26/07/09 - Senjata Makan Tuan

Saya merenungi sebuah hadis yang selalu dibaca dan diketahui oleh kebanyakan kita iaitu sabda Nabi s.a.w:
“Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum disalahfahami, perlu dijelaskan Nabi s.a.w bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi bukan sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang pergi berada di sampingnya.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Nabi s.a.w adalah agar kita memilih teman berbincang, berbual, berpakat, bermesra atau berdampingan dalam kalangan mereka yang baik. Kesan kebaikan itu akan datang kepada diri kita. Dalam hidup ini, betapa banyak ilmu pengetahuan, pengalaman yang baik untuk kehidupan dan hikmah diperolehi ketika kita bersembang, bergurau, makan sehidang dan bekerja dengan seseorang yang berilmu, baik dan jujur.

Justeru itu berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah. Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang mulia di sisi Allah.

Namun kemuliaan di sisi Allah tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan. Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya.

Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah, bersemangat dalam perjuangan dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini. Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya, atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna, atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah redha.

Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita berusaha berdampingan dengannya. Tidak rugi untuk lama kita berbual. Tidak rugi untuk kita menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki. Sehingga kadang-kala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya kerana teman baiknya.


- gambar hiasan

Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan. Ada pula yang berkata, “saya mana ada ustaz yang nak berkawan dengan saya”. Saya katakan, Nabi s.a.w menyebut al-jalis al-salih ‘teman berdamping yang baik’, ia begitu umum. Siapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran ‘ustaz’ itu mesti menjadi teman yang baik. Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia dan akhirat kita.

Maka carilah ditempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak bermusafir dengan mereka.


- gambar hiasan

Demikian sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya. Namun, dalam banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang buruk.

Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadang-kala dia mencarut-marut terhadap orang lain. Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.

Saya masih ingat ada seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Saya kata kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu, tidak lebih buruk daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga mungubah diri saudara. Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah ditunjukkan oleh Islam. Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya, tegas bukan bererti maki dan carut. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya:: “Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”.

Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki hamun orang lain, tidak mustahil besok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada nilai bimbangkan hari Akhirat.

Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu ‘sakan’ memaki musuh politik mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam UMNO juga dalam PAS baru-baru ini pun sama. Apabila berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi ‘anak buah’, ‘penyokong setia’ dan ‘jentera melobi’ yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiyyah tidak rasmi memaki orang, dengan petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan separti sendiri. Saya ditunjukkan laman web parti-parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah training yang mereka dapat selama ini.

Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan perpaduan, ada yang dituduh ‘gila kuasa’, ‘gila nak jadi menteri’, ‘nyanyuk’, ‘nak mampus’ dan berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan. Apa hendak dikatakan? Sudah sekian itu berjalan dalam dunia politik kita.

Ya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki yang tiada nas. Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa. Ada yang bersungut panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Saya katakan, itulah senjata selama ini yang anda gunakan, atau biar digunakan oleh pengikut untuk menikam orang lain, maka akan sampai masanya ‘senjata makan tuan’.

19/07/09 - Lembut gigi daripada lidah

Beberapa hari lepas saya menerima SMS seawal 3 pagi daripada seorang artis terkenal negara. Barangkali beliau tidak menyemak waktu di United Kingdom (UK) semasa menghantar SMS berkenaan. Cuma di UK ketika ini siangnya memang awal. Waktu solat subuh pun masuk seawal 3 pagi. Kali ini mesej artis ini agak keras, meminta saya menggesa orang politik supaya membantah kerajaan China mengenai pergeseran etnik yang membawa pembunuhan beramai-ramai umat di wilayah Xinjiang. Ribuan lain yang ditangkap. Saya yang belum sempat membeli akhbar dan mendengar BBC hari berkenaan hanya dapat mengagak berita yang dimaksudkan.

Saya menghantar ucapan terima kasih atas semangatnya yang bagi saya lebih baik daripada sebahagian orang politik dan orang Islam yang lain yang langsung tidak mengambil pusing apa yang berlaku kepada saudara Muslimnya. Di sebalik watak seramnya, atau 'ikan legenda' yang dilakonkannya, ada juga kesedaran dan simpati yang tinggi terhadap umat Islam, atau hak kemanusiaan yang berlaku di sana-sini.

Seperti biasa seawal pagi, apabila buka sahaja kedai di pekan Lampeter yang penuh damai dan indah ini, saya akan keluar membeli akhbar dan mencari berita-berita penting. Ternyata seperti biasa, di Barat ini jika yang menjadi mangsa itu umat Islam beritanya tidak sebesar mana. Di samping sesetengah akhbar menyulami berita tersebut dengan menyatakan bahawa penunjuk perasaan menjadi mangsa seperti di Iran.

Mereka cuba meringankan berita berkenaan, tiada istilah teroris, tiada istilah ekstremis yang ditempelkan. Bahkan berita pembunuhan wanita Muslimah Mesir di Jerman disebabkan tudung yang dipakainya, langsung tidak saya temui. Mungkin ada di celahan berita-berita yang kecil. Itulah media apabila berada di tangan mereka yang tidak adil.

Wilayah Urumqi yang bergolak itu pernah saya lawati pada tahun 2007 bersama dengan rombongan Kerajaan Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Memang wilayah itu dipenuhi oleh umat Islam dan ada masjid yang agak besar di tengah kotanya. Bahasa mereka pun agak asing dan mereka juga mengguna huruf Arab dalam tulisan mereka. Ini saya perhatikan ketika menonton televisyen mereka. Salah seorang yang membawa kami ketika itu menceritakan kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam di wilayah tersebut.

Demikian juga apa yang diceritakan oleh 'orang-orang masjid' yang kami lawati. Masjid diganggu, orang Islam ditangkap dan dibunuh bukan cerita baru. Saya masih terbayang sebuah masjid yang amat usang di satu perkampungan kuno yang kami lawati. Terasa sunyi dan tenang namun terbiar di ceruk yang sunyi. Ada masjid yang kami pergi untuk solat Jumaat, Masya-Allah guru yang membaca kitab hadis hari itu begitu lancar dan tepat menyebut nama para perawi dalam sanad-sanad hadis. Namun sudah tua. Kebanyakan yang memenuhi masjid, sudah lanjut usia mereka. Saya yang ketika itu berada di hadapannya termenung mengkagumi kegigihannya menyampaikan Islam dalam keadaan yang bahaya dan sukar, dan terfikir bagaimanakah pula nanti nasib masa depan generasi Muslim di wilayah berkenaan.

Perasaan sedih dan hiba mengenangkan kesenangan yang kita kecapi dibandingkan kesukaran mereka untuk hidup sebagai 'seorang Muslim'. Saya mengabadikan perasaan itu dalam sebuah puisi Islam China Yang Hampir Dilupa yang akhirnya diambil dan dijadikan lirik lagu. Saya tidak pasti apakah ia termasuk lagu yang digam atau tidak oleh RTM. Saya pun sudah lama tidak sempat mengikuti perkembangan itu. Lirik terakhir yang saya ingat diminta oleh Mawi bertajuk Sahabat Sejati, saya rasa itu tidak digam.

Berbalik kepada nasib umat Islam di Urumqi dan juga di tempat lain. Perasaan persaudaraan Islam kita tidak memenuhi apa yang disebut oleh Rasulullah saw: Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam (Riwayat Muslim). Ada beberapa tahap umat Islam dalam hal ini. Ada yang benar-benar bersemangat dan cuba melakukan apa yang termampu. Ada yang sekadar, marah atau geram ketika mendengar berita, kemudian lupa atau dilupakan oleh urusan dunianya. Ada yang langsung tidak ambil tahu apa yang berlaku. Lebih buruk lagi, ada yang tahu tetapi menganggap itu tiada kena mengena dengannya.

bantahan

Sebenarnya, seperti yang dikatakan oleh artis berkenaan, orang politiklah yang paling berkesan untuk membantah. Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti menyatakan bantahan dan pendirian yang tegas mengenai nasib saudara-saudara Muslim kita. Janganlah memikirkan soal kepentingan kebendaan sahaja dalam arena politik, fikirlah tentang tanggungjawab seorang individu Muslim untuk bertindak dengan kadar kemampuannya dan perkara ini akan disoal oleh Allah di akhirat nanti. Apakah kerana China sedang menjelma sebagai kuasa ekonomi dunia maka dia boleh buat apa sahaja terhadap orang Muslim dan kemanusiaan? Malanglah, jika para pejuang hak asasi manusia dari negara-negara yang bukan Islam, lebih lantang daripada kita. Hari ini, barangkali semua parti politik Melayu berkerjasama dengan kaum-kaum lain, maka tidak ramai yang berani memberikan kritikan lantang lagi. Jika ada pun, bersulam berlapik sehingga menjadi "ceroi". Padahal, tiada kaitan antara kekejaman Kerajaan China dan etnik Cina di Malaysia. Orang Cina Malaysia adalah rakyat Malaysia. Ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini. Tiada kaitan antara mereka dan Kerajaan China untuk mereka merasa sensitif.

Ya, kalau Hindraf memang membawa isunya ke India. Hindraf juga membentang isunya di House of Lords, UK tentang kezaliman pentadbiran orang Islam di Malaysia terhadap penganut Hindu. Malaysia digambarkan seakan cuba melakukan pembersihan etnik. Apa yang digambarkan berlebih-lebihan. Sedihnya, ada pula orang Islam yang sokong. Begitulah isu itu sampai ke negara India. Saya tidak tahu, apakah negara India layak untuk bercakap tentang keadilan terhadap penganut-penganut agama jika dilihat apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di sana. Tahun 2002, di Gujerat ribuan umat Islam dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol dan berbagai perbuatan yang begitu kejam dari segi kemanusiaan. Laporan rasmi tempatan India dan antarabangsa mendakwa sebahagiannya dilakukan di bawah penyeliaan polis India. Ada gerakan di India yang kerjanya memburu orang Islam. Mereka bebas di India, dan Amerika tidak pula menyenaraikan mereka sebagai teroris. Dr. Zakir Naik juga pernah berpidato panjang tentang hal ini dalam ceramahnya Is Terrorism A Muslim Monopoly yang tersebar luas. Akhbar Daily Mail UK (8 Julai 2009) melaporkan penyeksaan terhadap tahanan rakyat British yang berketurunan Pakistan. Kuku-kukunya dicabut, dan dia serta Muslim yang lain diseksa kejam dengan kerjasama antara Polis British dan Pakistan. Ini di sebuah negara yang sering bercakap tentang hak dan kebebasan, walaupun soal racialism atau perkauman itu tidak dibenarkan, namun dari segi perlaksanaanya ia berlaku. Lihat pula di Selatan Thai, di Burma, di Filipina dan berbagai lagi. Kemudian, bandingkan ini semua dengan sikap orang Islam terhadap bukan Islam di negara-negara yang majoritinya umat Islam? Walaupun ada kelemahan di sana-sini, namun secara bandingannya ia jauh lebih berperikemanusiaan dari apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

kemampuan

Saya bukan hendak membangkit kemarahan sesiapa, saya mengimpikan setiap kita terutama orang politik sentiasa bersuara jelas tentang hak dan nasib umat Islam dan manusia sejagat. Bertindak dengan kadar kemampuan yang dimiliki agar memberikan kesan yang positif dan menunjuk nilai persaudaraan kita. Janganlah kita hanya garang dan 'cenge' sesama sendiri, kendur dan takut apabila hendak menyatakan hak kita di hadapan 'orang lain'. Mana hilangnya ayat Allah yang menyebut: (maksud) Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa dalam kalangan kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat rendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan diri terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang Dia diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. (Surah al-Maidah, ayat 54). Namun, demikianlah kita, jika sesama kita bukan main lagi 'lagaknya', namun dengan orang lain, 'lembut gigi daripada lidah'.

5/7/09 - Misteri Wahhabi Di Malaysia

Nota: Tulisan Dr MAZA kali ini disiarkan oleh Mingguan Malaysia dengan sedikit perubahan tajuk; Misteri Istilah Wahabi. Harap maklum. - DSSK
______________________________________________________

Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.


- Gambar Hiasan

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.


- Gambar Hiasan

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.