25/10/2009 - Fitnah Dan Adat Perjuangan

Siapa tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fekah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini.

Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang telah mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.


- Prof Hamka

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir, atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh.

Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencana ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang.

Demikian Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservertif Tanah Melayu dengan tuduhan ‘kaum muda’ dan ‘wahabi’. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki, atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Al-Imam Al-Bukhari

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara.

Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Prof Hamka

Kembali kita kepada kisah Prof Hamka. Ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan beliau dan ayahnya Haji Rasul. Pernah dituduh kafir, sesat, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi. Ini adalah resam kelompok yang menjaga kepentingan mereka, bimbangkan gerakan pembaharuan. Mereka bimbangkan kedudukan, aliran, jawatan, kepentingan dan pengaruh mereka hilang.


- Buku ‘Ayahku’ karangan Prof Hamka

Saya cadangkan pembaca membaca buku karangan Prof Hamka yang sekarang sudah ada di pasaran kita yang berjudul ‘Ayahku’. Antara dalam buku berkenaan Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu.

Hamka memetik kata-kata ayahnya:

“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas:

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i. (m.s 160).

Prof Hamka menceritakan:

“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (m.s. 162).

Hasil perjuangan gerakan yang dituduh ‘kaum muda’ itulah yang membebaskan kejumudan pemikiran, kezaliman terhadap wanita oleh mahkamah syariah di Indonesia ketika itu. Dalam buku berkenaan Hamka telah menceritakan kesempitan pandangan golongan agama yang jumud sehingga menyiksa wanita dalam kes-kes penceraian.

Di bawah tajuk Nikah Si Kani (m.s. 171), Prof Hamka menceritakan perjuangan mereka menghadapi golongan pemikiran sempit. Namun, adat pejuang berbagai tuduhan dan fitnah dihadapi oleh ayahnya dan perjuangan mereka. Kalimat ‘wahabi, kaum muda, keluar mazhab, sesat, kafir dan berbagai lagi menjadi mainan ulama-ulama ‘lama’ ketika itu dalam menghadapi gerakan tajdid dan pembaharuan oleh Prof Hamka dan ayahnya.

Bacalah!

Bacalah buku-buku perjuangan dan pengorbanan, ia akan memberikan rangsangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin meneruskan agenda dakwah dan pembaharuan umat. Sebab itu al-Quran mengubati perasaan Nabi s.a.w dengan kisah-kisah silam yang dapat menyedarkan tentang harga pengorbanan yang wajib dibayar dalam meneruskan agenda perubahan.

Firman Allah:

(maksudnya) Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.Dan demi sesungguhnya, rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu. Dan jika perbuatan berpaling mereka (keingkaran mereka) itu terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil”. (Surah al-An’am, ayat 33-35).

Pertentangan akan berlaku, sudah pasti, para nabi pun tidak dapat mengelakkannya, namun perjuangan akan terus berlangsung di setiap zaman. Tiada siapa yang dapat mengubah tabiat sejarah, tetapi kita boleh memilih dalam sejarah siapa yang ingin kita berpihak!

18/10/2009 - Di Sebalik Cinta Dan Tawakkal

Saya menulis artikel ini dalam perjalanan dari Madinah menuju Mekah. Saya datang menyertai rombongan Majlis Agama Islam Perlis bersama dengan Yang Dipertuanya, Raja Muda Perlis.

Setelah pulang dari UK, saya dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Perlis yang dahulu saya berada dalamnya atas kapasiti Mufti. Sekarang saya berada dalamnya atas individu saya sahaja. Majlis Agama Islam Perlis membuat lawatan kerja ke beberapa negara; Saudi, Mesir dan Tunisia.

Rasanya hampir dua tahun saya tidak ke Madinah dan Mekah. Seperti orang lain, setiap kali masuk semula ke Madinah jiwa menjadi sayu, syahdu dan rindu. Tidaklah dapat digambarkan dengan bahasa dan bicara, perkataan dan tulisan. Ia satu perasaan yang menerjah ke setiap penjuru jantung dan urat nadi.

Apa tidak, di sinilah tempat insan yang amat kita cintai yang namanya kita sebut saban, Muhammad s.a.w. Bagindalah pemimpin, baginda teladan. Kita ini rela menderita, rela dihina, rela dianiaya, rela dipersenda demi memenuhi cinta kepadanya dan agama yang dibawanya. Kita akui jalan bagindalah jalan yang terbaik dan kita membenci setiap bidah yang cuba ditokok tambah, atau khurafat yang cuba dipalitkan kepada agama yang dibawa baginda, kerana hidup kita hanya mengiktiraf baginda sebagai rasul yang akhir.

Demikianlah Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-‘Imran, ayat 31)

Kata al-Hafizd Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hak ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih al-Bukhari daripada RasululLah s.a.w:Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/366, Beirut: Dar al-Ma’rifah)


- Gambar Hiasan

Walaupun Madinah telah berubah wajahnya dengan bangunan yang jauh lebih indah dan moden, tidak lagi seperti zaman baginda, namun cinta dan rindu tidak pernah dimamah sejarah dan tidak wajar berubah. Kita merindui Madinah bukan kerana bangunannya, tetapi di sinilah tempat perjuangan dan kehidupan insan yang kita cintai. Bak kata Qais yang dianggap gila kerana terlalu mencintai Laila:

“Aku merentasi rumah Laila, aku mencium dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan rumah itu merindukan kalbuku, tetapi cintakan penghuninya”

Demikian Madinah, bukan kerana ia Madinah semata-mata, tetapi kerana sejarah perjuangan yang tercatat di dadanya. Rindu dan cinta bersalut dalam jiwa apabila mengenang di sinilah bumi pengorbanan dan perjuangan Rasul yang tercinta. Namun bagaimana mungkinkah cinta dan kasih itu akan lahir jika kita tidak mempelajari dan menghayati sirah perjuangan dan pengorbanan yang agung itu?!

Bekalan

Seperti yang saya pernah sebutkan, hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam meneruskan kembara ini.

Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama di qiyamullail. Esakan dan tangisan rintihan di malam yang sunyi adalah nikmat yang tidak gambarkan. Airmata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah atas kelemahan dan dosa, juga pemohonan atau doa agar diberikan limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami melainkan sesiapa yang merasainya. Dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Itulah bekalan dalam merempuh cabaran dan dugaan hidup.

Demikian juga Ramadan, kedatangannya selalu memberikan kekuatan baru dalam hidup ini. Tangisan dan esakan di kesunyian malam ketika sendirian, maka tanpa riyak dan ujub, membawa kekuatan kepada diri insan dalam menerusi agenda perjalanan hidup. Begitulah juga, haji dan umrah. Segalanya apabila ditunaikan dengan jiwa yang merendah kepada Allah, lidah yang memohon ampun dan kurnia, ia adalah bekalan kekuatan yang maha ajaib.


- Gambar Hiasan

Hidup ini jika Allah bantu keajaiban akan berlaku. Percayalah kepada doa dan tawakal, di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila Allah menolong kita tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun. Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam berbagai rupa dan bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa yang pernah diminta.

Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta wirid dan zikir rekaan, sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Antara ungkapan doa yang amat menarik jiwa saya ialah doa yang baginda s.a.w ajar:

“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan di waktu yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa ratus atau ribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku.

Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal yang sebenar adalah jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan ini apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kejayaan yang berlaku, apa yang disangka kecewa oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang memenuhi jiwa.

Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakkal. Semoga Allah tidak meninggal kita semua dalam merentasi kehidupan ini!

11/10/09 - Nampak Kuat Agama Tapi Masuk Neraka

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan.

Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pendusta Agama

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati.

Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran.


- Gambar Hiasan

Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: “dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar”. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id:

“Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas RasululLah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam” (Hammam `Abd al-Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).

Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Khawarij

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah Puak Khawarij.

Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut:

“..Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka.

Puak Khawarij ini mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir.


- Gambar Hiasan

Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida ‘Ali bin ‘Abi Talib. Selepas zaman ‘Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelusuk dunia Islam.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w menyebut tentang mereka:

“Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jamaah mereka.

Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan.

Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal dari membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

4/10/09 - Islam Tulen Boleh Selamatkan Umno

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!

Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: “Allah ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik.

Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.

Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fonomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim.


-Gambar Hiasan

Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.


-Gambar Hiasan

Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu..(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!