25/11/2007 - Apabila berpolitik tanpa prinsip

KEJAYAAN dakwah para anbia ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah kemestian dalam dakwah. Ramai anbia yang tidak menang. Bahkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai-bagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada 10 orang). Ada pula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tidak ada nabi yang mengubah prinsip kerana inginkan pengikut sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s.

Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak kekal dalam seruan. Perjuangan para anbia adalah menegak akidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada Allah. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid. Para pengikut manhaj anbia dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan pegangan prinsipnya sama.

Adalah malang jika jamaah, kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras perjuangannya. Maka berpecah-pecah pendirian antara mereka dan hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Ada yang sokong akidah Syiah, ada muktazilah, ada penyeru para wali, bomoh, ada yang suka mengkafirkan orang seperti ajaran khawarij dan yang berakidah Ahli Sunah Waljamaah. Soal prinsip berbeza. Namun soal isu perundangan, pilihan raya dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbia dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun tegas dan tegap dalam prinsip.

Dalam Islam ada politik seperti adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun terasnya adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.

Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan. Pendakwah Muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunah sebagai prinsip diikuti pelaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah Muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam sekalipun orang itu rakan organisasi atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah Muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.

Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka bersatu atas prinsip, lalu maaf dan memaafi perbezaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.

Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Politik boleh bagi mereka jika mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada Allah untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini mesti difahami. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik seperti itu dan menyebut seperti firman Allah, (al-A’raf ayat 43): “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami.”

Allah s.w.t menyebut dalam surah al-‘Asr: Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula pesan-memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Pesan-memesan kepada kebenaran diiringi dengan pesan-memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai? Namun orang politik - sekalipun atas nama Islam - biasanya sering rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Sedangkan penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan pendakwah yang ikhlas selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan seruan kepada keluasan Islam itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun namanya tidak disebut dan habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. Allah berikan kamu dua pahala.” Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunah. Peperangan hanya tercetus apabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrontasi terhadap individu pemerintah. Konfrontasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian sikap baginda dengan pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah Muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat ingin kita porak-peranda.

Semasa dakwah ditindas di peringkat awal, baginda mengarahkan sebahagian para sahabah berhijrah ke Habsyah. Pemerintahnya ketika itu ialah Najasyi yang Kristian namun adil dan dapat melindungi kaum Muslimin. Setelah Najasyi menganut Islam, baginda tidak pula menyuruh Najasyi meletakkan jawatan sekalipun kerajaannya Kristian. Kedudukan Najasyi memberikan manfaat kepada kaum Muslimin di negaranya dan keadilan untuk rakyat. Dalam hadis al-Bukhari daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda ketika kematian Najasyi: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi).”Ini adalah tanda redanya baginda dengan pendekatan oleh Najasyi.

Namun dalam Islam mengampu pemerintah adalah dilarang. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Lagipun sikap melampau dalam membenci atau suka amat dilarang agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya dek masa depan kuasanya. Tidak begitu Rasulullah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman Allah (Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Hinanya umat ini apabila kita tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.

Daripada Thauban, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Akan tiba masanya umatumat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya:“Ya Rasulullah apakah al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya (Al-Albani, Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 2/647 Riyadh : Maktabah al-Ma‘arif).

Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat. Seperti disebutkan, saya bukan pandai politik kepartian namun ingin berkongsi perasaan kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah hairan jika suatu hari kumpulan berlabelkan Islam dipinggirkan kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan Allah dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”

Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran insan yang tidak pandai sepak terajang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan. Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan? Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktiviti, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang? Untuk siapa perjuangan ini? Dan atas jalan (manhaj) teladan siapa kita lusuri perjuangan ini?