28/12/2008 - Ilmu memelihara agama

DI Britain, 25 Disember adalah hari Krismas sementara 26 Disember juga hari cuti yang mana kebanyakan pasar raya-pasar raya membuat jualan murah yang dianggap luar biasa. Seperti mana manusia sedunia tahu, apabila Krismas menjelang, wajah Santa Claus yang berbaju merah dan berambut putih panjang muncul di mana- mana.

Filem dan berbagai rancangan media akan mempromosikan Santa Claus dan kehadirannya pada hari Krismas. Walaupun sebahagian rancangan TV di sini mempersendakan Santa Claus. Bahkan mereka juga sering mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan dengan berbagai lawak jenaka yang amat tidak wajar untuk dikenakan kepada tokoh biasa, apatah lagi yang insan yang mereka anggap tuhan.

Namun, bagitulah jadinya nilai agama pada mereka. Santa Claus sebenarnya satu watak yang tidak pernah wujud dalam nas-nas agama Kristian sama ada yang telah diubah, apatah lagi yang asal. Bible sama sekali tidak pernah menyebut tentang kemunculan ‘watak Santa Claus’.

Ia hakikatnya adalah benar-benar khurafat dan bidaah yang telah palitkan kepada agama mereka sehingga ia akhirnya muncul menjadi perlambangan agama yang diterima umum dan sukar untuk dikikis lagi. Ia lebih teruk dari kepercayaan sesetengah masyarakat kita yang menyalakan lampu pada malam tujuh likur atau kepercayaan bahawa pada bulan Muharam digalakkan membuat bubur bagi mencontohi Nabi Noh a.s. Cerita Santa Claus lebih menonjol daripada faktor sebenar orang-orang Kristian menyambut Krismas.

Maka tidak hairanlah pada kita mengapakah Nabi SAW sering mengingatkan agar jangan mengada-adakan perkara yang baru atau bidaah yang dipalitkan menjadi agama. Tempelan baru yang dibuat atas nama agama jika dibiarkan akan menjadi kepercayaan yang akan mengambil tempat agama yang sebenar. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya sebaik-baik bicara adalah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat (Riwayat Muslim).

Al-Imam al-Syatibi (meninggal 911H) ketika mentakrifkan maksud bidaah menyebut: Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. (al-Syatibi, al-I’tisam, m.s 27, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Ertinya manusia boleh berinovasi dalam berbagai perkara, tetapi cara cuba mengadakan kepercayaan atau upacara agama yang tidak bersumberkan wahyu sehingga itu dianggap agama. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah.

Penyelewengan

Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari mainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar adalah dalam urusan dunia.

Ia sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak, pecah masyarakat mereka maka perkara tetap bagi mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru.

Slogan mereka: Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun. Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bidaah dalam berbagai bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah” (al- Qaradawi, Al-‘Ibadah fi al-Islam, m.s 170, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Istimewanya Islam dibandingkan ajaran lain, dalam Islam kita masih mempunyai sumber rujukan tertinggi iaitu al-Quran dan al-Sunnah untuk mengukur sejauh manakah pendapat golongan agamawan ataupun tokoh itu kukuh ataupun lemah.

Kita disuruh menghormati tokoh ilmuan, apatah lagi ilmuan Islam atau yang kita bahasakan sebagai ulama. Namun penghormatan kita kepada mereka tidaklah sama sekali bererti kita tidak boleh memberikan pandangan yang berbeza atas asas-asas ilmu atau penghujahan yang berteraskan fakta dan angka.

Umpamanya, ketokohan al-Imam al-Ghazali dihormati, namun kritikan tetap diberikan oleh para ulama terhadapnya. Kritikan bukanlah menunjukkan jasanya dilupakan. Antaranya, al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 748H) yang menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”. Lalu al-Imam al-Zahabi memberikan kritikan ilmiah terhadap Kitab Ihya Ulumuddin karangan al-Imam al-Ghazali, katanya: “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?

Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala 19/339, Beirut: Muassasah al-Risalah, Beirut) Begitu juga ilmuan tafsir yang terkenal al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) memberikan kritikan ilmiah terhadap karangan al-Imam al-Ghazali dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitul Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumuddin, ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadis yang gharib, munkar, dan palsu”. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).

Demikian ramai ilmuan lain dalam sejarah islam ini menerima berbagai kritikan dan perkara itu bukanlah ganjil. Saya sebutkan contoh ini bagi menggambarkan bahawa tidak pernah kemaksuman itu diberikan dalam Islam kepada sesiapa pun selain Allah dan rasul-Nya. Inilah jalan untuk menjamin agar ilmu sentiasa mengatasi tokoh atau institusi.

Dengan itu agama yang tulen akan terpelihara. Namun, dalam mengkritik dijaga adab dan bersikap adil. Bukanlah seperti sesetengah laman web kelompok agama atau politik agama yang mengharamkan orang lain mengkritik pimpinan mereka dan menjadikan maki-hamun itu halal bagi mereka dalam menghadapi golongan yang mereka tidak setujui.

21/12/2008 - Kejumudan menatijahkan kebangkitan liar

BERBEZA pandangan antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat manusia adalah perkara biasa. Apatah lagi dalam perkara-perkara yang sememang boleh diberikan berbagai andaian dan penafsiran. Perbezaan pandangan dalam usaha mencari yang terbaik adalah satu keperluan hidup insan. Mengikut secara membabi buta tanpa mahu berfikir dan menilai adalah punca kepada kesesatan atau sebab kepada kemunduran sesebuah masyarakat. Manusia yang buruk dalam masyakat ini ialah mereka yang menghalang pemikiran kedua, atau pandangan kedua dalam perkara-perkara yang dibolehkan untuk adanya perbezaan pendapat. Menghalang orang lain berfikir selain dari apa yang kita fikirkan adalah permulaan jalan menuju masyarakat jumud, atau kejumudan ilmu, bahkan jika itu membabitkan kekuasaan dan pentadbiran ia akan membawa kepada pemerintahan kuku besi.

Di samping banyak perkara yang mungkin kita berbeza dengan Barat, kelebihan mereka adalah ruang yang selalu diberikan kepada pemikiran baru, atau masyarakat mereka diizinkan untuk mempunyai pandangan yang berbeza sekalipun dengan ‘arus perdana’. Seseorang tidak merasa terancam untuk berbeza pendapat atau memberikan pandangan yang kedua. Rosaknya sesetengah negara, termasuk negara umat Islam adalah apabila pandangan yang berbeza dihalang, bahkan diambil tindakan. Maka lahirlah sikap keras dan kejam, ketidakadilan dan tidak berkembangnya ilmu pengetahuan. Sepatutnya pandangan yang berbeza selagi memenuhi peraturan norma-norma ilmu hendaklah diberi ruang dan kesempatan.

Lebih buruklah jika pandangan ilmiah yang berbeza itu “diharamkan” atas nama agama. Lalu pihak yang menguasai urusan agama itu menghukum orang yang berbeza dengan mereka sebagai musuh agama, atau musuh Tuhan, padahal pendapat yang diberikan itu telah memenuhi piawaian ilmu dan tidak bertujuan menderhakai Tuhan. Jika “kelompok agama” itu adalah kelompok yang jumud, maka semua manusia yang mempunyai pemikiran yang luas akan menjadi mangsa atas nama agama. Inilah yang berlaku kepada gereja pada zaman kegelapan Eropah dahulu. Berapa ramai saintis yang diseksa dan dibunuh. Mereka dihukum sesat dan murtad hanya kerana memberikan pandangan tentang sains khusus tentang ilmu astronomi yang paderi-paderi jahil mengenainya. Apatah lagi ketika dahulu umat Islam adalah pelopor yang maju dalam bidang-bidang sains yang berbagai, maka pihak gereja menuduh bahawa ilmu-ilmu sains tersebut adalah ajaran Islam dan sesiapa menganutnya mereka menjadi murtad. Kejahilan mereka membawa kepada penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya tercetuslah Revolusi Industri atau Revolusi Perancis pada 1789 yang akhirnya agama dihadkan pengaruhnya agar tidak masuk campur secara langsung dalam pentadbiran dan soal-soal kehidupan yang lain.

Kesedaran

Maka hari ini, seni, hiburan, politik, perindustrian, sains dan sebagainya, agama tidak menjadi teras. Jika ada pun, ia hanya kesedaran individu, bukan dasar umum. Maka tidak hanya jika mereka ketika beraksi bogel depan kamera boleh menggantungkan salib di dada mereka. Demikian filem mereka boleh mempertikaikan agama mereka seperti Da Vinci Code. Bahkan tidak hairan kartun-kartun yang mereka lukis itu kadang-kala mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan mereka. Tidak hairan juga jika para sarjana mereka mempertikaikan kebenaran Bible dan sehingga meragui kewujudan Jesus. Inilah natijah yang dibayar oleh masyarakat Barat hasil dari kejumudan golongan agama mereka pada zaman yang lepas.

Hakikatnya, kejumudan pemikiran itu akan membawa kepada ledakan kebangkitan yang akan menghapuskan segala keterikatan, sekalipun keterikatan yang patut. Sebab itu Islam bukan sahaja mengharamkan sikap cuai dalam beragama, tetapi juga mengharamkan sikap melampau atau keras pada bukan tempatnya. Kedua-duanya jalan syaitan. Nabi s.a.w mengingatkan kita dalam hal ini dengan bersabda: Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani). Allah menegaskan dalam al-Quran agar Nabi s.a.w mengingatkan Yahudi dan Kristian agar jangan melampau dalam beragama. Firman Allah: (maksudnya) Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah al-Maidah, ayat 77). Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah Ta‘ala tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa,2/. 236, Riyad: Maktab al-‘Abikan).

Di Malaysia juga demikian, janganlah kuasa agama itu digunakan untuk menghalang orang lain memberi pendapat. Sehingga akhirnya muncul aliran liberal yang Agama ini ditegak atas hujah dan fakta. Agama bukan pendapat semberono yang diberikan lesen kepada orang agama untuk bercakap apa yang dia mahu dan dengan siapa yang dia mahu. Apa adanya fakta dan dalil yang menuruti disiplin keilmuan, maka agama memberi ruang untuk manusia memberikan pandangannya. Juga pihak yang bercakap atas nama Islam hendaklah berpijak atas dalil dan hujah yang dapat difahami oleh masyarakat yang sedang meningkat maju kemampuan fikiran mereka. Kejumudan hanya akan mengundang kebangkitan membebaskan diri dari ikatan agama. Lihatlah kumpulan politik agama dalam negara kita yang dahulu begitu keras sehingga seringkali isu iman dan kufur itu dijadikan isu. Hari ini kita mula lihat betapa longgarnya sebahagian mereka, bahkan mula timbul dalam kalangan mereka sendiri kelompok yang bertentangan kononnya sebahagian mereka mula meninggal pegangan-pegangan keras yang awal.

Dukacita

Saya juga begitu dukacita, apabila dalam usaha sesetengah pihak agama di negara kita untuk membendung pemikiran pembaharuan yang ingin Islam lebih berteraskan nas dan berketerampilan, mereka menggunakan kelompok Ahbash yang mula aktif dalam negara kita. Kelompok ini yang terkenal dengan mengkafirkan sesiapa yang berbeza dengan mereka.

Di negara arab mereka menumpahkan darah dan mengkafirkan para ulamak yang berbeza dengan mereka. Melabelkan sesiapa yang tidak mahu menerima kekerasan mereka sebagai Wahabi. Laman-laman web mereka boleh dilayari, ia sarat dengan maki-hamun dan kafir mengkafir. Saya ingin ingatkan pihak yang menggunakan mereka, walaupun anda tidak suka dengan aliran pembaharuan atau tajdid yang sedang berlangsung, namun janganlah menggunakan aliran yang seperti ini kerana natijahnya akan membawa kepada sikap permusuhan yang melampaui batasan yang patut. Bukalah fikiran untuk melihat Islam dengan mata yang luas seperti yang difahami oleh golongan Salafussoleh. Sikap yang jumud dan memusuhi pandangan tanpa alasan hanya akan membawa agama ke kancah kebencian dan akan menjadikan ada pihak yang berfikir seperti Barat, bahawa agama patut diasingkan campur tangan dalam urusan kehidupan.

14/12/2008 - Kembara mencari bekalan perjuangan

INILAH artikel pertama saya selepas tidak lagi menjadi mufti. Kali ini saya menulis ketika saya berada di Lampeter, United Kingdom. Di sini agak 'ulu' sedikit. Jumlah pelajar Malaysia di sini pun agak tidak ramai. Kalau nak beruzlah memanglah sesuai. Tapi insyaAllah saya bukan beruzlah.

Saya bertolak ke sini pada 1 Disember lepas. Masih belum mendapat rumah untuk tinggal. Bukan tiada rumah, tapi menghitung 'bajet' yang sesuai. Belum dapat mengikuti perkembangan Malaysia sepenuhnya. Pada Aidiladha baru-baru ini saya berkhutbah di Malaysia Hall di London. Bertemu dengan orang-orang Malaysia. Turut hadir Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau bermurah hati menjamu orang Malaysia di sini. Di samping membawa saya mengenali London.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang amat tidak bersetuju dengan tindakan ini. Ratusan e-mel dan SMS yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Kata mereka, saya mesti teruskan agenda yang telah berjalan dan mula membuatkan hasil yang agak lebat. Sehingga baru-baru ini saya bertemu seorang tua warga Malaysia di London berkata dengan nada yang sebak, "Tidak patut Dr. tinggalkan Malaysia. Sepatutnya berjuang sehingga habis".

Sehingga ada yang menyebut: "Tak baik tinggalkan Malaysia, nanti jadi macam Nabi Yunus yang tinggalkan kaumnya, lalu dia ditelan ikan".

Saya tersentak dengan kenyataan itu dan amat berdebar. Pohon perlindungan Allah dari semua itu. Saya berkata kepada mereka: "saya tidak tinggalkan Malaysia, saya akan pulang nanti setelah tugasan selesai, insya-Allah".

Ramai yang bersungut kerana mereka rasa saya tidak akan menulis lagi dalam Mingguan Malaysia. InsyaAllah, saya akan meneruskan walaupun tidak sepanjang dahulu. Cuma saya tidak dapat melihat sendiri di manakah artikel saya akan ditempatkan. Janganlah pula artikel saya pun diletakkan di muka surat yang 'ulu' juga.

Di samping tugasan sabatikal saya iaitu membuat kajian dalam tajuk yang ditetapkan, banyak perkara saya rancang untuk lakukan. Saya doakan agar Allah memudahkan urusan saya. Saya mula berkenalan dengan beberapa tokoh Islam di sini. Sebahagiannya sudah saya kenali sebelum ini. Ada banyak jemputan yang dikemukakan kepada saya. Saya mengharapkan pertolongan Allah agar saya dapat mengendalikan semuanya di samping tidak mengganggu tugasan asal saya.

Saya menganggap kembara ini sebagai perjalanan menuntut ilmu agar membantu saya berbicara tentang Islam selaras dengan tahap pemikiran sesetengah manusia hari ini yang banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Barat.

iktibar

Sabda Nabi saw: Bicaralah kepada manusia apa yang mereka tahu (faham) (Riwayat al-Bukhari). Demikian juga, semoga Allah membuka ruang kepada saya apa yang tidak dibuka sebelum ini. Hadir ke sesuatu destinasi untuk bercuti atau sekadar mendapat sijil, tidaklah sama dengan hadir untuk meneliti dan mengambil iktibar.

Ramai yang ke Mekah pada musim haji tetapi hanya mampu membawa balik barangan yang dibeli di Mekah, tetapi gagal mengambil iktibar dan membawa pulang contoh-contoh amal ibadah yang mengikut sunah Nabi saw yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Mengapa? Kerana mereka tidak hadir untuk mengambil iktibar atau gagal membebaskan diri dari kongkongan pemikiran setempat. Hanya kepada Allah diserahkan niat dan harapan.

Saya melihat antara masalah besar sesiapa sahaja yang berbicara tentang Islam di sepanjang zaman adalah soal keikhlasan jiwa. Ketulusan jiwa yang ikhlas hanya mencari keredaan Allah amatlah sukar untuk ditabal dalam perasaan, sekalipun mudah untuk dibicarakan.

Apabila seseorang insan, atau tokoh yang memperkatakan tentang Islam gagal untuk mengaitkan hubungan pandangannya itu dengan keredaan Allah SWT, maka ramai tenggelam dalam dunia falsafah yang tiada penghujungnya, atau kepentingan kedudukan diri, puak, parti yang tiada kesudahan, atau ketaksuban yang tiada pegangan. Sehingga mereka lupa mengira atau menghitung bicara atau pendapat atau falsafah yang mereka kaitkan dengan Islam itu kesudahannya membawa kepada keredaan Allah atau kemurkaanNya? Ke syurga atau neraka?

Justeru itu dalam hadis daripada Ka'b bin Malik r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, dipersetujui kesahihannya oleh al-Zahabi).

Inilah krisis ilmuwan Islam sepanjang zaman, krisis keikhlasan niat yang membawa kepada hilangnya hala tuju dalam mencari hakikat atau kebenaran sesuatu perkara.

Inilah krisis yang berlaku dalam kalangan golongan ahli agama terlibat dalam politik, pentadbiran atau kajian. Akhirnya, mereka yang kononnya membawa 'bendera Islam' itu dalam beberapa keadaan menjadi unsur yang merosakkan pembangunan umat Islam, masa depan atau ilmu Islam yang sebenarnya dek kerana mempertahankan kepentingan diri atau puak.

Justeru itulah al-Imam al-Bukhari (meninggal dunia pada 256H) meletakkan hadis yang pertama dalam Sahih al-Bukhari hadis Setiap amalan itu berdasarkan niat. Walaupun dari segi sususan tajuk kitabnya itu, tidak sesuai hadis tersebut menjadi hadis pertama, tetapi mungkin beliau ingin mengingatkan pembaca tentang kepentingan mengikhlaskan jiwa dalam memahami ilmu.

Ramai tokoh Islam tersasar menjadi fanatik parti, taksub mazhab, berjuang untuk kedudukan bagi mendapatkan harta dan kedudukan semata, menolak nas-nas agama yang jelas kerana mempertahankan pegangan peribadi atau tempatan, semuanya berpunca niat yang tidak dibulatkan kerana Allah semata-mata dalam mencari kebenaran.

menyeleweng

Kemudian, insan setelah mengikhlaskan niat di jiwanya, wajib pula selepas itu mengikuti disiplin ilmu secara yang tepat atau peta perjalanan yang betul bagi membolehkan dia sampai destinasi yang dituju.

Jika niatnya betul, petanya salah, dia tetap tidak menemui jalan yang dituju. Jika petanya betul, tetapi niatnya salah, maka dia sendiri akan menyeleweng dari jalan petunjuk yang sepatutnya dia sampai.

Maka kehidupan yang sebenar ditegak atas amalan yang terbaik. Amalan yang terbaik ditegakkan atas yang paling ikhlas dan paling tepat. Firman Allah: (maksudnya) Dialah (Allah) Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan - untuk menguji kamu: siapakah antara kamu yang terbaik amalan; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2).

Inilah mukadimah saya bagi ruangan baru ini. Insya-Allah saya akan ikuti dengan berbagai-bagai isu selepas ini. Perjuangan dan agenda perubahan dengan izin Allah akan diteruskan.