6/9/09 - Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh

Memberi pendapat yang berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan. Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya.

Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran yang lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan yang kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’.

Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri. Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam. Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama samada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian.

Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas. Dalam perkara hukum atau selainnya yang tiada nas yang jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat yang berbeza di kalangan sarjana. Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya.

Maka sebab itu, setiap individu muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka. Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.

Makruh Gosok Gigi

Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali.


- Gambar Hiasan

Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya. Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut:

“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini.

Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?! Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda:

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.

Tidak Lojik

Nabi s.a.w dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat:

“Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim).


- Gambar Hiasan

Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; “yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya.” (lihat: ms 143).

Pada andaian mereka, ini membantu kusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar?! Atau mungkin sebaliknya berlaku. Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini?! Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka?!. Andaian atau tambahan yang dibuat ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.

Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi’i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat berbagai-bagai andaian yang pelik seperti

“jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260).

Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi..”. Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan. Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memandai-mandai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.

Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya. Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan.

Biasanya, golongan agama yang cuba mengujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka. Kita memberikan pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama tertentu, bukan bererti kita disuruh biadap atau tidak menghormati mereka.

Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasulNya.

Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita. Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasulNya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan kemunasabah untuk umat.

Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasulNya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja