30/8/09 - Apa Yang Mereka Perjuangkan Itu?

Pilihanraya Permatang Pasir telah pun selesai. Saya pulang ke Malaysia betul-betul pada hari penamaan calon. Pusat penamaan calon iaitu IKBN, Mengkuang Bukit Mertajam pula betul-betul berhampiran rumah saya, sekalipun kawasan saya tidak termasuk dalam DUN berkenaan.

Ramai yang tidak tahu bahawa saya mempunyai dewan pengajian untuk orang awam iaitu Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bersebelahan rumah saya. Dewan ini sering menganjurkan berbagai aktiviti ilmiah yang bersifat ‘terbuka’ dari sudut pemikiran fekah dan ‘kepartian’.

Para jamaahnya cuba diserasikan dengan prinsip-prinsip ilmu yang merentasi sebarang sempadan kepartian dan mazhab fekah. Oleh kerana kawasan bangunan dewan ini luas, ramai yang datang dari luar Pulau Pinang yang tidak tahu tentang dewan ini melintasi di hadapannya atau cuba menggunakan kemudahannya.



Sebahagian yang tahu saya sudah pun berada di Malaysia datang dan mengunjungi saya di rumah. Maka, sepanjang tempoh berkempen ramailah juga tetamu saya yang terdiri dari kalangan tokoh kedua-dua parti yang bertanding.

Seperti biasa, saya memberikan pandangan saya yang tersendiri mengenai cara politik kedua-dua parti tersebut. Ada juga di kalangan tokoh-tokoh yang datang itu menegaskan tentang keperluan untuk saya menjadi aktivis parti mereka. Mereka mengemukakan alasan dan hujah, saya berdiam sahaja. Saya belum berfikir sehingga ke situ. Namun beberapa kesimpulan pemikiran politik dapat saya rumuskan.

Tanda Aras

Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench-mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik..”(Surah Mumtahanah, ayat 4).

Firman Allah juga: (maksudnya)

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah s.w.t agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah:

“Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka..” (Surah al-An’am, ayat 90).

Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita. Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau ‘parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat. Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihanraya untuk sebarang pemilihan kerena tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama!

Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan’ seperti yang diajar dalam qawa ‘id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah). Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya.

Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya. Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.

Soalannya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi ‘yang paling ringan mudarat’, bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik?! Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar?! Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita..

Kualiti Perjuangan

Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu samada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan email yang menyebut: “saudara, saya penyokong anda”, atau “saya peminat anda”, atau “saya berikan sokongan penuh perjuangan anda”.

Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: “apa yang anda sokong?”, “apa yang anda minat?”. Alhamdulillah, ramai yang menjawab: “saya pembaca setia tulisan anda”, atau “saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media”, atau “saya sering menghadiri kuliah anda”.

Namun jika ada yang menjawab “saja, seronok-seronok” atau “kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka”, atau “sekadar trend terkini” tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.

Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan ‘keramaian’ dan ‘faedah sampingan’ yang diperolehi.

Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihanraya.

Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau ‘makan percuma’.


- Gambar Hiasan

Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerana ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealismanya ditelan isu-isu peribadi.

Menetapkan halatuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup. Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?.

Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan matlamat dan halatuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.

Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka ‘bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut?, maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan.

Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya. Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.

16/8/09 - Kembara Merentasi Benua Kehidupan

Saya tidak suka menulis tentang diri sendiri di ruangan ini. Namun izinkan saya mencoret kali ini seperti mana saya pernah coretkan hari terakhir saya menjadi Mufti Perlis. Tulisan ini adalah tulisan terakhir saya selama berada beberapa bulan di United Kingdom.

Ketika ini, bilik asrama kecil lagi usang yang hampir berusia 200 tahun, yang saya tinggal dalamnya beberapa bulan sebagai ‘orang bujang’, berselerakan dengan barang-barang yang sedang dikemas. Bilik ini terletak dalam bangunan yang dinamakan Old Building, University Of Wales, Lampeter.

Kenapa saya sampai ke sini? Hanya Allah Yang Maha Tahu. Dahulu, saya memang sering berdoa untuk dapat buat sabatikal di UK. Hanya kerana saya sudah pernah tinggal di Negara Arab, harapnya ada sedikit pengalaman baru di negara Barat. Saya tidak pula terbayang di mana universiti saya akan pergi. Sehinggalah saya ‘tercampak’ ke cerok Lampeter yang tenang dan nyaman ini.

Memang, tidak pernah satu hari saya terbayang akan sampai ke daerah yang seperti ini. Namun, saya syukur dan akur atas segala kurnia, kerna hikmah kehidupan menjelma dalam pelbagai rupa dan ruang.


- Gambar Hiasan

InsyaAllah, pada hari ini (Ahad), hari artikel ini diterbitkan adalah hari saya sampai ke Malaysia. Saya membaca semula tulisan lepas saya yang bertajuk Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis. Artikel itupun diterbitkan pada Ahad, hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Terus selepas itu, saya ke UK.

Ahad yang bermaksud satu adalah hari pertama dalam bilangan hari. Ia sering menjadi hari terakhir saya dalam tugasan. Baik juga, kerana sering memberi saya peluang membuat kesimpulan di ruangan ini. Apapun, Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

“..dan demikian itulah hari-hari Kami jadikan ia bersilih ganti antara sesama manusia” (Surah Ali ‘Imran: ayat 40).

Ya! Hari berganti, manusia berubah kedudukan, keadaan dan berbagai lagi. Allah mengubah iklim dan warna kehidupan kita dengan berbagai cara. Kesemua itu menerusi hari-hari dalam perjalanan apa yang dinamakan al-hayat al-dunya atau kehidupan dunia. Maka kita pun sedar, kita adalah kembara yang merentasi benua kehidupan untuk sampai ke satu perhentian yang bernama ‘kematian’. Di sanalah akan bermula alam baru dan cerita baru.

Namun cerita baru itu berkait sepenuhnya dengan diari kembara kita merentasi benua kehidupan ini. Bak kata Nabi s.a.w:

“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).


Bicara Untuk Semua

Ramai yang bertanya, “selepas ini nak bertugas di mana?”. Saya kata: “di mana sajalah”. Semua orang tahu, sebelum saya menjadi Mufti Perlis, saya pensyarah USM dan saya datang sabatikal pun di bawah USM. Saya hanya jadi Mufti dalam masa dua tahun sebulan. Sebelum itu saya telah hidup tanpa sebarang jawatan yang ‘gah’.

Saya orang kampung, dari keluarga yang teramat sederhana. Sekian lama hidup sebagai rakyat ‘marhaen’ maka persoalan jawatan amat kecil untuk difikirkan. Apa yang utama bagi saya, bagaimana agar pendapat dan pandangan boleh disampaikan. Saya pohon perlindungan dengan Allah dari pena dan lidah saya tidak dirampas orang.


- Gambar Hiasan

Jika pena saya ‘dipatahkan’ atau lidah ‘dipotong’ sehingga saya tidak dapat menulis dan berbicara, saya berharap saya masih mempunyai kekuatan untuk menggerakkan kepala bagi menyatakan tanda setuju atau bantah. Namun, jika dirampas semua, apa lagi yang tinggal bagi sebuah kehidupan ini, melainkan jantung hati yang redha pada yang baik, dan engkar pada yang buruk?!

Dua bulan lepas, saya pulang seketika. Itulah kali pertama saya berada di Malaysia selepas melepaskan jawatan Mufti kerana hari pertama saya meninggalkan jawatan tersebut saya terus terbang ke UK. Saya bersyukur, dalam masa beberapa hari itu, kedua-dua bekas Perdana Menteri kita masih sudi menjemput saya bersembang di pejabat mereka masing-masing.

Demikian juga YAB Timbalan Perdana Menteri. YAB Ketua Menteri Pulau Pinang pun mengajak saya ke kediaman rasminya. Sahabat saya, Ketua Pemuda PAS dan timbalannya juga datang berbual panjang dengan saya. Banyak perkara dan isu dapat kami bertukar-tukar pandangan. Juga YB Penasihat PKR, ada bercakap dengan saya melalui telefon memberitahu beliau akan pulang ke Pulau Pinang dan mengajak saya bersembang jika ada ruang.

Namun, nampaknya masa ketika itu tidak mengizinkan. Apapun, saya bersyukur, saya masih dapat berbicara dengan semua sahabat dan insan-insan ‘utama’ ini. Juga syukur mereka tidak melihat apa jawatan saya, tetapi melihat saya sebagai seorang rakyat dan ‘sahabat’. Saya harap saya dapat kekal atas landasan ini, berbicara untuk semua tanpa kepentingan diri atau parti. Saya akan menyokong apa yang saya yakin baik, dan mengkritik apa yang saya rasa tidak benar atau tidak wajar. Jiwa kita akan merasa lapang dan bahagia apabila kita bebas dari ketaksuban atau fanatik.

Tawakkal


Hidup ini bagaikan lautan yang luas. Kita hanyalah perahu kecil yang sedang menongkah gelombang. Lihatlah betapa ramai yang ‘gah’ dengan kedudukan dan jawatan mereka semalam, hari ini tiada lagi kemegahan itu. Siapa yang dapat memastikan kedatangan hari esok membawa bahagia kepadanya?!

Sebagai muslim, untuk merentasi benua kehidupan ini, tiada lain yang dapat kita bertaut melainkan ‘at-tawakkal ‘ala Allah’ atau bergantung harapan kepada Allah. Jiwa apabila benar-benar bergantung dan merintih harapan kepada Allah, keajaiban hidup akan berlaku tanpa diduga. Setiap mereka yang melalui hakikat tersebut akan dapat merasai kebenaran kata-kata ini.

Itulah sebabnya mengapa begitu banyak ayat al-Quran dan Sunnah menyuruh kita di samping usaha hendaklah bertawakkal. Cumanya, tawakkal adalah perkataan yang mudah disebut, tapi sukar untuk dihayati dalam ruh dan kehidupan. Ramai yang menyebutnya, tidak ramai yang diresapinya dalam merentasi perjalanan ini. Bacalah ayat-ayat al-Quran berkaitan tawakkal, ia akan membawa kita ke suatu alam yang penuh keyakinan dan kelapangan jiwa dan perasaan.

Bekalan

Saya datang ke UK untuk sabatikal seperti mana kebanyakan pensyarah universiti lakukan. Saya tinggalkan jawatan mufti. Saya cuba memahami apa yang barangkali saya belum lalui sebelum ini. Bak kata penyair, Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:

“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).

Setiap kali kita mengembara, kita melihat sesuatu yang baru yang jika pun tidak mengubah hidup, ia pasti memberi kesan. Bahkan dalam sejarah al-Imam al-Syafi’i, beliau mengubah banyak fatwanya semasa di Iraq, apabila melihat situasi dan perkara baru di Mesir. Sehingga pandangan beliau dibahagikan kepada qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru).

Beberapa tokoh revivalist Mesir berubah ketika melawat Negara Barat dan begitulah berbagai sejarah manusia berubah disebabkan kembara. Seorang muslim pastinya tidak berubah prinsip Islamnya, tetapi mungkin akan berkembang beberapa tafsiran dan ruang wacananya. Apa yang lebih penting, saya sudah merentasi satu tempoh waktu yang direncanakan, saya harap saya memperolehi sesuatu.

Hidup adalah kembara. Semua kita pasti kita akan sampai ke satu destinasi yang bernama kematian. Cumanya, dalam kembara di benua yang luas ini, setiap kita melalui denai, lurah, lorong, lembah, jalan dan dataran yang mungkin tidak sama. Namun perhentiannya hanya satu, kita akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil.

Perjalanan pasti akan berakhir. Cuma yang kita sedang runsingkan, bagaimana ia berakhir. Berbagai tempoh dan detik kita akan tempuhi, namun tiada yang lebih indah daripada perasaan bergantung harap kepada Allah. Benua kehidupan terlalu luas dan menakutkan. Banyak kejahatan, juga berbagai kebaikan. Moga Allah selamatkan kita semua dalam meneruskan kembara hidup.

9/8/09 - Jangan Lebih Lajak Daripada Laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi.

Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi s.a.w:

“Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa Pahala

Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa.

Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain.

Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah.

Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda:

“Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).


- Gambar Hiasan

Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya.

Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda :

Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


- Gambar Hiasan

Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Rahsia

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya.

Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang-orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan nereka oleh Allah dan rasulNya seperti Iblis, syaitan, Fir’aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasulNya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya.

Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat redha, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

2/8/09 - Jangan Bantu Syaitan Rosakkan Saudaramu

Saya hanya sempat mengikut dari jauh isu dan secebis ‘hukuman sebat ke atas peminum arak’ di Pahang. Banyak juga email mengenainya meminta saya mengulas isu tersebut, termasuk email seorang tokoh politik dan ahli Parlimen ternama. Banyaknya urusan menjadikan saya ‘ketinggalan bas’ kebelakangan ini. Rasanya, sikap rela model berkenaan patut dipuji.

Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya. Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.

Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).

Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).

Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan. Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat. Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar.


- gambar hiasan

Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”. Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi.

Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan. Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Hudud

Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama.

Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya. Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya?

Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia. Untuk melihat hudud secara lebih luas dan tidak fanatik mazhab atau pandangan tertentu, karya Mohamed S. El-Awa, Punishment In Islamic Law antara yang baik untuk dibaca di zaman kini.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.

Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Suasana

Ada beberapa email yang menarik perhatian saya mengenai hukuman arak di Pahang itu. Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat.

Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan saya yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”. Berbagai lagi sungutan yang lain.


- gambar hiasan

Memang itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau seragam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang. Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina.

Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.

Perjuangan penting para pendakwah Islam masakini adalah memberikan pendidikan dan kefahaman yang jitu mengenai Islam. Generasi kini terdedah kepada berbagai perkara. Sudah banyak email saya terima daripada anak-anak muda melayu yang bukan sahaja tidak percayakan Islam, bahkan meragui kewujudan Tuhan.

Inilah epidemic yang sedang meningkat dalam dunia ini iaitu atheism yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, atau seperti pelakon Brad Pitt yang tidak dapat membuat keputusan Tuhan wujud atau tidak yang disebut sebagai agnosticism. Mereka ini sedang memenuhi Dunia Barat hari ini dengan peningkatan yang menakjubkan.

Laman-laman web mereka mengganggu minda sebahagian orang Islam yang tidak terdedah kepada Islam yang berteraskan hujah dan fakta. Hanya sekadar pernah mendengar ceramah kartun dan lawak oleh sesetengah penceramah. Ceramah atau pengajaran agama yang tidak memenuhi piawaian cabaran zaman kini akan gagal menyelamatkan generasi kita.

Ya, kita mahu Islam, kita mahu suasana Islam dan kita mahu hukum berteraskan Islam. Namun itu semua tidak boleh dicapai dengan mudah, memerlukan pengembelingan tenaga yang serasi dengan suasana kita. Pemerintah dan rakyat hendaklah ada kesungguhan. Islam yang hendak ditonjolkan hendaklah membawa kepada sangkaan baik manusia terhadap Allah dan RasulNya, bukan mengelirukan mereka. Bak kata Nabi s.a.w: “Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu”.