RAMAI yang bertanya saya; falsafah dan teori kepimpinan Islam yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunah begitu hebat. Namun mengapakah pengurusan agama dalam negara ini kelihatan ketinggalan jika dibandingkan dengan pengurusan lain.
Kata mereka: Peruntukan kerajaan untuk memajukan agama amat besar. Berbagai-bagai jabatan dan badan ditubuhkan dengan mendapat bajet yang bukan sembarangan. Dari pengarah sehingga pegawai biasa, saban tahun naik gaji. Kereta dan kerusi pun kelihatan mewah-mewah.
Agenda melancong sambil bertugas, atau bertugas sambil melancong – saya tidak pasti – kelihatan sibuk. Dengan peruntukan yang sedemikian besar, sepatutnya banyak persoalan umat Islam dapat diselesaikan. Juga mampu menjadikan kita umat yang paling gemilang dalam banyak aspek.
Malangnya, masalah umat Islam makin bertambah. Bermula dari persoalan minda fikir yang tidak bergerak ke hadapan menjunjung kedaulatan Islam sehingga kepada kelemahan soal hidup berserta dengan nilai diri. Bermula dari hak-hak isteri dan suami yang gagal dilangsaikan di mahkamah syariah secara membanggakan sehingga kepada urusan zakat yang mengecewakan.
Bermula dari mat rempit yang kurang berjaya dipulihkan atas pendekatan agama sehingga kepada kes-kes murtad yang tidak dapat dikembalikan kepada kekuatan dakwah islamiah secara hikmah dan hujah. Kelemahan itu nampaknya bermula dari jabatan ‘yang besar’ sehingga ke institusi masjid secara umumnya. Lebih mendukacitakan lagi, kebanyakan tokoh agama yang mendapat bajet pengurusan dari kerajaan ini gagal menjadi ikon masyarakat.
Mereka bukan sahaja tidak dapat menjadi idola, bahkan majoriti mereka tidak dikenali umat. Suara bernas mereka tidak tampil memberikan cadangan penyelesaian kepada isu-isu semasa. Ketajaman minda agama mereka tidak dapat dirasai dalam banyak perkembangan. Umat pun dalam banyak hal terlupa nama mereka untuk dijemput membicarakan masalah semasa.
Jika tidak kerana peruntukan yang dikendalikan mereka, mungkin sukar untuk didapati majlis yang menampilkan mereka. Ada pula yang dipenjarakan oleh bilik hawa dingin atau kapal terbang kelas pertama.
Mereka kelihatan selesa dengan tali leher dan suit yang lawa. Umat terus menderita dengan masalah yang bertimpa berkaitan krisis kefahaman agama, pemikiran Islam yang dicabar dan kehidupan umat yang tidak mencerminkan ketinggian tamadun Islam itu sendiri. Bahkan dalam banyak hal, aktivis dakwah yang tidak mendapat peruntukan kerajaan atau kedudukan khas lebih menonjol menyumbang.
Apakah ini menunjukkan Islam sudah tidak relevan? Saya katakan tidak! Islam sentiasa relevan, agama sepanjang zaman. Kebaikannya melimpahi semua kaum dan puak. Rahmatnya dirasai semua manusia sekalipun berbeza-beza warna dan agama.
Namun banyak pihak yang tersilap dalam falsafah atau teori kepimpinan dalam Islam. Ada yang menyanggahi bahawa apabila seseorang itu bergelar ustaz, atau belajar agama dengan sendiri bererti dia berkelayakan memimpin atau menguruskan semua urusan umat. Hal ini salah!
Kepimpinan bukan berkait soal kebaikan peribadi atau serban yang dipakai tetapi sangat berkait dengan kemampuan atau kemahiran dalam bidang yang dipimpin.
*Relevan
Dalam hadis daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.
Ini menjelaskan bahawa Rasulullah tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuhnya.
Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah kepimpinan dan politik berhajat ciri-ciri yang lebih dari itu, bukan sekadar warak dan soleh sahaja. Justeru itu, tidak semua sahabat layak mengendalikan urusan siasah seperti al-Khulafa al-Rasyidun.
Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik dan pentadbiran. Kita tersilap jika menyerahkan tanggungjawab tanpa menilai tuntutan zaman berkaitan jawatan berkenaan semata-mata hanya mereka bergelar ‘ustaz’ atau lulusan agama. Jika diserahkan jawatan kepada seseorang berlatar agama tetapi berminda 50-an sedangkan jawatan itu menuntut penyelesaian persoalan semasa, tentu kita akan gagal.
Sarjana Islam yang agung Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan soal kelayakan kepimpinan ini dengan begitu menarik. Para sarjana Islam seperti Ibn Taimiyyah telah pun mendahului tajuk ratusan tahun sebelum munculnya penulis-penulis Barat yang dikagumi oleh sesetengah pihak.
Secara umum, kepimpinan memerlukan dua ciri, al-Quwwah dan al-Amanah. Al- Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin. Al-Amanah ialah nilai amanah dalam diri.
Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.” Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah. Kata Raja Mesir kepada Yusuf (maksudnya): “Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai (surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibrail (maksudnya): (Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibrail). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘arsy. Yang ditaati lagi dipercayai (surah al-Takwir: 19-21).
Kata Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai-bagai jenis peperangan... al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir). (al-Maidah: 44).
Saya katakan pada zaman ini al-Quwwah dalam pengurusan agama dalam kerajaan bukan sahaja merujuk kepada sijilnya tetapi ketajaman mindanya menyelesaikan masalah umat berlandaskan manhaj Islami.
Entah berapa ramai yang mempunyai sijil tetapi fikirannya kontang. Dalam keadaan Islam yang tertekan oleh berbagai- bagai tuntutan keadaan dan masa, kepimpinan Islam mesti berkemampuan membela Islam serasi dengan tuntutan masyarakat hari ini. Kemampuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat yang begitu rencam ini secara segar dan berketerampilan sangat dituntut bagi setiap yang menduduki jabatan atau badan yang berkaitan dengan Islam.
Jangan hanya tahu menghabiskan bajet, tapi kesannya tidak kelihatan melainkan setakat reka bentuk astaka baru atau menu jamuan yang baru atau tambahan nilai acara-acara anugerah semata. Peruntukan kerajaan yang besar mestilah memperlihatkan kesan yang besar bagi umat yang menghadapi pelbagai persoalan.
Di universiti, ahli akademik dalam melaksanakan kajian atau menulis artikel dinilai sudut ‘impak’ atau kesan bahan itu kepada masyarakat apabila didedahkan. Artikel yang hambar, tidak mendapat perhatian tidak ada nilai yang besar. Namun sesuatu kajian atau artikel yang mendapat perhatian dan menggerakkan masyarakat dianggap bernilai sekalipun dikritik.
Demikian juga semua gerakan perubahan – sekalipun dikritik oleh yang berkepentingan – namun kita mesti melihat positifnya terhadap umat secara menyeluruh dan jangka masa panjang. Bukan untuk menjaga keselesaan segelintir manusia sahaja.
*Kemampuannya
Kepimpinan Islam di era ini mesti diukur kemampuannya memberikan impak kepada perubahan masyarakat Islam ke arah yang lebih bertamadun dan berkemampuan. Pengukuran kesan terhadap perubahan umat sepatutnya menjadi piawaian kita dalam memilih kepimpinan agama.
Hasrat masyarakat terhadap institusi- institusi agama kerajaan amat besar. Namun realitinya, anda berikanlah penilaian. Maka kejumudan dan keterikatan dengan sesuatu anggapan agama tanpa dalil yang kukuh atau tradisi tanpa hujah mesti dilenyapkan dalam peta pemikiran tokoh-tokoh yang ingin memimpin urusan agama.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua jenis peribadi, satu, padanya ada kekuatan atau kemampuan tetapi kurang amanah sementara seorang lagi soleh atau sangat amanah tetapi lemah atau tidak berkemampuan. Siapakah yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para ulama al-siyasah asy-syar’iyyah menyatakan hendaklah dilihat kepada kedudukan jawatan dan dinilai siapakah yang paling mampu memberi manfaat dan paling kurang mudaratnya.
Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang soleh atau peribadinya tidak baik.
Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan, hendaklah didahulukan yang amanah walaupun lemah pengurusan.
Di atas sebab ini maka Rasulullah memilih Khalid bin al-Walid mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabat yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Bahkan Rasulullah pernah menegur dan membantah beberapa tindakan Khalid yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam kitab yang sama: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani – walaupun padanya ada kejahatan – diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.”
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: “Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri. Adapun yang soleh tetapi lemah maka kesolehannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam.” Maka berperang bersama yang kuat dan jahat. Rasulullah juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka soal kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah umat Islam hendaklah dilihat secara lebih luas berasaskan ciri al-Quwwah dan al-Amanah. Bukan soal sijil, serban atau songkok, tetapi soal kesan yang mampu mencorakkan umat.
Penilaian semula terhadap beberapa soal pentadbiran agama mungkin boleh menjadi pemangkin perubahan.
Ada yang bertanya mengapakah artikel saya banyak menumpukan soal dalaman umat? Kenapa tidak tumpukan serangan kepada pihak luar? Saya katakan yang di luar kelihatan kuat kerana kita lemah. Jika kita kuat maka di luar itu tentunya lemah. Jika tidak mampu melemahkan yang di luar, maka kita kuatkan dalaman kita. Maka mengkritik dari dalam mungkin ubat yang berkesan untuk era ini.
The King and U
5 days ago