Saya malu apabila ‘orang agama’ bertindak secara terbuka ‘seakan’ menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk ‘memerangi’ golongan agama.
Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi s.a.w:
“Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” (Riwayat al-Bukhari).
Nampaknya hadis ini tidaklah dapat ditunaikan oleh kebanyakan orang jika seseorang tidak boleh memberikan nasihat agama melainkan selepas mendapat tauliah. Saya sedang berfikir apa akan jadi jika perkara ini dikuatkuasakan kepada guru-guru yang mengajar dalam kelas di sekolah-sekolah, pensyarah-pensyarah universiti, penceramah-penceramah motivasi yang ingin memasukkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran mereka.
Bahkan sukarelawan-sukarelawan yang ingin menyampaikan nasihat agama seperti jamaah tabligh juga akan terkena tempiasnya. Di kala yang sama, kita bising jika ada gerakan missionary agama lain, tetapi sesama muslimlah jua yang membelenggu tangan pendakwah mereka dengan berbagai peraturan yang memberikan mudarat lebih banyak daripada maslahat.
Saya tidak menafikan kemungkinan perkara tauliah ini boleh dikuatkuasakan di bawah siyasah syar’iyyah (politik islami) yang bertujuan untuk kemaslahatan umat. Namun apabila ia dikuatkuasakan untuk kepentingan kelompok tertentu, maka tujuannya menjadi rosak.
- Gambar Hiasan
Sepatutnya mereka yang sudah mempunyai sijil pengajian Islam yang sah dari institusi-institusi pengajian Islam yang diiktiraf dianggap sebagai berkelayakan. Apatahlagi jika mereka pensyarah pengajian Islam di universiti-universiti.
Seorang muslim juga boleh menyampaikan ucapan kepada masyarakat melalui unsur-unsur agama dengan kadar yang difahaminya. Tidak perlulah setiap orang yang hendak memperkatakan tentang Islam dikehendaki mendapatkan tauliah.
Berapa kerat manusia yang ada tauliah kalau begitu. Maka hanya berapa kerat manusia sahajalah yang boleh menyampaikan nasihat agama dalam ucapan-ucapan mereka dalam negara ini.
Jika pun tauliah hendak diwajibkan, wajibkan kepada mereka yang langsung tiada sijil pengajian Islam rasmi tetapi ingin mengajar bab-bab khusus dalam disiplin ilmu seperti mengajar khusus akidah, hadis, tafsir, fekah dan seumpamanya.
Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran, seseorang yang ingin mengajarnya padahal dia tidak pernah menjalani pengajian formal mengenainya, perlulah diuji. Di sini mungkin sistem tauliah boleh berfungsi.
Amatlah dukacita, di kala umat kehausan ilmu, golongan muda tercari-cari, isu-isu agama makin banyak yang belum terjawab, penularan pemikiran yang salah merebak dengan pantas dalam era globalisasi, unsur-unsur pengajaran yang bercanggah dengan ajaran tersebar di sana-sini, tiba-tiba di kala itu dihalang golongan pendakwah dan mereka yang mempunyai pengajian Islam untuk menyampai ilmu atau memberi nasihat agama di ‘mana saja’ melainkan dengan tauliah.
- Gambar Hiasan
Sudahlah ramai ilmuwan dihalang dari bercakap dalam masjid dan surau hanya kerana isu tauliah yang sebahagian mereka berulang kali memohonnya tetapi tidak dapat, di tempat lain pun di haling. Tidakkah pernah pihak-pihak berkenaan terkenangkan ayat Allah: (maksudnya):
“Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”. (Surah al-Baqarah ayat 114).
Kata al-Imam as-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir:
“Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya. Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya…juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” (1/144, Beirut: Dar al-Khair).
Senjata Fitnah
Minggu lepas saya telah sebut tentang senjata fitnah ini. Memang sejak dahulu, ada kelompok yang apabila sahaja melihat atau mendengar tentang idea-dea pembaharuan terus sahaja dilebelkan wahabi. Senjata ini telah dihalakan kepada Prof Hamka, Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi dan ramai lagi.
Senjata fitnah jugalah dikenakan oleh sesetengah kelompok agama kepada tokoh-tokoh reformis sepanjang sejarah. Bak kata orang ‘apabila habis perkakas hujah, lalu dipakai perkakas fitnah’.
Apakah itu wahabi? Ia masih lagi misteri. Orang seperti saya bukan susah hendak cari kesesatan pemikiran jika ada. Saya bukan insan yang ghaib bersembunyi, saya ada tulisan, ada buku, ada siaran media elektronik dan berbagai lagi yang pemikiran saya boleh disiasat menerusi ucapan dan tulisan.
Mengapa membuat tuduhan tanpa mendatangkan bukti?!! Saya teringat kata-kata Prof Hamka menjawab sikap suka memfitnah ini, katanya:
“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Prof Hamka, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76).
Saya amat terkejut apabila semalam Utusan menyiarkan temubual dengan dengan seorang wakil JAIS yang menyatakan antara kesalahan akidah kelompok wahabi ialah pembahagian perbincangan tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Inilah yang dianggap kesalahan akidah puak ini.
Wakil JAIS itu barangkali lupa; perbahasan tauhid seperti ini dipakai dalam pendidikan sekolah dan universiti tempatan. Bahkan inilah yang dipakai dalam ratusan universiti di dunia Islam, di Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir dan berbagai negara lagi. Separuh umat Islam Indonesia dan separuh umat Islam di selatan Thai. Apakah mereka ini semuanya wahabi dan sesat?!
- Gambar Hiasan
Dengan itu, inilah kes sesat-menyesat yang terbesar dalam sejarah umat Islam. Amat malanglah, jika umat Islam berbalah disebabkan kedengkian dan hasad lalu pergi ke daerah sesat-menyesat seperti ini.
Namun, apa boleh buat, nasib yang sama menimba insan yang jauh lebih mulia, Nabi Muhammad s.a.w, daripada seorang yang digelar al-Amin, lalu dipanggil tukang sihir dan gila. Ini semua akibat dari tidak mampu bersaing di pasaran pemikiran.
Padahal, dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan rasulNya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah.
Namun, bak kita kata tadi, apabila habis perkakas hujah, ada yang guna perkakas fitnah.