24/02/2008 - Di mana hendak diperoleh teman sejati?

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

ANTARA kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar.

Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda. Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar diperoleh secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman. Sabda baginda: Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata?

Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatupadukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana (surah al-Anfal: 63). Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan ajaiban. Mereka hapuskan dalam diari hidup perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah.” Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Sama ada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagi-Nya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraisy yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan – ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu.” Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku.” Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan Rasul-Nya. Alangkah indahnya suasana ini. Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredaan-Nya. Mereka menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa- apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang- orang yang beruntung. Adapun orang- orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (surah al-Hasyar 8-10). Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan berasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat. Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas-menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredaan itu dicapai dengan sering tolong- menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada hari kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?” Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta-mencintai dengan roh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita.” Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita (hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah. Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mi’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w. menyebut: Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah (riwayat al- Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Cerita

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan. Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama Tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti sama ada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan Tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar dicari. Bukan perniagaan atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan Rasul-Nya maka akan menjadi sangat rakus, biadab, penuh kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh kemunafikan. Kepentingan diri masing-masing kadangkala bagai Tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh Tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan. Firman Allah dalam surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuan-Nya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi para pengikutnya, lalu mereka hilang apabila kuasa tiada lagi. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu bersalaman. Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda. Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta. Jika anda hidup dalam iklim sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah reda, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan. Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa (surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman sejati.

17/02/2008 - Pilihan raya: Antara calon dan keperluan rakyat

Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

SUDAH beberapa hari Parlimen kita dibubarkan. Teka-teki tarikh pilihan raya sudah berhenti. Apa yang sedang panas diperkatakan adalah teka-teki siapa calon-calon yang bakal ditempatkan oleh pertubuhan-pertubuhan politik yang akan bertanding.

Ada insan-insan yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan mimpi gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tetapi ingin memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka. Sama ada tangan itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuhan politik, atau rakyat yang akan mengundi nanti.

Saya amat tertarik dengan surat Sayidina Abu Bakr al-Siddiq yang mengandungi wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau yang ketika itu teramat uzur. Beliau meminta Sayidina ‘Uthman menulis untuknya seperti berikut: “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr bin Abi Quhafah pada waktu terakhir kehidupan di dunia dan sedang keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya di akhirat dan sedang masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang kafir akan beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini ‘Umar bin al-Khattab.

Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak akan melewatkan sebarang kebaikan untuk Allah (keredaan-Nya), Rasul-Nya, agama-Nya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar) berlaku adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia mengubahnya (kepada tidak adil), maka setiap orang akan menanggung dosa yang telah dilakukannya.

Aku bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui yang ghaib (keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam ‘alaikum warahmatullah.” (Ibn Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr). Surat ini menggambarkan betapa Sayidina Abu Bakr sedarkan dirinya dan kita semua bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan rakyat mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.

Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat. Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.

Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sekadar meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi kesannya amat besar terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan kekacauan sebuah masyarakat.

Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin atasan yang membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau rakyat bawahan yang akan mengundi, maka hadis berikut patut direnungi: Sabda Nabi s.a.w.: Ada kalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan keredaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Ada kalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. (Riwayat Malik dalam Muwata). Demikianlah pemilihan dan pengundian, walaupun bukan ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa kesan yang teramat besar.

Kepimpinan

Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat kepimpinan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memastikan agar calon-calon yang diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi kenyataan, bukan sekadar slogan. Ya, rakyat juga sudah ramai yang bijak dan tahu menilai.

Bukan masa lagi sekadar berbangga dengan jenama parti, sedangkan wakil atau pemimpin yang dilantik tidak mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival umat. Kualiti seseorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur atau latar pendidikan semata, ‘muka lama’ atau ‘muka baru’.

Sebaliknya, seperti yang selalu saya sebutkan hendaklah berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti diajar al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas. Sementara al-Amanah adalah nilai takwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah (surah al-Qasas: 26).

Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w. dan meminta baginda menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat membimbing mereka. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang amanah, bahkan benar-benar amanah. Maka para sahabat Nabi s.a.w. pun tertunggu-tunggu siapakah yang dipilih.

Lalu baginda bersabda: Bangunlah! Wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Lalu Abu ‘Ubaidah pun bangun dan baginda pun bersabda: Inilah orang yang amanah bagi umat ini (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ya, Abu ‘Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai insan Muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengetepikan kepentingan diri.

Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran kegemilangan ketika dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab. Hidup dalam penuh kezuhudan dan menyebarkan keadilan untuk rakyat. Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata – pada umumnya – dalam hal ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar mengutuskan atau mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini hanyalah yang amanah.

Hanya yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya. Sabda Nabi s.a.w.: Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lain baginda: Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum Muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia menipu mereka melainkan Allah haramkan baginya syurga (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana belum tentu gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan amanah. Amanah adalah sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam kehidupan insan, bukan pada gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan kita mengatasi nama dan gelaran tetapi ciri dan kewibawaan.

Saya tidak mahu mempersoalkan ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Kepimpinan bukan macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin bertukar selera. Bukan tomyam atau sup atau mi bandung. Kepimpinan soal keadilan dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan tanpa penyelewengan.

Jika ‘muka lama’ terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredaan Allah dan Rasul-Nya, memajukan minda dan harta, menunaikan tuntutan dunia dan akhirat maka dia layak meneruskannya.

Apa ertinya ‘muka baru’ jika dari awal sudah ada potensi negatif. Namun jika ‘muka lama’ terbukti menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah peluang untuk dibarukan ‘muka’ seperti itu. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. (Surah an-Nisa’ ayat 58). Sesiapa yang memiliki ciri-ciri yang menjadikannya layak memegang kuasa, maka diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru. Para al-Khulafak al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun rakyat menangisi kematian mereka sebagai tanda khidmat mereka masih diperlukan. Malangnya di kalangan kita, kadangkala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat menangis kerana khidmat mereka mengundang kesusahan.


Kepakaran

Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan teramat penting. Namun jika tidak diiringi perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang diserahkan, maka pelbagai kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku. Kita sudah letih dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang tidak habis-habis. Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus lumus dengan laporan-laporan seperti itu.

Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.

Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak membuat pemilihan secara sembarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w. menyebut: Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan Rasul-Nya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan.

Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu dilantik ‘Ali dan diserahkan bendera kepadanya (riwayat Ibn Majah, sahih). Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran hebat seperti Profesor atau Dr. berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.

Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan.

Seperti yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w. sayangkan Abu Zar seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim. (Riwayat Muslim). Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w. yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga sekalipun tidak layak? Kita mengkhianati amanah.

Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendukung cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.

Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan bukan retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan diri sendiri. Jika sekadar janji, ramai yang boleh berjanji pelbagai perkara.

Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat pelbagai gelagat orang pelbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan pelbagai.

Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu diingatkan, pilihan raya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang berasa dia boleh berbohong, atau memaki hamun, menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.

Sabda Nabi s.a.w: Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat (riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan buah fikiran secara matang.

10/02/2008 - Pengikut dan ikutan: antara tuah dan padah

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

SAYA percaya setiap pengikut dan yang diikuti akan tersedu dan merenung panjang mengenang kemuncak masa hadapan iaitu hari akhirat apabila membaca firman Allah dalam al-Quran: (maksudnya) Ketika mereka yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutnya (para pengikut), dan mereka semua melihat azab (keperitannya), dan terputuslah segala hubungan di antara mereka.

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah mereka yang menjadi pengikut: seandainya kami mempunyai ulangan (peluang kembali ke dunia) maka kami akan berlepas diri daripada mereka seperti mana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)! Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka menjadi penyesalan kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka (surah al-Baqarah: 166-167).

Begitulah gambaran yang Allah nyatakan tentang salah satu suasana hari pembalasan. Ramai yang menjadi ikutan atau yang mengumpul pengikut akan berlepas diri daripada para pengikut mereka kerana ketakutan yang amat sangat melihat azab Allah yang disediakan disebabkan dosa dan kezaliman yang dilakukan bersama dalam episod ‘mengikut pemimpin’ di dunia ini. Demikian para pengikut akan benar-benar menyesal kerana mengikut mereka yang membawa kepada dosa, kezaliman dan penyelewengan, lalu mengimpikan jika mereka diberi peluang sekali lagi dalam kehidupan dunia, bagi membolehkan mereka berlepas diri terlebih dahulu agar tidak mengikut ikutan yang seperti itu yang hanya membawa penyesalan di hadapan Allah.

Ayat al-Quran tersebut merangkumi segala jenis ikutan antara pemimpin dan pengikut sama ada dalam kefahaman agama, politik dan segalanya yang membawa penderhakaan kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya. Bukan semua pemimpin yang dipuja pengikut mereka – dalam apa aliran sekalipun, akan terus dipuja pada hari kiamat. Bahkan, entah berapa ramai para pemimpin atau mereka yang menjadi ikutan akan menolak dan menafikan pengikut mereka kelak. Demikian juga para pengikut, akan menyesal kerana menjadi pengikut. Walaupun pada hari ini ramai pemimpin yang ingin cari pengikut dan berbangga dengan para pengikut mereka lalu memberi jaminan yang pelbagai. Sementara ramai pula yang suka mendakwa kononnya menjadi pengikut setia sampai bila-bila. Namun di hari pembalasan ramai pemimpin dan pengikut yang berlepas diri dan memusuhi antara satu sama lain. Inilah yang akan berlaku jika kita mengikut seseorang tanpa menilai tindakan yang dilakukan. Tidak merenung sejauh mana keselarasan tindakan orang yang menjadi ikutan kita dengan kebenaran yang diputuskan oleh wahyu menerusi al-Quran dan sunah. Maka janganlah taksub atau terlalu berbangga dengan ikutan kita sehingga tidak mengguna akal untuk berfikir.

Berapa banyak tragedi kesesatan yang berlaku atas nama agama disebabkan sikap taksubkan pemimpin tertentu oleh pengikut yang bertaklid buta. Sehingga menerima ajaran yang salah dan menyeleweng dari syariat Allah. Ini seperti ajaran Ahbash yang ekstrem yang cuba dikembangkan di Malaysia oleh pengikut mereka sekarang ini. Mereka mendakwa tidak sah bersolat di belakang imam Masjidilharam dan masjid Nabi s.a.w. Demikian menyelewengnya ajaran tersebut dek taksubkan pemimpin, seorang lelaki habsyi ekstremis mazhab bernama Abdullah bin al-Harari. Pun begitu ada yang mengikutnya. Golongan tarikat yang menyeleweng juga demikian. Slogan mereka: “Jadikanlah diri kamu di hadapan guru atau tok syeikh kamu bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya”. Maksudnya tidak boleh persoal atau pertikai, terima sahaja. Dalam salah satu buku mereka berjudul Hakikat Thariqat Naqsyabandiah dalam bab ‘Adab Murid Kepada Syeikh’ disebutkan: “Jangan menentang atau menyangkal sesuatu yang diperbuatnya walaupun cukup nyata (bercanggah dengan syarak – pen) dan jangan menanyakan kenapa diperbuatnya sedemikian. Sebab seseorang yang mengatakan kepada syeikhnya “kenapa” atau “apa sebab” ia tidak akan beruntung selama-lamanya.” (H.A Fuad Said, Hakikat Thariqat Naqsyabandiah, m.s 107, Ipoh: Pustaka Muda). Inilah penyelewengan dalam hidup dan korbannya bukan sedikit jua. Firman Allah: (maksudnya) Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya (surah al-Isra’: 36).

Politik

Demikian juga dalam politik, betapa ramai pengikut yang mengikut secara membabi buta hanya kerana dia ‘pemimpin parti saya’ maka apa sahaja yang dia kata saya akan terima. Inilah sikap penyokong yang membawa rebah. Penyokong yang setia buat seseorang pemimpin ialah yang menolong untuk kebaikan, dan menegur apabila berlaku kesilapan dan kesalahan. Manusia yang mengikut segala-gala tanpa berfikir dengan akal yang matang bukanlah golongan ulul albab seperti yang pernah saya huraikan. Golongan ulul albab adalah kelompok manusia yang dengan akal yang matang memilih cahaya kebenaran mengatasi segalanya. Firman Allah: (maksudnya) Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang dahsyat, maka bertaqwalah kepada Allah wahai Ulul Albab yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan. (Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan mereka yang beriman dan beramal soleh – dari kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk) (surah al-Talaq: 10-11).

Di Perlis, kempen kepada masyarakat ulul albab akan dilancarkan. Memasyarakatkan syiar ulul albab bukan sekadar mewujudkan pusat pengajian tinggi atau agama. Sebaliknya, sifat-sifat ulul albab yang disebut oleh al-Quran hendaklah diterapkan di semua peringkat masyarakat agar mereka mengguna akal secara waras dan matang dalam membuat penilaian menentukan apa-apa keputusan dalam hidup. Dalam erti kata lain, prinsip-prinsip ilmu yang mematangkan akal hendaklah menjadi teras pegangan masyarakat muslim. Dengan sendirinya segala bentuk negatif; mengikut secara membuta tuli, berita bohong, hidup tanpa prinsip, fitnah-memfitnah, hasad atas kemampuan orang lain, khurafah, tahyul, perangai yang tidak matang, pembaziran waktu dalam hidup dan segala bentuk yang melambangkan kebodohan akan dihambat dan diburu keluar dari masyarakat. Gantiannya; penilaian yang adil, jiwa yang mantap dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya, berpegang kepada dalil dan bukti yang benar, hidup berteraskan hikmah dan kebijaksanaan, menumpukan hidup kepada perkara yang berfaedah, hati nurani yang sejahtera sesama muslim, mengambil pengajaran dari setiap peristiwa hidup dan segala ciri-ciri lain yang merupakan perlambangan kepada ketulusan ilmu pengetahuan dan kematangan minda. Pendek kata, dibangkitkan suasana yang sentiasa ceria dengan syiar ilmu, suasana ilmu dan penghayatan ilmu. Di situlah lahirnya masyarakat ulul albab.

Jika al-Quran menempelak golongan yang mengikut pemimpin mereka dalam segala perkara tanpa penilaian, di sana ada lagi golongan yang lebih buruk daripada itu. Iaitu mereka yang menerima pemimpin atau idola dalam perkara salah, atau yang mereka gemari sahaja, atau dalam keadaan biasa, tetapi menolaknya apabila dia menyeru kepada kebenaran atau perkara yang lebih penting dan baik untuk mereka ikut. Lihatlah Quraisy, mereka menyanjungi Nabi s.a.w. sebelum baginda mengisytiharkan diri menjadi Rasulullah. Apabila baginda mengisytiharkan kebenaran dan mengajak mereka mengikutnya, mereka menolak bahkan menentang dan berperang dengan baginda. Maka ketika baginda menyeru di Bukit Safa, penduduk Mekah berkumpul di hadapan baginda, lalu baginda bersabda: Jika aku memberitahu kamu semua bahawa sepasukan kuda di sebalik lembah ini akan menyerang kamu, apakah kamu mempercayaiku? Jawab mereka: “Ya, apa yang kami tahu engkau hanya berkata yang benar.” Sabda baginda: Sesungguhnya aku pemberi amaran bahawa di hadapan kamu azab yang perit (hari kiamat). Kata Abu Lahab: “Celaka engkau sepanjang hari, hanya kerana ini, engkau mengumpulkan kami” (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Inilah sikap yang buruk. Mereka memuja dan memuji Nabi s.a.w. serta mempercayai segala cakapan baginda, malangnya pada hari yang lebih patut untuk mereka ikut dan mempercayainya, mereka meninggalkannya.


Kebenaran

Abdullah bin Salam ialah tokoh besar ulama Yahudi pada zaman Nabi s.a.w. Apabila beliau melihat dan bertanya Nabi s.a.w. beberapa soalan maka jelaslah kepada beliau kebenaran Nabi s.a.w. lantas beliau menganut Islam. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak yang paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenaiku”. Maka Rasulullah pun menyembunyikannya dan menghantar orang memanggil golongan Yahudi lalu mereka pun datang. Rasulullah bertanya mereka: “Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kamu?" Jawab mereka: “Dia orang yang terbaik di kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin kami, anak pemimpin kami. Ulama kami, anak ulama kami.” Sabda Rasulullah: Apakah jika dia menganut Islam, kamu akan turut menganut Islam? Jawab mereka: “Allah lindunginya dari perkara tersebut.” Sabda Rasulullah: Wahai Abdullah bin Salam, keluar dan beritahulah kepada mereka. Abdullah bin Salam pun keluar dan berkata: “Aku menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah.” Lantas mereka berkata: “Dia orang yang paling jahat di kalangan kami, anak orang yang paling jahat. Orang yang paling jahil di kalangan kami dan anak orang paling jahil.” Kata Abdullah bin Salam: ”Aku telah beritahu wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta.” (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari).

Inilah sikap buruk sesetengah pengikut yang meninggalkan pemimpinnya kerana pemimpinnya inginkan kebaikan. Sepatutnya pemimpin ditinggalkan apabila dia mengajak kepada kesalahan. Namun golongan ini meninggalkan pemimpin apabila dia menyeru kepada kebaikan. Sikap inilah yang menyebabkan ramai pemimpin takut untuk berubah bagi mematuhi ajaran Allah bimbang ditinggalkan pengikut yang terbiasa dengan perangai ‘fesyen lama’. Pengikut jenis ini takut kehendak ikutan kepada kebaikan akan mengorbankan kepentingan mereka yang dibina atas keburukan. Maka tidak hairan jika ada pengikut yang bimbang apabila pemimpinnya bercakap tentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai lagi proses mengislahkan masyarakat. Pengikut yang berkepentingan mula gusar, takut habuan atau kedudukan terjejas. Demikian sesetengah artis bimbang berubah kepada yang lebih positif, takut ditinggalkan peminat. Lalu mereka mengorbankan kebaikan dan kebenaran.

Saya ingin memuji Menteri Besar (MB) Kelantan yang menasihati partinya baru- baru ini agar jangan memaki hamun orang lain, memfitnah atau mengungkit keburukan peribadi ketika berkempen pilihan raya. Itu bukan cara Islam nasihatnya. Saya percaya nasihat tokoh politik dan agama itu melepasi sempadan kepentingan diri dan parti. Nasihat itu bersifat agama dari orang yang mempunyai latar agama. Walaupun sebenarnya, kita telah lama bermimpi agar nasihat ini lahir sejak sekian lama dahulu secara terbuka. Namun setelah entah berapa ramai yang menjadi mangsa akhirnya, nasihat ini lahir – alhamdulillah. Telah ramai yang dikorbankan maruahnya kerana pilihan raya. Harga diri orang lain difitnah murah atau dibongkar tanpa bukti hanya atas nama kehendak kepada ‘kerusi’. Caci maki seakan menjadi hiasi diri sebahagian besar dari penceramah politik. Ia mungkin dilakukan oleh pelbagai parti politik. Namun amat buruk jika dilakukan dengan menggunakan nama agama. Nasihat tokoh berkenaan patut dipatuhi oleh pengikut partinya, juga orang lain. Bukan sedikit yang menjadi mangsa sesetengah penceramah parti berkenaan. Walaupun ada yang tidak berakhlak sedemikian. Namun bukan sedikit yang seakan menghalalkan yang haram dengan dicemari maruah orang lain dengan berselang-seli nas al-Quran. Maha Suci Allah dari menurunkan kitab-Nya untuk dijadikan bahan makian. Saya sendiri semasa awal kemunculan sebagai mufti bukan sedikit dimaki di pelbagai pentas dan laman web rasmi mereka. Bahkan salah seorang tokoh mereka mengkafirkan saya secara terbuka. Padahal saya bukan ahli politik. Kaedah sesetengah mereka senang; sesiapa yang tidak sama dengan kita, maka dia musuh kita. Apabila dia musuh kita, halallah apa sahaja kita hendak kata. Nasihat MB Kelantan itu wajar mereka patuhi. Janganlah kita hanya mengikut apa yang berselera dengan nafs lalu kita tinggalkan nasihat baik pada waktu yang amat diperlukan. Watak itu seakan watak pengikut Abdullah bin Salam.

Maka setiap kita, sama ada menjadi pengikut atau orang yang diikut. Jika kita menjadi ikutan orang, pastikanlah jangan kita membawa manusia ke neraka. Juga kita mesti membezakan antara pengikut yang membawa tuah dan pengikut yang membawa rebah. Bawalah manusia ke dataran keredaan Allah agar kita dan pengikut kita kekal hubungan dunia dan akhirat. Jika kita menjadi pengikut, janganlah jadi pengikut yang membabi buta. Bezakan antara arahan pemimpin yang membawa faedah dan yang membawa musnah. Jika mereka membawa kita ke neraka, maka berlepas dirilah dari mereka di dunia sebelum kita menyesal. Jika mereka memberi arahan yang membawa kebaikan, maka tolonglah mereka.

03/02/2008 - Jadilah Ulul Albab, bukan pemilik fikiran lembap

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Istilah Ulul Albab adalah istilah yang dipelopori oleh al-Quran al-Karim. Ia bukan cetusan idea mana-mana tokoh ulama, atau penceramah motivasi atau pemimpin politik. Maka tidak boleh sesiapa yang ingin menggunakan istilah-istilah al-Quran membuat tafsiran tersendiri yang tersasar daripada maksud Penurun al-Quran iaitu Allah azza wa jalla. Ada pelbagai syarikat, jenama, pusat, institusi, cuba menggunakan nama ini. Itu bukanlah kesalahan jika mereka menghayati ajaran al-Quran yang agung. Namun malangnya apabila ada yang cuba mentafsirkan perkataan, atau memulas-mulas istilah agar selari dengan kehendak masing-masing. Maka wajah al- Quran yang kudus dan murni sering dimanipulasi oleh kepentingan manusia.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut dalam salah satu ucapannya pada tahun 2006 tentang generasi Ulul Albab, tidak ramai yang memberikan sambutan sewajarnya. Kecuali di Terengganu kedengaran slogan Ulul Albab itu berkumandang dan diberi perhatian yang baik. Saya tidak pasti kenapa. Barangkali masyarakat kita tidak cukup ‘mesra’ istilah atau slogan yang termuat dalam al-Quran. Atau mereka terbayang perkataan ‘Ahmad Albab’ yang dipopularkan oleh P.Ramlee dalam filemnya Ahmad Albab sehingga menenggelamkan istilah al-Quran yang agung ‘Ulul Albab’. Ataupun mungkin penekanan dan kempen ke arah menghayati maksud Ulul Albab ini tidak cukup kuat seperti kempen kepada slogan- slogan lain. Apapun saya sukakan slogan ini melebihi slogan-slogan baru lain yang sering dicetuskan dalam masyarakat. Ini kerana Ulul Albab adalah istilah yang dipelopori oleh al-Quran. Istilah-istilah baru yang lain itu kadangkala memberi ruang kepada banyak pihak untuk mempertikaikannya atau berlaku salah faham terhadapnya. Adapun kempen menghayati istilah ini tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang muslim kerana ianya adalah kempen kepada menghayati al-Quran.

Perkataan ‘Ulul Albab’ disebut dalam al- Quran sebanyak 16 kali. Ahli-ahli tafsir hampir keseluruhan bersepakat bahawa perkataan Ulul Albab yang digunakan oleh al-Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Apabila kita menyebut tentang pemikiran yang matang dan berkemampuan membuat penilaian yang betul bukanlah semestinya bermaksud pemikiran mereka yang berkelulusan pusat pengajian tinggi. Walaupun itu satu langkah untuk mematangkan fikiran, namun entah berapa ramai yang berkelulusan tinggi tetapi berakal dangkal. Maka membina golongan Ulul Albab bukan sekadar membanyakkan universiti atau pondok, atau penghafal buku dan matan tanpa kematangan fikiran. Sebaliknya adalah dengan mewujudkan persekitaran negara dan masyarakat, dasar dan falsafah yang membina akal yang matang sehingga dapat membezakan antara yang benar dan salah, antara yang buruk dan baik, antara yang berfaedah dan sia-sia dan seterusnya. Lihat Allah sifatkan golongan Ulul Albab ini; (maksudnya): oleh itu gembirakanlah hamba-hamba- Ku. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab (al-Zumar: 17-18).

Menelan

Maka tidak termasuk dalam golongan Ulul Albab mereka yang menelan apa sahaja berita yang didengar dan khabar yang disampaikan tanpa membuat penilaian yang baik. Bukan dari golongan Ulul Albab masyarakat yang dipenuhi berita palsu, khabar angin, fitnah-memfitnah dan segala keburukan lain. Juga bukan Ulul Albab masyarakat yang menelan apa sahaja khabar yang termuat dalam media dan Internet tanpa mampu membuat penilaian yang betul. Bahkan saya kata; tidak menjadi Ulul Albab mereka yang mendengar ceramah di masjid atau surau jika menelan semua yang diceramahkan itu tanpa menilai dengan nilaian yang betul dan matang. Bukan sedikit juga pandangan atau pendapat yang dibuat atas nama agama atau oleh orang yang bergelar agama tetapi tidak menepati agama. Bukan sedikit jua mereka yang memakai gelaran ‘pensyarah pengajian tinggi’ atau ‘pakar itu dan ini’, namun dalam banyak perkara mereka hanya mengikut tanpa berfikir, menurut tanpa memahami. Justeru itu golongan Ulul Albab hanyalah “mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik”.

Dalam membentuk insan yang berkualiti kita memerlukan beberapa rukun utama. Pertamanya: sukatan pengajaran atau pendidikan yang memenuhi hala tuju yang kita ingini. Kedua: guru atau pembimbing, sama ada ibu bapa, pemimpin politik atau guru formal yang diamanahkan. Mereka ini hendaklah menghayati secara amal dan faham terhadap hala tuju pembentukan insan berkualiti ini dan mampu membentuk rakyat atau para penuntut mereka. Ketiga: suasana persekitaran yang memberangsangkan agar segala ajaran yang baik dapat dihayati dengan sepenuhnya. Ini kerana persekitaran memainkan peranan penting mempengaruhi jiwa dan kelakuan manusia. Ertinya dalam negara ini, jika modal insan berkualiti ini hendak dibentuk kita memerlukan kejelasan sukatan dan hala tuju masyarakat kita. Ke arah mana hendak kita bentuk sebenarnya? Kedua: para guru dan pemimpin di setiap peringkat hendaklah berkemampuan menyampaikan dan menghayati hakikat pembentukan insan yang bertamadun ini. Ketiga: persekitaran kita hendaklah dibersihkan dari nilai-nilai kebodohan, khurafat dan contoh-contoh buruk yang ditabal menjadi baik. Di situlah kita inginkan peranan para pemikir soleh yang menggariskan hala tuju, pemimpin yang terdiri dari golongan Ulul Albab dan media yang membentuk persekitaran yang baik lagi harmoni. Jika tidak, kempen ke arah membentuk modal insan hanya menjadi kempen kosong. Sekalipun sekolah dan universiti ditambah, namun hasilnya tetap tidak membawa kepada masyarakat berprinsip, damai, harmoni lagi sejahtera. Jika kita ingin berkempen ke arah generasi Ulul Albab, maka segala hala tuju, pemimpin dan guru dan persekitaran kita hendaklah melambangkan kematangan fikiran yang mampu membawa kita menemui hakikat kebenaran seperti dikehendaki Tuhan.

Apakah kita akan berjaya membentuk generasi Ulul Albab jika artis-artis kita asyik menggayakan dan mencontohi artis Barat tanpa sempadan akal dan agama? Segala macam gaya pelik lagi songsang cuba dibawa ke dalam masyarakat kita yang mempunyai latar agama dan budayanya yang tersendiri. Aksi-aksi tidak masak yang melambangkan kedangkalan atau kebudak-budakan yang cuba ditiru secara ‘mengkhinzir buta’ dari gelagat artis-artis Barat. Ini seperti dibuat oleh salah seorang penyanyi baru-baru ini. Lalu para peminat yang tidak hanya gilakan keseronokan semata meniru dan mempertahankannya.

Nilai-nilai yang negatif cepat sahaja berkembang dalam masyarakat, padahal kebanyakan kita mempunyai latar pendidikan yang bukan sembarangan. Barangkali pengajian kita lebih banyak menegaskan soal penghafalan fakta, dan kurang pula membentuk kemampuan menilai fakta secara matang dan berprinsip. Lalu ramai yang hanyut dalam ‘cakap orang’. Al-Quran dalam mensifatkan golongan Ulul Albab menyatakan: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengagumkan engkau. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya (surah al-Maidah: 100).

Di atas kelemahan minda analisis sesetengah masyarakat Muslim, maka tidak hairan jika dalam keadaan kita ingin membentuk pemikiran matang dan bertamadun tiba-tiba media kita menyiarkan cerita para bomoh meramalkan tentang Adik Sharlinie yang hilang. Kita amat bersimpati dengan kehilangan Adik Sharlinie dan mendoakan agar Allah mengembalikannya dengan selamat. Namun penggunaan bomoh yang seperti itu amat mendukacitakan. Apabila saya melihat mereka menggunakan burung yang dilepaskan ke udara dalam mencari adik berkenaan, mengingatkan saya tentang amalan masyarakat jahiliah dahulu yang menggunakan burung untuk meramalkan nasib baik dan buruk mereka. Apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda melarang perbuatan jahiliah ini dengan berkata: Kekalkan burung pada sarangnya (riwayat Abu Daud dan al-Hakim dalam al- Mustadrak, dinilai sahih oleh al-Zahabi). Kata al-Imam al-Syafii (meninggal 204H): “Dahulu golongan jahiliah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas anggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: Kekalkan burung pada sarangnya. (Abu Nuim al-Asfahani, Hilyah al-Auliya, 9/95, Beirut: Dar al-Kitab al- ‘Arabi). Ertinya Nabi s.a.w. berkempen membuang pemikiran dan karut seperti itu dari masyarakat jahiliah. Jahiliah bermaksud bodoh iaitu dari perkataan jahil. Setelah seribu empat ratus tahun berlalu, tiba-tiba kebodohan itu muncul semula dengan liputan yang meluas di dada-dada media dalam sebuah masyarakat yang ingin membina tamadun. Kita kadangkala bukan sahaja mengutip perangai jahiliah, tetapi khurafatnya sekali. Saya selalu berkata; drama kebanyakan bomoh hampir sama. Heronya ialah bomoh itu sendiri, penjahatnya adalah hantu dan sesiapa yang berkait dengannya. Sementara mangsanya adalah pengadu yang akan membayar ‘mengkerasnya’. Maka apa penyakit pun, jika kita berjumpa bomoh, kebanyakannya akan menuduh hantu itu dan ini. Jika anda menghidap ketumbuhan dalam perut yang disahkan oleh doktor pakar, anda bertemu bomoh, dia akan beritahu anda hantu sedang menggigitnya. Sehingga saya rasa mungkin hantu-hantu juga banyak yang tertekan dan kecewa kerana mereka asyik difitnah oleh bomoh sekalipun dalam perkara-perkara yang mereka tidak lakukan.

Saya bukanlah menafikan kewujudan jin atau syaitan dan kemungkinan mereka melakukan kejahatan kepada insan-insan tertentu. Tetapi pemikiran yang berlebih-lebihan hanya akan memandulkan akal kita dan menjadikan otak seseorang sempit dan boleh membawa kepada kekarutan. Namun masyarakat kita masih tidak mempunyai nilai kematangan akal yang tinggi dalam memastikan minda umat kita ini membangun. Majalah-majalah keluaran tempatan yang dijual secara meluas di sana sini kadangkala sesetengahnya tidak lebih bagaikan sampah sarap yang cuba dilonggokkan dalam pemikiran generasi kita. Kisah-kisah hantu dan sensasi artis mendapat sambutan dalam masyarakat kita. Sementara bahan-bahan ilmiah disambut hambar oleh segelintir manusia sahaja. Demikian perfileman kita. Cerita-cerita yang merendahkan nilai akal serta ala ‘lawak bodoh’ menjadi hidangan yang digemari oleh kebanyakan penonton. Sementara filem yang mempunyai kualiti ilmu dan kaya dengan falsafah yang matang jarang diterbitkan. Atau jika diterbitkan pun akan gagal mendapat sambutan. Mana perginya pendidikan dan kematangan minda yang sepatutnya sentiasa membuat kita memilih yang terbaik, sesuai dengan sikap Ulul Albab. Firman Allah: (maksudnya) Allah memberikan hikmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan Ulul Albab. (al-Baqarah: 269).

Diselewengkan

Saya amat anti apabila mendengar sesetengah penceramah menyebut bahawa dalam agama ini semua yang diterangkan oleh tok-tok guru mesti diterima sahaja, jangan banyak pertikai atau soal. Bahkan mereka mengangkat slogan “barang siapa banyak bertanya itu maka lemahlah imannya”. Akhirnya, sehingga sesetengahnya disesatkan guru-guru tarikat mereka, atau diselewengkan oleh ustaz-ustaz mereka. Punca utama kesesatan kebanyakan manusia ini adalah anggapan bahawa akal perlu dimandulkan tanpa perlu bertanya dalil atau hujah apabila berhadapan dengan golongan agama. Seakan ajaran Islam ini antiakal yang matang yang sentiasa menilai apa yang didengar. Padahal akal yang matang itulah ciri golongan Ulul Albab yang diseru oleh al-Quran. Kata tokoh pemikir semasa Muhammad al-Ghazali r.h: “Aku begitu berang dan marah apabila difahami agama itu sebagai kecenderungan kepada perkara-perkara ghaib yang kabur, atau menuruti perasaan yang tidak pasti. Seakan iman itu pemikiran yang pasif, sementara antiiman pula adalah pemikiran yang aktif. Atau seakan insan mukmin itu tunduk kepada kejahilan, sementara orang lain pula menyingkap penemuan baru dan mencari ilmu pengetahuan. Boleh jadi golongan yang menyandarkan diri kepada agama ini terdiri daripada kalangan yang buruk pemikirannya, atau berpenyakit fitrahnya, namun apalah dosa agama ini sehingga disandar kepada mereka atau mereka pula yang membawa agamanya.” (Muhammad al-Ghazali, ‘Ilal Wa Adwiah, 36, Kaherah: Dar al-Syuruq). Maka jadilah kita golongan Ulul Albab, bukan golongan berfikiran lembap.