SEORANG wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: "Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?" Saya tidak pasti apa tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik. Saya kira, tujuannya mungkin untuk tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: "undi anda adalah rahsia". Jika beliau tidak lupa, sebelum pilihan raya umum lalu, saya memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan parti. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian. Saya memberitahu wartawan berkenaan, dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan sebegitu rupa, sehingga masyarakat sukar menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain. Lebih malang, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antara mereka.
Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Katanya, kebebasan bersuara dan berbicara. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama. Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberi pendapat berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian. Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di Internet dan SMS seakan-akan tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang memfitnah orang lain di sebalik maya Internet dan SMS. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Akhirat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan memfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka. Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberi pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita. Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai-bagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik, dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).
Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya. Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).
Ganjaran pahala
Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: "jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak". Katanya: "ada ustaz bersama saya". Kata saya: "Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak. Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah".
Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa jujur, siapa yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi SAW: "Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa. Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan "oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah". Lalu orang menyatakan kepadanya: "alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia" padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah pelbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai-bagai negara di planet bumi ini, pada hal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.
Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan, sebelum ini pernah ada orang politik secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Dulu ada orang yang membeli undi dalam parti dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara korup di akhirat, di mana hanya orang bawah disoal dan yang atas dilepaskan. Barangkali dia fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai. Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsir dengan pelbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat baik disangka buruk, apatah lagi jika memang niat buruk. Banyak pihak mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan dapat diubah. Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan berburuk sangka tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah.
Masa depan umat Islam bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga 'kerusi' di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi reda Allah, tetapi kehendak politik kepartian. Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa membantah walaupun sekian lama dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen tetapi haram riba, tidak jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.
Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: "Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan". (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam). Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara? Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik bagi umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah SWT. Undi ada nilai dosa dan pahala.
Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihan raya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah SAW buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah.
The King and U
3 days ago