Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politik yang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari perdamaian dalam kalangan kaum muslimin. Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!”. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat)”. (Surah Fussilat ayat 33-35).
Allah mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaranNya bukan kepada kepentingan diri, parti atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak.
Kemudian Allah mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah. Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia.
Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.
Saya tahu ramai orang politik baca ayat ini. Mereka juga tahu Allah menyebut dalam firmanNya yang lain (maksudnya)
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).
Juga sabda Nabi s.a.w:
“Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam melenting dengan idea perdamaian antara kelompok-kelompok Islam yang berbalahan. Mungkin kerana dia kurang jelas maksudnya, atau beberapa andaian politik yang menakutkan.
Apapun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwwah islamiyyah. Bak firman Allah: (maksudnya)
“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).
Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba duduk semeja, maaf memaafi dan berunding untuk kebaikan umat dan rakyat.
Semasa saya masih menjawat jawatan Mufti Perlis, saya telah pun menulis rencana dalam Mingguan ini bertajuk “Apa Salahnya Mereka Duduk Semeja?”. Pihak TV9 juga ketika itu turut menjemput saya untuk mendiskusikan tajuk tersebut dalam siarannya.
Hari ini, hasrat itu dinyatakan sendiri oleh orang politik. Saya mulanya amat bersyukur. Namun nampaknya ia tidak semudah itu. Rintangan dan halangan amat besar dan sukar. Dendam, prejudis, hasutan dan sejarah silam membaluti isu ini.
Nampaknya lebih mudah untuk kelompok-kelompok politik muslim ini duduk dengan ‘orang lain’ dibandingkan saudara muslim mereka sendiri. Jika ada pun rekod buruk perdamaian yang pernah berlaku antara PAS dan UMNO, itu telah pun berlalu. Mereka yang terlibat dalam sejarah lepas sudah pun tiada dalam layar politik hari ini.
Kita bukan Kristian yang mempercayai dosa warisan Adam ditanggung oleh anak cucunya dan tidak akan terampun melainkan Jesus disalibkan. Sebaliknya kita ini percaya dengan apa yang Allah sebutkan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya: (maksudnya)
“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” (Surah Ali ‘Imran ayat 134).
Ada yang berkata jangan sampai jadi macam tentera ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang ditipu oleh ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin ‘Abi Sufyan. Mengambil kesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin Abi Sufyan tidak pernah menipu ‘Ali bin Abi Talib. Riwayat-riwayat Syi’ah telah mempengaruh pemikiran sebahagian besar pembaca sejarah.
Riwayat-riwayat rawi Syi’ah seperti Abu Mikhnaf (meninggal 157H) telah menggambarkan seakan para sahabah Nabi s.a.w mengkhianati antara satu sama lain. Padahal kesemua para sahabat tersebut mendapat pujian Nabi s.a.w semasa hayat baginda.
Sebenarnya, setelah berlaku peperangan ‘Ali dengan Muawiyah dan puluhan ribu orang Islam terbunuh, Mu`awiyah telah mengangkat al-Quran dan menyatakan:
“Ini dia penyelesaian antara kami dan kamu, sekiranya semua manusia (umat Islam) musnah, siapa yang akan menjaga sempadan, siapa yang akan berjihad menentang golongan musyrikin dan kuffar?”. Maka, peperangan pun dihentikan.(‘Iyadah Ayyub al-Kubaisiy, Sahabah al-Rasul fi al-Kitab wa al-Sunnah, m.s.319-321, Syria: Dar al-Qalam).
Selepas perdamaian tersebut maka terjadilah peristiwa Tahkim yang masyhur. Malangnya hakikat sebenar Tahkim ini telah diputar belitkan dengan menggunakan riwayat-riwayat palsu yang kononnya `Amr bin al-`As telah menipu Abu Musa al-Asy`ari. Tokoh sejarahwan agung Muhibb al-Din al-Khatib berkata
“..apa yang diperkatakan oleh mereka yang keliru bahawa Abu Musa dan `Amr telah bersetuju memecat `Ali dan Mu`awiyah, apabila Abu Musa memecat `Ali, `Amr juga memecatnya tapi mengekalkan Mu`awiyah adalah satu kekeliruan, dan sengaja mereka itu bersikap jahil. Sebabnya Muawiyah ketika itu tidak pernah menjadi khalifah dan tidak pernah mendakwa sebagai khalifah sehingga perlu `Amr memecatnya. Sebaliknya mereka telah bersetuju menyerahkan urusan kekhalifahan kepada umat Islam yang ada, yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang mana Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan meredhai mereka. Kedua-duanya telah bersetuju demikian. Oleh itu tidak timbul mengenai persoalan Mu`awiyah, kerana beliau bukannya khalifah dan beliau juga tidak berperang untuk menjadi khalifah, sebaliknya kerana menuntut dilaksanakan hukuman had syar’i kepada mereka yang terlibat dalam pembunuhan `Uthman. Apabila Tahkim menyentuh persoalan kepimpinan orang Islam, kedua-duanya telah bersetuju untuk diserahkan masalah ini kepada para pembesar sahabah. Adapun berhubung dengan perlaksanaan pentadbiran, `Ali menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya dan Mu`awiyah pula menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya. Oleh itu di dalam peristiwa Tahkim tidak ada kisah tipu daya dan helah..” (al-Awasim min al-Qawasim (ta’liqat) m.s. 177, Beirut: Dar al-Khair).
Apa pun, sejarah Siffin amatlah hitam kerana telah mengorbankan umat Islam begitu banyak. Sebab itu dari awal lagi, majoriti para sahabat Nabi s.a.w.enggan terlibat dengan perbalahan tersebut. Kata tokoh tabi’in Muhammad bin Sirin:
“Ombak fitnah melanda sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat di dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264).
Ya, kita pun hanya ingin terlibat jika PAS dan UMNO ingin berukhuwwah, tetapi tidak sebaliknya. Namun kita akan menentang pihak yang melampau kerana itu arahan al-Quran!
The King and U
1 day ago