04/11/2007 - Manfaatkan kepakaran bukan memandulkannya

ISLAM adalah agama yang mengiktiraf dan menghormati kepakaran atau kebolehan seseorang insan selagi kepakaran dan kebolehan itu tidak bercanggahan dengan prinsip-prinsipnya. Sudah pasti pula prinsip- prinsip Islam itu ditetapkan oleh Allah demi kemaslahatan manusia.

Justeru baginda Nabi s.a.w. menyebut: Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya, bahan galian bernilai yang terpilih ketika berada dalam tanah dan lumpur, juga terpilih apabila berada di tempat yang elok.

Demikianlah insan yang menganut Islam, sekiranya dia seorang yang terpilih dengan ciri-cirinya ketika belum berpegang dengan Islam, maka dia juga akan terpilih selepas menganut Islam disebabkan ciri-ciri istimewanya itu. Namun baginda s.a.w. meletakkan syarat, hendaklah dia terlebih dahulu memahami Islam. Bahkan perkataan faquhu atau faqihu yang digunakan dalam hadis tersebut menunjukkan benar- benar memahami hakikat Islam, bukan sekadar cebisannya.

Maka dalam sejarah dakwah Rasulullah baginda memanfaatkan kebolehan yang pelbagai untuk kepentingan Islam dan umatnya. Insan seperti Umar bin al-Khattab dengan keberanian dan keperwiraannya yang begitu memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak dimandulkan sifat itu apabila menganut Islam. Sebaliknya, keberanian dan keperwiraannya itu disusun dan diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat Islam.

Demikian juga kehebatan dan ketangkasan Khalid bin al- Walid dalam ketenteraan sehingga menumpaskan tentera Islam dalam peperangan Uhud, tidak disia-siakan. Walaupun beliau lewat menganut Islam dibandingkan para sahabat yang lebih awal, namun baginda terus sahaja melantik Khalid memegang pelbagai jawatan dalam peperangan.

Tidak merujuk kepada soal ‘senioriti’ tetapi kepada kepakaran yang dimilikinya. Begitulah juga Hassan bin Thabit, Ka‘ab bin Malik yang mampu bersyair semasa jahiliah dimanfaatkan oleh Nabi kebolehan mereka apabila menganut Islam.

Mereka menyusun syair-syair yang membela Nabi dan perjuangan baginda, serta menjawab tohmahan para penyair musuh. Kata Nabi kepada Hassan bin Thabit: Jawablah untukku, Allah menguatkanmu dengan roh al-qudus (Jibrail). (Riwayat al-Bukhari). Maka semua kebolehan, sama ada; keberanian, ketangkasan, kesenian dan berbagai-bagai lagi yang sebelum ini digunakan untuk menentang Islam bertukar menjadi keistimewaan yang membela Islam.

Demikianlah sepatutnya masyarakat Islam, mestilah pandai memanfaatkan kemahiran anggotanya, sekalipun kemahiran dan kepakaran itu pernah digunakan dengan cara yang bercanggahan dengan Islam. Namun apabila seseorang masuk Islam atau kembali mempunyai kesedaran Islam, hendaklah disusun atur agar segala kebolehan itu benar- benar boleh dimanfaatkan.

Maka amat mendukacitakan, jika seorang Cina yang semasa belum Muslim, mahir dalam perniagaan dan mencari rezeki, tiba-tiba apabila menganut Islam segala kebolehan itu hilang dan terikut-ikut dengan sesetengah golongan yang hanya tidur di masjid. Atau keluar berhari- hari berdakwah – kononnya – tanpa sempat memahami hakikat Islam yang sebenarnya. Atau terus melupai pembangunan diri dan keluarganya, semata-mata hanya inginkan akhirat. Kemudian meminta-minta untuk suapan hariannya. Ini memberi imej yang buruk terhadap agama yang agung ini terutama apabila dilihat oleh saudara-saudara mereka yang belum menganut Islam.

Syarat

Sebab itu syarat untuk kepakaran dan ciri istimewa yang dikuasai semasa jahiliah itu diguna pakai, empunya kepakaran atau sifat istimewa itu mestilah terlebih mendalami Islam yang sebenar. Memahami tuntutan al-Quran dan Sunah. Jika tidak, hakikat sebenar Islam tidak akan menjelma menerusi kebolehan atau kelebihan yang dimiliki. Ini seperti pihak yang menyangka proses Islamisasi nyanyian itu dengan memakaikan kopiah atau songkok kepada penyanyinya, lalu dinamakan nasyid. Padahal, sesetengah lirik yang mereka alunkan, tidak menggambarkan hakikat Islam yang sebenar, bahkan ada yang bercampur dengan khurafat atau cara fikir yang mundur. Mungkin sesetengah lagu P.Ramlee lebih Islamik liriknya dibandingkan sesetengah alunan nasyid. Saya bukan memperkecilkan mereka, sama sekali tidak. Saya hargai usaha mereka.

Namun, jika mereka menyatakan perjuangan nasyid mereka adalah misi dakwah, maka mereka mesti mengutamakan isi kandungannya dan kejelasan mesejnya. Jika tidak ia hanya untuk mempelbagaikan penampilan gaya artis sahaja. Sama juga dengan sesetengah majlis yang diislamisasikan dengan bacaan doa sebelum majlis. Selepas itu, isi kandungan majlis tidak diselaraskan dengan kehendak Islam. Seperti penceramah yang membuka ceramahnya dengan bacaan ayat itu dan ini kemudian mengisinya dengan memaki hamun secara yang diharamkan oleh syarak. Pada zaman Nabi dan para sahabah memang dalam ucapan mereka sering berdoa semasa majlis namun tidak diupacarakan khas doa-doa itu. Apa yang lebih penting, isi kandungan majlis seiras dengan ajaran Islam. Sebab itu memahami Islam itulah syarat utama menjadikan kebolehan seseorang berfungsi untuk agama berteraskan ilmu ini.

Saya jumpa ramai profesional bukan dalam bidang pengajian Islam, apabila timbul kesedaran Islam dalam diri, mereka seolah-olah mempersalahkan latar pendidikan mereka yang bagi mereka bukan aliran Islam. Padahal mereka mampu memanfaatkan kebolehan mereka untuk umat Islam. Ini kadangkala terhasil dari sesetengah penceramah masjid dan surau yang menyempitkan makna Islam dan keperluan ilmu Islam. Padahal kecuaian mereka terhadap agama bukan kerana bidang pengajian, sebaliknya ketidak prihatinan diri terhadap Islam yang tulen.

Ketidak prihatinan ini boleh berlaku di semua peringkat; bidang agama atau sebaliknya. Jika kita jujur dan bersungguh ingin memahami Islam yang tulen, dunia kini amat terbuka untuk itu. Saya lihat bukan sedikit para pelajar kita yang belajar di Barat atau dalam bidang bukan pengajian Islam formal tetapi berminat mendalami Islam dan lebih memahami hakikat Islam itu dari ribuan pelajar di Mesir atau beberapa negara Asia Barat yang lain. Mereka lebih sensitif terhadap khurafat, karut-marut, israiliyyat, hadis palsu dan pemikiran songsang dibandingkan sesetengah ustaz keluaran Asia Barat. Bahkan ada ustaz lulusan Asia Barat yang menjual kayu kokka atau penyebar hadis palsu, israiliyyat dan berfalsafah dengan pemikiran yang tidak serasi dengan Islam tulen.

Namun sesetengah yang kurang faham, oleh kerana dahulu tidak sempat belajar Islam secara formal sepenuhnya, mereka seakan ingin menebus semua kesalahan itu dengan menghantar anak-anak ke sekolah- sekolah agama tanpa berhati-hati. Niatnya baik, malangnya sesetengah sekolah agama tidak memberikan penekanan kepada keperluan akademik yang lain. Menghantar ke sekolah agama memang baik, apatah lagi jika sekolah itu mampu mewujudkan iklim yang harmoni lagi Islamik lalu membentuk keperibadian Islam. Namun, bukan sedikit sekolah agama yang belum diuruskan dengan cemerlang. Maka berlaku keciciran dalam akademik dan ketinggalan dari persekitaran yang baik. Bahkan guru-guru agama yang mengajar pun, ada tidak menentu kelulusannya. Akhirnya, tidak juga anaknya menjadi pakar Islam yang cemerlang, sudah pasti ketinggalan dalam bidang-bidang akademik lain. Saya bimbang suatu hari nanti mereka akan menyalahkan kesedaran Islam bapa mereka. Ini bukan rekaan, saya bertemu bukan sedikit yang seumpama itu. Padahal, sekolah-sekolah swasta ‘orang lain’ begitu ke hadapan dalam pelbagai sudut.

Padahal yang sepatutnya dilakukan, apabila kita ada kesedaran Islam, kita memastikan kefahaman Islam itu diamalkan dalam kehidupan secara yang meluas. Beri kesedaran kepada anak-anak tentang perjuangan memartabatkan agama ini dalam semua bidang. Jika hendak memilih sekolah agama, hendaklah sekolah yang melambangkan kesyumulan Islam itu. Agar pendidikan Islam mampu bersaing dan tenaga Muslim soleh boleh dimanfaatkan di semua bidang.

Janganlah semua anak kita nak kita jadikan ‘ustaz’. Perbagaikanlah kemahiran umat ini. Dunia Islam tidak mampu diangkat maruahnya dengan semua orang menjadi ‘ustaz’. Tetapi maruah itu diangkat dengan umat menguasai segala bidang serta membawa mesej Islam yang sebenar. Susunlah perjuangan umat ini dengan menyusun kepakaran anak-anak kita dalam pelbagai kebolehan. Jika kita lahirkan guru agama yang terbatas pengetahuannya, maka agama akan dipandang sinis. Perkataan ustaz sendiri begitu umum.

Bahkan kadangkala kerana boleh membaca beberapa ayat dan berpakaian Arab dia dipanggil ustaz. Perkataan ustaz dalam masyarakat kita bukan semestinya melambangkan kesarjanaan. Sebenarnya, yang kita perlukan adalah pakar; pakar tafsir, pakar hadis, pakar akidah, pakar fikah dalam pelbagai bidang dan seterusnya. Inilah keperluan kita. Mereka mesti mampu membawa kefahaman Islam yang tulen. Bukan sekadar untuk berceloteh atau membuat jenaka atau menyampai cerita-cerita tidak munasabah dalam ceramah yang tidak menggambarkan kematangan dan kemantapan agama yang agung ini. Barangkali itulah sebabnya P.Ramlee dalam filemnya ‘Musang Berjanggut’ menamakan Menteri Agama Pura Cendana dengan gelaran ‘Datuk Nikah Kahwin’ tidak dinamakan dengan ‘Datuk Syariah’ atau seumpamanya. Dek sempitkan bidang yang dikuasainya atau pemikiran yang hanya terbatas dalam soal nikah kahwin sahaja. Mungkin jika Raja Alam Shah Bana melihat di Pura Cendana seseorang yang tidak mempunyai idea yang bernas dan produktif untuk kemajuan agama, sebaliknya hanya mampu mengiklan kenaikan tambang haji, maka dia akan namakannya ‘Datuk Tambang Haji’.

Peranan

Saya tersenyum sinis apabila ada yang mempertikaikan mufti menulis di akhbar dan berbicara di luar bidang agama. Barangkali pada pandangannya peranan mufti itu membaca doa dan berbicara hanya yang ditentukan dan simpan akalnya dalam saku. Jika minda kita sempit, kita jangan jumudkan dunia orang lain. Jika tidak agama akan sentiasa kelihatan sempit. Semua manusia yang berjuang untuk memartabatkan agama, dia ialah pejuang agama.

Dalam apa bidang sekalipun selagi mematuhi lunas-lunas syarak. Nabi apabila ditanya: “Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, saya begitu tertarik dengan slogan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang cuba menjadikan perjuangannya dalam ekonomi sebagai jihad. Ya, jika cita-citanya untuk mengangkat maruah agama dan menepati prinsip Islam maka ia adalah pengorbanan dan jihad. Kadangkala ibu bapa yang menghantar anak belajar dalam bidang-bidang selain agama tidak merasai mereka juga sedang menghantar dan membiayai pejuang agama.

Apatah lagi jika anak yang dihantar langsung tidak ada kesedaran agama dan mencerminkan identiti agama ini. Bertambah jauhlah ilmu tersebut dari daerah perjuangan agama. Demikian juga sesetengah pengurusan zakat hanya mengehadkan atau menumpukan peruntukan zakat untuk yang belajar agama secara formal sahaja. Sekali lagi saya petik Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu: “Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata.

Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum Muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti yang diputus oleh para penganalisis hukum.

Maka tidak hairan kita dapati para ahli fikah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa seperti ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seorang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fikah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya.” (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570 Beirut: Muassasah al-Risalah).

Saya katakan, sesungguhnya tumpuan melahirkan saintis Muslim yang beriman lebih diperlukan buat masa kini dari melahirkan seorang ‘ustaz’ dalam ertikata biasa. Ini kerana jumlah ustaz agak ramai, tetapi saintis Muslim soleh yang mampu mengangkat wajah umat di hadapan dunia masih tidak mencukupi.

Maka wajib bagi dunia Islam menggemblengkan segala kepakaran. Bukan ustaz tidak perlu, tetapi proses mengeluarkannya telah berjalan lancar dan untuk mendapat darjah kebesaran ‘ustaz’ yang tidak pakar tidaklah begitu sukar. Namun untuk mencapai gelaran ‘saintis’ sebenar, kita memerlukan penggemblengan yang lebih. Keluasan fikiran secara berprinsip itu membawa kita ke hadapan, dan kejumudan hanya membunuh kewarasan akal dan kematangan ilmu.