Ketika ini, bilik asrama kecil lagi usang yang hampir berusia 200 tahun, yang saya tinggal dalamnya beberapa bulan sebagai ‘orang bujang’, berselerakan dengan barang-barang yang sedang dikemas. Bilik ini terletak dalam bangunan yang dinamakan Old Building, University Of Wales, Lampeter.
Kenapa saya sampai ke sini? Hanya Allah Yang Maha Tahu. Dahulu, saya memang sering berdoa untuk dapat buat sabatikal di UK. Hanya kerana saya sudah pernah tinggal di Negara Arab, harapnya ada sedikit pengalaman baru di negara Barat. Saya tidak pula terbayang di mana universiti saya akan pergi. Sehinggalah saya ‘tercampak’ ke cerok Lampeter yang tenang dan nyaman ini.
Memang, tidak pernah satu hari saya terbayang akan sampai ke daerah yang seperti ini. Namun, saya syukur dan akur atas segala kurnia, kerna hikmah kehidupan menjelma dalam pelbagai rupa dan ruang.
- Gambar Hiasan
InsyaAllah, pada hari ini (Ahad), hari artikel ini diterbitkan adalah hari saya sampai ke Malaysia. Saya membaca semula tulisan lepas saya yang bertajuk Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis. Artikel itupun diterbitkan pada Ahad, hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Terus selepas itu, saya ke UK.
Ahad yang bermaksud satu adalah hari pertama dalam bilangan hari. Ia sering menjadi hari terakhir saya dalam tugasan. Baik juga, kerana sering memberi saya peluang membuat kesimpulan di ruangan ini. Apapun, Allah mengingatkan kita: (maksudnya)
“..dan demikian itulah hari-hari Kami jadikan ia bersilih ganti antara sesama manusia” (Surah Ali ‘Imran: ayat 40).
Ya! Hari berganti, manusia berubah kedudukan, keadaan dan berbagai lagi. Allah mengubah iklim dan warna kehidupan kita dengan berbagai cara. Kesemua itu menerusi hari-hari dalam perjalanan apa yang dinamakan al-hayat al-dunya atau kehidupan dunia. Maka kita pun sedar, kita adalah kembara yang merentasi benua kehidupan untuk sampai ke satu perhentian yang bernama ‘kematian’. Di sanalah akan bermula alam baru dan cerita baru.
Namun cerita baru itu berkait sepenuhnya dengan diari kembara kita merentasi benua kehidupan ini. Bak kata Nabi s.a.w:
“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Bicara Untuk Semua
Ramai yang bertanya, “selepas ini nak bertugas di mana?”. Saya kata: “di mana sajalah”. Semua orang tahu, sebelum saya menjadi Mufti Perlis, saya pensyarah USM dan saya datang sabatikal pun di bawah USM. Saya hanya jadi Mufti dalam masa dua tahun sebulan. Sebelum itu saya telah hidup tanpa sebarang jawatan yang ‘gah’.
Saya orang kampung, dari keluarga yang teramat sederhana. Sekian lama hidup sebagai rakyat ‘marhaen’ maka persoalan jawatan amat kecil untuk difikirkan. Apa yang utama bagi saya, bagaimana agar pendapat dan pandangan boleh disampaikan. Saya pohon perlindungan dengan Allah dari pena dan lidah saya tidak dirampas orang.
- Gambar Hiasan
Jika pena saya ‘dipatahkan’ atau lidah ‘dipotong’ sehingga saya tidak dapat menulis dan berbicara, saya berharap saya masih mempunyai kekuatan untuk menggerakkan kepala bagi menyatakan tanda setuju atau bantah. Namun, jika dirampas semua, apa lagi yang tinggal bagi sebuah kehidupan ini, melainkan jantung hati yang redha pada yang baik, dan engkar pada yang buruk?!
Dua bulan lepas, saya pulang seketika. Itulah kali pertama saya berada di Malaysia selepas melepaskan jawatan Mufti kerana hari pertama saya meninggalkan jawatan tersebut saya terus terbang ke UK. Saya bersyukur, dalam masa beberapa hari itu, kedua-dua bekas Perdana Menteri kita masih sudi menjemput saya bersembang di pejabat mereka masing-masing.
Demikian juga YAB Timbalan Perdana Menteri. YAB Ketua Menteri Pulau Pinang pun mengajak saya ke kediaman rasminya. Sahabat saya, Ketua Pemuda PAS dan timbalannya juga datang berbual panjang dengan saya. Banyak perkara dan isu dapat kami bertukar-tukar pandangan. Juga YB Penasihat PKR, ada bercakap dengan saya melalui telefon memberitahu beliau akan pulang ke Pulau Pinang dan mengajak saya bersembang jika ada ruang.
Namun, nampaknya masa ketika itu tidak mengizinkan. Apapun, saya bersyukur, saya masih dapat berbicara dengan semua sahabat dan insan-insan ‘utama’ ini. Juga syukur mereka tidak melihat apa jawatan saya, tetapi melihat saya sebagai seorang rakyat dan ‘sahabat’. Saya harap saya dapat kekal atas landasan ini, berbicara untuk semua tanpa kepentingan diri atau parti. Saya akan menyokong apa yang saya yakin baik, dan mengkritik apa yang saya rasa tidak benar atau tidak wajar. Jiwa kita akan merasa lapang dan bahagia apabila kita bebas dari ketaksuban atau fanatik.
Tawakkal
Hidup ini bagaikan lautan yang luas. Kita hanyalah perahu kecil yang sedang menongkah gelombang. Lihatlah betapa ramai yang ‘gah’ dengan kedudukan dan jawatan mereka semalam, hari ini tiada lagi kemegahan itu. Siapa yang dapat memastikan kedatangan hari esok membawa bahagia kepadanya?!
Sebagai muslim, untuk merentasi benua kehidupan ini, tiada lain yang dapat kita bertaut melainkan ‘at-tawakkal ‘ala Allah’ atau bergantung harapan kepada Allah. Jiwa apabila benar-benar bergantung dan merintih harapan kepada Allah, keajaiban hidup akan berlaku tanpa diduga. Setiap mereka yang melalui hakikat tersebut akan dapat merasai kebenaran kata-kata ini.
Itulah sebabnya mengapa begitu banyak ayat al-Quran dan Sunnah menyuruh kita di samping usaha hendaklah bertawakkal. Cumanya, tawakkal adalah perkataan yang mudah disebut, tapi sukar untuk dihayati dalam ruh dan kehidupan. Ramai yang menyebutnya, tidak ramai yang diresapinya dalam merentasi perjalanan ini. Bacalah ayat-ayat al-Quran berkaitan tawakkal, ia akan membawa kita ke suatu alam yang penuh keyakinan dan kelapangan jiwa dan perasaan.
Bekalan
Saya datang ke UK untuk sabatikal seperti mana kebanyakan pensyarah universiti lakukan. Saya tinggalkan jawatan mufti. Saya cuba memahami apa yang barangkali saya belum lalui sebelum ini. Bak kata penyair, Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:
“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).
Setiap kali kita mengembara, kita melihat sesuatu yang baru yang jika pun tidak mengubah hidup, ia pasti memberi kesan. Bahkan dalam sejarah al-Imam al-Syafi’i, beliau mengubah banyak fatwanya semasa di Iraq, apabila melihat situasi dan perkara baru di Mesir. Sehingga pandangan beliau dibahagikan kepada qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru).
Beberapa tokoh revivalist Mesir berubah ketika melawat Negara Barat dan begitulah berbagai sejarah manusia berubah disebabkan kembara. Seorang muslim pastinya tidak berubah prinsip Islamnya, tetapi mungkin akan berkembang beberapa tafsiran dan ruang wacananya. Apa yang lebih penting, saya sudah merentasi satu tempoh waktu yang direncanakan, saya harap saya memperolehi sesuatu.
Hidup adalah kembara. Semua kita pasti kita akan sampai ke satu destinasi yang bernama kematian. Cumanya, dalam kembara di benua yang luas ini, setiap kita melalui denai, lurah, lorong, lembah, jalan dan dataran yang mungkin tidak sama. Namun perhentiannya hanya satu, kita akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil.
Perjalanan pasti akan berakhir. Cuma yang kita sedang runsingkan, bagaimana ia berakhir. Berbagai tempoh dan detik kita akan tempuhi, namun tiada yang lebih indah daripada perasaan bergantung harap kepada Allah. Benua kehidupan terlalu luas dan menakutkan. Banyak kejahatan, juga berbagai kebaikan. Moga Allah selamatkan kita semua dalam meneruskan kembara hidup.