Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
SAYA pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.
” Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimpa kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, – sekalipun boleh menimbulkan keresahan – adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin. Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang disampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya..
Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka. Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “Jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut.” Dalam ketakutan raja menjawab: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya.” Demikianlah juga menteri- menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang. Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang.” Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘tauke-tauke’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.
Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya. Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”
Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan ‘fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201). Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan korporat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata. Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w.: Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman (riwayat Ahmad, Abu Ya‘la dan al- Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani). Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.
Memperbodohkan
Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebak, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara. Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temu bual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.
Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas- luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus.” (Ibn Muflih, Al- Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)
Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka‘ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada tauke-tauke besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggungjawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.
Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperoleh, jika pemberi maklumat atau penganalisis itu masih lagi membodek dan mengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.
Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantung’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’. Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu‘awiyah kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu‘awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan. Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!” (surah al-Hasyr: 16). Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu.” Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.” (surah al-Anfal: 48). Ya Allah! Daku telah menyampaikan!
The King and U
3 days ago