27/09/09 - Kisah Dan Hukum Pada Musim Raya

Sepanjang Ramadhan sehingga kini Syawwal, berbagai soalan dihantar kepada saya berkaitan dengan hukam-hakam itu dan ini. Saya sering katakan, pada asasnya Islam begitu luas dalam soal kehidupan umum atau muamalat, tetapi ketat dalam soal ibadah.

Ertinya, dalam soal kehidupan Islam membuka pintu keharusan, atau keizinan seluas-luasnya sehinggalah adanya dalil dari al-Quran atau Sunnah yang melarangnya. Jika dikaitkan dengan hariraya, maka soalan berhubung dengan hukum menghantar kad raya, atau email raya, membuat ketupat dan rendang, dodol dan lemang, atau kena pakai baju melayu atau jubah dan seumpamanya adakah bid’ah atau dibolehkan?

Sudah pasti itu semua termasuk dalam urusan umum kehidupan yang mana kreativiti manusia untuk hidup dan bergembira diberikan ‘lesen’ yang besar oleh Islam selagi tidak melanggar prinsip-prinsipnya seperti membazir, sombong, menyerupai agama lain secara khusus, memudaratkan diri sendiri atau orang lain, menyakiti fizikal atau mental orang secara langsung dan lain-lain prinsip.

Adapun mengenai ibadah khusus, maka Islam begitu ketat melarang sebarang perkara yang ditokok tambah dalam agama yang akhirnya menghilangkan keaslian agama yang asal. Ia juga mencabar Allah Yang Maha Berhak dalam menentukan syariatNya, juga mencabar Rasulullah s.a.w yang merupakan wakil sah yang tiada lagi rasul selepas baginda dengan cara menambah agama yang telah disampaikan.

Maka, jika dikaitkan dengan hariraya; takbir idil fitri adalah ibadah khas yang tamat selepas solat raya. Maka tidak boleh lagi takbir khas sempena hariraya fitri selepas itu. Demikian solat hariraya, hanyalah pada 1 syawwal, maka tiada lagi solat pada hari kedua, atau ketiga, atau selepas puasa enam. Ini kerana perkara-perkara seperti ini wajib diambil langsung daripada Rasulullah s.a.w dan kita tiada hak membuat edisi tambahan ke atas agama yang telah sempurna ini. Sekalipun tambahan itu nampaknya baik pada zahirnya, namun memberikan kesan yang buruk kepada agama ini di sudut ketulenannya. Apa akan jadi jika semua pihak menambah produk masing-masing ke atas Islam?!

Lihat apa yang berlaku kepada Yahudi dan Kristian, pengikut mereka sudah tidak tahu lagi apakah upacara asal yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. dan Isa a.s. Berbagai-bagai upacara baru dalam gereja mereka. Kemenyan yang diasapkan, loceng yang dibunyikan, muzik yang didendangkan dan berbagai lagi upacara yang akhirnya tidak lagi dapat dibezakan antara arahan wahyu dan tokok tambah pendeta.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)

“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah al-Maidah, ayat 3).

Kata al-Imam Malik bin Anas (179H):

“Sesiapa yang mengadakan-adakan perkara baru dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: (maksudnya) “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 35 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Main Mercun


- Gambar Hiasan

Ada yang bertanya saya tentang hukum main mercun. Sebenarnya main mercun pada hariraya bukan sahaja di Malaysia, di negara-negara Arab pun sama. Saya kata bahawa di sana ada beberapa perkara yang mesti dijelaskan.

Pertama sekali, tidak boleh sesiapa pun beriktikad bahawa Islam menggalakkan main mercun pada musim raya. Jika kepercayaan ini ada, ia termasuk dalam bid’ah kerana menokok tambah ajaran Islam dengan satu upacara yang dianggap ibadah. Walaupun kepercayaan seperti di tempat kita tiada, namun mesti diperingatkan prinsip ini, kerana perubahan masa dan tempat boleh menyebabkan perubahan kepercayaan dan ibadat.

Kedua, permainan secara umumnya termasuk dalam urusan am kehidupan. Selagi ia tidak memberi mudarat pada diri atau orang lain, maka ia dibolehkan. Mercun yang membawa kepada kecederaan diri atau orang lain adalah haram. Haram itu bertambah apabila adanya arahan pemerintah yang melarang rakyat dari perbuatan tersebut. Ketaatan kepada Ulul Amri dalam perkara yang baik adalah wajib.

Lebih buruk lagi apabila ada yang bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam, jamaah yang bersolat di masjid, bayi yang sedang tidur dan seumpamanya. Di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, malam mereka dentuman bagaikan peperangan sedang tercetus.

Nabi s.a.w menyebut dalam hadis:

“Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun jika bunga api atau mercun yang tidak merbahaya dan diizinkan oleh undang-undang, maka tidak menjadi kesalahan untuk bermain sebagai satu aktiviti kegembiraan dalam batasan yang diizinkan.

Kisah Malam Raya


- Gambar Hiasan

Ada isteri bersungut suaminya tiada di rumah pada malam raya. Bahkan suami membantah isterinya yang sibuk menghias rumah dan menyiapkan juadah kerana katanya bahawa disunatkan pada malam Hariraya menunaikan solat Sunat Jibril sebanyak seratus rakaat, dibaca dalam setiap rakaat al-Fatihah dan sebelas kali Surah al-Ikhlas serta beberapa kaifiyyat yang lain. Kononnya fadhilatnya begitu hebat. Saya jawab aduan itu dengan berkata bahawa menghias rumah dan menyediakan makanan untuk hariraya termasuk dalam perkara yang diharuskan, itu adalah urusan umum kehidupan.

Adapun solat berkenaan, seperti kata al-Hafiz Ibn Jauzi (meninggal 597H) dalam karyanya al-Mudu’at : “Tiada syak lagi ia hadis palsu”. Bahkan hadis-hadis tentang menghidupkan malam hariraya berada dalam sekitar status ‘teramat dhaif’ dan ‘palsu’. Bukan tidak boleh beribadah pada malam hariraya, sama seperti setiap malam, beribadah malam tetap disunatkan.

Namun fadilat khusus yang sahih tidak sabit periwayatannya daripada Nabi s.a.w. Maka tidak mengapalah jika suami atau seisi rumah bersiap pada malam hariraya untuk bergembira pada esoknya. Islam itu bak kata Nabi s.a.w:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Puasa Enam


- Gambar Hiasan

Dalam laman web saya Minda Tajdid (drmaza.com) saya telah menjawab keluhan seorang suami yang isterinya meminta dia berbuka puasa enamnya untuk meraikan anak-anak yang pulang jauh, agar dapat makan bersama. Oleh kerana dia bimbang nanti fadhilat puasa enam Syawwal itu hilang jika tidak puasa berturut selepas hariraya, maka dia enggan berbuka yang mungkin membawa kecil hati, atau ‘kurang meriah’ bagi anak-anak yang pulang dari jauh.

Kesimpulan dari jawapan saya dalam Minda Tajdid saya kata bahawa walaupun ada ulama yang menyebut tentang keafdhalan berturut-turut itu, namun sunat puasa enam hari pada Bulan Syawwal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis.

Apatah lagi di sana ada hadis Abu Sa’id al-Khudri katanya:

“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!”.

Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawwal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak.

Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.

Jika kita luaskan apa yang Islam luaskan, dan elakkan menokok tambah apa yang Islam tidak izinkan, maka kita akan melihat Islam itu begitu indah dan mudah.

20/9/09 - Ini Hari Kemenangan, Bukan Hari Ratapan

Selamat Hari Raya! Semoga Allah menerima amalan saya dan saudara pembaca sekelian! Hari ini adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Minggu lepas saya sudah bicarakan bagaimana sepatutnya hariraya menjadi hari gembira untuk umat Islam bukannya hari dukacita dan kesedihan seperti yang selalu digambarkan oleh drama atau filem melayu.

Ya, Islam apabila hadir ke dalam sesuatu kaum atau masyarakat, ia tidak menghapuskan budaya atau adat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, atau mengubah rupa asli agama yang tulus dan suci ini. Islam tidak membuang jubah orang Arab, atau kurta orang India, atau sampin orang Melayu. Namun Islam memberikan garis panduan dan prinsip umum dalam berpakaian.

Hendaklah juga kita fahami bahawa Islam amat sensitif jika ada amalan sesuatu bangsa atau kaum itu mempunyai iktikad tertentu yang membabitkan prinsip-prinsip akidah di dalam Islam. Ini seperti kepercayaan orang melayu dahulu bahawa bala boleh ditolak dengan upacara beras kunyit, atau tepung tawar atau apa sahaja yang mempunyai unsur yang sedemikian rupa. Ini kerana ia menyentuh soal pokok dan prinsip dalam akidah Islam.

Islam tidak membantah untuk orang melayu menggoreng ikan menggunakan kunyit, atau memasak dengan berempah kunyit. Demikian juga untuk mereka membuat tepung talam atau tepung bungkus atau ‘tepung pelita’. Namun, apabila mereka membuat nasi kunyit, atau beras kunyit atau tepung tawar yang disertai dengan sesuatu kepercayaan khusus yang tidak benar, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam iaitu persoalan khurafat dan syirik, maka ia dilarang oleh nas-nas Islam.

Sama seperti ‘mandi bunga’, jika ia dilihat di sudut kesan herba kepada kesihatan, maka itu mungkin boleh diterima setelah dibuat kajian pakar. Namun jika disertai iktikad karut seperti boleh mempercepatkan jodoh, maka Islam menolak kebodohan yang seperti itu. Ertinya, budaya, adat atau kebiasaan sesuatu kaum boleh diteruskan, namun hendaklah dipastikan ia tidak mengandungi iktikad yang salah, atau amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.


- Gambar Hiasan

Berbalik kepada persoalan hari raya pun demikian. Pada asasnya, Islam mengajar umatnya beberapa amalan sempena hari raya. Ini termasuklah bertakbir, bersolat ‘id (hariraya), berhimpun dan bergembira.

Kata Umm Atiyyah:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat, tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Tujuannya menzahirkan kekuatan dan kegembiraan. Justeru, sekalipun Masjid Nabawi itu adalah masjid yang penuh dengan kelebihan, namun Rasulullah s.a.w bersolat hariraya di musolla iaitu tempat solat khas di tanah lapang, bukan dalam masjid. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:

“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari: “Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”. Dengan bersolat di tempat lapang yang disertai oleh setiap lapisan kaum muslimin maka menambahkan kemeriahan, kekuatan jiwa dan semangat, serta kegembiraan dalam kaum muslimin. Amalan ini diamalkan oleh sebahagian umat Islam sejak zaman Nabi s.a.w sehingga ke hari ini melainkan jika berlaku hujan atau kesukaran mendapatkan tempat lapang.


- Gambar Hiasan

Di Perlis, semasa saya menjadi mufti, saya menggalakkan para imam menganjurkan solat hariraya di tempat lapang. Maka zahir kekuatan alunan takbir yang menembusi ufuk dan di tempat yang terbuka itulah alam menyaksikan perpaduan, kekuatan dan kemesraan kaum muslimin.

Masyarakat Melayu

Maka mesej Islam pada hariraya adalah kemenangan, kekuatan umat dan kegembiraan. Jangan ditukar mesej ini dengan yang sebaliknya. Untuk mencapai kegembiraan setiap kaum kadang-kala ada cara yang tersendiri. Ia boleh diterima selagi tujuannya tidak tersasar. Mereka mungkin memakai pakaian khas yang cantik menurut tradisi kaum masing-masing; jubah untuk orang Arab, kurta untuk orang India, berbaju melayu untuk orang Melayu dan seterusnya.

Demikian juga juadah makanan; Nabi s.a.w tidak pernah menyuruh atau memakan ketupat, rendang dan dodol pada hariraya. Itu adalah makanan orang melayu. Tidak mengapalah, ia tidak menyanggahi tujuan hariraya. Demikian ucapan selamat hariraya, yang diriwayatkan daripada para sahabat mereka sekadar mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu) (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356).

Orang melayu menambah dengan selamat hariraya. Ia mungkin sebahagian daripada aktiviti menceriakan hariraya. Cuma penambahan ‘maaf zahir batin’ yang membawa kepada hariraya menjadi hari khas untuk bermaaf-maafan, mungkin ada sudut negatif dan positifnya. Jika ia membawa masyarakat kita melengah-lengahkan permohonan maaf sesama muslim kerana menunggu hariraya, maka ini sesuatu yang negatif.


- Gambar Hiasan

Nas-nas Islam tidak pernah menyebut hariraya hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hariraya atau hari tertentu. Demikian juga jika maaf-maafan pada hariraya itu ia membawa suasana ‘airmata dan sedih’ maka itu di luar dari tujuan hariraya.

Satu lagi perkara yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat sebagai amalan hariraya iaitu bertafakur atau menziarahi kubur dengan taburan bunga dan siraman air. Sesetengah orang suasana harirayanya bertukar menjadi suasana suram dan tidak ceria selepas solat kerana pergi bersedih dan mengenangkan orang yang mati pada hariraya.

Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidaklah mengapa. Tetapi melakukan ziarah khas pada hairaya bersama dengan perasaan sedih dan pilu bukan amalan Nabi s.a.w dan menyanggahi tujuan hariraya dalam Islam. Di samping amalan menabur bunga dan menyiram air, bukanlah kenali di zaman salafussoleh sebagai amalan yang dipraktikkan.


- Gambar Hiasan

Adapun perbuatan Nabi s.a.w meletakkan pelepah tamar atas kubur adalah keistimewan khas baginda, sebab itu tiada sahabah yang meniru perkara yang sama selepas itu. Manusia pada umumnya mendapat kebahagian di akhirat dengan amalan baiknya dan juga doa ikhlas insan lain yang mustajab. Tiada proses belian atau upahan pahala dalam ajaran Islam.

Apapun, sempena hariraya kita hendaklah zahirkan kebesaran Allah dan kekuatan umat Islam sebagai umat yang memimpin alam dengan kebaikan dan hidayah. Gema takbir bukan untuk mengundang kesedihan tanpa sebab. Sebaliknya agar jiwa dipenuhi dengan kebesaran Allah, kecintaan kepada perpaduan dan kebahagiaan umat ini. Ia memberikan semangat kepada kita untuk terus sebagai umat yang berdaulat dan mampu melaungkan kebesaran kerajaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Airmata jika pun ada pada hariraya adalah airmata mengenang kebesaran Allah dan perasaan cinta yang mendalam kepada umat ini. Khutbah hariraya adalah khutbah yang penuh semangat dan makna, bukan khutbah yang ‘menidurkan’ makmum pada pagi hari dan penuh kemandulan serta tidak membangunkan jiwa jihad dan pengorbanan. Imam atau khatib hendaklah sedar akan hakikat ini. Selamat hariraya! selamat membina kekuatan umat dan kecintaan kepada setiap saudara muslim kita. Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd.

13/9/09 - Hari Raya Bukan Hari Sedih

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.


- Gambar Hiasan

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.


- Gambar Hiasan

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

6/9/09 - Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh

Memberi pendapat yang berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan. Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya.

Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran yang lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan yang kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’.

Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri. Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam. Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama samada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian.

Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas. Dalam perkara hukum atau selainnya yang tiada nas yang jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat yang berbeza di kalangan sarjana. Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya.

Maka sebab itu, setiap individu muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka. Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.

Makruh Gosok Gigi

Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali.


- Gambar Hiasan

Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya. Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut:

“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini.

Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?! Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda:

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.

Tidak Lojik

Nabi s.a.w dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat:

“Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim).


- Gambar Hiasan

Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; “yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya.” (lihat: ms 143).

Pada andaian mereka, ini membantu kusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar?! Atau mungkin sebaliknya berlaku. Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini?! Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka?!. Andaian atau tambahan yang dibuat ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.

Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi’i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat berbagai-bagai andaian yang pelik seperti

“jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260).

Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi..”. Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan. Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memandai-mandai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.

Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya. Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan.

Biasanya, golongan agama yang cuba mengujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka. Kita memberikan pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama tertentu, bukan bererti kita disuruh biadap atau tidak menghormati mereka.

Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasulNya.

Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita. Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasulNya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan kemunasabah untuk umat.

Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasulNya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja