INSAN ini bukan mesin atau robot yang hanya berpada dengan perisian yang diprogramkan untuknya. Insan mempunyai kehidupan dan perasaan. Dia ingin dihargai dan ingin melakukan sesuatu yang membuktikan keinsanannya.
Insan bukan juga haiwan ternakan yang hanya diam dan selesa dengan rumput yang enak dan air yang mencukupi. Sebaliknya insan mempunyai roh atau perasaan yang mendesak agar diisi dengan sesuatu yang dapat melangsaikan runtunannya. Jika tidak dilangsaikan ia akan memberontak atau mencari jalan keluar yang dapat meredakannya.
Sebab itu kita lihat, bukan sedikit manusia yang melakukan aktiviti berbahaya seperti terjun atau panjat bangunan dan gunung, atau memandu secara yang berbahaya dan seumpamanya. Mereka ini bukan kerana miskin harta, atau putus asa dalam hidup.
Tidak juga kerana tidak puas hati dengan sesiapa. Cuma mereka ingin mencari kepuasan. Harta atau kemewahan gagal mengisi ruangan dalam jiwa yang mereka tercari-cari bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka menjangkakan dengan melakukan aktiviti yang luar biasa, sesuatu yang ekstrem atau yang dapat menarik perhatian ramai maka kekosongan jiwa dapat diisi.
Jika kita membaca sejarah komunisme, kita akan lihat bagaimana mereka cuba membuang kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan mereka. Namun akhirnya mereka melantik tuhan baru mengisi kekosongan jiwa dengan memuja Lenin dan kesesatannya. Sehingga mayatnya diawet agar tidak rosak lalu dipamerkan untuk dilawati oleh rakyatnya.
Maka penganut komunisme akan memberikan penghormatan yang luar biasa semasa menziarahi mayat tersebut. Ini seakan serupa dengan upacara keagamaan yang telah mereka buang itu. Demikian akhirnya pemimpin komunis pula cuba menjadi tuhan bagi mengisi kehendak pengikut yang inginkan pendampingan dengan tuhan yang sebenar.
Sebab itu sesiapa yang menolak tuhan yang sebenar, maka tuhan-tuhan palsu akan mengisi ruang hidup. Nafsu pun boleh bertukar menjadi tuhan palsu jika ia ditaati seperti ditaati tuhan yang sebenar. Firman Allah dalam surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuan-Nya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?
Apa yang ingin dijelaskan adalah jiwa insan ini jika tidak diisi dengan betul, maka kefahaman atau perkara yang salah akan mengambil tempat. Ini seperti cerita-cerita fiksyen dan hantu yang membanjiri filem moden disebabkan tipisnya ruang kepercayaan kepada tauhid yang sebenar. Atau penglibatan sesetengah remaja atau dewasa dalam aktiviti buruk disebabkan gagal dipenuhi aktiviti yang baik dan bermanfaat.
Masyarakat
Demikian, jika jiwa sesuatu masyarakat atau individu yang gagal dipenuhi semangat perjuangan yang bermanfaat lagi benar maka ruang jiwa mereka akan diisi dengan idealisme kebatilan dan perjuangan yang karut. Mereka mungkin menyertai berbagai-bagai kumpulan yang pelik dengan slogan-slogan yang karut dan perjuangan yang ‘entah apa-apa’.
Semuanya hanya bagi menggerakkan emosi insani mereka. Sehingga sebahagian anak muda yang menyertai perhimpunan atau tunjuk perasaan tertentu juga bukan kerana menyokong atau menghayati slogan yang ditempikkan. Sebaliknya, mereka hanya ingin mencari pengisian jiwa yang memberontak mahukan sesuatu perjuangan. Maka apa sahaja yang dilihat dapat melunasi perasaan ingin berjuang, akan mereka sertai.
Malangnya, kadangkala golongan yang berusaha memulihkan mereka pula gagal mencari alternatif perjuangan yang lebih diyakini bagi jiwa mereka. Mereka akan merasakan jika mereka meninggalkan perjuangan mereka – jika sekalipun songsang- mereka akan keluar ke daerah kontang yang membosankan.
Maka negara-negara umat Islam wajar dipersalahkan jika majoriti kaum muslimin hanyut tanpa arah dengan tidak mengetahui sebagai muslim apakah yang patut dia sumbangkan untuk perjuangan umat. Lebih malang lagi, jika dia tidak tahu apa yang hendak diperjuangkan. Apatah lagi keterampilan sebahagian kepimpinan dunia Islam termasuk di dunia Arab gagal untuk memperlihat idealisme perjuangan yang jelas.
Justeru, yang menjadi masalah kepada dunia Islam secara umumnya adalah kita kehilangan keterampilan idealisme perjuangan yang membolehkan umat berdiri dengan gagah atau bersemangat jujur mempertahankannya. Idealisme itu mungkin ada, tetapi tidak terampil. Lebih dukacitalah jika ianya tidak ada. Sedangkan umat ini dalam sejarahnya adalah umat pejuang. Bukan soal kekurangan makanan atau pakaian atau tempat tinggal. Namun masyarakat kita khususnya golongan muda kekosongan jiwa perjuangan yang membolehnya menjadi salah satu agenda hidup yang berbaloi. Apatah lagi bagi yang bersemangat Islam.
Dalam erti kata lain, umat memerlukan satu perjuangan yang jelas dan ikhlas dari sudut matlamat dan pelaksanaan di bawah kepimpinan dunia Islam yang ada. Tokoh-tokoh dunia Islam pula hendaklah dapat meyakinkan umat ini bahawa perjuangan itu berlangsung dengan penuh makna dan erti. Perjuangan yang terarah dengan kepimpinan yang menghayatinya dan bukan sekadar berfalsafah di atas pentas.
Perjuangan yang akan dapat membentuk masyarakat Islam bersemangat dan setia di belakang kepimpinannya. Kehilangan perkara seperti ini menyebabkan masyarakat Islam hilang kawalan. Bahkan juga mungkin kecintaan kepada negara sehingga ancaman luar atau dalam yang datang terhadap negara-negara Islam kelihatan umat Islam begitu lembap untuk bertindak balas. Sama ada mereka menjadi ‘lembu kenyang’ yang tidak berupaya bergerak atau ‘itik buta’ yang tidak tahu denai yang hendak diikut.
Dunia Islam mungkin ada pemimpin dan slogan perjuangan. Namun jika rakyat muslim yang berdiri di belakang slogan itu gagal merasai bahang idealisme perjuangan maka jiwa perjuangan itu seakan kosong. Atau jika sesuatu kepimpinan gagal menampilkan karisma diri sebagai pejuang umat dalam sesuatu arus maka perjuangan dan slogan perjuangan itu juga akan hambar.
Dahulu umat Islam bersemangat berjuang di belakang Rasulullah s.a.w. Selepas ketiadaan baginda, umat berdiri megah di balakang para khulafa seperti al-Khulafa al-Rasyidun, ‘Umar bin Abdul Aziz dan selain mereka. Demikian panglima-panglima Islam yang gagah berani seperti Khalid al-Walid, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah, ‘Uqbah bin Nafi’, Salahuddin al-Ayubi dan ramai lagi. Demikian para ulama yang tangkas memimpin umat ke arah perjuangan ketulenan ilmu seperti Abdullah bin al-Mubarak, para imam yang empat, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab, Rasyid Ridha dan ramai yang lain. Mereka menjadi idola dan memayung perjuangan untuk mengembalikan umat cemerlang dengan panduan al-Quran dan al-Sunah. Tampil gagah berani membetul keadaan umat luaran dan dalaman. Slogan dan pelaksanaan mereka jelas dan seiras. Mereka memimpin arus pembaikan atau perubahan atau tajdid pada zaman mereka. Mereka menjadikan umat terarah. Umat mengenang mereka disebabkan keikhlasan dan kejujuran mereka terhadap perjuangan.
Memang ada yang menentang sekalipun daripada kalangan umat Islam sendiri disebabkan kepentingan diri atau hasad dengki. Namun akhirnya yang dikenang oleh sejarah adalah yang jujur dan ikhlas yang telah dipersembahkan.
Malangnya, dunia Islam hari ini seakan kontang dari wira atau pejuang yang boleh melunaskan kehendak jiwa insan muslim yang ingin berjuang. Apatah lagi dalam keadaan umat yang ditindas serta kemunduran minda dan benda yang sedang terjadi dalam tubuh umat ini. Terpinga-pingalah umat ini mencari wira. Maka sesiapa sahaja yang muncul sebagai wira sekalipun atas pencalonan media Barat akan dipuja walaupun mereka tidak kenal pasti wira-wira itu. Maka tidak hairan jika ada yang memuja Bin Ladin, Saddam Hussain atau Ahmadinejad. Sehingga gambar mereka ditampal di baju walaupun si pemakainya apabila ditanya hanya tahu menjawab ‘dia lawan Amerika’.
Sementara yang berperwatakan bacul tidak dianggap wira sekalipun berada di puncak kuasa, hartanya mewah dan mukanya lawa atau gambarnya dikempen merata-rata. Keadaan ini akan berterusan selagi agenda perjuangan umat tidak disusun dan garis panduan langkah perjuangan umat tidak diatur agar jelas dan mampu membangunkan semangat.
Ketandusan
Sebenarnya, dunia Islam ketandusan pemimpin yang dicintai bukan kerana harta dan kuasanya tetapi kerana kewibawaan, pemikiran, kepimpinan, amanah, ketulusan jiwa dan segala ciri kepemimpinan yang dimilikinya. Sedangkan hanya sifat-sifat ini yang mampu membentuk pengikut yang setia, jujur, terurus dan terarah.
Seperti acuan, begitulah hasilnya. Demikian Allah sifatkan ciri-ciri kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. yang melunakkan jiwa para pengikut baginda: (maksudnya) Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.), yang sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman (surah al-Taubah, 128).
Namun, jika kepimpinan itu hanya berteraskan kuasa dan harta maka yang muncul hanyalah manusia bermuka-muka lagi munafik. Mengampu kerana harta dan kuasa, dan menghina apabila segalanya hilang. Pengikut bagaikan buih di air yang tidak mempunyai pendirian. Allah mencerita Ashab al-Kahf yang lari ke gua kerana memikul beban perjuangan dengan firmanNya: Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lain bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran. Inilah golongan muda. Inilah umat hakiki. Mereka sentiasa bersemangat, namun terarah disebabkan matlamat yang jelas dan hubungan erat antara perjuangan di bumi dan amanah dari langit.
Justeru, kepimpinan dunia Islam perlu meletakkan asas dan contoh yang amat jelas bagi perjuangan Islam. Cita-cita Islam hendaklah jelas pada slogan, huraian dan pelaksanaan. Bukan nama Islam yang penting, tetapi kejelasan matlamat bagi umat yang beriman. Sehingga umat secara umum sedar bahawa memperjuang cita-cita bersama kepimpinan dunia Islam adalah ibadah yang dituntut, jihad yang mendapat pahala.
Kejayaan mencapai cita-cita tersebut bererti memuliakan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Jika asas ini gagal diletakkan secara jelas, bererti matlamat cita-cita Islam yang sebenar gagal dimiliki oleh masyarakat Islam. Jika matlamat asas gagal, penampilan Islam yang merupakan terjemahan hati nurani kepimpinan juga akan kelihatan samar dan kurang jelas. Lantas, rakyat muslim tiada hala tuju sebenar berkaitan agama. Maka tidak mustahil jika mereka tertarik dengan pelbagai kempen perjuangan Islam yang lain, tanpa mereka mampu menilai benar atau salah. Bahkan sebahagian perjuangan itu jelas mencemarkan Islam akhirnya.
Ini kerana kempen kebatilan yang tersusun dan berketerampilan itu lebih menarik perhatian manusia dari kempen yang benar namun samar-samar dan tidak tertonjol arah panduannya. Maka tidak pelik jika dalam dunia Islam ramai golongan agamawan atau rakyat yang mendekati agama kurang berdamping dengan para pemerintah.
Sebaliknya, ramai lebih suka persatuan atau jemaah yang tidak bersama pemerintah atau kurang mesra dengan pemerintah disebabkan kegagalan kebanyakan para pemerintah dalam dunia Islam meletakkan idealisme yang jelas. Bagi mereka kebersamaan dengan pemerintah seakan hanya memudarkan idealisme perjuangan.
Selagi pemerintah dunia Islam tidak menyembuhkan diri dengan suntikan idealisme Islam yang jelas dan kukuh maka selagi itulah semangat Islam umat gagal untuk ditawan. Para ulama yang matang dan mantap hendaklah membantu para pemerintah muslim meletakkan kejelasan idealisme ini. Tokoh-tokoh Islam yang berkarisma hendaklah memandu para pemerintah dunia Islam. Kewujudan sebahagian tokoh agama pemerintah yang tidak berpotensi, bahkan sekadar memenuhi jawatan hanya menggelapkan lagi idealisme Islam yang patut ditonjolkan. Jika para pemerintah telus dengan cita-cita Islam, maka proses membangunkan wajah perjuangan Islam di dunia Islam akan kembali segar, maka suara umat akan terarah dan kesetiaan mereka pula akan terserlah.
The King and U
2 days ago