12/08/2007 - Wahai dunia! Islam bukan agama pengganas

HAMPIR setiap minggu saya menerima kunjungan dari berbagai-bagai pihak yang ‘berjenama’ hebat dari serata pelosok dan sebahagian mereka itu bukan muslim. Sebahagian mereka pembaca setia tulisan saya. Mereka bertanya pendapat saya dalam berbagai-bagai isu. Antara yang menjadi fokus mereka yang bukan muslim adalah isu keganasan atau terrorisme.

Hasil didikan media antarabangsa, mereka seakan melihat ada kaitan rapat antara Islam dan keganasan. Mereka bertanya mengapakah Islam memperuntukkan bab yang dinamakan jihad yang akhirnya menimbulkan suasana keganasan di dunia ini?

Saya bertanya kepada mereka; sejak bila anda rasa isu keganasan ini dikaitkan dengan Islam? Mereka menjawab; sejak beberapa tahun yang akhir ini, khusus setelah peristiwa 11 September. Saya bertanya mereka; Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan sejak 1,400 yang lepas dan ajaran baginda tersebar hampir ke seluruh alam serta pernah membina tamadun yang amat agung. Mengapakah hari ini baru anda mendengar tentang keganasan dan Islam?

Kemudian, apa takrif keganasan pada sisi anda sehingga media menyatakan rakyat Palestin pengganas, sedangkan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak mereka saban hari tidak dilabel pengganas?

Atas kaedah apakah anda menyatakan rakyat Iraq yang membunuh tentera Amerika itu pengganas, sedangkan Amerika yang mengebom dan menceroboh negara mereka, merogol dan membunuh kaum keluarga mereka tidak disenaraikan dalam kandang pengganas?

Atas pentakrifan apakah tindakan menawan tebusan yang dilakukan oleh beberapa gerombolan orang Islam dianggap jenayah tidak berperikemanusiaan, sementara tindakan Amerika menahan begitu ramai orang Islam tanpa bukti tidak diuar-uarkan sebagai keganasan kejam?

Jika dihitung jumlah orang Barat yang terkorban disebabkan keganasan puak yang menamakan diri sebagai muslim dibandingkan jumlah umat Islam yang dibunuh oleh senjata-senjata canggih Amerika dan sekutunya; manakah yang lebih ramai?

Atas dasar apakah anda memberi imej Islam pengganas kerana tindakan beberapa kumpulan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi anda tidak melihat imej agama Kristian atau Yahudi sebagai pengganas sedangkan tindakan mereka dilakukan oleh penganut agama-agama tersebut yang bersifat kerajaan dan pemerintahan yang diiktiraf oleh mereka?

Akhirnya saya katakan; sebenarnya, tiada siapa pun yang bersetuju dengan keganasan, cumanya media Barat dalam banyak hal bersikap berat sebelah menakrifkan keganasan dan siapakah pengganas?

Sejak dahulu Islam menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di kalangan manusia. Lihat sahaja, begitu ramai golongan minoriti bukan Islam dapat hidup di tengah- tengah masyarakat Islam di serata dunia. Lihat di negara kita, Mesir, Jordan, Indonesia dan negara-negara lain. Walaupun barangkali ada beberapa kekurangan tertentu, namun mereka tidak diseksa atau ditumpahkan darah secara kejam.

Namun keadaan sebaliknya tidak berlaku terhadap minoriti umat Islam di kebanyakan negara. Lihat nasib umat Islam di Bosnia, Burma, Rusia dan beberapa negara lain. Bahkan dalam masyarakat Melayu, orang bukan Islam boleh berniaga dan maju di tengah-tengah kampung Melayu Muslim, namun sukar ditemui keadaan sebaliknya.

Mesej saya adalah keganasan atau menumpahkan darah manusia berlainan agama bukan tabiat orang Islam, sudah pasti ia bukan ajaran Islam. Bagaimana mungkin ajaran Islam hendak dikaitkan dengan keganasan, sedangkan jika dilihat peraturan peperangan dalam Islam itu begitu ketat.

Sebelum Perjanjian Geneva wujud lagi, Islam 1,400 tahun yang lalu telah pun meletakkan pelbagai disiplin dan peraturan dalam peperangan. Jika Perjanjian Geneva tidak wujud pun, umat Islam tetap wajib mematuhi peraturan-peraturan perang. Bukan sekadar menjaga nama baik kerajaan, bahkan itu adalah arahan agama.

Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk memelihara kebenaran dan keadilan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) dan perangilah di jalan allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.

Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda Nabi menyebut: Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak).

Untuk itu Islam menetapkan, pembunuhan hanya di medan perang. Hanya perangi mereka yang terlibat dengan peperangan. Musuh yang tidak menyertai peperangan, tidak diperangi atau dibunuh.

Supaya penekanan disiplin itu lebih dipatuhi, para sarjana Islam menyebut secara lebih terperinci sebagai fokus agar golongan-golongan berikut tidak ditumpah darah mereka:

Pertama: Wanita yang tidak berperang dan kanak-kanak. Dalam hadis daripada Ibn Umar, katanya: “Sesungguhnya seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kedua: Orang tua dan orang uzur. Mereka tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Ini dapat dikiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan.

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah- rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn ‘Abbas, katanya: Apabila Rasulullah mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan.”)

Kata al-Syaukani (wafat 1250H): “Pada hadis ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan bukan muslim yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin.” (:Al-Syaukani, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, Beirut: Dar al-Jil)

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadis Hanzalah al-Katib, katanya: Kami berperang bersama dengan Rasulullah, lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan ‘asif (pengambil upah). (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Al-Albani menilainya sebagai sahih (lihat: Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld 2, m.s. 314, Riyadh: Maktabah al-Ma‘arf li al-Nasyr).

Pengambil upah ini ialah yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak terlibat di medan perang, maka mereka tidak dibunuh.

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Kata ‘Abdullah bin Mas‘ud: “Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al- Bazzar, Abu Ya‘la. Sanad-sanad mereka adalah hasan ( al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, Beirut: Dar al-Rayyan)

Setelah anda melihat ketatnya peraturan seperti ini, adakah mungkin anda menuduh Islam menggalakkan pengeboman di tempat awam? Jika tindakan itu dibuat di atas nama Islam, itu adalah pengkhianatan terhadap Islam. Setelah Islam mengharamkan tindakan ini, apakah wajar media Barat mengaitkannya dengan Islam, sedangkan pada masa sama mereka tidak mengaitkan tindakan zalim Amerika dengan Kristian, India dengan Hindu atau Israel dengan Yahudi? Walaupun teks pengharaman seperti Islam tidak jelas dalam agama lain.

Setelah faham hakikat Islam yang menentang keganasan melulu ini, Barat patut bertanya; jika benar ada orang Islam yang melakukannya, bererti mereka sudah tidak mampu mengawal diri dengan disiplin Islam, mengapa hal ini berlaku? Saya katakan sekali lagi, Islam tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan awam.

Apa yang berlaku ialah tindakan luar kawalan. Ini berlaku apabila emosi menguasai akal dan kefahaman salah menguasai tindakan. Tanpa boleh dinafikan, emosi yang berlebihan dan meluap-luap tanpa kawalan ini datang disebabkan sikap buruk dan ganas yang ditunjukkan oleh sesetengah kuasa Barat terhadap dunia Islam terutamanya di Iraq dan Palestin sekarang.

Kerana, seseorang yang biasanya berkelakuan baik, tiba-tiba menjadi ganas, kita patut bertanya sebabnya. Islam tidak seperti filem-filem Barat yang menghalalkan keganasan hero atas nama membalas dendam, namun jika dunia inginkan penyelesaian penyakit, kita mesti mengubati puncanya.

Kemudian mereka bertanya saya: kenapa perlu ada bab jihad dalam Islam? Ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara agama. Saya katakan; jika anda melihat Islam sebagai agama yang hanya menguruskan masjid, maka tentulah persoalan jihad amat ganjil untuk dibincangkan. Namun Islam adalah agama yang lengkap menyentuh semua sistem kehidupan.

Mana mungkin sebagai agama yang lengkap dalam berbagai-bagai persoalan; ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya, tiba-tiba tidak membincangkan soal peperangan. Jika itu berlaku, menunjukkan tidak sempurnanya sistem Islam.

Dalam erti kata, Islam membiarkan keindahan sistem yang dibinanya dicerobohi atau dihancurkan.

Kita wajar tahu bahawa, peperangan wujud sepanjang sejarah manusia. Ini kerana apabila wujudnya kelompok yang suka bersikap ganas dan menindas pihak yang lain, atau gemar mengguna kekerasan sebagai penyelesaian maka peperangan pasti tercetus. Lantas pihak yang tertindas pun terheret ke kancah peperangan yang dipaksa.

Demi untuk mempertahankan diri mereka terpaksa mengharunginya jua, seperti berlaku di Iraq dan Palestin. Justeru, kita melihat setiap negara akan mewujudkan angkatan tenteranya. Itu adalah keperluan asasi. Kalaupun tidak untuk berperang dengan pihak yang lain, ia demi mempertahankan sempadan dan kedaulatannya.

Ini kerana sikap lunak dan berbaik dengan semua pihak tidak mampu menjamin sesebuah negara tidak diserang. Perasaan tamak dan rakus yang wujud pada negara lain akan mengancam sesebuah kerajaan sekalipun benteng diplomasi dibina. Untuk itu, maka setiap negara membuat latihan dan sistem ketenteraannya.

Jelas, bahawa membicarakan persoalan perang dan senjata, tidaklah semestinya menggambarkan sikap ganas atau keganasan. Sebaliknya ia tuntutan bermasyarakat. Bahkan peperangan membela kebenaran disetujui oleh fitrah manusia.

Sebab itu filem-filem peperangan yang menggambarkan kemenangan di pihak yang dianggap benar, disukai oleh masyarakat dunia. Maka Islam adalah agama yang syumul. Datang untuk menyelesaikan persoalan kehidupan manusia di semua peringkat. Adalah mustahil untuk Islam tidak membicarakan tajuk peperangan atau dinamakan – dari segi istilahnya – jihad qitali atau jihad peperangan.

Mengapa pula kerana adanya bab jihad dalam Islam maka agama ini dihukum pengganas, tetapi sistem ketenteraan yang diwujudkan oleh setiap negara terutamanya Barat, tidak dianggap sebagai pengganas? Atau mengapa tidak dihukum pengeluar filem Hollywood sebagai pengganas?

Saya ingin ingatkan, oleh kerana bab jihad ini secara jelas ada dalam al-Quran dan al-sunah, orang Islam tidak boleh menafikannya. Menafikan peperangan jihad bererti menafikan nas-nas Islam. Namun mereka mesti menjelaskan kepada dunia secara betul maksud jihad dalam Islam. Adakah mungkin Islam yang membincangkan persoalan kenegaraan tiba-tiba tidak menyebut bab ketenteraan?

Cuma yang berlaku hari ini, adanya segelintir orang Islam menyalahgunakan bab jihad peperangan ini atau melanggar disiplin yang ditetapkan oleh agama. Islam yang tulen membantah tindakan mereka sama sekali.

Namun, bagi negara-negara orang Islam yang diserang oleh kuasa imperialis, apakah dunia ingin mengatakan kepada umat Islam, awak semua hendaklah diam dan jangan mempertahankan diri kerana itu adalah jihad, dan jihad adalah keganasan? Inikah keadilan sejagat?

Bak kata orang Arab: “Dia pukul aku, dia pula yang menangis. Dia maki aku, dia pula yang mengadu.”