26/08/2007 - Jangan lelong agama untuk keuntungan perniagaan

OLEH kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat manusia, maka pelbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai-bagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih perih, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam erti kata lain, menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasul-Nya adalah satu jenayah besar.

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 33 (maksudnya) Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda s.a.w.: Juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antaranya daripada Aisyah, katanya: sabda Nabi: Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak (Riwayat Muslim).

Maka setiap insan Muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.

Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang’ yang menggelarkan diri al- Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah lantas sesiapa berjabat tangan dengannya juga akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi bersabda: Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi.

Maka apabila warga seberang tersebut datang ke negara kita, dia bagai mengiklankan dirinya sebagai jalan untuk sampai ke syurga. Maka orang ramai pun di beberapa masjid di sebelah utara tanah air bangun bersalaman untuk mendapatkan syurga. Meriahlah majlis lelongan syurga tersebut. Maka megahlah warga seberang berkenaan, kerana tangannya seakan pintu kepada syurga dan orang ramai pun dibeli dengan modal hadis palsu tersebut. Apa yang peliknya, kedatangan beliau itu ditaja oleh beberapa pihak yang mempunyai kuasa agama di beberapa buah negeri. Padahal beberapa negeri tersebut begitu sensitif dengan pandangan yang lebih progresif mengenai Islam. Digam penceramah-penceramah muda yang membawa ke arah keluasan minda dan fahaman Islam yang lebih terbuka berdasarkan dalil dan hujah. Malangnya, mereka menaja pula pemikiran yang karut seperti itu. Maka tidak peliklah jika ajaran sesat selalu sahaja muncul dalam masyarakat kita.

Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani: “Hadis musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya.” (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu‘at al-

Islamiyyah). Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Riwayat berjabat tangan Mu‘ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-‘Ilm li al-Matbu‘at,). Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (wafat 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata: “Mu‘ammar adalah pendusta lagi dajal, hadisnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya.” (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi entah berapa ramai sahabat yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain. Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurang-kurangnyanya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.

Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai-bagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi: Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang menghubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitulah manusia, dia sanggup melelong agamanya demi bisnesnya.

Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik- pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai- bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi pernah menjampi penyakit seperti baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan dengan air atau kismis atau apa jua bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi. Baginda tidak menjampi kaum Quraisy agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi akan menjampi telaga zamzam kerana itu sumber air Quraisy ketika itu. Pasti Quraisy akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah. Firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 256-257 (maksudnya) Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang ingkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas yang baginda doakan untuknya: Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran) (Riwayat al- Bukhari). Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, pentafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas 13 tahun. Beliau terus mengambil hadis daripada para sahabat seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu‘az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala‘, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya doa Nabi dimakbulkan Allah, namun melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat Muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat Muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral? Janganlah kita lelong agama kerana bisnes kita.

Menjelang bulan Ramadan, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan Ramadan. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi pernah memberi ingatan: Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang Melayu suka ‘ali babakan’ segala peluang yang diberikan kepadanya.

19/08/2007 - Islam dan kebebasan budaya serta fesyen

DALAM satu majlis kerajaan di Arau, beberapa orang bukan muslim memutuskan tidak menyertainya disebabkan majlis tersebut menetapkan songkok sebagai pakaian rasmi majlis. Mereka merasakan ini seakan menyuruh mereka memakai pakaian Islam sedangkan mereka bukan muslim. Ini sebenarnya hasil dari salah faham mereka terhadap pakaian dan kebudayaan.

Songkok sebenarnya bukan pakaian agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat tidak pernah memakai songkok. Sebaliknya, ia merupakan budaya orang di sebelah India dan kemudian dibawa ke Nusantara. Namun saya tidak begitu terkejut dengan salah faham mereka. Sebabnya, saya pernah menghadiri mesyuarat perbincangan hukum syarak peringkat kebangsaan. Seorang tokoh agama yang dikenali mencadangkan agar orang Islam dilarang memakai baju ceongsam Cina atau kurta India.

Saya amat terkejut dengan pandangan sempit itu. Bayangkan jika itulah hukum Islam, apa akan jadi dengan orang Islam di China dan India? Amatlah berat sebelah Islam ini jika ia mengharamkan ceongsam Cina dan kurta India, tetapi membenarkan baju Melayu.

Padahal kesemua pakaian itu tidak dikenali pada zaman Nabi. Dari sudut sejarah pula, Islam sampai ke China dan India mendahului alam Melayu.

Mereka lupa bahawa antara faktor yang membawa Islam berkembang kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam atau menyebabkan orang salah faham terhadap Islam.

Maka Islam mengakui pakaian, bahasa dan kesenian sesuatu kaum selagi tidak menyanggahi nas-nas al-Quran dan al-sunah. Sebaliknya, jika adat dan kebudayaan itu menjurus kepada unsur syirik seperti amalan tepung tawar dalam masyarakat Melayu, atau tokok tambah dalam agama yang mengelirukan hakikat sebenar Islam, maka ia ditentang dan dihapuskan.

Hal ini jelas dalam hadis-hadis Nabi, antaranya: Daripada Anas bin Malik, apabila Nabi s.a.w. ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi tidak menyanggahi prinsip Islam. Baginda tidak berkeras menolak protokol itu atau tidak mempedulikannya.

Padahal jika Nabi tidak mengikut kebiasaan mereka lalu mereka menolak surat baginda, kerugian hanya balik kepada diri mereka semata. Kedudukan baginda sebagai nabi dan rasul jauh lebih tinggi daripada mereka semua. Namun, baginda berlunak dalam hal yang seperti ini.

Rasulullah juga bersifat fleksibel dalam soal fesyen pakaian selagi tidak melanggari batas syariah. Baginda menggalakkan warna putih, namun hadis-hadis menunjukkan baginda juga memakai warna lain. Baginda memakai berbagai-bagai pakaian dari berbagai-bagai negeri seperti Yemen, Najran, Mesir dan lain-lain. Bahkan dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata: Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai jubah Rom – dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam) – yang sempit kedua tangan bajunya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).

Padahal Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan dunia Barat pada hari ini. Namun jubah Rom atau syamiah tiada kaitan dengan agama berkenaan, ia adalah pakaian bangsa. Lihat apa kata sarjana agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Rasulullah s.a.w. itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya).

“Baginda pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yemen dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun daripada kapas. Maka, bererti sunah Rasulullah dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara berbagai-bagai berdasarkan kepelbagaian negeri.” (Ibn Taimiyyah, Majmu‘ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan). Kata al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) pula: “Petunjuk Nabi dalam berpakaian itu adalah memakai apa yang paling bermanfaat (sesuai) untuk badan, paling ringan dan mudah dipakai dan ditangkalkan.” (Ibn Qaiyyim, Zad al-Ma‘ad, 4/237, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Saya hairan apabila ada orang yang berkempen memakai selipar Rasulullah yang ditemui rupa bentuknya oleh orang kita. Setelah menyemak, reka bentuknya itu tidak pula saya temui dalam hadis-hadis yang sahih. Jika ada sekalipun, itu bukan kempen agama ini.

Rasulullah memakai apa yang terdapat dan mudah pada zamannya. Baginda bukannya tukang kasut yang menentukan reka bentuk seliparnya. Alangkah baiknya jika kita berkempen agar orang Islam memiliki kilang kasut dan menghasilkan pelbagai jenis selipar dan kasut. Bukan sekadar mereka cipta bentuk ganjil tapi produk aslinya di tangan orang lain. Cuma, istimewanya selipar tersebut, jika dipakai di Mekah atau Madinah, kemungkinan untuk hilang itu agak tipis. Sebabnya, hanya orang Malaysia yang memakainya dan orang arab belum lagi tahu bahawa demikianlah rupa paras selipar Rasulullah. Dengan itu mereka tidak memilikinya. Jika mereka ambil, terus dikesan itu barang curian orang kita.

Barangkali itulah rahsia ia di’bisnes’kan kepada jemaah haji kita. Bagi saya, sesiapa yang ingin memakainya, silakanlah. Itu haknya dan selipar memang pelbagai fesyen tetapi jangan dikaitkan dengan agama ini.

Soal fesyen pakaian dan budaya adalah terbuka dengan syarat tidak melanggari prinsip-prinsip syarak seperti pakaian atau perbuatan yang khas hanya untuk penganut agama tertentu selain Islam atau kelompok tertentu yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini seperti pakaian atau perbuatan khas sami atau paderi, atau khas kelompok yang terang-terang menyanggahi Islam seperti pakaian ala perompak atau lanun.

Sabda Nabi: Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan mereka (riwayat Abu Daud, al-Albani menilainya sebagai sahih).

Namun dalam adat dan kebudayaan yang tidak ada kaitan dengan akidah dan percanggahan dengan hukum Allah, al-Quran dalam surah al-A’raf ayat 32-33 menyebut: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah: Semuanya itu adalah (nikmat-nikmat diberi) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) khas (hanya untuk mereka) hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu per satu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perkara-perkara keji, sama ada yang nyata atau tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Justeru itu, apabila Islam ke China, pakaian orang Cina dan reka bentuk bangunan mereka tidak dihapuskan. Lihat sahaja reka bentuk masjid di China. Begitu juga tidak dibuang kurta orang India atau tidak dihapuskan fesyen pakaian orang Melayu bersamping dan bersongkok. Dengan syarat tidak menyanggahi ajaran Islam.

Malangnya, saya dimaklumkan oleh beberapa orang sahabat yang baru menganut Islam bahawa ada tok kadi enggan mengakad nikah mereka kerana memakai fesyen pakaian yang tidak kemelayuan atau kearaban. Ini adalah pemikiran sempit.

Di sebuah negara jiran, masyarakat suatu tempat bertengkar kerana sebuah masjid yang dibina tidak mempunyai kubah, sehingga ada yang berkata masjid tersebut tidak boleh diiktiraf sebagai masjid. Saya yang dijemput hadir ketika itu diminta memberikan penyelesaian. Dengan tersenyum saya bertanya: “Adakah tuan-tuan tahu bahawa masjid Nabi s.a.w. pada hari ia dibina pun tiada kubah? Ia hanya dari tanah liat dan berbumbungkan pelepah tamar dan bertiangkan batang tamar? Lihatlah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Umar dalam Sahih al-Bukhari. Kubah menjelma pada generasi selepas Rasulullah sebagai salah satu seni binaan yang diluaskan penggunaannya oleh umat Islam. Kubah bukan syarat sebuah masjid. Apa yang penting fungsi masjid itu hendak benar-benar membangunkan umat. Betapa banyak masjid yang berkubah mewah, tetapi masyarakatnya tidak dapat diubah dan tidak indah. Masjid Nabi sekalipun tanpa kubah, tetapi ia telah mengukir sejarah kegemilangan dan mengangkat kedaulatan umat. Masjid tanpa kubah mungkin satu kekurangan di sudut kebiasaan seni kita. Namun masjid yang tidak berfungsi seperti zaman Nabi adalah satu kesalahan agama.” Akhirnya mereka akur.

Kehidupan manusia ini pelbagai. Seni dalam kehidupan pula berbagai-bagai. Islam tidak memaksa bukan Arab meniru budaya Arab. Pakaian dan seni yang berkaitan dengan bangsa Arab – jika dilakukan oleh Rasulullah – dikategorikan sebagai sunah jibilliah atau sunah ‘adah iaitu perjalanan hidup baginda disebabkan faktor keinsanan dan kearaban baginda.

Dalam erti kata lain, jika baginda bukan seorang nabi pun, sunah jenis ini tetap wujud. Ini seperti jubah, serban, kegemaran baginda memakan labu, kaki kambing dan seumpamanya. Semua ini wujud sejak sebelum baginda ditabalkan menjadi rasul. Golongan bukan muslim pada zaman baginda juga mengamalkannya.

Selagi tiada nas yang sahih memerintahkan umat mengikutinya maka sunah jenis ini menurut pendapat sebahagian ulama hukumnya harus. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam Abu Syamah al-Maqdisi (meninggal 665H) dalam Al-Muhaqqiq Min ‘Ilm al-Usul fima yata‘allaq bi Af‘al al-Rasul (lihat: m.s 41, Madinah Andalus: Muassasah Qurtubah). Dibolehkan untuk sesiapa ingin memakainya dan diharuskan pula meninggalkannya.

Maka tidak menjadi masalah untuk seorang yang menganut Islam tidak pernah memakai jubah atau serban atau memakan kambing, labu atau seumpamanya. Jangan diberat-beratkan masalah ini. Dahulu ada kumpulan agama mewajibkan ahlinya memakai fesyen jubah tertentu. Jika Islam itu fokus utamanya mengenai fesyen pakaian, apakah ia praktikal untuk semua bangsa? Sedangkan manusia ini berbeza latar kegiatannya dan iklim tempat tinggalnya.

Malanglah jika ada pusat pendidikan agama, pesantren atau pondok yang terlalu menekan soal sunah adat Arab ini, dalam masa yang sama tidak bersungguh-sungguh dalam persoalan sunah yang memasti cara ibadah menepati amalan sebenar nabi, juga soal pembangunan ilmu dan keluasan minda, kekuatan dan kemajuan dalam berbagai bidang.

Justeru, sunah baginda yang mana tidak wujud jika tidak kerana baginda seorang rasul, diperintahkan untuk kita ikuti. Ini seperti cara solat, puasa, haji, prinsip ekonomi, pendidikan, perundangan dan seumpamanya. Bahkan diharamkan kita menokok tambah atau mereka cipta apa yang baginda yang tidak tunjuk dalam soal ibadah kerana itu seperti mencabar kerasulan baginda. Maka perkara ibadah khusus seperti wuduk, solat, puasa, haji hanya diambil daripada baginda, tokok tambah atau seni rekaan selain baginda tidak diiktiraf.

Di samping itu, ada pula adab dan akhlak yang dibudayakan oleh Islam terhadap umat. Antaranya, membaca bismillah ketika makan, menggunakan tangan kanan ketika menyuap makanan dan kebudayaan Islam yang lain ditegaskan oleh Nabi. Sabda Nabi kepada Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil: Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu. ( al-Bukhari dan Muslim).

Malang sekali, saya dapati masih ada orang Islam yang tidak membiasakan diri dengan budaya Islam seperti ini. Dalam pelbagai majlis, ada orang Islam menyuapkan makanan ke mulut dengan tangan kiri. Islam tidak melarang penganutnya menggunakan sudu atau garpu atau chopstick.

Namun perintah Islam, umatnya mestilah menyuapkan makanan ke mulut dengan tangan kanan, bukan kiri. Kita boleh menggunakan budaya atau kebiasaan apa- apa kaum pun, namun jika ia berlawanan dengan budaya yang ditetapkan Islam, maka ia hendaklah ditinggalkan.

12/08/2007 - Wahai dunia! Islam bukan agama pengganas

HAMPIR setiap minggu saya menerima kunjungan dari berbagai-bagai pihak yang ‘berjenama’ hebat dari serata pelosok dan sebahagian mereka itu bukan muslim. Sebahagian mereka pembaca setia tulisan saya. Mereka bertanya pendapat saya dalam berbagai-bagai isu. Antara yang menjadi fokus mereka yang bukan muslim adalah isu keganasan atau terrorisme.

Hasil didikan media antarabangsa, mereka seakan melihat ada kaitan rapat antara Islam dan keganasan. Mereka bertanya mengapakah Islam memperuntukkan bab yang dinamakan jihad yang akhirnya menimbulkan suasana keganasan di dunia ini?

Saya bertanya kepada mereka; sejak bila anda rasa isu keganasan ini dikaitkan dengan Islam? Mereka menjawab; sejak beberapa tahun yang akhir ini, khusus setelah peristiwa 11 September. Saya bertanya mereka; Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan sejak 1,400 yang lepas dan ajaran baginda tersebar hampir ke seluruh alam serta pernah membina tamadun yang amat agung. Mengapakah hari ini baru anda mendengar tentang keganasan dan Islam?

Kemudian, apa takrif keganasan pada sisi anda sehingga media menyatakan rakyat Palestin pengganas, sedangkan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak mereka saban hari tidak dilabel pengganas?

Atas kaedah apakah anda menyatakan rakyat Iraq yang membunuh tentera Amerika itu pengganas, sedangkan Amerika yang mengebom dan menceroboh negara mereka, merogol dan membunuh kaum keluarga mereka tidak disenaraikan dalam kandang pengganas?

Atas pentakrifan apakah tindakan menawan tebusan yang dilakukan oleh beberapa gerombolan orang Islam dianggap jenayah tidak berperikemanusiaan, sementara tindakan Amerika menahan begitu ramai orang Islam tanpa bukti tidak diuar-uarkan sebagai keganasan kejam?

Jika dihitung jumlah orang Barat yang terkorban disebabkan keganasan puak yang menamakan diri sebagai muslim dibandingkan jumlah umat Islam yang dibunuh oleh senjata-senjata canggih Amerika dan sekutunya; manakah yang lebih ramai?

Atas dasar apakah anda memberi imej Islam pengganas kerana tindakan beberapa kumpulan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi anda tidak melihat imej agama Kristian atau Yahudi sebagai pengganas sedangkan tindakan mereka dilakukan oleh penganut agama-agama tersebut yang bersifat kerajaan dan pemerintahan yang diiktiraf oleh mereka?

Akhirnya saya katakan; sebenarnya, tiada siapa pun yang bersetuju dengan keganasan, cumanya media Barat dalam banyak hal bersikap berat sebelah menakrifkan keganasan dan siapakah pengganas?

Sejak dahulu Islam menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di kalangan manusia. Lihat sahaja, begitu ramai golongan minoriti bukan Islam dapat hidup di tengah- tengah masyarakat Islam di serata dunia. Lihat di negara kita, Mesir, Jordan, Indonesia dan negara-negara lain. Walaupun barangkali ada beberapa kekurangan tertentu, namun mereka tidak diseksa atau ditumpahkan darah secara kejam.

Namun keadaan sebaliknya tidak berlaku terhadap minoriti umat Islam di kebanyakan negara. Lihat nasib umat Islam di Bosnia, Burma, Rusia dan beberapa negara lain. Bahkan dalam masyarakat Melayu, orang bukan Islam boleh berniaga dan maju di tengah-tengah kampung Melayu Muslim, namun sukar ditemui keadaan sebaliknya.

Mesej saya adalah keganasan atau menumpahkan darah manusia berlainan agama bukan tabiat orang Islam, sudah pasti ia bukan ajaran Islam. Bagaimana mungkin ajaran Islam hendak dikaitkan dengan keganasan, sedangkan jika dilihat peraturan peperangan dalam Islam itu begitu ketat.

Sebelum Perjanjian Geneva wujud lagi, Islam 1,400 tahun yang lalu telah pun meletakkan pelbagai disiplin dan peraturan dalam peperangan. Jika Perjanjian Geneva tidak wujud pun, umat Islam tetap wajib mematuhi peraturan-peraturan perang. Bukan sekadar menjaga nama baik kerajaan, bahkan itu adalah arahan agama.

Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk memelihara kebenaran dan keadilan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) dan perangilah di jalan allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.

Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda Nabi menyebut: Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak).

Untuk itu Islam menetapkan, pembunuhan hanya di medan perang. Hanya perangi mereka yang terlibat dengan peperangan. Musuh yang tidak menyertai peperangan, tidak diperangi atau dibunuh.

Supaya penekanan disiplin itu lebih dipatuhi, para sarjana Islam menyebut secara lebih terperinci sebagai fokus agar golongan-golongan berikut tidak ditumpah darah mereka:

Pertama: Wanita yang tidak berperang dan kanak-kanak. Dalam hadis daripada Ibn Umar, katanya: “Sesungguhnya seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kedua: Orang tua dan orang uzur. Mereka tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Ini dapat dikiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan.

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah- rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn ‘Abbas, katanya: Apabila Rasulullah mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan.”)

Kata al-Syaukani (wafat 1250H): “Pada hadis ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan bukan muslim yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin.” (:Al-Syaukani, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, Beirut: Dar al-Jil)

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadis Hanzalah al-Katib, katanya: Kami berperang bersama dengan Rasulullah, lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan ‘asif (pengambil upah). (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Al-Albani menilainya sebagai sahih (lihat: Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld 2, m.s. 314, Riyadh: Maktabah al-Ma‘arf li al-Nasyr).

Pengambil upah ini ialah yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak terlibat di medan perang, maka mereka tidak dibunuh.

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Kata ‘Abdullah bin Mas‘ud: “Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al- Bazzar, Abu Ya‘la. Sanad-sanad mereka adalah hasan ( al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, Beirut: Dar al-Rayyan)

Setelah anda melihat ketatnya peraturan seperti ini, adakah mungkin anda menuduh Islam menggalakkan pengeboman di tempat awam? Jika tindakan itu dibuat di atas nama Islam, itu adalah pengkhianatan terhadap Islam. Setelah Islam mengharamkan tindakan ini, apakah wajar media Barat mengaitkannya dengan Islam, sedangkan pada masa sama mereka tidak mengaitkan tindakan zalim Amerika dengan Kristian, India dengan Hindu atau Israel dengan Yahudi? Walaupun teks pengharaman seperti Islam tidak jelas dalam agama lain.

Setelah faham hakikat Islam yang menentang keganasan melulu ini, Barat patut bertanya; jika benar ada orang Islam yang melakukannya, bererti mereka sudah tidak mampu mengawal diri dengan disiplin Islam, mengapa hal ini berlaku? Saya katakan sekali lagi, Islam tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan awam.

Apa yang berlaku ialah tindakan luar kawalan. Ini berlaku apabila emosi menguasai akal dan kefahaman salah menguasai tindakan. Tanpa boleh dinafikan, emosi yang berlebihan dan meluap-luap tanpa kawalan ini datang disebabkan sikap buruk dan ganas yang ditunjukkan oleh sesetengah kuasa Barat terhadap dunia Islam terutamanya di Iraq dan Palestin sekarang.

Kerana, seseorang yang biasanya berkelakuan baik, tiba-tiba menjadi ganas, kita patut bertanya sebabnya. Islam tidak seperti filem-filem Barat yang menghalalkan keganasan hero atas nama membalas dendam, namun jika dunia inginkan penyelesaian penyakit, kita mesti mengubati puncanya.

Kemudian mereka bertanya saya: kenapa perlu ada bab jihad dalam Islam? Ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara agama. Saya katakan; jika anda melihat Islam sebagai agama yang hanya menguruskan masjid, maka tentulah persoalan jihad amat ganjil untuk dibincangkan. Namun Islam adalah agama yang lengkap menyentuh semua sistem kehidupan.

Mana mungkin sebagai agama yang lengkap dalam berbagai-bagai persoalan; ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya, tiba-tiba tidak membincangkan soal peperangan. Jika itu berlaku, menunjukkan tidak sempurnanya sistem Islam.

Dalam erti kata, Islam membiarkan keindahan sistem yang dibinanya dicerobohi atau dihancurkan.

Kita wajar tahu bahawa, peperangan wujud sepanjang sejarah manusia. Ini kerana apabila wujudnya kelompok yang suka bersikap ganas dan menindas pihak yang lain, atau gemar mengguna kekerasan sebagai penyelesaian maka peperangan pasti tercetus. Lantas pihak yang tertindas pun terheret ke kancah peperangan yang dipaksa.

Demi untuk mempertahankan diri mereka terpaksa mengharunginya jua, seperti berlaku di Iraq dan Palestin. Justeru, kita melihat setiap negara akan mewujudkan angkatan tenteranya. Itu adalah keperluan asasi. Kalaupun tidak untuk berperang dengan pihak yang lain, ia demi mempertahankan sempadan dan kedaulatannya.

Ini kerana sikap lunak dan berbaik dengan semua pihak tidak mampu menjamin sesebuah negara tidak diserang. Perasaan tamak dan rakus yang wujud pada negara lain akan mengancam sesebuah kerajaan sekalipun benteng diplomasi dibina. Untuk itu, maka setiap negara membuat latihan dan sistem ketenteraannya.

Jelas, bahawa membicarakan persoalan perang dan senjata, tidaklah semestinya menggambarkan sikap ganas atau keganasan. Sebaliknya ia tuntutan bermasyarakat. Bahkan peperangan membela kebenaran disetujui oleh fitrah manusia.

Sebab itu filem-filem peperangan yang menggambarkan kemenangan di pihak yang dianggap benar, disukai oleh masyarakat dunia. Maka Islam adalah agama yang syumul. Datang untuk menyelesaikan persoalan kehidupan manusia di semua peringkat. Adalah mustahil untuk Islam tidak membicarakan tajuk peperangan atau dinamakan – dari segi istilahnya – jihad qitali atau jihad peperangan.

Mengapa pula kerana adanya bab jihad dalam Islam maka agama ini dihukum pengganas, tetapi sistem ketenteraan yang diwujudkan oleh setiap negara terutamanya Barat, tidak dianggap sebagai pengganas? Atau mengapa tidak dihukum pengeluar filem Hollywood sebagai pengganas?

Saya ingin ingatkan, oleh kerana bab jihad ini secara jelas ada dalam al-Quran dan al-sunah, orang Islam tidak boleh menafikannya. Menafikan peperangan jihad bererti menafikan nas-nas Islam. Namun mereka mesti menjelaskan kepada dunia secara betul maksud jihad dalam Islam. Adakah mungkin Islam yang membincangkan persoalan kenegaraan tiba-tiba tidak menyebut bab ketenteraan?

Cuma yang berlaku hari ini, adanya segelintir orang Islam menyalahgunakan bab jihad peperangan ini atau melanggar disiplin yang ditetapkan oleh agama. Islam yang tulen membantah tindakan mereka sama sekali.

Namun, bagi negara-negara orang Islam yang diserang oleh kuasa imperialis, apakah dunia ingin mengatakan kepada umat Islam, awak semua hendaklah diam dan jangan mempertahankan diri kerana itu adalah jihad, dan jihad adalah keganasan? Inikah keadilan sejagat?

Bak kata orang Arab: “Dia pukul aku, dia pula yang menangis. Dia maki aku, dia pula yang mengadu.”

05/08/2007 - Mudahkan pendekatan Islam, jangan eksklusifkannya

AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.

Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).

Firman Allah juga: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisaa’: 28).

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama yang telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Semoga Allah memberikan pahala untuk mereka. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja. Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati.

Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan. Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan pelbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai-bagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi s.a.w. yang sahih.

Ini seperti menetapkan pelbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu. Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya. Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-sunah tidak menyatakan demikian.

Kecenderungan

Di samping itu kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang keliru. Umpamanya syarat niat yang bukan-bukan sehingga ada buku menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur.

Padahal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat. Maka dengan itu kita katakan ‘membunuh dengan niat’, sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya, kononnya belum masuk niat.

Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat? Demikian juga mendetilkan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincang.

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian. Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi s.a.w. lantas menyanggahi logik insan.

Hal ini berbeza dengan arahan baginda s.a.w. Sabda baginda: Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (Riwayat al-Bukhari).

Pendekatan Nabi s.a.w. adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini. Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmum yang pelbagai di belakangnya. Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti falsafah-falsafah yang memeningkan. Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadangkala guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya…”

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah Islam adalah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.

Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami. Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan terpelajar dan cerdik pandai. Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi s.a.w., para perwakilan yang datang mengambil dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991). Sebab itu – barangkali – dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan.

Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbang jiwa dan akal secara fitrah, bukan falsafah yang menyusahkan.

Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap.

Memahami

Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirnya diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita muslimah kita. Mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang soleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riak dalam amalan?

Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riak (menunjuk-nunjuk).” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadangkala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak demikian rupa kehidupan mereka.

Sehingga Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-

Ghazali r.h dengan katanya: “Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat – sekalipun secara tidak langsung – bahawa insan contoh di sisi al- Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, sunah dan sirah.

“Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmati nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah s.w.t, antara beribadat dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila ada wartawan bertanya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab: “Begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara.

“Sebelum menjawab saya ingin kata: Kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.”

Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal sepertimana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.