguan Malaysia tidak menyiarkan artikel Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada minggu ini yang bertajuk: Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua.

Artikel ini sebenarnya mustahak dibaca terutama menjelang pemilihan dalam perhimpunan agong UMNO kali ini. Dinasihati para pemimpin UMNO dan perwakilan membaca artikel ini sebelum meneruskan perjuangan atau membuat pemilihan mereka.

Pihak DRMAZA.COM amat berdukacita kerana artikel ini tidak dapat dibaca melalui Mingguan Malaysia, maka dengan itu mereka yang melayari internet tidak memperolehinya. Pohon jasa baik pembaca mengedarkan artikel tersebut.




Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua
Disiarkan pada Mar 22, 2009 dalam kategori Politik

Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

15/03/2009 - Islam: Prinsip atau alat?

Beberapa e-mel saya terima meminta saya menyatakan pendirian kepada media berhubung dengan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang meminta supaya saya membantu dengan memberikan dalil-dalil dari al-Quran dan sunnah yang membuktikan bahawa perjuangan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua mata pelajaran adalah perjuangan agama. Saya berterima kasih atas kepercayaan dan harapan, namun saya menarik nafas panjang dan merasa amat gusar dengan permintaan itu.

Amat menakutkan apabila agama ini sering dijadikan alat untuk melariskan atau menghalalkan atau memenangkan sesuatu isu atau cita-cita.

Padahal agama sepatutnya menjadi prinsip, bukannya alat untuk mencapai matlamat tertentu. Saya secara peribadi mungkin boleh menyokong sama ada bahasa melayu atau bahasa Inggeris menjadi bahasa pengajaran kedua mata pelajaran tersebut. Itu adalah urusan kebijaksanaan dalam kehidupan yang terserah kepada manusia untuk menilainya.

Pemerintah ada hak dalam ijtihadnya. Rakyat juga ada hak mencadangkannya. Zaman dan tempat mungkin berperanan dalam menentukan tindakan atau pilihan yang terbaik.

Islam tidak pernah menyatakan kita mesti belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atau Melayu, atau Arab atau sebagainya.

Hanya yang Islam perintah adalah agar muslim bertindak dengan bijak. Menentukan perkara yang seperti ini amat subjektif.

Setiap pihak boleh berbeza disebabkan perbezaan latar fikir. Islam tidak menghukum secara putus siapa yang betul atau siapa yang salah dalam hal yang seperti ini. Di sini saya rasa, sekali lagi kena dijelaskan beza antara Islam sebagai prinsip dengan Islam sebagai alat.

Islam sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu...” Dalam Surah al-Maidah ayat 8 pula Allah menegaskan: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa. Inilah yang ditempelak oleh Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya) “Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij tidak wujud pada zaman Abu Bakar, Umar dan ‘Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada zaman ‘Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina ‘Uthman maka lahirlah kedua aliran ini. Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman ‘Uthman, merebak menjadi sentimen agama.

Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu ‘Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi‘ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam aliran berkenaan.

Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian ‘Ali dalam menghadapi Mu‘awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan ‘Ali, ‘Uthman, Mu‘awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.

Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. ‘Ali dan Mu‘awiyyah, bahkan ‘Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka: “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali mengenai slogan mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara tentera ‘Ali dan Khawarij.

Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan. Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.

Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela. Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik.

Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.

Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama.

Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong ‘Abbasiyyah dan seumpamanya. golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana.

Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah.

Sebagai tindak balas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan.

Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang memboleh manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

8/3/2009 - Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

1/3/2009 - Wanita! Pastikan Arah Perjuanganmu

Jangkaan saya agak meleset bahawa artikel poligami minggu lepas akan dibantah ramai wanita. Alhamdulillah, sebaliknya, ramai wanita yang menghantar email menyokong. Mereka cuma keliru dengan beberapa alasan yang dikemukakan oleh sesetengah ekstremis feminis yang membelasah itu poligami dalam Islam. Saya ingin jelaskan, alhamdulillah sesiapa yang mengikuti tulisan dan pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia.

Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukam-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram.

Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita. Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar email dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam.

Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada ‘orang agama’ yang pencen. Sesiapa yang memerhati, akan dapat melihatnya. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman. Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.

Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fekah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil. Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap.

Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi s.a.w peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis-hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan yang tidak wajar. Wanita diberi peluang untuk merongkaikan rumahtangga jika mereka rasa ia amat sengsara. Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata:

“Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya:

Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi s.a.w kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda:

“Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu”. Kata Barirah: “Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”.

Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus ‘hamba sahaya’ sedangkan dia sudah mendapat taraf ‘merdeka’. Walaupun Nabi s.a.w sendiri yang bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan agar Barirah menerimanya kembali sebagai suami, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi s.a.w, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi s.a.w telah tunjukkan buat kaum wanita.

Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi s.a.w bukan seperti ‘pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan “baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu”. Padahal mereka yang malas membuka kes baru.

Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi s.a.w; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam:

“Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir enam puluh juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Belum dikira di Palestin, Bosnia, Iraq, Selatan Thai dan lain-lain. Dan dunia terus berperang. Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah dan ramai pula yang terlibat dengan dadah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian.

Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung ‘naluri kewanitaannya’? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?. Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).

Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan ‘Sati’. Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan. Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.

Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!