30/11/2008 - “Hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis”

HARI ini adalah hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Ini bererti, Pena Mufti kali ini adalah pena yang akhir daripada saya bagi ruangan ini. Menjelang 12 malam ini, maka tamatlah tugasan saya sebagai seorang mufti di Negeri Perlis.

Insya-Allah, pada pukul 10.45 pagi esok saya akan bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal. Saya akan menyempurnakan – dengan izin Allah – kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.

Dua tahun sebulan saya menjadi mufti. Izinkan saya menceritakan sedikit pengalaman yang ringkas dalam tempoh tersebut. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi pengalaman dengan para pembaca yang selalu setia. Jika ada yang baik boleh diambil manfaat, jika ada yang buruk, wajar dijauhi. Pada hari saya dijemput ke Perlis untuk menjadi mufti, saya berfikir panjang apakah yang mampu untuk saya lakukan mengenai perubahan kefahaman dan minda rakyat. Mampukah saya menghadapi corak warna yang sukar diubah yang menguasai suasana? Beberapa hari selepas tawaran itu datang, Ramadan menjelang. Saya yang teramat lemah dan kerdil ini mengambil kesempatan dari dataran Ramadan yang penuh rahmat memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dan kemampuan agar saya mampu melakukan sesuatu. Selepas Ramadan, saya menerima tugas sebagai Mufti Perlis dan cuba melakukan tanggungjawab yang saya percaya saya patut lakukannya. Bermula pada saat itu, saya belum berehat menghadapi berbagai-bagai isu yang saya utarakan atau yang muncul dalam masyarakat. Atas slogan: “Kembalikan imej Islam”, “Islam dibina atas dalil dan fakta”, “Islam itu mudah”, “Islam memusuhi kebodohan”, saya berkuliah di sana-sini, berucap dalam berbagai-bagai majlis, membentangkan kertas kerja, memberikan pandangan yang pelbagai di media, memenuhi berbagai-bagai rancangan televisyen, menghadiri pelbagai dialog, menulis sekitar lebih 100 artikel yang melahirkan berbagai-bagai diskusi sepanjang dua tahun, menghasilkan buku, membuka laman web yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berunding dan berbincang dengan pelbagai pihak, pertubuhan, artis, pelajar dan lain-lain. Namun saya terus yakin, masih ada ruangan baki tenaga yang barangkali saya belum gunakan sepenuhnya. Ada waktu saya terbuang kerana bersembang dan ceria bersama rakan dan sahabat yang kadang-kala mengambil masa yang lebih daripada yang patut. Ada juga ruang waktu santai yang kadang-kala mungkin boleh untuk dikurangkan. Pun begitu dalam tempoh dua tahun itu saya juga beberapa kali demam yang disebabkan lebihan bebanan kerja. Memerah otak lebih penat daripada memerah tenaga. Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan juga, sokongan Kerajaan Perlis yang lepas dan Istana Perlis yang memberi ruang serta tidak pernah mengongkong saya adalah antara faktor yang melancar segala usaha.

Merubah bukit dan gunung kadang-kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya. Bukit dan gunung jika diubah tidak akan bercakap, tetapi manusia jika kita ingin mengubah mindanya yang patut diubah, jika mereka tidak bersetuju, mereka bukan sahaja menolak, tetapi merencana untuk bertindak dan kita akan menghadapi padahnya. Bukit dan gunung tidak akan berdusta dan membuat cerita bohong mengenai kita, tetapi manusia yang tidak bersetuju akan melakukannya. Bukit dan gunung tidak akan hasad dengan kita, tetapi manusia jika dia hasad, segala kejadian dan cerita luar biasa akan tercetus. Apapun saya rasa perubahan – alhamdulillah – telah berlaku dalam tempoh tersebut. Pelbagai lapisan rakyat yang berjumpa saya menyatakan sokongan. Ribuan e-mel sokongan diterima. Walaupun tidak dinafikan masih ada yang memusuhi, prejudis dan menganggap saya mengganggu periuk nasi dan kerusi empuk mereka yang selesa terutama sebilangan mereka yang berjawatan dalam agama dan politik.

Singkat

Dua tahun memanglah singkat. Hari ini saya telah menamatkan pusingan dan tugasan tersebut. Kepada Allah saya serahkan; agar diampunkan kelemahan dan diberi pahala jika ada kebaikan. Siapalah insan yang kerdil dan daif seperti saya untuk merasai diri telah menyempurnakan tugas. Bahkan saya yakin, masih ada ruangan yang patut saya sempurnakan, namun saya tidak memenuhinya. Maka apabila saya ditanya oleh wartawan yang pelbagai: “Apakah Dr. berpuas hati dengan misi yang dilakukan sepanjang dua tahun ini?” Jawapan saya, tentulah “tidak”. Saya mengharapkan Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya. Saya teringat Rasulullah SAW yang amat sempurna itu. Dalam khutbah baginda pada Hari Hajjatul Wada’, baginda bertanya lautan para sahabat yang hadir tentang tugasan yang telah dilakukan baginda. Baginda bersabda: “Kamu akan ditanya (oleh Allah) mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab?” Kata mereka: “Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan, dan telah menasihati”. Lalu baginda mengangkat jari telunjuk ke langit dan kemudian ke arah orang ramai dan bersabda: “Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim). Demikian seorang nabi yang penuh amanah menunaikan tanggungjawab, menyampaikan kebenaran dan menasihati umat, pun begitu masih inginkan kepastian dan kepuasan perasaan dengan bertanyakan orang ramai tentang tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh dirinya yang mulia. Siapalah kita di hadapan semua ini.

Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas‘ud ra: “Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?” Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq – lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26). Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal Rukun Nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah. Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat Melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai- bagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pula yang hendak jadi ahli politik. Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi SAW. Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas‘ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Pelbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.

Saya yang maha lemah ini mencuba untuk memberikan pandangan dan pemikiran agar Islam dan umat Islam dalam negara ini dapat terus tampil relevan terutama dalam menghadapi perubahan zaman. Saya bukan tidak menyokong Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi kita perlukan kematangan dalam membimbing umat dan menghadapi zaman. Di samping fatwa yang ada, cubalah juga berikan fatwa yang dapat membangkitkan umat seperti memfatwakan berdosa umat Islam di negara ini membiarkan ekonomi dikuasai orang lain. Alhamdulillah, media seluruh negara begitu baik membantu saya. Antara yang paling utama ruangan Pena Mufti ini telah dibaca oleh pelbagai pihak. Saya mendapat sahabat yang ramai kerana ruangan ini, termasuklah Tun Dr. Mahathir dan berbagai-bagai tokoh besar lain. Ribuan e-mel dan surat sokongan saya terima daripada rakyat Malaysia dalam dan luar negara, Muslim dan bukan Muslim. Juga para pembaca dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Media-media luar juga sering menemuramah saya. Di mana saya pergi alhamdulillah, pelbagai lapisan menyatakan sokongan.

Prejudis

Walaupun pada peringkat awal banyak yang prejudis, namun anjakan masa dan perubahan hari telah membawa sebahagian besar mereka dapat menerima bahawa idea dan pandangan yang dikemukakan itu di luar dari daerah kepentingan mana-mana individu atau pihak. Namun saya tahu yang menolak terus menolak. Saya masih ingat, apabila RTM membuat wawancara khas secara langsung dengan saya yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar, apabila saya hadir ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan, pengerusinya seakan mengadakan sidang mahkamah khas mempertikai apa saya kemukakan. Namun kerana masa itu saya masih awal sebagai mufti, saya enggan mengambil langkah bertegang. Bukan sedikit selepas itu pelbagai fitnah datang daripada mereka yang memegang ‘jenama agama’. Ada yang tuduh saya tumbuk imam di Perlis, ada yang kata Amerika bantu. Ada yang ‘sepangkat’ dengan saya dalam ceramahnya menceritakan bahawa saya pergi New Zealand keluar bas tidak pakai songkok dan naik bas terlewat. Itu memang benar, namun saya pasti apakah itu perlu dimasukkan ke dalam isi ucapan? Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa Ph.D saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberi pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal Ph.D yang ditulis dalam Bahasa Arab itu dicetak oleh UIAM, dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon. Saya malas hendak melayan itu semua dalam kesibukan mengejar waktu. Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Jakim pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwa, walaupun mufti negeri lain dilantik. Saya menerima itulah realiti perjuangan dengan senyuman dan tidak kecil hati. Mereka yang lebih daripada saya, bahkan tidak dapat dibanding seperti para nabi dan ulama terdahulu menghadapi lebih berat daripada itu.

Saya teringatkan kata-kata Za‘ba dalam bukunya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang Prof Diraja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya yang pernah saya petik dahulu: “Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu – kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandaimandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

Saya telah mencuba dalam masa dua tahun yang lepas. Terserah kepada rakyat menilainya. Jika ia tidak berjaya pun, saya mengharapkan Allah memberikan saya pahala. Ya! Ratusan e-mel saya terima membantah keputusan saya tidak mempertahankan jawatan mufti ini. Sehingga ada yang menulis “Selama ini saya amat menyanjungi kebijaksanaan tuan mufti, tetapi saya yakin tindakan tuan berhenti adalah merupakan keputusan yang silap, atau tuan mungkin tidak lagi memikirkan kepentingan umat Islam dan rakyat negara ini lagi. Maafkan saya!” Saya ingin katakan, saya akan terus berfikir untuk itu, bahkan saya akan cuba mewakafkan hidup untuk perjuangan yang panjang ini. Saya bukan lari meninggalkan medan perjuangan, tetapi saya insya-Allah akan pulang dengan kekuatan yang baru. Rakyat Perlis bersalam dengan saya pada Jumaat lepas dengan kesedihan dan tangisan. Saya bersyukur saya meninggalkan jawatan dengan penuh senyuman dan persahabatan. Sekurang-kurangnya mereka tahu saya telah cuba melakukan sesuatu untuk Perlis dan Malaysia.

23/11/2008 - Apabila zina lebih mudah daripada kahwin

MINGGU depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti. Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat Islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah SWT.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumah tangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-kerenah yang pelbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-kerenah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibu bapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi SAW: “Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam erti kata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mi pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya: “Kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?” Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya. Sepatutnya si bapa bertanya: “Kau dah ada pasangan ke?” Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam Rukun Nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi SAW bersabda: “Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka, menderitalah bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Kursus kahwin

Saya bukan antikursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, khususnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh profesional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan. Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara, penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru semakin meningkat.

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi‘i, maka sahlah ijab dan kabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka. Sehinggakan sarjana fiqah semasa Dr. Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang Arab Badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi SAW (ingin berkahwin dengan Nabi SAW), Arab Badawi itu berkata:“Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi SAW: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah). Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan kabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah. Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355). Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab kabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “Aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: Perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

Berkahwin

Setelah berkahwin, rumah tangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai-bagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah. Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr. Karim ‘Abd al-Karim Zaidan: “Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah...Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi‘in” (al-Mufassal, 7/217). Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (fasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Sama ada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Ibid 8/439). Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumah tangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumah tangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah birokrasi mahkamah. Hakim barangkali ringan lidahnya menyebut: “Kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagiaan dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

16/09/2008 - Tanda-tanda dunia kita mula terbalik

Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda 'dunia sudah terbalik'. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.

Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga 'fatwa' tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.

Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan. Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal. Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina. Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin 'hubungan seks' sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas 'pengkid' atau 'tandas saudarai'. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau 'saudarai' boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku. Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn 'Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).

Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi 'nafsu bercinta'. Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang 'haram pengkid' dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh 'insan-insan berjawatan' itu mengambil kira soal kedudukan dan 'keselesaan kerusi' masing-masing. Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..

Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap 'bersuami dua'. Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa. Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya. Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai 'karenah pengurusan' yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.

Kuasa

Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan. Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap 'berdasarkan undang-undang syarak'. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu sayang ulangi: "Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail). Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan 'operasi mengintip' maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..

Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; "Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami". Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di'bin'kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap 'anak luar nikah'.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya. Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka 'aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw: "Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa'd bin Abi Waqqas dengan 'Abd bin Zam'ah. Sa'd membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya 'Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam'ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun 'Abd bin Zam'ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam'ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa'd mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya 'Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai 'Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa'd. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam'ah dengan bersabda: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)". Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; 'Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim". (lihat: islamonline.net). Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!

9/11/2008 - Obama: Antara kita dengan Amerika

Dunia hari ini nampaknya memberikan harapan yang besar kepada Barack Obama, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru sahaja memenangi pilihan raya Presiden dengan cemerlangnya. Sokongan dan harapan diluahkan seakan beliaulah penyelamat dunia dari penyalahgunaan kekuatan oleh beberapa presiden AS sebelumnya. Ketika pilihan raya itu berlangsung, saya berada di Jakarta atas lawatan kerja bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Nampaknya, orang Indonesia pun ramai yang sokong Obama. Ada poster dan kain rentang yang menyatakan sokongan kepadanya. Tidak pasti, sama ada kerana dia pernah tinggal di Indonesia, atau kerana dia dilihat lebih baik dari 'para penghisap darah manusia' yang berada di tampuk itu sebelumnya. Beberapa pihak lain juga dengan pantas menyatakan sokongan kepada Obama. Saya masih belum dapat membuat keputusan yang pasti. Politik itu boleh merubah banyak perkara terutama watak dan sikap manusia. Namun, saya mengharapkan sekurang-kurangnya beliau dapat mengurangkan mudarat Amerika kepada dunia yang banyak berlaku sebelum ini, terutama dalam isu Iraq dan Palestin. Harapan ini meniru sikap umat Islam pada zaman Nabi SAW apabila berlaku pertembungan antara tentera Romawi dengan tentera Parsi. Walaupun kedua-duanya bukan di pihak Islam, namun perasaan umat Islam menyokong Rom disebabkan agama mereka iaitu Kristian lebih dekat kepada Islam dibanding agama Parsi iaitu Majusi yang menyembah berhala dan api. Apabila Rom tewas, perasaan umat Islam ketika itu tidak gembira dan mengharapkan agar Rom akan kembali menang. Allah merakamkan hal ini dalam Surah al-Rom ayat 1-4: (maksudnya) "Alif, Laam, Miim. Rom telah dikalahkan -Di bumi (tempat peperangan) yang paling rendah; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan dapat mengalahkan (menang kembali). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira".

Ayat tersebut memperlihatkan ketajaman sikap umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW dalam menilai antara dua pihak yang bersengketa. Ketajaman dalam menilai antara yang buruk dengan lebih buruk, atau antara yang bahaya dengan yang lebih bahaya. Allah merakamkan perasaan mereka itu dalam al-Quran sebagai tanda penilaian dan sikap yang seperti itu diredai oleh-Nya. Kegagalan membezakan isu yang ada di hadapan umat, sering menyebabkan kita gagal dalam menyelesaikan masalah dan gagal mengambil sikap yang lebih tepat. Saya bukan ingin menyokong Obama atau menentangnya. Masih awal untuk membuat pendirian tentang tokoh baru politik AS itu, bahkan dunia, yang sedang memahat dirinya di persada sejarah. Cuma saya ingin menyentuh beberapa isu berkaitan dengan beliau, negara Amerika dan kita.

Walaupun kita sering mengkritik AS dan rakyatnya, namun sebenarnya dalam bukan sedikit perkara, mereka lebih baik daripada kita. Kita ambil cara mereka berkempen semasa pilihan raya, kita dapat lihat kematangan dan kewibawaan. Rakyat mereka diberi peluang memilih dan berfikir dengan ruang yang terbuka dan adil. Calon-calon yang bertanding sedaya mungkin cuba membuktikan kewibawaan masing-masing di sudut peribadi, perancangan untuk rakyat, karisma dalam kepimpinan dan segala yang berkaitan dengannya. Walaupun duit memainkan peranan dalam kelancaran kempen, tetapi rakyat tidak digula-gula dengan wang kocek, atau 'duit sakti' yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya saban hari rakyat cuba menilai siapakah pada pandangan mereka lebih mampu membawa mereka dan harapan mereka terlaksana dalam negara yang besar itu. Setiap calon mengemukakan wawasan mereka secara terperinci, memperdebatkannya secara terbuka dan menjawab segala andaian politik dan ekonomi secara yang membuktikan mereka tokoh yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin. Saya teringatkan pantun seorang wakil rakyat Perlis, katanya: "Jika ingin mencari tempat mandi, pertama teluk, keduanya pantai jika ingin mencari pemimpin berbudi, pertama elok, keduanya pandai".

Demokrasi

Demikian demokrasi yang wujud dalam negara Amerika yang memberi peluang kepada rakyatnya membuat pilihan yang lebih telus. Seorang yang hendak jadi Presiden AS perlu mempunyai 'otak sendiri' bukan meminjam 'otak orang lain' lalu mengaku pandai seperti yang terjadi di negara-negara 'mundur akal' yang para pemimpinnya 'kurang cerdik' di make-up oleh para pengampu sehingga kelihatan 'cerdik-cerdik bodoh'. Puisi dan syair diungkapkan oleh 'sasterawan cari makan' sehingga tindakan selekeh seorang pemimpin dipuitiskan dalam rangkap-rangkap kalimat bahasa. 'Tokoh-tokoh jadian' yang berkepentingan juga dengan mudah membuat kenyataan-kenyataan menyokong seseorang pemimpin sekalipun ternyata salah dan lemah. 'Ulama upahan' pula akan membaca ayat-ayat mengampu yang boleh menjadi jampi yang menyebabkan wang penuh ke kocek masing-masing, atau yang dapat mengekalkan mereka di kerusi empuk kesayangan. Sehingga pemimpin yang ucapannya merepek dikatakan cemerlang, ideanya lemah dikatakan gemilang, dan wawasan yang memusnahkan dikatakan terbilang. Itulah nasib rakyat di negara-negara 'mundur akal' yang mereka sering ditemberang. Malang sekali, sebahagian besar negara mundur akal dan hilang kebebasan minda itu adalah negara-negara umat Islam sendiri.

Di negara-negara mundur akal, pemimpin dipilih kerana wangnya atau partinya. Bukan kewibawaan dan kemampuannya. Bak kata sebuah hadis yang lemah sanadnya: "seperti mana kamu, demikian mereka yang memerintah kamu". Padahal Allah memerintahkan kita dengan firman-Nya: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa' ayat 58).

Obama menjadi Presiden AS berkulit hitam yang pertama. Rakyat AS membelakangkan isu warna kulit dan mendahului persoalan kewibawaan, idea dan masa depan mereka. Inilah yang dimimpikan oleh Martin Luther King dalam ucapan I Have A Dream pada Ogos 1963. Martin Luther telah pun meninggal, namun impiannya lebih empat puluh tahun kemudian telah direalisasikan oleh rakyat AS.

Seperti mana yang saya sebut pada awal tadi, saya tidak ingin menaruh harapan yang tinggi kepada Obama, kerana dalam demokrasi tanpa iman segala mungkin. Apa yang dapat kita lihat adalah tajdid atau perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik adalah keperluan manusia. Manusia akan sampai ke titik 'tepu' sesuatu keadaan membawa kepada desakan perubahan. Juga, manusia itu mungkin boleh ditipu atau diperkotak-katikkan dalam beberapa tempoh, tapi tidak untuk selama-lamanya. Akan sampai kepada saat kebangkitan dan tuntutan kepada pembaharuan yang tidak mungkin dapat ditolak lagi oleh segala cara tipu daya. Kesempatan ini telah digunakan oleh Obama dengan slogannya "Change We Need". Cumanya, yang boleh untuk dipertikaikan, apakah langkah perubahan yang cuba diambil itu benar-benar mengubah ke arah yang diimpikan, atau sekadar slogan, atau ke arah yang lebih buruk.

Jika kita lihat kepada peringatan Nabi SAW, baginda menyebut: "Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada kepala setiap seratus tahun sesiapa yang akan membaharukan untuk umat ini agama mereka" (Hadis riwayat Abu Daud, sahih). Dalam konteks Islam, pembaharuan agama bukan bermaksud membawa agama yang baru, sebaliknya 'membaharukan' semula sikap umat dalam beragama apabila menjadi buruk dan lemah akibat perubahan zaman dan keadaan yang melanda. Islam yang diturunkan Allah sesuai untuk sepanjang zaman dan setiap tempat. Namun, pemahaman umat kadang-kala tersasar, sikap mereka kadang-kala jauh menepati kehendak wahyu, juga tokok-tambah yang salah dan bidaah yang masuk ke dalam agama menyebabkan rupa agama menjadi buruk. Imej agama menjadi suram dan muram. Umat berada dalam kekeliruan. Maka, Allah bangkitkan bagi setiap seratus tahun tokoh-tokoh yang akan melakukan gerakan 'tajdid' atau pembaharuan. Para sarjana berbincang panjang tentang siapakah tokoh-tokoh yang dimaksudkan itu. Apakah semestinya seorang bagi setiap zaman, atau seorang bagi setiap bidang, atau seorang bagi setiap kawasan dan bangsa, atau mungkin juga beberapa orang dalam satu ketika dan seumpamanya. Saya tidak mahu memperincikan perbincangan itu di sini, apa yang penting proses atau usaha ke arah pembaharuan pemikiran dan sikap umat adalah suatu keperluan yang diakui oleh agama. Maka lahirlah pada seratus tahun yang pertama 'Umar bin 'Abd al-Aziz, khalifah yang membuat pembaharuan dalam politik dan beberapa sektor yang lain. Bukan maksudnya ketika itu orang Islam semuanya sesat. Sama sekali tidak! Bahkan 'Umar bin 'Abd al-'Aziz hidup pada zaman salafussallih iaitu generasi salaf yang salih yang diiktiraf kebaikannya oleh Nabi SAW. Namun 'Umar bin 'Abd al-'Aziz untuk menguatkan sektor-sektor yang lemah di kalangan umat dan menghidupkan semangat dan kesedaran umat. Selepas itu zaman demi zaman berbagai-bagai tokoh muncul demi membangkitkan semula umat di sudut kefahaman atau sikap. Muncul tokoh-tokoh mujaddid yang terkenal seperti al-Imam al-Syafi'i, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan berbagai-bagai lagi yang memberikan sumbangan yang besar kepada kebangkitan umat. Mereka melaksanakan tugasan yang disebut oleh Nabi SAW: "Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil" (Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi dan al-'Uqaili, hadis ini bertaraf hasan). Ringkasan daripada hadis ini ialah tugasan para pejuang Islam yang adalah memelihara Islam daripada ancaman-ancaman berikut: Satu: Penyelewengan golongan yang melampau. Golongan ini melampau atau menyusah-nyusah dalam beragama melebihi apa yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kedua: Dakwaan palsu golongan yang batil. Golongan ini membuat dakwaan-dakwaan palsu atas agama. Sama ada mereka mengada-adakan hadis-hadis palsu, atau menokok tambah ajaran agama tanpa dalil yang mengizinkan. Ketiga: Takwilan golongan yang jahil: Golongan yang jahil menakwilkan nas-nas agama tidak berdasarkan kaedah disiplin ilmu Islam yang betul. Keseluruhan hadis ini menggesa agar ilmuwan Islam yang sebenar bekerja memelihara Islam dan minda umat agar tidak terjerumus ke dalam krisis pemikiran yang membawa keruntuhan tamadun dan sikap.

Jelas sekali, pembaharuan dan gerakan pembaharuan adalah suatu keperluan bagi umat ini. Sekalipun gerakan pembaharuan itu sering ditentang oleh golongan yang berkepentingan, namun ia adalah kewajipan yang mesti dihidupkan. Dahulu dalam masyarakat Melayu ketika tokoh-tokoh pembaharuan menentang paksaan kahwin ke atas anak dara, anggapan mata pelajaran akademik sebagai sekular, larangan wanita pergi ke pusat pengajian tinggi, mandi Safar, tepung tawar, kepercayaan khurafat yang dikaitkan dengan agama dan berbagai-bagai lagi mereka dicop sebagai 'kaum muda', Wahhabi dan berbagai-bagai gelaran yang lain. Inilah nasib yang menimpa Za'ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain lagi. Namun hari ini, umat menikmati hasil pembaharuan yang mereka lakukan dan korban diri mereka kerananya.

Pembaharuan

Gerakan pembaharuan terus diperlukan apabila umat berada dalam krisis dan kejatuhan. Umat Islam sedunia memerlukan gerakan pembaharuan yang berkesan. Di negara kita, kita perlukan tajdid atau pembaharuan dalam politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Akar utamanya adalah tajdid dalam pemikiran agama agar kembali segar dan menampilkan imej Islam yang dapat menghadapi cabaran zaman dan perubahan minda umat. Umpamanya, amatlah malang kita ini, jika lebih lima puluh tahun merdeka, orang bukan Islam masih kurang faham tentang Islam, bahkan ramai pula yang dikatakan ingin murtad. Sementara yang masuk ke dalam Islam tidak mencapai kadar yang memuaskan. Ke mana perginya peruntukan ratusan juta yang diberikan atas nama 'kemajuan Islam' dibelanjakan?. Adakah sekadar untuk jamuan hari raya, atau rombongan ke luar negara, atau membuat astaka, atau harga bunga menghias meja? Generasi baru yang mula meminggirkan prinsip-prinsip Islam atau mula hilang keyakinan terhadap penerangan Islam yang diberikan walaupun belanja bagi setiap program itu begitu tinggi. Ke manakah kesan pemikiran Islam dalam politik dan kehidupan bernegara? Ke manakah Islam yang harmoni, yang memberikan kebebasan minda dan pembinaan akal yang sempurna? Kita perlukan tajdid atau pembaharuan secara lebih bersungguh dalam pengurusan agama dan pemikiran agama di negara ini. Seterusnya, perubahan itu mesti mencakupi keseluruhan bidang lain hingga dapat membangunkan kembali umat. Jika rakyat AS sedang cuba melakukannya, mengapakah kita tidak?

2/11/2008 - Bila yang nyata dibiar, yang tersembunyi dicari

Beberapa hari lalu apabila saya membaca muka depan sebuah akhbar yang mendedahkan tangkapan khalwat ke atas individu tertentu yang dilakukan oleh jabatan agama dan disiarkan secara ‘promosi maruah’ oleh akhbar tertentu saya teringat kepada kenyataan saya pada peringkat awal saya menjadi mufti dua tahun lepas yang membantah tajassus atau mengintip.

Masa itu saya baru sahaja hendak dikenali oleh sesetengah masyarakat negara ini. Sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk mengkritik saya dan menganggap itu pandangan yang ‘menghalalkan’ maksiat. Demikian segelintir kelompok manusia yang cepat menghukum tanpa berfikir dan menilai. Hari ini saya hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, isu khalwat kembali menjadi tajuk besar media. Saya sudah banyak kali mengulas, namun biarlah saya sentuh lagi sebagai tazkirah isu ini untuk kali yang akhir ketika masih memegang jawatan.

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-

perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi saw: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh menghapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya. Dahulu saya sudah sebut hal ini. Ada yang enggan mendengarnya kerana mereka merasakan mungkar mesti didedahkan sebagai pengajaran. Padahal Islam mempunyai pendirian yang berbeza. Akhirnya, hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’ sekalipun pelakunya cuba menyembunyikannya, maka kita lihat penyakit ini merebak ke dalam berbagai sektor kehidupan. Politik kita pun, politik lawan selak kain. Ekonomi pun demikian. Akhirnya, harga maruah menjadi murah dalam masyarakat kita. Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam manamana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Tokoh ulama semasa seperti al-Qaradawi telah menyebut perkara yang hampir sama. Beliau dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam telah menyatakan: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud):“Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”. Lalu al-Qaradawi menyebut kisah Saidina ‘Umar tadi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, ketika menafsirkan firman Allah (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani”, Sayyid Qutb menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi – atas apa alasan sekali pun – untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al- Syuruq).

dukacita

Amat dukacita bagi masyarakat kita, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal. Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya. Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata. Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya: Dibawa seorang lelaki kepada ‘Abd Allah bin Mas‘ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih).

Saya termenung mengenang fatwa kebangsaan pengharaman pengkid. Cara kebetulan saya tidak hadir dalam mesyuarat tersebut atas beberapa sebab. Saya terfikir, adakah perlunya satu persidangan fatwa untuk membahaskan hukum wanita menyerupai lelaki, haram atau halal? Sejak setengah tahun yang lepas saya sudah bercakap hal pengkid dalam sebuah majalah terkenal dalam negara ini. Hadis Nabi SAW jelas dalam hal ini. Dalam riwayat al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas menyatakan: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki”. Ini adalah pengetahuan am yang diketahui umum, sekalipun orang mereka yang tidak mendalam agama dan tidak membaca keputusan fatwa. Namun persoalannya adalah pelaksanaan. Memang wujud wanita yang hidup ‘bergaya’ lelaki. Namun, maksiat terbuka yang banyak kelihatan jika penguat kuasa agama ingin mencegahnya adalah lelaki yang menyerupai wanita. Entah berapa ramai selebriti lelaki negara kita yang berwatak seperti perempuan. Entah berapa banyak pula drama, pertunjukan dan filem kita yang seakan mengiktiraf ‘wanita jadi-jadian’. Sehingga seakan kita ada tiga spesis; saudara, saudari dan ‘saudarai’. Inilah maksiat terbuka yang lebih patut dibantah daripada mencari-cari ‘kemungkinan’ maksiat di belakang pintu yang berkunci.

Saya tahu sebahagian penguat kuasa itu ikhlas. Namun, bak kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Oleh kerana ini menjadi batasan setiap amalan soleh, maka penyuruh kepada makruf dan pencegah daripada munkar itu sendiri wajib memenuhi tuntutan tersebut. Justeru tidak menjadi amalan soleh jika tidak dengan ilmu dan fiqh. Ini seperti kata ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz: Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak daripada apa yang dia baik…Ini suatu yang jelas. Sesungguhnya tujuan dan amalan jika tidak dengan ilmu maka ia adalah kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu -seperti yang dijelaskan sebelum ini-. Inilah perbezaan antara golongan jahiliah dan golongan Islam. Pelaksana Al-Amr bi al- Ma‘ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar mestilah mempunyai ilmu mengenai makruf dan munkar, serta membezakan keduanya. Mestilah juga memiliki ilmu mengenai keadaan orang yang disuruh atau dicegah tersebut”. (rujukan: Ibn Taimiyyah, Majmu‘at al-Fatawa, 14/344-345, Riyadh: Maktabah al-‘Abikan)