INILAH artikel pertama saya selepas tidak lagi menjadi mufti. Kali ini saya menulis ketika saya berada di Lampeter, United Kingdom. Di sini agak 'ulu' sedikit. Jumlah pelajar Malaysia di sini pun agak tidak ramai. Kalau nak beruzlah memanglah sesuai. Tapi insyaAllah saya bukan beruzlah.
Saya bertolak ke sini pada 1 Disember lepas. Masih belum mendapat rumah untuk tinggal. Bukan tiada rumah, tapi menghitung 'bajet' yang sesuai. Belum dapat mengikuti perkembangan Malaysia sepenuhnya. Pada Aidiladha baru-baru ini saya berkhutbah di Malaysia Hall di London. Bertemu dengan orang-orang Malaysia. Turut hadir Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau bermurah hati menjamu orang Malaysia di sini. Di samping membawa saya mengenali London.
Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang amat tidak bersetuju dengan tindakan ini. Ratusan e-mel dan SMS yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka.
Kata mereka, saya mesti teruskan agenda yang telah berjalan dan mula membuatkan hasil yang agak lebat. Sehingga baru-baru ini saya bertemu seorang tua warga Malaysia di London berkata dengan nada yang sebak, "Tidak patut Dr. tinggalkan Malaysia. Sepatutnya berjuang sehingga habis".
Sehingga ada yang menyebut: "Tak baik tinggalkan Malaysia, nanti jadi macam Nabi Yunus yang tinggalkan kaumnya, lalu dia ditelan ikan".
Saya tersentak dengan kenyataan itu dan amat berdebar. Pohon perlindungan Allah dari semua itu. Saya berkata kepada mereka: "saya tidak tinggalkan Malaysia, saya akan pulang nanti setelah tugasan selesai, insya-Allah".
Ramai yang bersungut kerana mereka rasa saya tidak akan menulis lagi dalam Mingguan Malaysia. InsyaAllah, saya akan meneruskan walaupun tidak sepanjang dahulu. Cuma saya tidak dapat melihat sendiri di manakah artikel saya akan ditempatkan. Janganlah pula artikel saya pun diletakkan di muka surat yang 'ulu' juga.
Di samping tugasan sabatikal saya iaitu membuat kajian dalam tajuk yang ditetapkan, banyak perkara saya rancang untuk lakukan. Saya doakan agar Allah memudahkan urusan saya. Saya mula berkenalan dengan beberapa tokoh Islam di sini. Sebahagiannya sudah saya kenali sebelum ini. Ada banyak jemputan yang dikemukakan kepada saya. Saya mengharapkan pertolongan Allah agar saya dapat mengendalikan semuanya di samping tidak mengganggu tugasan asal saya.
Saya menganggap kembara ini sebagai perjalanan menuntut ilmu agar membantu saya berbicara tentang Islam selaras dengan tahap pemikiran sesetengah manusia hari ini yang banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Barat.
iktibar
Sabda Nabi saw: Bicaralah kepada manusia apa yang mereka tahu (faham) (Riwayat al-Bukhari). Demikian juga, semoga Allah membuka ruang kepada saya apa yang tidak dibuka sebelum ini. Hadir ke sesuatu destinasi untuk bercuti atau sekadar mendapat sijil, tidaklah sama dengan hadir untuk meneliti dan mengambil iktibar.
Ramai yang ke Mekah pada musim haji tetapi hanya mampu membawa balik barangan yang dibeli di Mekah, tetapi gagal mengambil iktibar dan membawa pulang contoh-contoh amal ibadah yang mengikut sunah Nabi saw yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Mengapa? Kerana mereka tidak hadir untuk mengambil iktibar atau gagal membebaskan diri dari kongkongan pemikiran setempat. Hanya kepada Allah diserahkan niat dan harapan.
Saya melihat antara masalah besar sesiapa sahaja yang berbicara tentang Islam di sepanjang zaman adalah soal keikhlasan jiwa. Ketulusan jiwa yang ikhlas hanya mencari keredaan Allah amatlah sukar untuk ditabal dalam perasaan, sekalipun mudah untuk dibicarakan.
Apabila seseorang insan, atau tokoh yang memperkatakan tentang Islam gagal untuk mengaitkan hubungan pandangannya itu dengan keredaan Allah SWT, maka ramai tenggelam dalam dunia falsafah yang tiada penghujungnya, atau kepentingan kedudukan diri, puak, parti yang tiada kesudahan, atau ketaksuban yang tiada pegangan. Sehingga mereka lupa mengira atau menghitung bicara atau pendapat atau falsafah yang mereka kaitkan dengan Islam itu kesudahannya membawa kepada keredaan Allah atau kemurkaanNya? Ke syurga atau neraka?
Justeru itu dalam hadis daripada Ka'b bin Malik r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, dipersetujui kesahihannya oleh al-Zahabi).
Inilah krisis ilmuwan Islam sepanjang zaman, krisis keikhlasan niat yang membawa kepada hilangnya hala tuju dalam mencari hakikat atau kebenaran sesuatu perkara.
Inilah krisis yang berlaku dalam kalangan golongan ahli agama terlibat dalam politik, pentadbiran atau kajian. Akhirnya, mereka yang kononnya membawa 'bendera Islam' itu dalam beberapa keadaan menjadi unsur yang merosakkan pembangunan umat Islam, masa depan atau ilmu Islam yang sebenarnya dek kerana mempertahankan kepentingan diri atau puak.
Justeru itulah al-Imam al-Bukhari (meninggal dunia pada 256H) meletakkan hadis yang pertama dalam Sahih al-Bukhari hadis Setiap amalan itu berdasarkan niat. Walaupun dari segi sususan tajuk kitabnya itu, tidak sesuai hadis tersebut menjadi hadis pertama, tetapi mungkin beliau ingin mengingatkan pembaca tentang kepentingan mengikhlaskan jiwa dalam memahami ilmu.
Ramai tokoh Islam tersasar menjadi fanatik parti, taksub mazhab, berjuang untuk kedudukan bagi mendapatkan harta dan kedudukan semata, menolak nas-nas agama yang jelas kerana mempertahankan pegangan peribadi atau tempatan, semuanya berpunca niat yang tidak dibulatkan kerana Allah semata-mata dalam mencari kebenaran.
menyeleweng
Kemudian, insan setelah mengikhlaskan niat di jiwanya, wajib pula selepas itu mengikuti disiplin ilmu secara yang tepat atau peta perjalanan yang betul bagi membolehkan dia sampai destinasi yang dituju.
Jika niatnya betul, petanya salah, dia tetap tidak menemui jalan yang dituju. Jika petanya betul, tetapi niatnya salah, maka dia sendiri akan menyeleweng dari jalan petunjuk yang sepatutnya dia sampai.
Maka kehidupan yang sebenar ditegak atas amalan yang terbaik. Amalan yang terbaik ditegakkan atas yang paling ikhlas dan paling tepat. Firman Allah: (maksudnya) Dialah (Allah) Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan - untuk menguji kamu: siapakah antara kamu yang terbaik amalan; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2).
Inilah mukadimah saya bagi ruangan baru ini. Insya-Allah saya akan ikuti dengan berbagai-bagai isu selepas ini. Perjuangan dan agenda perubahan dengan izin Allah akan diteruskan.
The King and U
2 days ago