30/03/2008 - Impian rakyat adalah melihat keadilan dan kesaksamaan

RAKYAT bukan mengharapkan dari pemimpin untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri seperti peraga fesyen mempamerkan gaya dan keranggian pakaian mereka di atas pentas.

Apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin melakukan keadilan dan kesaksamaan. Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil, amanah terhadap harta negara.

Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan. Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terserlah keadilannya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-

tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.” Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.”

Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: “aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.” (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Maka kita tidak peliklah mengapa umat ini sepanjang sejarahnya amat merindui dan mencintai pemerintahan al-khulafa al-rasyidin terutama Khalifah Umar bin al-Khattab ini. Beliau pernah berkata kepada gabenor yang dilantiknya iaitu Abu Musa al-‘Asy‘ari: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang dari orang ramai, melainkan Allah menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban antara mereka.”

Justeru itulah al-‘Adl wa al-Musawah (keadilan dan kesaksamaan) adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam. Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan pelaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam menguruskan harta rakyat mereka.

Lihatlah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, ketika beliau berkuasa sebagai khalifah lalu berselisih dengan seorang Yahudi yang merupakan rakyat negaranya mengenai kuda Yahudi berkenaan yang hendak dijual. ‘Umar mencubanya sehingga cacat.

Umar berkata kepada Yahudi berkenaan: “Carilah seorang yang dapat memutuskan kes ini.” Kata yahudi berkenaan: “Aku reda dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim.” Shuraih yang merupakan seorang muslim yang bertakwa lagi bijak dalam penghakiman. Apabila diangkat kes ini kepada Shuraih dia berkata kepada Umar yang merupakan seorang khalifah yang berkuasa: “Engkau telah mengambilnya dalam keadaan elok, maka engkaulah penjaminnya maka hendaklah engkau pulangkan semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat.”

Kerana kes itu, Shuraih dilantik menjadi hakim besar oleh ‘Umar. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq‘in, 1/109). Ini keadilan dan keinsafan. Seseorang yang adil lagi berkelayakan itu ditabalkan, bukan dipecat. Sekalipun keadilan itu terpaksa dirasai kepedihannya oleh pemerintah sendiri.


Prinsip

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13). Sabda Nabi s.a.w pula: Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam).

Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas a‘jam (yang bukan Arab), atau a‘jam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi Tuhan.

Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia.

Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan pelbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya.

Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetap tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak. Dengarlah apa yang Allah ingatkan Nabi Daud tentang kekuasaan.

Firman Allah: (maksudnya) Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (surah Sad: 26).

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperoleh oleh rakyat biasa. Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-

orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar berasa aman, terbela dan tidak dianiayai. Namun, jika pemerintah mula campur tangan dalam sistem pelaksanaan qada’ (kehakiman) maka keadilan akan menjadi mangsa. Inilah yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq apabila memegang tampuk kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu.

Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.

Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.

kerajaan

Saya kurang setuju jika seseorang memikirkan yang dikatakan kerajaan Islam yang adil itu perkara pertama yang terbayang dalam kepalanya ialah memotong tangan pencuri. Walaupun nas itu ada dalam al-Quran, namun ianya hanya jalan ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman, bukan teras asas pemerintahan. Teras pemerintahan Islam adalah seperti firman Allah: (maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat (surah al-Nisa: 58).

Jelas dari ayat ini menegakkan keadilan di kalangan manusia, memberikan hak kepada yang berhak, amanah terhadap kuasa dan harta yang dipertanggungjawabkan, selalu mengingati Allah dalam melaksanakan kepimpinan adalah asas kerajaan Islam yang adil. Mengapakah kita suka menonjolkan hukum, bukan menonjolkan kerahmatan sistem Islam itu terlebih dahulu?.

Saya amat hiba apabila membaca kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.

Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144). Betapalah saya hiba menterjemahkan perkataan Umar bin Abd al-Aziz ketika menulis rencana ini.

Terasa kerinduan yang amat dalam untuk melihat dan memiliki kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan seperti itu. Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah seperti Umar. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua. Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak saudara, atau sahabat setia.

Bayangkanlah ungkapan ‘Umar dengan sesetengah manusia yang ketika rakyatnya sedang menderita, atau ditimpa kesusahan, dia masih lagi punyai masa bersuka ria bersama keluarga.

Jika pemimpin menangis mengenangkan nasib mereka di akhirat. Mudah-mudahan rakyat mereka akan tersenyum gembira di dunia dan mereka pula tidak akan menangis lagi pada hari akhirat kelak.

Namun, jika pemimpin asyik ketawa besar di dunia sedangkan rakyat ramai yang menangis derita, pemimpin jenis ini dibimbangi akan menangis besar di hari akhirat.

Wahai para pemimpin, kami sekalian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.