Minggu lepas ketika di Prague, Republik Czech saya mengambil peluang berjalan-jalan di kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas. Walaupun usia bandar ini sudah 10 abad, namun bangunan bersejarahnya masih dipelihara.
Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini. Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga. Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini. Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang. Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.
Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekular, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah. Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.
Dalam Islam, agama mengatasi mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”. Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.
Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk menggergaji dari celah kelengkang orang yang dihukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi saw pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu. Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi saw: “Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”.
Antara yang yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas. Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut. Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang Eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus. Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah. Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan ‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat. Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka. Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga. Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain? Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala. Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaan. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung. Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.
Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini. Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.
The King and U
2 days ago