28/06/09 - Daulah Islamiyyah: Dulu Dan Sekarang

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihanraya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihanraya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut.

Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara ‘clergy’ tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihanraya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, samada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai ‘Daulah Islamiyyah’ (Islamic State).


- Gambar Hiasan

Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulamak membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatullah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa’id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi’ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinism: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian).

Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeinei seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apapun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah.

Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi s.a.w ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi s.a.w begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama.

Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain.

Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis ‘keluaran baru’ politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga ‘adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat ‘Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku”.

Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya.

Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahy munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama.

Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan ‘kerusi’ kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin.

Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.


- Gambar Hiasan

Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanahair Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah ‘nation state’ atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri.

Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam.

Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam ertikata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.

Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggungjawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahy Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu.

Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).


- Gambar Hiasan

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan.

Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah.

Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah.

Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara.

Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk ‘daulat islamiyyah’ atau negara Islam!

21/06/2009 - Jalan perdamaian penuh berliku?

Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politik yang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari perdamaian dalam kalangan kaum muslimin. Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya)

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!”. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat)”. (Surah Fussilat ayat 33-35).


Allah mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaranNya bukan kepada kepentingan diri, parti atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak.

Kemudian Allah mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah. Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia.

Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.

Saya tahu ramai orang politik baca ayat ini. Mereka juga tahu Allah menyebut dalam firmanNya yang lain (maksudnya)

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam melenting dengan idea perdamaian antara kelompok-kelompok Islam yang berbalahan. Mungkin kerana dia kurang jelas maksudnya, atau beberapa andaian politik yang menakutkan.

Apapun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwwah islamiyyah. Bak firman Allah: (maksudnya)

“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba duduk semeja, maaf memaafi dan berunding untuk kebaikan umat dan rakyat.

Semasa saya masih menjawat jawatan Mufti Perlis, saya telah pun menulis rencana dalam Mingguan ini bertajuk “Apa Salahnya Mereka Duduk Semeja?”. Pihak TV9 juga ketika itu turut menjemput saya untuk mendiskusikan tajuk tersebut dalam siarannya.

Hari ini, hasrat itu dinyatakan sendiri oleh orang politik. Saya mulanya amat bersyukur. Namun nampaknya ia tidak semudah itu. Rintangan dan halangan amat besar dan sukar. Dendam, prejudis, hasutan dan sejarah silam membaluti isu ini.

Nampaknya lebih mudah untuk kelompok-kelompok politik muslim ini duduk dengan ‘orang lain’ dibandingkan saudara muslim mereka sendiri. Jika ada pun rekod buruk perdamaian yang pernah berlaku antara PAS dan UMNO, itu telah pun berlalu. Mereka yang terlibat dalam sejarah lepas sudah pun tiada dalam layar politik hari ini.

Kita bukan Kristian yang mempercayai dosa warisan Adam ditanggung oleh anak cucunya dan tidak akan terampun melainkan Jesus disalibkan. Sebaliknya kita ini percaya dengan apa yang Allah sebutkan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya: (maksudnya)

“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” (Surah Ali ‘Imran ayat 134).

Ada yang berkata jangan sampai jadi macam tentera ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang ditipu oleh ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin ‘Abi Sufyan. Mengambil kesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin Abi Sufyan tidak pernah menipu ‘Ali bin Abi Talib. Riwayat-riwayat Syi’ah telah mempengaruh pemikiran sebahagian besar pembaca sejarah.

Riwayat-riwayat rawi Syi’ah seperti Abu Mikhnaf (meninggal 157H) telah menggambarkan seakan para sahabah Nabi s.a.w mengkhianati antara satu sama lain. Padahal kesemua para sahabat tersebut mendapat pujian Nabi s.a.w semasa hayat baginda.

Sebenarnya, setelah berlaku peperangan ‘Ali dengan Muawiyah dan puluhan ribu orang Islam terbunuh, Mu`awiyah telah mengangkat al-Quran dan menyatakan:

“Ini dia penyelesaian antara kami dan kamu, sekiranya semua manusia (umat Islam) musnah, siapa yang akan menjaga sempadan, siapa yang akan berjihad menentang golongan musyrikin dan kuffar?”. Maka, peperangan pun dihentikan.(‘Iyadah Ayyub al-Kubaisiy, Sahabah al-Rasul fi al-Kitab wa al-Sunnah, m.s.319-321, Syria: Dar al-Qalam).

Selepas perdamaian tersebut maka terjadilah peristiwa Tahkim yang masyhur. Malangnya hakikat sebenar Tahkim ini telah diputar belitkan dengan menggunakan riwayat-riwayat palsu yang kononnya `Amr bin al-`As telah menipu Abu Musa al-Asy`ari. Tokoh sejarahwan agung Muhibb al-Din al-Khatib berkata

“..apa yang diperkatakan oleh mereka yang keliru bahawa Abu Musa dan `Amr telah bersetuju memecat `Ali dan Mu`awiyah, apabila Abu Musa memecat `Ali, `Amr juga memecatnya tapi mengekalkan Mu`awiyah adalah satu kekeliruan, dan sengaja mereka itu bersikap jahil. Sebabnya Muawiyah ketika itu tidak pernah menjadi khalifah dan tidak pernah mendakwa sebagai khalifah sehingga perlu `Amr memecatnya. Sebaliknya mereka telah bersetuju menyerahkan urusan kekhalifahan kepada umat Islam yang ada, yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang mana Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan meredhai mereka. Kedua-duanya telah bersetuju demikian. Oleh itu tidak timbul mengenai persoalan Mu`awiyah, kerana beliau bukannya khalifah dan beliau juga tidak berperang untuk menjadi khalifah, sebaliknya kerana menuntut dilaksanakan hukuman had syar’i kepada mereka yang terlibat dalam pembunuhan `Uthman. Apabila Tahkim menyentuh persoalan kepimpinan orang Islam, kedua-duanya telah bersetuju untuk diserahkan masalah ini kepada para pembesar sahabah. Adapun berhubung dengan perlaksanaan pentadbiran, `Ali menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya dan Mu`awiyah pula menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya. Oleh itu di dalam peristiwa Tahkim tidak ada kisah tipu daya dan helah..” (al-Awasim min al-Qawasim (ta’liqat) m.s. 177, Beirut: Dar al-Khair).

Apa pun, sejarah Siffin amatlah hitam kerana telah mengorbankan umat Islam begitu banyak. Sebab itu dari awal lagi, majoriti para sahabat Nabi s.a.w.enggan terlibat dengan perbalahan tersebut. Kata tokoh tabi’in Muhammad bin Sirin:

“Ombak fitnah melanda sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat di dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264).

Ya, kita pun hanya ingin terlibat jika PAS dan UMNO ingin berukhuwwah, tetapi tidak sebaliknya. Namun kita akan menentang pihak yang melampau kerana itu arahan al-Quran!

14/06/2009 - Kerajaan perpaduan: Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang Muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama Muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat. Orang yang enggan melihat sesama Muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama Muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda: "…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud). Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu‘awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin ‘Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu‘awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina ‘Ali. Mu‘awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba‘ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu‘awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:“Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)" (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu ‘tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan Pas dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan Pas boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan Pas berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama Muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika Muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak...(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time.”

7/6/2009 - Tajdid satu keperluan umat

Tajdid atau pembaharuan (renewal) adalah satu keperluan. Jika tidak kerana gerakan atau usaha tajdid sepanjang sejarah umat ini tentulah Islam menjadi begitu lemah dan hilang kemampuannya. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: "Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya". Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah 'Umar bin 'Abd al-'Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan 'man' atau sesiapa dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud 'seorang' setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Apapun yang penting, hadis ini menceritakan tajdid dalam Islam adalah keperluan.

Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan; pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput. Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam ertikata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam hadis yang lain baginda menyebut: "Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Baihaqi, Ibn 'Adi dan lain-lain. Dinilai hasan oleh al-Imam Ahmad).

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan Islam yang diboleh diubah. Namun di sana ada dua masalah utama mengenai dua sumber agung ini; pertama, pencemaran terhadapnya. Kedua, penafsiran terhadap maksudnya. Al-Quran sekalipun dijamin oleh Allah tidak mungkin mampu diselewengkan teks asalnya, tetapi ia dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan dimasukkan unsur-unsur Israiliyyat dan kisah-kisah dongeng yang cuba dikaitkan dengan al-Quran. Sehingga mereka yang tidak tahu, merasakan cerita-cerita al-Quran bagaikan 'lucu' dan tidak praktikal. Ini bukan sedikit yang dibuat oleh sesetengah para penceramah agama di media elektronik dalam negara kita. Adapun hadis, terdapat ribuan hadis-hadis palsu yang telah direka sepanjang sejarah untuk berbagai kepentingan, atau atas kejahilan. Di Malaysia ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik dan membaca hadis sehingga kadang-kala cerita-cerita lucu atau tidak munasabah dikaitkan dengan hadis. Kesemua ini memerlukan tajdid.

Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An'am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah 'menukar agama' walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.

Dalam kefahaman fekah, taksub 'mazhab' yang cuba diwariskan kepada kita sesetengah kelompok konservatif agama menjadi masyarakat kita 'buta dalil' atau langsung tidak bertanya khabar tentang di manakah sumber sesuatu amalan agama dibuat. Benarkah ia berasal dari al-Quran dan al-Sunnah atau sekadar andaian. Bahkan yang taksub mazhab Syafi'i itu sendiri pun tidak pasti, betulkan al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H) berpendapat demikian? Atau sekadar 'mulut orang'. Lebih bermasalah lagi, kita kefahaman fekah tanpa dalil atau berasaskan dalil yang lemah itu menyebabkan kejumudan dan kesusahan umat. Diletakkan hukum-hakam yang tidak berasaskan nas yang jelas seperti 'arahan menyamak rumah' yang diajar oleh sesetengah pihak. Sudahlah tiada asas yang jelas, ia membebankan umat yang bukan-bukan. Keperluan kepada fekah yang berasaskan dalil dan mudah adalah tuntutan zaman ini. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka" (Riwayat al-Bukhari).

Tazkiah al-Nafs, atau penyucian jiwa yang juga disebut oleh sesetengah pihak sebagai tasawwuf adalah satu keperluan. Namun persoalan yang begitu halus seperti itu yang membabitkan hubungan jiwa insan dengan Allah memerlukan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak ia akan terbabas menjadi bahasa-bahasa falsafah, igauan mengenai alam ghaib, sibuk dengan cerita wali dan keramat itu dan ini dan berbagai falsafah pelik yang lain. Tidak membawa mereka menuju kepada Allah sebaliknya ada yang terheret ke dalam kancah tarekat-tarekat yang pelik sehingga mereka tidak lagi mempelajari al-Quran dan hadis sebaliknya menumpukan kepada 'apa kata tok syeikh'. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Politik keperluan manusia untuk hidup bermasyarakat. Islam mempunyai panduan mengenainya. Namun oleh kerana terbiasa dengan cara politik Barat, bahkan kita lebih buruk dari mereka kadang-kala, maka politik bukan membawa kebahagiaan dan ketenteraman kepada umat, sebaliknya mencetuskan kesusahan, kegelisahan dan berbagai lagi kerenah yang lain. Pemikiran Islam dalam politik menjadi begitu tidak jelas sekalipun yang memakai jenama Islam atau yang berkaitan dengannya. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Banyak perkara-perkara baru yang wujud di zaman ini yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Berbagai perubahan keadaan umat dan dunia menuntut berbagai pandangan baru dicetuskan demi survival umat. Islam itu diturunkan untuk maslahat manusia. Sesetengah pandangan atau pendapat sarjana Islam yang silam, mungkin bukan salah, tetapi telah luput tarikh disebabkan perubahan zaman dan keadaan. Maka mentajdidkan pendapat atau pandangan baru yang masih teraskan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu keperluan dan tuntutan. Sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih luas dari segi maksud dan 'semangatnya'.

Jelas, usaha dan gerakan tajdid adalah keperluan umat, termasuk kita di Malaysia. Walaupun kadang-kala usaha tajdid di Malaysia pernah dikritik oleh yang tidak selesa dengannya dengan berbagai tohmahan. Namun baginda pernah menyebut: "Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing. Ditanya baginda: "Siapakah mereka wahai Rasulullah!" Jawab baginda: "Mereka yang membaiki ketika manusia rosak". (Riwayat Ahmad, sahih).