13/01/2008 - Apabila hasad mengambil tempat, kebaikan terpinggir

Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

HIKAYAT kisah-kisah Melayu lama banyak memuatkan tabiat Melayu yang cenderung untuk berhasad dengki. Saya tidak pasti sejauh manakah kebenaran kisah-kisah tersebut.

Namun yang pasti sama ada benar, bohong atau separuh bohong unsur hasad dengki mempengaruhi masyarakat Melayu. Mungkin ianya kisah yang ada asalnya, atau igauan perekanya yang selalu terbayang unsur-unsur hasad dengki yang sering mengambil peranan dalam masyarakatnya. Lihat sahaja Hikayat Hang Tuah, Hang Nadim dan pelbagai kisah lain. Mungkin ada masyarakat lain juga yang demikian, kerana hasad dengki adalah ‘penyakit antarabangsa’.

Dari segi realitinya – walaupun tidak semua – orang kita selalu hasad apabila melihat sesama kita maju. Padahal itu bukan sifat yang baik bagi bangsa yang sedang bersaing membangunkan kaum mereka.

Dahulu jika ada orang Melayu berkebun di kampung, ada yang menyindir: “Nanti habislah sayur Cina tidak laku.” Jika ada yang cuba berniaga, ada yang memerli: “Nanti tutuplah kedai Cina, aku nak tengok berapa hari boleh bertahan.” Pada zaman ini, jika mereka melihat ‘orang lain kaya-raya, mereka tidak pernah atau jarang mempertikaikan “daripada mana tauke itu dapat duit, atau boleh kaya?”

Namun jika ada sebangsa dengan mereka kaya, terus ada pemikiran negatif. Lalu mereka berkata: Barangkali ada ‘orang atas’ yang tolong, atau barangkali rasuah, kroni atau barangkali itu dan ini. Nilai-nilai negatif itulah yang menguasai pemikiran ramai tanpa sangkaan baik dan mendoakan agar sesama kita mendapat rezeki yang halal. Perangai ini sebenarnya bermula dari sikap bangsa Melayu itu yang ramai tidak ada keyakinan kepada diri sendiri untuk bermampuan seperti ‘orang lain’, juga berhasad dengki jika melihat di kalangan bangsanya ada yang lebih ke hadapan.

Barangkali ramai yang ‘begitu Melayu’ akan sensitif. Namun tokoh Melayu yang agung Za’aba menyebut hal yang sama. Dalam bukunya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang diharamkan oleh golongan agama konservatif pada zamannya, Za’aba menyebut: “Demikian pula jika hendak berniaga, orang kita tiada bermodal dan tiada upaya mencari modal walau modal kecil-kecil pun dengan ikhtiar sendiri; dan sentiasa mereka mengaku tiada upaya itu! Sebaliknya jika ada modal pula, mereka tiada upaya menjalankan perniagaan itu dengan jalan-jalan yang betul dan cara yang teratur, serta dengan amanah dan jimat cermat, sehingga mencapai kejayaan dan dipercaya orang. Padahal bangsa-bangsa lain yang datang sebagai ‘sengkek’ mula-

mulanya ke negeri ini dengan tiada mempunyai sebarang harta dan wang belanja – hanya ada tulang empat kerat dan akal ikhtiar serta kepercayaan akan kebolehan dirinya – dapat mereka berikhtiar mencari wang. Bahkan dilihat mereka negeri ini sememangnya negeri yang kaya-raya, dan semua perkara boleh jadi wang, sehingga sampah di tepi jalan itu pun boleh jadi wang belaka; sebab itulah mereka berkumpul ramai ke sini.

Kemudian setelah dapat wang maka dengan berjimat cermat dan berdikit-dikit dikumpulkan mereka lalu membuka kedai kecil-kecil barangkali di kampung-kampung, di kebun-kebun getah atau di hulu-hulu. Tetapi kerap kali yang kecil itu akhirnya menjadi besar dan maju lalu mereka berpindah berkedai di bandar-bandar pula.

Kesudahannya sehingga penuh segala bandar negeri-negeri Melayu ini oleh kedai dan tempat perniagaan mereka sahaja; dan segala pasar pun kecil besar pada kebanyakan tempat, mereka jugalah yang memegang dan memenuhinya! Sekalian itu ialah terutamanya oleh sebab mereka kuat berpegang kepada kebolehan sendiri. Begitulah sedikit daripada contoh yang menunjukkan kelemahan dan kekurangan kita daripada mereka itu dengan sebab mereka ada perangai percaya kepada kebolehan diri sendiri dan kuat bergantung kepada ikhtiar diri sendiri, dan kita tidak.

Ya, berkecualian daripada keadaan yang diceritakan itu tentulah ada dan boleh terdapat di sana sini. Tetapi berapa orang? Barangkali tidak ada satu dalam seribu atau sepuluh ribu. Yang terlebih banyaknya ialah seperti yang diceritakan itu juga… maka selagi tidak kita ubah sekalian ini, diganti dengan perasaan dan pemandangan hidup yang lebih baik, tidaklah akan diubah Tuhan hal kita, melainkan akan terbenam juga di dalam kubang kita yang ada ini selagi kita kekalkan sifat-sifat kelemahan yang ada pada diri kita sekarang.” (Za’aba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, DBP, 17-18).

Barangkali sebahagian orang Melayu sudah mengalami proses minda dan persepsi. Namun di kebanyakan kampung, apa yang disebut Za’aba masih segar. Salah satu sebab yang menghilangkan keyakinan masyarakat Melayu adalah banyak tersebar bicara dan ucapan manusia yang hasad sesama sendiri yang selalu meluahkan perkataan buruk apabila melihat orang lain lebih baik.

Ramai yang suka mempertikai kelebihan orang lain untuk dijatuhkan daripada membincang kesusahan sesama sendiri orang untuk dibantu. Maka apabila ada seseorang yang memiliki kelebihan atau kebaikan segala pergerakannya diperhatikan. Bukan untuk dicontohi, tapi untuk dikeji. Pantang ada salah dan silap. Namun jika ada seseorang yang melarat kesusahan, tidak pula mereka berbincang bagaimana hendak membantu. Itulah hasad yang mencukur pegangan agama seseorang.

Maka hasad adalah musuh utama masyarakat. Lebih buruk dari segala jenis penyakit. Hasad berasal dari bahasa Arab, dalam bahasa kita disebut dengki atau kita gabungkan Arab dan Melayu menjadi hasad dengki. Hasad secara mudahnya bermaksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada insan lain terhapus.

Maka seseorang yang hasad selalu gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Jika perasaan itu dilayan, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai. Maka lahirlah angkara-angkara buruk terhadap individu yang dihasadnya, tanpa dosa dan kesalahan melainkan kerana memiliki kelebihan. Masyarakat yang dipenuhi hasad akan dipenuhi berita utamanya; jatuh-menjatuh, umpat-mengumpat, fitnah- memfitnah, tuduh-menuduh, maki-memaki, kata-mengata dan segala macam perkara yang mendengarnya sudah memenatkan jiwa apatahlah lagi mengalaminya. Lihat dalam dunia politik Melayu, tidak habis-habis perkara seperti itu. Padahal mereka mengaku Muslim dan orang Islam itu bersaudara. Begitu juga dalam dunia golongan agama. Bahkan dalam dunia akademik juga kadangkala hasad berjaya mendapat tempat sehingga merobohkan nilaian ilmiah. Dalam dunia pekerjaan dan perniagaan juga demikian. Sebab itu Nabi s.a.w. bersabda: Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama (riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih, juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Politik

Dalam politik, ada kelompok manusia yang sanggup mewakafkan diri untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain. Habis satu pilihan raya kepada pilihan raya. Habis pemilihan kepada satu pemilihan.

Demikian dalam perniagaan, kekeluargaan, pendidikan dan pelbagai lagi. Si pendengki kadangkala tidak pernah letih dalam usaha menghilangkan kebahagiaan orang. Seakan membantah kurniaan atau nikmat Allah kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Allah mengingatkan kita dengan firmannya: (maksudnya) Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka? (surah Ali ‘Imran: 54).

Bagi si pendengki atau kaki hasad ini, berita gembira untuknya bukan ajaran al-

Quran atau sunah, tapi kisah keburukan lawannya. Jika ada isu buruk orang dihasadnya, ceria dan tersenyum wajahnya. Jika ada kebaikan orang yang dihasadnya pula maka bermasam mukalah dia.

Amat berbeza watak seperti ini dari ajaran Allah dan Rasul-Nya yang menyuruh kita bergembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita jahat yang menimpa saudara Muslim. Mereka ini bagaikan lalat bangkai; yang busuk dicari, jika jatuh ke dalam minyak wangi ia mati. Padahal Allah memerintahkan kita semua; tanpa mengira orang politik atau selainnya: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?

Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (surah al-Hujurat: 12). Pentafsir terkenal, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan Muslimin di zaman kini, beliau menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya.

Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi – atas apa alasan sekali pun – untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukumlah manusia berasaskan apa yang zahir.

Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka… demikianlah nas ini (larangan mengintip) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama.” (rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq). Namun atas ketamakan dan hasad dengki, ramai yang melarang pantang larang ini.

Dalam urusan agama, kadangkala kita jumpa sesama yang berjubah atau berlabel agama pun hasad-menghasad. Ditolak pendapat yang benar dan dalil yang sahih kerana soal umur, daerah dan aliran. Bukan mempertahankan fakta dan kebenaran, tetapi dek perasaan dengki dan hasad. Saya masih ingat apabila saya bercakap soal mengintip khalwat, ramai yang menolak atas alasan itu pendapat ‘orang muda’.

Bahkan yang berjawatan penting agama menolak mentah-mentah hujah saya hanya semata ‘dia mufti muda’. Lucunya apabila pemimpin utama negara menyatakan pendirian yang sama, maka yang membantah itu muncul dalam media menyokong pemimpin negara dan membaca dalil seperti yang saya baca seminggu sebelum itu. Padahal mereka menolaknya mentah-mentah sebelum itu. Kadangkala agama bagaikan mainan.

Dalam sejarah Rasulullah, golongan yang paling mengetahui tentang kebenaran baginda ialah golongan ahli kitab. Namun merekalah yang paling kuat menentang baginda. Mereka menolaknya kerana hasad, sebab Nabi Muhammad bukan dari kelompok mereka.

Lalu kedengkian itu menguasai jiwa mereka. Firman Allah: (maksudnya) Banyak di kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w.). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Baqarah: 109).

Berlaku

Bahkan hasad dengki boleh berlaku di kalangan kaum keluarga, kadangkala sanggup berpakat dengan musuh untuk menentang saudara seagama hanya disebabkan perbezaan parti atau kumpulan. Dalam sejarah Nabi Yusuf beliau dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya, hanya kerana hasad dengki. Al-Quran menyebut ucapan mereka: Ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.” (Ramai di antara mereka berkata): “Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik.” (Surah Yusuf: 8-9).

Justeru itu Nabi s.a.w. bersabda: Manusia ini terus berada dalam kebaikan selagi mereka tidak dengki-mendengki (riwayat al-Tabarani, disahihkan oleh al-Albani). Sabdanya juga: Tidak akan terhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad (riwayat Ibn Hibban dihasankan oleh Al-Albani). Masyarakat yang dipenuhi dengan hasad adalah masyarakat yang kotor di sisi Tuhan dan porak-peranda dalam agenda kehidupan.