Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
sekali lagi saya akan memperkatakan tentang politik. Sebelum itu ada beberapa perkara mesti dijadikan pendahuluan agar prasangka dan prejudis dapat ditangkis. Ini kerana politik apabila menjauhi daerah wahyu sentiasa dibaluti dan dicemari prasangka, buruk sangka, hasad dan keceluparan. Maka pertama; – sehingga tulisan ini ditulis- saya tidak berhasrat menjadi ahli politik. Justeru, prasangka politik hendaklah dihilangkan. Bahkan walaupun jawatan mufti saya telah disambung, namun saya tidak berhasrat berada di atas jawatan ini melebih tahun ini. Urusan masa hadapan diserahkan kepada Allah. Ini mustahak dijelaskan agar tiada prasangka adanya nilai ‘mengharap atau bimbangkan sesuatu’ dalam memberi pandangan. Apabila saya memperkatakan politik dan selainnya, alhamdulillah, saya bebas dari keadaan itu
Saya bertemu ramai golongan muda yang baik keperibadiannya serta memiliki idealisme perjuangan. Kadangkala saya katakan kepada mereka, dengan nilai-nilai baik yang saudara miliki masuk jadi ahli politik, barangkali boleh menyumbang serta membangunkan umat ini. Saya tahu mereka bukan kelompok ektremis yang memusuhi sesuatu parti politik dek semangat ‘politik kesukuan’. Mereka terpelajar dan rasional. Namun mereka sering membayangkan betapa politik dicemari kekotoran akhlak dan budi, penggadaian prinsip, kerakusan memburu harta, dendam kesumat, permusuhan sahabat dan segala macam gambaran buruk yang terlukis di dada politik kuasa negara kita. Saya sendiri berkenalan dengan banyak orang politik dari pelbagai negeri dan peringkat. Saya rasa apa yang mereka bayangkan itu ada benarnya, dan ada tokok tambahnya. Di samping masih ada bukan sedikit mereka yang mempunyai nilai kesedaran tentang amanah Allah dalam politik kita. Namun, ramai yang mempunyai nilai-nilai yang baik enggan menghampiri daerah politik kerana bimbang terpalit dengan kekotorannya. Akhirnya segala idealisme dan nilai-nilai baik yang dimiliki hanya menjadi milik peribadi dan umat tidak dapat manfaat daripadanya.
Saya katakan kepada mereka bahawa apa yang saya lihat dalam nas-nas agama pembaikan atau islah politik paling nyata ianya dilakukan dalam dua bentuk; pertama: membetulkan atau merubah watak ahli politik yang sedia ada daripada nilai-nilai yang buruk atau kurang baik kepada kebaikan, kedua: menyertai sistem politik penguasa agar dapat mengisi jawatan-jawatan penting lalu keburukan dapat dipinggir dan ditajdidkan suasana yang baru yang baik.
Bentuk yang pertama ini ditunjukkan oleh al-Quran apabila Allah menyuruh Musa menemui Firaun di peringkat awal memberikan nasihat yang baik agar dia berubah sikap. Ini seperti firman-Nya (maksudnya) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44). Demikian Nabi Muhammad s.a.w. ketika menulis surat-surat baginda kepada maharaja-maharaja rom dan Parsi. Ini seperti surat baginda kepada Hercules. Baginda mengutuskan surat seperti berikut: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad pesuruh Allah kepada Hercules pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu. – kemudian baginda menulis firman Allah – (maksudnya): Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang- orang Islam.” – Ali ‘Imran: 64. (Riwayat al- Bukhari dan Muslim). Jika ini pendekatan utama yang diambil terhadap pemerintah-pemerintah yang tidak muslim, sudah pasti kepada yang muslim lebih utama untuk dinasihati dan disampaikan dakwah. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (riwayat Malik 2/169). Bahkan baginda menyebut: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-
Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).
Maka perubahan politik boleh dilakukan dengan mempengaruhi pemerintah agar mengubah sikap dan bertindak dengan cara yang baik. Tidak semesti ditukar atau dilantik yang lain. Namun usaha ini memerlukan para pendakwah dan ulama yang ikhlas. sehingga membolehkan pemerintah mendengar nasihat yang jujur. Malangnya, dunia kita ini dipenuhi dua golongan yang menyandarkan diri kepada agama; pengampu pemerintah dan pencerca pemerintah. Sedangkan yang diperintah agar pendakwah menjadi penasihat yang jujur dan berpendirian. Namun kejujuran dan pendirian itu hendaklah dipagari kebijaksanaan. Islam yang ada dalam jiwa orang politik negara ini masih besar. Maka ruangan untuk mengajak mereka kembali kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya mempunyai peluang yang amat terbuka. Maka nilai-nilai buruk dalam politik boleh dibaiki dengan kesungguhan dakwah.
Bentuk kedua adalah penyertaan golongan yang memiliki nilai-nilai kepimpinan yang Islamik ke dalam sistem pemerintahan. Dengan cara ini politik yang bersalut segala macam kekarutan dan pencemaran itu dapat dibaiki. Hal ini pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf. Firman Allah dalam surah Yusuh ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Walaupun pada asalnya meminta jawatan politik suatu yang tidak diizinkan oleh syarak seperti yang pernah kita jelaskan, namun jika jawatan tersebut dibiarkan akan menyebabkan ianya dicemari, maka adanya keperluan agar jawatan itu dituntut dan diambil. Nabi Yusuf meminta jawatan menteri kewangan negara Mesir ketika zamannya, sekalipun pemerintah Mesir bukan seorang muslim. Namun apabila baginda mendapati adanya ruang untuk melakukan islah atau pembaikan dan menebarkan keadilan serta kebaikan maka baginda meminta.
Saya bertemu pelbagai orang yang menyertai politik pemerintah. Mereka memiliki pelbagai alasan menyertai politik. Ada yang ingin berbakti, ada yang menjawab keturunannya ahli politik, maka dia pun kena jadi orang politik. Ada pula untuk jasa bisnes, kalau tidak susah nak dapat projek. Juga pelbagai jawapan lain. Namun kita merindui jawapan yang menyatakan, penyertaan dalam politik adalah demi menunaikan tanggungjawab Islam. Penyataan itu pula mestilah dapat dilihat kebenarannya pada keperibadian dan keilmuannya.
Jika ada keikhlasan, maka bentuk kedua ini merupakan tindakan paling berkesan yang dibuktikan sepanjang sejarah. Lihat Nabi Yusuf, Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa pemerintah yang lain. Sejarah menunjukkan kegilaan menjatuhkan pemerintah muslim secara menyeluruh dan menaikkan pemerintahan puak atau kumpulan baru secara menyeluruh, adalah lebih mewakili sifat kerakusan politik dan kegilaan kuasa yang akhirnya akan menghalalkan segala cara. Sejarah dunia Islam hari ini banyak pembuktiannya.
Jika politik yang menguasai pemerintahan tidak didominasikan oleh golongan yang mempunyai idealisme dan prinsip selaras dengan agama, maka dunia politik kita akan dibelasah oleh ‘tangan-tangan yang entah siapakah gerangan’. Maka jangan kerana melihat pencemaran politik sedikit sebanyak yang ada menyebabkan golongan muda yang berwawasan baik dan jujur terus meminggirkan politik pemerintahan yang akhirnya kita bersungut meraba-raba mencari orang baik dalam politik. Bahkan sebaliknya disebabkan pencemaran yang ada itulah mendesak kita, seperti ia pernah mendesak Nabi Yusuf untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan. Namun ianya memerlukan antibiotik yang kuat, jika tidak individu yang ingin mengislahkan keadaan itu akan larut dalam pencemaran. Bimbang dia pula lebih lajak dari laju. Jangan sampai yang bergelar ilmuwan agama hilang ilmunya, ustaz hilang wataknya, dan imam hilang cirinya. Dek penangan harta dan kuasa. Daripada minat agama kepada minat jenama-jenama. Maka terhapuslah agenda islah yang diharapkan. Sebab itu baginda bersabda: seorang muslim yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan lebih baik dari seorang muslim yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah dinilai sahih oleh al-Albani). Maka beruzlah meninggalkan orang ramai kerana ingin menjaga diri sendiri tidaklah lebih baik dari yang bergaul dan membaiki keadaan. Melainkan jika dibimbangi kita dikuasai oleh keadaan.
Sebenarnya, dalam politik pemerintahan yang ada, masih ada ruang untuk mereka yang mempunyai perwatakan baik. Kita ada pemimpin dalam negara ini yang naik tanpa memerlukan politik wang dan lobi-melobi secara buruk. Namun dia menang dalam semua episod pemilihan atas wataknya yang dianggap baik dan beragama. Namun, secara umum watak-watak seperti itu tidak dominan dalam politik negara maka akhirnya kegilaan harta lebih tertonjol yang akhirnya membawa pertarungan sesama sendiri dan jatuh-menjatuh. Ini terutama apabila negara kita mula mengecap kemewahan dan kesenangan. Ianya persis seperti kata-kata Sayidina ‘Umar – yang saya sebutkan dahulu – ketika harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan dibawa kepadanya, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan.” Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian.” (Musannaf Abi Syaibah 8/147). Inilah yang terjadi jika jiwa tidak dididik dan diasuh.
Maka, usaha untuk mendominasikan tokoh-tokoh tajdid atau pembaharuan dalam politik pemerintah mestilah dilakukan dengan menggalakkan mereka yang mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang berkemampuan dan amanah menyertai kepimpinan politik negara. Mudah-mudahan lukisan buruk yang selalu tergambar kepada banyak pihak mengenai dunia politik dapat dibaiki. Keharmonian politik akan kembali. Politik benci-membenci, dendam-mendendami akan diganti. Kepentingan umat akan mendahului segalanya. Ini kerana kekuatan umat berkait dengan iman, kemudiannya persaudaraan dan ketiganya kekuatan persenjataan atau teknologi moden di zaman kini. Maka apalah ertinya negara yang dibina jika warga politik, rakyat dan pemerintahnya tidak habis-habis benci-membenci, musuh-memusuhi sepanjang masa. Maka hilanglah iman, hilanglah persaudaraan, akhirnya segala kekuatan akan dikuasai oleh musuh, atau disalahgunakan antara satu sama lain.
Ada orang berkata kepada saya; membaiki keburukan politik dari dalam sama seperti mencuci tong najis dari dalam. Tak mungkin dapat dicuci, bahkan akan terpalit kepada kita sendiri. Saya bertanya: Parlimen negara ini islamik atau tidak menurut piawaian yang saudara uar-uarkan itu? Jawabnya: Tidak islamik dan bercanggah dengan Islam. Saya berkata: Mengapakah anda menjadi ahli parlimen dan mengangkat sumpah untuk itu? Tidak cuba mencuci najis dari dalam? Dia diam. Manusia seperti ini tidak boleh diambil kira. Sudahlah piawaian itu salah, falsafahnya juga bercanggah-canggah.
Saya menyeru kepada pengislahan atau tajdid suasana politik dengan dua cara yang disebutkan agar Allah merahmati kita. Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 56-57: (maksudnya) Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang dia sukai. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.
The King and U
2 days ago