26/04/2009 - Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.

‘Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.

Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.

Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.

Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.

Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.

Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.

Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.

Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.

Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.

Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.

Firman Allah: (maksudnya) :

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)

Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.

Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.

Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.

Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.

Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.

19/04/2009 - Antara kehendak kerohanian dan tarekat

Apabila masyarakat manusia menjadi berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui, ketika seperti itu kita akan melihat bagaimana sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar.

Jika pun tidak untuk merungkaikan masalah itu secara keseluruhan, sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang. Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan 'kempen-kempen ajaib' akan mendapat perhatian sesetengah golongan.

Tarekat-tarekat yang mempunyai cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ekstrem yang kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.

Kita akan melihat banyak pihak akan mengambil kesempatan atas 'kehausan rohani' masyarakat. Ada yang bertujuan menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga pula yang bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa.

Hal seperti ini sering berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk semasa zaman 'Abbasiah. Ia juga akan berlaku dalam negara kita.

Saya ingin menyentuh tajuk ini kerana banyak pihak mula bertanya tentang banyak cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita.

Saya ingin mengingatkan pembaca tentang satu hakikat yang penting bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan Sunah.

Apa-apa pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya tentang kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tertolak.

Agama-agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran.

Pengalaman kerohanian itu diterima jika tidak bercanggah dengan wahyu yang diturunkan. Rasulullah saw ialah guru kerohanian yang agung dan utama, mengatasi segala tokoh dan syeikh tarekat. Jika ajaran kerohanian itu tidak sama dengan ajaran Rasulullah SAW maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang Muslim.

Ya, kita akur persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara yang penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Tepat

Usaha untuk membersihkan diri itu mestilah dengan panduan kedua sumber tersebut secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang jika tidak menyertai tarekat bererti dia tidak akan dapat membersihkan diri.

Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi SAW dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa) .

Ahlus Sunnah wal Jama'ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda SAW Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul saw adalah ditolak, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. 'Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da'wah menyebut: "Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah.

Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid'ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah.

Bidaah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bidaah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahkan.

Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul SAW memberi amaran mengenai bid'ah, sabdanya: Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah di dalam neraka (sahih: riwayat Abu Daud).

Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Perkara kedua yang patut kita sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawuf telah terpengaruh -pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam.

Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud.

Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama.

Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian". (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Saya menimbulkan hal ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Saya menimbulkannya untuk kita berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Tersasul

Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya 'seronok sendiri' dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu.

Bak kata tokoh ilmuwan besar al-Syeikh Munna' al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi: "Tasawuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya". (Manna' al-Qattan, Mabahith Fi 'Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma'arif).

Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai 'skirt' berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak.

Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata: "Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara daripada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat sama ada dosa kecil atau besar.

Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi SAW sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid'ah, demikian mereka (ahli sufi).

Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya Rasullullah SAW) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan.

Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.

Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya" (kepada al-Quran dan al-Sunnah). (Al-Syatibi, Al-'Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut).

12/04/2009 - Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati ?

Ketika saya menulis artikel ini, saya sekali lagi dalam perjalanan ke Prague, Republik Czech. Kali ini saya akan bertemu dengan sejumlah besar bakal doktor perubatan negara kita. Minggu lepas saya di Doha dan Dubai bertemu dengan orang-orang Malaysia yang sudah hidup selesa hasil limpahan kekayaan dua negara Teluk tersebut. Mereka kebanyakannya professional muslim.

Namun sepanjang pengamatan saya kebanyakan professional ini menyimpan perasaan tidak puas hati, bahkan mungkin ke peringkat ‘benci’ terhadap politik negara, terutama tingkahlaku ramai individu dalam parti kerajaan yang berkuasa. Demikian juga sepanjang saya bertemu dengan para pelajar luar negara terutama di peringkat pengajian tinggi Ph.D.

Barangkali pendedahan mereka kepada fakta dan dunia menjadikan mereka begitu kritis. Saya cuba amati apakah di sebalik ketidakpuasan itu? Maka saya mengharapkan ruangan Mingguan Malaysia atas dasar kebebasan media dan juga kebaikan untuk kerajaan itu sendiri akan terus mengizinkan saya bercakap benar dalam ini.

Sehari dua ini telefon bimbit dan email saya dipenuhi mesej daripada rakyat Malaysia daripada berbagai lapisan yang mengulas tentang pembentukan kabinet baru. Bermacam curahan perasaan dan ulasan dihantar kepada saya agar dapat saya melontarkan pandangan melalui media cetak atau dunia maya. Saya sebenarnya telah pun melontarkan pandangan tentang pembentukan kabinet sebelum ini.

Saya cadangkan dalam menangani suasana politik yang ada, selain daripada memastikan anggota kabinet terdiri daripada mereka yang telus dan mempunyai rekod yang bersih, dilantik juga beberapa anggota pembangkang yang berkemampuan memegang beberapa kementerian, atau sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri. Ini tentu mempunyai unsur kejutan dan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bersikap telus dan berkongsi inspirasi rakyat. Tidak memerlukan kerajaan campuran.

Berbalik kepada kehendak rakyat, apakah sebenarnya kehendak rakyat? Samada seseorang rakyat itu sedar atau tidak, ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial (basic social values) yang rakyat harap negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Sebagai muslim saya mungkin menambah penegakan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut.

Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55: (maksudnya)

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Apabila asas-asas ini hilang, samada kesemua atau sebahagian daripadanya, maka kita akan melihat kegusaran rakyat dan tidak puashati yang akan kedengaran di sana-sini. Di saat itu, mana-mana sahaja gerakan yang cuba menyeru kembali kepada asas-asas ini samada dalam bahasa kampung atau bandar, maka rakyat akan menyokongnya. Rakyat awam itu mungkin tidak tahu secara akademik tentang asas-asas ini, tetapi perasaan dan naluri kerakyatan mereka itu sentiasa menuntut agar asas-asas ini dijamin untuk mereka. Lebih tinggi pengetahuan dan pendedahan ilmu yang dimilki oleh seseorang rakyat akan menjadikan mereka lebih sensitif tentang asas-asas ini.

Mari kita lihat keperluan asas-asas ini bagi kehidupan rakyat dalam sebuah negara, sebelum melihatnya di sudut antarabangsa. Rakyat sesebuah negara inginkan keselamatan mereka terjamin dari ancaman samada luar ataupun dalam. Mereka perlukan keselamatan negara yang kukuh dan kerajaan yang teguh. Keselamatan harian juga mesti terkawal.

Malaysia kini jenayah saban hari meningkat. Rakyat hidup dalam ketakutan terhadap nyawa dan harta benda mereka. Pembunuhan, penyeksaan, rompakan, kecurian dan berbagai lagi jenayah yang mengancam keselamatan rakyat. Kedai dan kediaman selalu menjadi sasaran rompakan dan kecurian. Ini menyebabkan rakyat merasakan kerajaan tidak teguh dan gagal berfungsi dengan baik. Apatahlagi jika kepercayaan rakyat terhadap pihak keselamatan juga tergugat.

Kemudian, selain kemerdekaan negara, rakyat perlukan kebebasan dalam kehidupan. Hak-hak asas mereka dalam kepercayaan, pemilikan, pendidikan, pendapat dan seumpamanya hendaklah terjamin. Memang, kebebasan ada hadnya sesuai dengan norma dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah negara, jika tidak rosaklah keadaan. Namun had tersebut hendaklah ditetapkan atas kepentingan negara, bukan individu politik yang berkuasa.

Apabila kebebasan asas mereka dirampas, rakyat akan melihat kerajaan sebagai musuh, bukan sebagai pelindung. Demikian rakyat harapkan peraturan dan keadilan agar berfungsi secara baik dan saksama. Peraturan yang baik hendak teguh dan berfungsi serta berjalan untuk semua secara tidak berat sebelah. Layanan untuk setiap rakyat hendaklah adil. Jangan ada yang terlepas dari peraturan atau undang-undang yang ditetapkan disebabkan kedudukan dan politik. Tiada sultan atau raja atau penguasa politik yang boleh mengatasi undang-undang dan peraturan yang disepakati. Jangan ada yang naik pangkat atau mendapat sesuatu pemberian daripada kerajaan tanpa mengikut peraturan.

Di sudut undang-undang, setiap pesalah hendaklah dihukum secara adil tanpa berat sebelah ataupun zalim. Apabila kecacatan ini berlaku, kepercayaan rakyat akan hilang dan mula menganggap kerajaan sebagai tidak amanah dan tidak adil. Seterusnya rakyat mengharapkan kerajaan menjamin kebajikan mereka. Kerajaan hendaklah berusaha meletakkan polisi yang baik memboleh rakyat hidup dengan selesa di sudut ekonomi dan keperluan asas kehidupan di zaman kini. Kerajaan mesti menyuburkan perkembangan ekonomi, memberikan peluang yang saksama, mengatasi kemiskinan, menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan dan perubatan terutama bagi yang tidak berkemampuan. Begitu seterusnya.

Seperti yang saya nyatakan bahawa sebagai seorang muslim sudah pasti saya ingin melihat asas-asas ini ditegakkan atas prinsip yang syumul lagi mendapat keberkatan. Islam yang adil itu menjamin asas-asas ini sekalipun untuk mereka yang bukan muslim. Kecacatan meletakkan Islam sebagai prinsip kerajaan bagi sesebuah negara yang majoritinya umat Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hari rakyat muslim terhadap kerajaan mereka.

Hendaklah kita sedar, majoriti umat Islam di negara-negara mereka di seluruh dunia mahukan Islam menjadi prinsip dan asas pembentukan negara. Hakikat ini dirumuskan oleh John L. Esposito setelah membuat bancian dan kajian tentang hal ini di seluruh negara-negara umat Islam. Beliau nyatakan kesimpulan ini dalam bukunya ‘Who Speaks For Islam’.

Bertitik tolak dari pokok pangkal ini, maka jika rakyat kurang atau tidak puas hati dengan sesebuah pemerintahan, maka kerajaan tersebut hendaklah menyemak dirinya tentang asas-asas tersebut apakah telah dijamin dengan baik atau ada kecacatan yang jelas. Jika asas-asas itu dibaiki sehingga rakyat kembali selesa dan merasai fungsi kerajaan menjaminnya untuk mereka, saya percaya kerajaan dengan mudah akan dapat memenangi perasaan rakyat.

Juga hendaklah sesebuah kerajaan seperti negara kita sedar bahawa dunia moden hari ini menyebabkan sesebuah kerajaan sukar menyembunyikan lagi kesalahan dan kecacatannya. Pencerobohan ke atas asas-asas ini akan tersebar dengan pantasnya dan menjadi perbualan dan tidak puashati rakyat. Jika ia berlarutan ia menjadi barah dendam yang tidak dapat diubati lagi.

Saya mungkin tidak ingin mengulas anggota-anggota kabinet kerajaan kita yang baru, tetapi saya ingin bertanya atau mengharapkan mereka dapat memastikan asas-asas ini dijamin untuk rakyat. Jika tidak, perasaan tidak puashati itu tidak dapat diubati dengan sekadar lautan slogan dan janji.

5/4/2009 - Salam buat Perdana Menteri baru

Malaysia mendapat Perdana Menteri yang baru. Demikian para pemimpin itu silih berganti, datang dan pergi. Tiada siapa yang dapat menongkat langit kekal. Cumanya kita di Malaysia bertuah kerana dua pemimpin kita meletakkan jawatan tanpa dipaksa. Berundur apabila mereka merasa perlu. Amalan yang seperti itu tidak dilakukan oleh seorang diktator yang tenggelam dalam kuasa dan kekejaman. Semoga nilai baik yang seperti itu berterusan.

Ya, pemimpin datang dan pergi. Demikian insan sama ada rakyat atau penguasa hidup dan mati. Namun akhlak dan budi seorang pemimpin akan disebut dari generasi ke generasi. Begitu juga sikap buruk dan rakus seorang pemimpin akan menjadi sebutan zaman ke zaman.

Betapa ramai pemimpin yang sudah ratusan, bahkan ribuan tahun meninggalkan dunia ini; namun jasa baik mahupun sejarah buruk mereka terus dicatatkan di dada sejarah, lantas dibaca dari masa ke masa. Jika baik, mereka akan dipuji dan dicontohi. Jika buruk mereka akan dikeji dan dibenci.

Lebih penting daripada itu, setiap pemimpin akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil. Setiap tindakannya akan dinilai dan soal. Jika dia melakukan kebaikan dan keadilan, tempatnya adalah syurga yang dilimpahi dengan nikmat yang tidak tergambar oleh insan.

Jika dia melakukan kezaliman, maka balasan buruk akan menantinya di sana. Kezaliman seorang pemimpin yang berkuasa mungkin tidak dapat dibantah oleh orang lain, atau mungkin boleh disembunyikan, atau dijustifikasikan oleh para pengampunya. Ketidakadilan terhadap rakyat dan penderitaan mereka mungkin tidak dapat dituntut di dunia ini, atau mungkin tiada siapa yang dapat membela, bahkan mungkin catatan sejarah juga akan terlupa.

Namun Tuhan dengan segala kebesaran-Nya menyebut dalam kitab-Nya: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku), mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).

Pena saya sejak dahulu berbicara untuk semua pihak, tanpa berpihak melainkan cuba menghayati prinsip yang diyakini jua. Terimalah bicara ini dengan jiwa yang terbuka. Ramai orang mengucapkan tahniah apabila seseorang mendapat jawatan kepimpinan. Ya, mungkin juga boleh untuk kita berbuat demikian sebagai tanda bahawa seseorang yang dilantik itu mendapat penghormatan rakyat.

Namun sebenarnya, amanah dan bebanan tugas sebagai pemimpin adalah lebih besar bahayanya dibandingkan bahagianya. Justeru itu Nabi SAW mengingatkan kita betapa bahaya jawatan kepimpinan jika tidak diurus dengan betul, sabdanya: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (Riwayat al-Bukhari).

Bahkan baginda pernah menyebut: Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim).

Sebab itulah, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada al-Islam, 144).

Ramai orang, termasuk kelompok agama yang berkepentingan akan berpusu-pusu mendampingi seseorang penguasa atau pemerintah. Mereka barangkali mempunyai banyak madah pujangga untuk bertasbih dan tahmid memuji dan memuja pemerintah agar tempiasan harta dan kuasa melimpahi mereka. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk itu. Memang, saya mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin dan penguasa, namun saya belum sempat menghafal madah berhias untuk dilafazkan di hadapan mereka. Jika saya suatu hari ingin melafazkannya, saya ingin melafazkannya dengan jujur, bukan dengan kemunafikan. Hari ini kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Kita berdoa agar Allah sentiasa merahmati rakyat dengan direzekikan amanah dan keadilan sikap pemerintah yang baru. Kita doakan agar Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Walaupun mungkin ramai pemimpin itu telah tahu tentang tanggungjawab, tetapi mereka perlu diingatkan. Mereka perlu sentiasa menjenguk arahan Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat. (Surah al-Nisa: 58). Mereka perlu selalu kembali mendengar apa yang Abu Bakr al-Siddiq ucapkan apabila beliau dilantik. Dengar penuh keimanan Abu Bakr menyebut: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Antara perkara yang perlu untuk diingatkan para pemimpin negara ini, bahawa di kalangan mereka sering dicemari oleh kroni. Maka mereka hendaklah berhati-hati dalam hal ini. Pemimpin jika gagal untuk mengawal pengikut atau keluarga, bagaimana dia hendak mengawal negaranya. Kelompok ini jika tidak soleh akan mengancam nama baik, kewibawaan dan ketelusan seseorang pemimpin. Sabda Nabi SAW: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Pemerintah hendaklah dekat di hati rakyat, bukan dekat di hati kroni dan taukeh. Jadilah pemerintah itu seperti kata Muhammad bin Ka'ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah: Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202).

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Baru, saya dari jauh ucapkan tahniah dan takziah. Tahniah atas kepercayaan negara, takziah atas bebanan amanah. Negara dan rakyat mengharapkan keadilan dan kebijaksanaan seseorang pemerintah. Simpatilah kepada rakyat, Allah akan bersimpati kepada YAB!