10/08/2008 - Tuhan! Kami rindukan naungan wahyu-Mu

MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta. Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan. Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar. Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan. Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.

Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah. Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia). Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).

Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong. Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul. Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.

Pengganas

Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas. Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika. Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika. Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika. Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika. Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata. Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak. Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika. Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.

Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri. Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya. Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta. Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.

Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.


Kegilaan kuasa

Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”. Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain. Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.

Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT. Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi. Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. Tanggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat. Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan. Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’. Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.

Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa. Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya. Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!